Pengumuman

Mulai esok (11 Julai 17) blog ini tidak akan diupdate Oleh kerana blog ini dan blog yang satu lagi mengandungi bahan yang sama, saya rasa adalah wajar untuk menghidupkan satu blog sahaja iaitu mountdweller88 untuk dilayari dengan mudah tanpa gangguan insya Allah Saudara/saudari persilakan ke - mountdweller88.blogspot.com

Sunday, April 20, 2008

Alfatihah untuk seorang sahabat

Pada pagi jumaat 18 April 2008 satu berita sedih dan memeranjatkan diterima daripada anak jiran. Berita kembalinya ke Rahmatullah seorang sahabat dan seorang jiran sekampung Puan Hajjah Mimi Aminah Hamzah isteri kepada Irfan Bakti Abu Salim Jurulatih Bola sepak Negeri Perlis. Beliau dan suaminya adalah sahabat yang berperibadi mulia.

(Dalam gambar di suatu malam di Gunung Tebu. Pertama dari kanan)

Allahyarhamah meninggal di Hotel Grand Continental, Kuantan, Pahang di ribaan anak bungsunya selepas terjatuh semasa hanya beberapa langkah berjalan ke biliknya setelah selesai bersarapan pagi di hotel berkenaan. Allahyarhamah berumur 54 tahun adalah seorang guru yang mengajar di Sekolah Rendah Kebangsaan Sultan Ismail Tiga, Kota Bharu, Kelantan. Beliau mengambil cuti tanpa gaji sebelum pencen pilihan. Allahyarhamah ke Kuantan bersama anak bungsunya untuk menunggu dan berjumpa dengan suami beliau Haji Irfan Bakti yang akan tiba di Kuantan bersama pasukan Perlis untuk perlawanan Piala Super menentang pasukan Pahang.

Jenazah Allahyarhamah dimandi dan disembahyangkan di Masjin Cenderawasih, Kuantan sebelum dibawa balik untuk disemadikan di Kota Bharu. Jenazah Allahyarhamah tiba di rumahnya di Kampong Paya Senang. Kota Bharu pada jam 11.30 malam dan disemadikan pada jam 7.15 pagi esuknya 19 April 2008 di Perkuburan Kampung Paya Senang.

Semasa hayatnya beliau adalah seorang cergas dan selalu juga mengikuti aktiviti-aktiviti rekreasi bersama saya dan sahabat-sahabat. Beliau pernah ke Gunung Tebu bersama anak sulung beliau. Beliau juga seorang guru yang dedikasi dan pentingkan pencapaian murid-muridnya. Beliau pernah berkata kepada saya semasa kami berbual-bual di satu masa dulu yang hidup beliau hanya untuk Tuhan, Suami dan keluarga serta mendidik anak bangsa yang kini memang ketinggalan kalau dibandingkan dengan etnik lain di dalam pelajaran. Itulah keluhuran budi dan ketulusan hati seorang Isteri dan seorang Guru yang bernama Mimi Aminah.

Alfatihah untuk Allahyarham semuga Allah merahmati Rohnya dan ditempatkan di kalangan Roh-Roh yang terpilih dan diberikan pengampunan. Amin ya Rabbulaalamin.

Wednesday, April 16, 2008

Sambungan Gunung-Gunung di Negeri Kelantan


2. Gunung Ayam

Letaknya berjiran dengan Gunung Stong dan lebih tinggi sedikit dari Gunung Stong. Laluan trekking ke Gunung Ayam agak lebih mencabar dari Gunung Stong. Dari Kampong Jelawang para trekkers akan melalui laluan yang sama untuk ke Gunung Stong tetapi treknya akan berpisah sebelum tiba ke Gua Lahat ia itu gua tempat persinggahan sebelum ke Puncak Gunung Stong. Dari simpang tersebut trekkers akan mendaki satu bukit kecil dan menyeberangi satu anak sungai dan seterusnya mendaki tebing sungai berkenaan yang merupakan sebuah bukit yang agak tinggi. Dari situ laluannya agak sukar berbukit-bukit, agak lecak dan akan tiba di puncak Gunung Ayam dalam masa tiga atau empat jam (bergantung kepada kemampuan mendaki dan berjalan dengan beban beg galas)

