Akhir-akhir ini kedengaran di sana sini yang MCA sedang menguruskan rundingan supaya semua parti yang didominasi kaum Cina bersatu menjadi satu entiti politik yang berkesan.
Khabarnya Gerakan bersetuju untuk mengabungkan partinya dengan kedua-dua parti Cina itu dengan hanya meminta satu syarat iaitu, MCA perlu menjadikan parti itu sebagai parti yang 'multiracial' seperti Gerakan dan SUPP. Chang Ko Yuon meminta MCA supaya menjadikan parti itu sebagai sebuah parti 'multiracial' kerana parti yang berdasarkan kepada bangsa sudah tidak relevan lagi.
Jika usaha menggabungkan parti itu berjaya maka jumlah keahlian parti-parti dalam BN akan berkurangan menjadi 12 sahaja dan ini akan memudahkan lagi mentadbir BN pada masa akan datang. Saya dikhabarkan yang usaha penggabungan ini adalah satu-satunya cara bagi mengembalikan sokongan rakyat kepada kepada parti yang didominasi kaum Cina.
Ketiga-tiga parti ini mengalami kekalahan terbesar dalam sejarah penubuhan parti itu dan ini isu biasa dalam sejarah sesebuah parti itu. DAP pernah menghadapi kekalahan teruk dalam pilihan raya 1995 dan beberapa kali dalam pilihan raya negara, begitu juga PAS. PKR hanya mempunyai satu kerusi di Permatang Pauh suatu ketika dahulu.Penggabungan ini satu tindakan perubahan drastik dan ia menampakkan pimpinan parti-parti ini serius dan ini sebenarnya yang mahu dilihat rakyat. Parti atau pertubuhan yang tidak melakukan perubahan adalah sebuah pertubuhan, kewibawaan pertubuhan itu akan beransur-ansur kurang keampuhannya dalam menghadapi rakyat yang ramai.
Tetapi parti ini kembali menjadi besar penyertaan mereka dalam Dewan-Dewan Legislatif negara. Keadaan berubah mengikut keadaan dan masa. Jika dalam PRU13 yang lalu MCA dan Gerakan serta SUPP menjadi mangsa keadaan politik semasa itu, itu adalah perkara dan kejadian biasa dalam politik bukan sahaja di negara ini tetapi juga di negara lain.
DAP sudah sampai ke tahap maksima daripada jumlah kerusi yang boleh dimenanginya. Terutama di Semenanjung Malaysia. Itu sebabnya parti itu menumpukan tenaga di Sabah dan Sarawak bagi mengembangkan pengaruhnya dan menambah bilangan penyertaan mereka dalam Dewan-Dewan Legislatif negara. Hampir semua kerusi di Semenanjung yang dijangkakan boleh dimenangi oleh parti itu telah pun dimenanginya.
Jika diikuti formula ilmu statistik DAP sudah sampai ke 'apex' nya dan jika ada pergerakan statistik kepada parti itu ia akan hanya menunjukkan penurunan. Sebagai sebuah parti yang memerintah sebuah negeri seperti Pulau Pinang, DAP akan terjumpa dan berhadapan dengan masalah yang lazim dihadapi oleh sesebuah parti pemerintah.
MCA, SUPP serta Gerakan boleh memperbaiki diri semasa dalam kejatuhan dan jika mereka mampu menunjukkan perubahan, tidak terkejut bagi banyak pihak yang parti itu akan bertambah sokongan rakyat dalam pilihan raya akan datang. Lagi pun dalam kekalahan yang mereka hadapi sekarang secara 'natural' nya semua pemimpin yang menjadi isu semasa menghadapi PRU13 lalu akan tiada lagi di barisan pimpinan mereka dan ini akan memberikan imej baru penampilannya kepada rakyat yang begitu mendesak buat masa ini.
Tidak ada satu parti pun boleh menguasai bangsa yang mendominasi sesuatu parti. Contohnya DAP cuba mendapatkan kuasa waktu yang terbaik semasa PRU lalu. DAP tahu jika ada pun kesempatan untuk menjadi rakan kongsi dalam kerajaan, PRU13 lalu adalah masa terbaik baginya.
Itu sebabnya parti itu beriya-iya memberikan sokongan dan berpadu dengan PKR bagi mendapatkan sokongan 'secondary source' untuk mencukupkan kekuatan menubuhkan kerajaan bersama PKR. Tetapi dalam usaha itu 'coalition' dalam Pakatan Rakyat tidak mendapat kata sepakat dalam banyak isu yang berkaitan dengan keadaan semasa.