Pengunjung boleh bermalam di puncak Gunung Ayam kerana ruangan untuk berkhemah agak luas dan punca air pula boleh didapati di kaki bukit kecil yang menjadi puncak gunung ini. Dinasihatkan kepada sesiapa yang ingin bermalam di puncak gunung ini perlu menyediakan baju penahan sejuk kerana di puncak Gunung Ayam kadang kalanya terlalu sejuk disebabkan puncak ini berangin terutama bila hari hujan.

Pemandangan di gunung ini berlainan dari Gunung Stong, oleh kerana ianya lebih tinggi maka tumbuhan dan suasananya agak berlainan. Di puncaknya laksana taman yang dipenuhi oleh pokok-pokok renek (bonzai) dan berlumut. Pokok Orkid liar juga boleh didapati di sini dengan berbagai jenis dan warna. Amat cantik, ditambah pula sesuasananya pada waktu pagi dan petangnya dipenuhi kabus yang putih.

Di sepanjang laluan ke puncak ini kita boleh dapati bermacam-macam pokok herba seperti Kacik Fatimah, Tongkat Ali dan juga akar Cawat Pangan. Saya juga pada satu pendakian ke puncak gunung ini telah menjumpai Kulat Susu Rimau. Walau bagaimana pun sekira anda ke sana janganlah diusik serta merusakkan alam semula jadi. Simpanlah untuk tatapan anak cucu kita di kemudian hari.

Dari segi ancaman pula, di sini ada kalanya kumpulan gajah berkeliaran mencari makan. Laluan ke puncak ini adalah juga merupakan laluan gajah menjelajah kompleks pergunungan ini. Sekawan Harimau juga ada di kawasan ini. Di masa membiak, ada juga kelamin harimau yang membawa anak. Badak juga ada terdapat di kawasan ini. Walau pun binatang-binatang ini ada menghuni di kawasan ini, tidak pernah lagi menyerang manusia. Kita cuma perlu berhati-hati.

Di puncak gunung ini juga di katakan agak keras. Tidak boleh berperangai melulu. Saya sendiri pernah mendengar orang azan subuh dan di masa yang lain pula saya pernah dengar orang mengaji Qur'an sebelum waktu subuh. Makhluk apa, wallahu aklam, mungkin juga Bunian.

Saya pernah pada satu masa yang lain membawa pelajar sekolah bergabung dengan ahli Persatuan Belia tidak dapat turun dari puncak ini kerana tidak jumpa jalan turun. Sehinggalah saya terpaksa memanggil dan berjumpa dengan makhluk di sini dan memintanya menunjukkan jalan untuk turun. Rupa-rupanya pada malam tadi ada beberapa orang dari persatuan belia yang berkelakuan tidak senonoh dan cakap takbur. Jadi saya minta maaf bagi pihak mereka kerana saya yang mengepalai mereka. Barulah kami jumpa jalan dan dapat turun dari puncak itu.

Bersambung pada bahagian Gunung Rabung -

Wednesday, April 9, 2008

Kembara Aprisiasi Alam

KELAB SUKAN DAN KEBAJIKAN LEMBAGA TEMBAKAU NEGARA (KSKLTN) dengan kerjasama PERSATUAN SUKAN MENDAKI DAN KEGIATAN LUAR NEGERI KELANTAN (KESCOP) akan mengadakan program Kembara Aprisiasi Alam ke Puncak Gunung Tebu, Besut, Terengganu selama 2 hari 1 malam pada 1 dan 2 Mei 2008 (hari Khamis dan Jumaat).

Sesiapa yang berminat untuk mengikuti program di atas, sila hubungi

En. Mohd. Nordin Abdullah
email. mnordin@ltn.gov.my
Tel: 0129654571
097652933 (P)

atau

En. Fakhruddin Yusoff
email : fakruddin@ltn.gov.my atau fakhruddin_yusoff@yahoo.com
Tel: 0199391355
097652933 (P)

Yuran Penyertaan : RM50.00 termasuk Bekalan Makanan, Peralatan Umum dan Insuran Kemalangan.

Senarai Peralatan Peribadi sila rujuk kepada tajuk Peralatan Mendaki dan Trekking di bawah.

Jadual Perjalanan adalah sebagaimana di bawah :

Hari Pertama 1 Mei 2008

07:30 Bertolak dari Pejabat LTN di Kota Bharu ke Lata Belatan, Jabi, Besut
09:00 Taklimat Akhir di Lata Belatan
09:30 Trekiking ke Batu Tok Mat Hassan
12:00 Makan Tengahari di Batu Tok Mat Hassan
13:00 Mendaki ke Puncak Gunung Tebu
15:30 Dijangka sampai ke puncak dan bermalam

Hari Kedua 2 Mei 2008

07:30 Sarapan Pagi
08:30 Jelajah Puncak Gunung Tebu
12:00 Makan Tengahari
14:00 bertolak turun
17:00 dijangka tiba di Lata Belatan
18:00 bertolak pulang

Peralatan Dan Bekalan Mendaki

Aktiviti Mendaki dan trekking memerlukan peralatan yang khusus untuk perlindungan, keselamatan dan keselesaan sepanjang menjalankan aktiviti. Peralatan-peralatan asas yang mudah dibawa, tahan lasak, ringan perlu disediakan untuk menjalankan aktiviti sebegini. Bagi Bekalan Makanan/ration pula hendaklah disediakan untuk dibawa dari jenis yang ringan, ringkas, senang dimasak dan tidak tumpah.

Ringkasnya adalah seperti di bawah :

Peralatan :

1. Beg Galas - Ringan dan Lasak
2. Khemah 2men tent/Poncho
3. Messtin/periuk kecil
4. Cawan Plastik
5. Sudu
6. Alat memasak - Dapur gas kecil/bunsen burner/solid fuel
7. Botol Air (bukan kaca)
8. Pisau kecil
9. Alas tidur/Sleeping mate
10. Selimut/Sleeping bag
11. Lampu
12. Lampu Suluh
13. Wisel
14. Tali untuk ikatan
15. Mancis
16. Lilin (untuk masa kecemasan)

Pakaian ;

1. Kasut Trekking/Kasut Jogging - hendaklah lembut dan berkusyen
2. Stoking Kapas
3. Seluar Trek atau Seluar yang sesuai (bukan jeans)
4. Baju - seeloknya T-Shirt berlengan panjang tetapi nipis
5. Topi yang sesuai
6. Pakaian Basahan - mandi
7. Tuala - Kecil dan Nipis
8. Pakaian dalam secukupnya
9. Pakaian Tidur
10. Baju Penahan Sejuk/windbreaker
11. Pakaian Sembahyang (bagi Muslim)
12. Sleeper Jepun atau yang sesuai untuk basahan

Bekalan Makanan :

1. Beras - 80g./orang/sekali makan
2. Gula - 15g./gelas air
3. Minuman - Kopi/Tea/Milo/susu tepung dsb.
4. Lauk jenis kering
5. Sardin (tin kecil) dan Sayur - untuk berkuah
6. Garam
7. Jem/Kaya
8. Biskut/Roti Tahan Lama
9. Glukos - kalau perlu

Perubatan :

Kotak Pertolongan Cemas selengkapnya




Monday, April 7, 2008

Maklumat Gunung-Gunung Di Kelantan


Separuh dari Negeri Kelantan adalah terdiri dari tanah Delta atau lembah. Disebabkan keadaan mukabuminya sebegini tidaklah banyak gunung atau tanah tinggi untuk didaki oleh penggemar rekreasi dan penggemar Alam Semula Jadi. Kalau ada pun hanya di bahagian Ulu Kelantan dan agak jauh dari bandar Kota Bharu dan tidaklah tinggi sangat bagi pencinta gunung.

Gunung-gunung yang agak popular di sini adalah Gunung Stong, Gunung Ayam dan Gunung Rabung. Laluan meredah hutan pula adalah dari Bukit Bakar ke Jeram Linang.

Bagaimana pun Gunung Rabung telah pun mengalami penerokaan balak begitu juga dengan laluan redah hutan Bukit Bakar - Jeram Linang. Banyak pemandangan yang tidak menyeronokkan di kedua-dua tempat ini. Kita akan bincangkan tentang lokasi dan apa yang ditawarkan oleh tempat-tempat dan kawasan-kawasan di atas kepada para penggemar rekreasi dan juga apakah hidangan yang menyakitkan hati dan mata sesiapa saja yang menjadi Pencinta Alam.

1. Gunung Stong

Terletak di Kompleks Stong, di Kampung Jelawang, di dalam Daerah Jeli, Kelantan. Ketinggian gunung ini adalah 4,224 kaki dari aras laut. Mempunyai puncak yang agak sempit daripada bongkah seketul batu. Mempunyai pemandangan yang menarik dari satu cerun yang menghijau dan bayu yang dingin. Amat menyegarkan. Di kaki gunung ini terdapat satu Air Terjun yang cantik dikatakan tertinggi di Asia Tenggara.

Kampung Jelawang, jaraknya dari Kota Bharu ialah 160km melalui Pekan Pasir Mas, Pekan Rantau Panjang , Penglima Bayu dan seterusnya ke Pekan Jeli. Dari Pekan Jeli menghala ke Pekan Dabong. Kampung Jelawang terletak di jalan Jeli - Dabong tetapi lebih kurang 5 - 6km sebelum Pekan Dabong. Kalau dengan kereta api dari Kuala Lumpur atau selatan boleh terus ke Pekan Dabong dan dari Pekan Dabong ke Kampong Jelawang boleh menumpang van yang disewakan sebagai teksi.

Keadaan flora dan faunanya masih lagi kurang terusik dengan pelbagai jenis dan spesis. Amat baik untuk sesiapa yang suka mengkaji dan menikmati kecantikan dan keunikannya.

Disebabkan puncaknya yang sempit dan tidak ada punca air, puncak gunung ini tidak sesuai untuk berkhemah dan bermalam. Keadaan angin juga kadang-kadang agak kencang dan merbahaya untuk berkhemah.

Treking dari Kampong Jelawang iaitu di kaki Gunung Stong ke Puncak Stong memakan masa selama lebih kurang 5 jam ke 6 jam dengan meyusur air terjun dan seterusnya ke Kem Baha, Jelawang Jungle yang terletak di permulaan bahagian atas air terjun.

Boleh bermalam di sini sekiranya mahu. Di sini terdapat anak sungai dengan airnya yang sejuk dan menyegarkan. Sungai inilah yang menerjah ke bawah menjadikan air terjun. Pemandangan dari sini juga amat menarik terutama di awal pagi ketika matahari sedang naik. Perjalanan dari kaki gunung ke sini memakan masa lebih kurang satu setengah jam ke dua jam setengah bergantung kepada ketahanan dan kelajuan trekkers.

Perjalanan dari kaki gunung ini menyusur air terjun dengan meniti di atas batu yang terhakis dek air agak licin dan ada kalanya curam, Trekkers perlu berhati-hati. Untuk melepasi tempat ini, perjalanan agak lambat dengan jarak lebih kurang lapan ratus meter. Dari batu-batu ini trekkers akan memanjat ke trek bahagian atas yang agak curam menuju ke Jelawang Jungle. Trek ini mencanak serta licin kalau berlaku hujan atau selepas hujan. Punca air terakhir pula adalah air terjun tadi. Jadi pastikan botol keperluan air diisi di situ.

Satu lagi lokasi perkhemahan adalah di Gua Stong atau ada orang panggil Gua Lahat. Panggilan Gua Lahat mungkin kerana gua ini berbentuk Liang Lahat. Di tepi gua ini terdapat anak sungai yang mengalir dari hulu melalui atas batu-batu yang menghampar dan amat manarik. Sungai inilah satu-satunya punca air untuk digunakan dan mandi manda. Gua ini agak sempit hanya boleh memuatkan sekadar 10 ke 15 orang saja. Jadi kalau lebih ramai terpaksa sediakan khemah. Perjalanan dari Jelawang Jungle ke gua ini mengambil masa lebih kurang 2 jam bergantung kepada ketahan dan kepantasan trekkers.

Perjalanan dari gua ini ke Puncak Stong pula hanya memakan masa satu ke satu jam setengah saja. Jadi Trekkers boleh merancang masa untuk berada di puncak dan berehat di dalam gua. Saya selalu gunakan gua ini untuk berehat sehingga dua malam. Gua ini nyaman dan sejuk ditambahkan pula dengan punca air yang bersih dan cukup hampir dengan gua yang dihuni.

Di sepanjang perjalanan di trek dan di lokasi perkhemahan, pemandangan yang menyakitkan mata dan hati adalah sampah yang tidak terurus dan selalunya dibuang bersepah. Kadang kala masih lagi baru dan berbau busuk.


- akan bersambung bab Gunung Ayam


Sunday, April 6, 2008

Sedikit catatan perjalanan

Selesai Pilihan raya ke 12 pada 8 Mac 2008, setelah sedikit sebanyak bekerja menolong seorang kawan yang bertanding tetapi kalah, saya merancang percutian dengan isteri ke Perak dan Penang melawat Ibu Mertua Saedah Pandak Ahmad di Ipoh, melawat anak sulung kami Lt.(N) Fakhron Diyana (Jurutera) di Kem TLDM Lumut dan juga anak kedua kami Fakhron Elliyana di UiTM Permatang Pauh juga sedang belajar di dalam jurusan Kejuruteraan Makanikal.

Kami bertolak dari Kota Bharu jam 11.40 pagi 27 Mac 2008 ke Ipoh. Saya memilih laluan altanatif dari Kota Bharu melalui Rantau Panjang - Penglima Bayu dan ke Jeli. Seterusnya ke Grik melalui Jalan Raya Timur-Barat untuk ke Ipoh. Di sepanjang laluan dari Kota Bharu ke Pasir Mas seterusnya ke Rantau Panjang dan Jeli masih lagi berserabut dengan poster pilihan raya milik parti-parti yang bertanding yang sepatutnya telah dibersihkan. Walau pun sudah lebih dua minggu Pilihan raya tamat, segala poster masih tidak dibersihkan. Mungkin parti yang kalah masih bersedih dan berduka dengan kekalahan dan parti yang menang pula masih bergembira dan berseronok dengan kemenangan, wallahu aklam.

Sepanjang laluan dari Kota Bharu ke Grik jalan raya yang berlopak dan berlubang akibat hujan lebat dan banjir telah dibaiki dan sudah licin bertar baru. Inilah agaknya hikmah Pilihan raya. Segala infra struktur dibaiki dan dibuat baru. Pemanduan menyeronokkan. Kami singgah makan tengahari di Tasik Raban berlaukkan ikan sungai dan masakan kampung, sedap sungguh!

Kami tiba di Ipoh jam 4.00 petang. Terus ke rumah Ibu Mertua di Kampong Manjoi, Ipoh untuk bermalam. Di kampong ini saya dapati ramai penduduknya penyokong PAS dan PKR. Mereka masih lagi seronok menyambut kemengan PKR,DAP dan PAS menawan Negeri Perak daripada Kerajaan Barisan Nasional. Sembahyang Hajat dan Kenduri Kesyukuran berlangsung di banyak tempat di sini sama ada di Madrasah atau di rumah-rumah individu yang menjadi Ketua masyarakat setempat. Yang menariknya saya dapati sepanjang perjalanan dari Grik ke Ipoh, semua poster telah dibersihkan. Nampaknya Orang-Orang Perak lebih prihatin tentang kebersihan daripada Orang-Orang Kelantan. Walau pun mereka seronok dengan kemenangan tetapi tanggung jawab menjaga kebersihan mereka tidak abaikan. Tahniah Orang-Orang Perak!

Pagi 28 Mac 2008 jam 11.00 kami bertolak ke Lumut untuk menziarahi Kak Long (Lt. (N) Fakhron Diyana yang akan belayar ke Malaysia Timur pada 4 April 2008 selama 4 bulan. Kami makan tengahari bersama di sebuah restoran makanan laut. tidaklah sedap sangat, tapi bolehlah!. Di sini juga sudah bersih dari poster. Pengunjung dan Pelancung juga tetap sibuk macam sebelumknya. Ada yang sibuk memilih hasil laut yang dikeringkan di Gerai-Gerai dan ramai juga yang sedang menuggu feri atau boat untuk ke Pulau Pangkor. Tidak ketinggalan kami pun punggah juga hasil laut yang dikeringkan untuk dibawa balik ke Kota Bharu.

Saya sempat juga bertanya tentang perasaan dan tanggapan orang-orang di sini tentang kemenangan PKR, DAP dan PAS di Negeri Perak. Rata-rata mereka merasa lega sebab dengan kekalahan BN, harga minyak tidak akan dinaikan dan dengan kemenangan PKR, DAP dan PAS, mereka mudah-mudahan tidak akan dibebankan dengan kenaikan cukai untuk perkhidmatan Majlis Perbandaran/Majlis Daerah berdasarkan janji PKR,DAP dan PAS mengutamakan kebajikan rakyat.

Dari segi pelancungan juga tidak terjejas. Para Pelancung tidak peduli siapa saja yang memerintah, mereka hanya ingin bersenang-senang dan melancung. Mereka yang gemarkan pantai dan laut, mereka tetap akan berkujung ke sini. Jadi punca pendapat penduduk setempat tidak akan terjejas.

Malam ini kami bermalam di Manjoi lagi. Selepas makan malam Kakak Ipar dan Biras datang untuk bersembang dan tanya khabar. Saya tanya pendapat mereka tentang kemenangan PKR, DAP dan PAS di Perak. Mereka juga gembira dan pendapat mereka sama dengan orang-orang di Lumut dan Pulau Pangkor.

Esoknya 29 Mac 2008, jam 11.00 pagi kami bertolak ke UiTM Permatang Pauh, Pulau Pinang menziarahi Adik (Fakhron Elliyana) yang menyewa aparment. Kami bermalam di Hotel UiTM. Nampaknya pengunjung ke Penang juga tidak terjejas. Hotel UiTM juga penuh. Pada awalnya kami nak tempah Bilik Famili tetapi diberitahu bilik berkenaan telah penuh, jadi kami bermalamlah di bilik standard saja.

Malamnya kami berkunjung ke Pasar Malam Batu Feringgi. Pasar Malam ini juga penuh dengan pelancung asing dan pengunjung tempatan. Maknanya dari segi kehidupan masyarakat setempat juga tidak terjejas dengan kekalahan BN kepada DAP dan PKR. Cuma bagi mereka yang saya tanya apakah harapan mereka kepada kerajaan baru Pulau Pinang? Jawab mereka dengan ringkas, "Kami mahukan apa yang telah dijanjikan kerajaan baru kepada kami" Memang banyak yang dijanjikan oleh DAP dan PKR kepada penduduk Pulau Pinang. Kalau tak tertunai, "nanyalah" jawabnya. Orang Pulau Pinang bukannya taksub kepada perti seperti Orang Kelantan.

Esoknya 30 Mac 2008 jam 2.00 petang kami bertolak balik ke Kota Bharu.