Dalam usaha mendapatkan sokongan padu kaum bukan Melayu secara total DAP juga melakukan kesilapan dengan menawar isu nama Allah ke depan secara rasmi. Akhirnya Pakatan tidak dapat kerusi yang mencukupi untuk berkuasa bersama rakan kongsi mereka kerana PAS tidak berjaya memenangi kerusi sepatutnya dimenanginya kerana isu Allah itu. PAS menjadi defensif dalam isu ini, dan isu ini adalah isu terlalu 'unnecessary' yang ditimbulkan DAP.
Impak jangka panjang kepada DAP adalah besar kerana dengan isu itu mengurangkan keyakinan bangsa Melayu dan strategi menggunakan sokongan PAS dalam Pakatan Rakyat yang dilakukan secara mereka lakukan dalam PRU lalu tidak mungkin boleh diulanginya lagi. Orang melayu rata-rata, termasuk penyokong PAS sendiri berkata dengan nada kecewa yang saya berjumpa berkata, mereka tidak akan 'dipatuk ular dari lubang yang sama' pada pilihan raya akan datang ini. “Once bitten twice shy” kata seorang pemimpin PAS yang hampir dengan saya.
Tetapi kita tidak perlu marah dengan DAP berbuat demikian kerana semasa itu parti itu merasakan itu sahaja waktu dan ketikanya bagi mereka mempunyai peluang untuk duduk di Putrajaya bersama rakan kongsinya pimpinan Anwar Ibrahim. Keyakinan mereka terlalu tinggi sehinggakan mereka berpendapat banyak isu dan janji-janjinya tidak perlu dipenuhi dan selepas berkuasa mereka boleh mempertahankan kedudukan dengan pengaruh 'incumbency' yang mereka bakal perolehi.
Apa yang dilakukan DAP sememangnya memberikan kebaikan kepada parti itu, tetapi tindakannya itu membantutkan sokongan orang Melayu kepada PAS dan PKR sendiri. Oleh itu, PR akhirnya tidak berjaya memenangi DUN di Negeri Sembilan, misalnya kerana atas beberapa isu yang dilakukan oleh DAP, PKR gagal untuk memenangi satu kerusi pun dalam kawasan Kuala Pilah. PKR yang rata-rata dianggapkan akan memenangi tiga kerusi DUN di kawasan Kuala Pilah akhirnya kecundang kerana ribuan yang sepatutnya memberikan sokongan kepada Pakatan Rakyat kembali memberikan sokongan kepada Umno dan BN.
DAP walaupun menang dalam kesemua kerusi yang ditandingi mereka, PKR dan PAS pula kecundang dan rata-rata keluarga dan rakan yang hampir dengan saya memberitahu 'intrigue' dilakukan oleh DAP itu hanya boleh diaplikasikan hanya sekali sahaja. Selepas ini, orang Melayu akan lebih berhati-hati dan akan melihat tindakan parti itu dengan lebih khusus lagi.
Tetapi itulah politik di sini. Kadang-kala strategi menjadi, kadang-kala kecundang. Tetapi yang nyata di Negeri Sembilan, misalnya peralihan sokongan dan tumpuan bagi mereka yang berada di atas pagar bermula dari saat parti itu mengumumkan tiada orang Melayu dan Islam menjadi calon dalam pilihan raya itu. Itu amat bertentangan dari janji awalnya. Ia mengakibatkan PAS dan PKR kecundang di kawasan majoriti Melayu di timur negeri itu.
Niat dan cita-cita untuk merasakan kuasa di Putrajaya tidak kesampaian dan parti itu terpaksa mencari dan mendapatkan strategi yang baru bagi mendapatkan sokongan kali ini. Oleh itu dalam situasi sebegini jika parti yang didominasi kaum Cina boleh bersatu mereka boleh menjadi saingan kuat kepada DAP di hari muka dan pastinya situasi kali ini akan berlainan secara 'total' jika mereka (MCA,SUPP dan Gerakan) berjaya memperbaiki keadaan.
Proses pemulihan bagi parti MCA, SUPP dan Gerakan akan hanya tercapai jika masing-masing sedar betapa perlunya mereka melakukan perubahan secara jelas dan telus. Jika parti ini dapat menunjukkan kejujuran kepada rakyat dengan niat yang difahami bersih, tidak ada sebab kenapa parti itu akan kembali mendapat tempat di hati rakyat yang ramai. – aspanaliasnet.blogspot.com, 19 Julai, 2013.
No comments:
Post a Comment
Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa