Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Showing posts with label Beast Encountered. Show all posts
Showing posts with label Beast Encountered. Show all posts

Sunday, February 16, 2014

Menyayat hati: Kanak-kanak maut, ibu parah diserang gajah liar

MI - FEBRUARY 15, 2014
Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun maut manakala ibunya cedera parah selepas diserang seekor gajah liar di sebuah kebun getah di Bukit Perawas, Ayer Lanas di Jeli, pagi ini.
Ketua Polis Daerah Jeli, DSP Sheik Azhar Sheik Omar berkata dalam kejadian 10 pagi itu, Wan Aidid Nasrullah Wan Mahmud yang berada dalam raga motosikal, maut selepas tercampak keluar selepas motosikal dirempuh gajah liar itu.
"Kanak-kanak itu berada dalam raga motosikal menunggu ibu bapanya yang sedang menoreh getah, gajah itu dilaporkan menyerang ibu mangsa terlebih dahulu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata penduduk kampung kemudiannya membawa kedua-dua beranak itu ke Hospital Jeli namun kanak-kanak itu dilaporkan meninggal dunia dalam perjalanan.Ibu mangsa, Rezamawati Che Mat, 37, mengalami kecederaan parah di bahagian kaki dan badan, manakala bapa mangsa, Wan Mahmud Wan Omar, 33, yang berada berhampiran bagaimanapun terselamat sebelum gajah berkenaan beredar dari tempat kejadian.
Beliau berkata pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) telah berjaya mengesan gajah terbabit dan sedang berusaha menangkap dan memindahkan gajah berkenaan.
Sementara itu Rezamawati yang ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Perawas berkata ketika kejadian itu dia dan suaminya sedang menoreh getah manakala anak bongsu daripada lima beradik itu berada di dalam raga motosikal.
"Tiba-tiba datang seekor gajah menyerang saya dahulu dan kemudiannya saya rebah sebelum gajah itu memijak belakang badan dan bahagian kaki kanan saya sehingga patah," katanya.
Beliau berkata gajah berkenaan kemudian merempuh motosikal sehingga anaknya tercampak dan tidak sedarkan diri.
"Saya dan suami hanya mampu melaungkan kalimah Allahuakbar berulang kali sehingga gajah berkenaan beredar.
"Anak saya bagaimanapun gagal diselamatkan dan saya diberikan rawatan dan dibenarkan pulang ke rumah," katanya. - Bernama, 15 Februari, 2014.

Friday, October 11, 2013

Lanjutan Nasib 6 Beradik Yang Ditinggalkan

Siapa jaga enam beradik?

Thursday, January 10, 2013

Mangsa Dibaham Harimau Bintang - Gambar

Mengikut maklumat ianya berlaku kepada sebuah suku di pedalaman Brazil
 
 
 
 
 

Friday, May 4, 2012

Harimau Pun Menerima Amanah/Wasiat ke?

'Harimau' adalah perkataan atau panggilan yang menjadi 'taboo' bagi kebanyakan orang tetapi tidak bagi saya ketika di hutan, bukit atau gunung. pada saya perkataan itu adalah nama yang kita (manusia melayu) berikan untuk panggilan. Maka kita perlu hormatinya.


Harimau bukan asing bagi saya ketika jungle trekking atau mendaki gunung. Selalu saja bertembung, mengikut jejak atau dijejak. Kekadang itu, haiwan ini seolah mendengar kata atau ikut perintah. Ada satu malam tu, kami trekking malam dan harimau menuggu kami serta menunjukkan Buah Salak hutan yang sedang masak!


Keadaan ini menimbulkan kehairanan pada saya. Bila bertanya kawan-kawan yang mempunyai hobi yang sama dan sudah berpuluh tahun bergiat, jarang pula terjebak di dalam keadaan begitu.


Pada suatu petang saya berkunjung ke rumah abang sulung saya. Ketika bersembang, saya menceritakan apa yang saya tempuhi semasa di huta dan mendaki. Abang bertanya saya adakah yang selalu bertembung atau saya lihat itu harimau yang sama?


Saya kata manalah saya tahu. Takkanlah nak renung dan perhatikan harimau yang sama atau tidak. Kan harimau ni adalah haiwan yang menggerunkan?


Abang berkata mungkin itu adalah harimau dari keturunan harimau yang menjadi sahabat Arwah Datuk! Mendengar kata sahabat Arwah Datuk, saya terperanjat dan di hati tertanya-tanya. Adakah Arwah Datuk bersahabat dengan harimau?


Saya bertanya adakah Arwah Datuk kami bersahabat dengan harimau dan bagaimana Datuk boleh menjalin persahabatan dengan harimau?


Mengikut Abang, Datuk mengamalkan Ilmu Harimau dan untuk penamat (khatam) amalan tersebut disyaratkan Pengamalnya bertarung dengan harimau. Kalau menang pertarungan itu maka harimau itu akan menjadi sahabat.


Arwah Datuk telah menang pertarungan itu dan harimau itu menjadi sahabatnya melindungi Datuk bila diperlukan.


Saya bertanyua Abang sama ada harimau itu harimau jadian (Jin) atau harimau betul? Abang kata harimau betul dan mungkin yang selalu bertembung dan mengekori saya itu adalaj keturunan harimau sahabat Datuk yang dipesankan untuk menjaga keturunan Datuk yang terpilih pula!


Saya ingatkan harimau itu sama seperti yang dikatakan dibela oleh orang-orang keturunan Rawa di Perak dan mewarisinya melalui susur galur keturunan.


Abang kata di kalangan adik beradik kami, sayalah yang paling berani sejak kanak-kanak lagi. Dan mungkin sebab itulah saya yang menjadi pilihan!


Hakikatnya saya tidak sedar pun yang saya dikatakan berani sebab saya pun ada perasaan takut juga. Macam orang lain.


Patutlah selama ini anak-anak saya (Along dan Adik) tidak takut di hutan atau gunung. Bila saya tanya kenapa tak takut? Mereka jawab "Kan Papa ada 'Body Guard'!"


Barulah saya fahan dan mengerti apa yang dimaksudkan 'Body Guard' oleh Along dan Adik.

Wednesday, December 1, 2010

"Harimau Belang besar!"

Kami berlima bertolak turun dari Kem Taman tempat kami bermalam malam tadi pada jam enam petang setelah waktu tengaharinya kami habiskan bersantai di puncak Gunung Rabong. Kami merentasi Taman Bunian tanpa masalah cuma kadang kala jatuh tersadung akar yang timbul di permukaan tanah. Jatuh adalah biasa bagi kami bila berjalan dalam keadaan yang licin dengan laju.

Kami tiba di rusuk Bukit Sarsi melalui Jalan Balak Lama yang dipenuhi Pokok Resam tua yang tingginya melepasi kepala serta banyak yang sudah mati. Di masa ini saya yang mengepalai jalan dengan jarak lebih kurang 20 meter dari orang kedua dan seterusnya. Bila saya menghampiri satu lurah yang terbentuk oleh hakisan lama, dan di sini Pokok Resam paling tebal dan tinggi. Saya hanya meredah (tidak menebas) dengan memijak dan menyelinap di celah-celahnya dengan bunyi derap yang agak kuat.

Saya terperasan ada mendengar bunyi derap yang lemah seolah sesuatu berjalan di dalam keadaan mengendap atau berhati-hati. Saya terus melangkah dengan tidak mempedulikan bunyi itu. Setibanya saya di satu tempat yang di sebelah kiri saya bertebing tinggi dan tebing di sebelah kanan saya pula lebih rendah. Di sini ada kesan tanah bibir bukit yang sodok mungkin untuk laluan San Tai Wong memunggah balak membentuk lorong yang dalam dan berbatu.

Tiba-tiba saya mendengar satu derapan kuat dan satu lembaga melayang di atas kepala saya. Bila saya tongak rupanya yang melayang itu ada Harimau yang melompat dari tebing kiri saya yang tinggi itu ke tebing di sebelah kanan saya yang lebih rendah dan menghilang di dalam semak. Mungkin Harimau ini terkejut dengan kehadiran saya dengan bunyi derapan yang keras saya memijak Pokok Resam dan terus melompat. Semasa melayang di atas kepala saya itu saya agak panjangnya melebihi dua depa saya.

Saya terus memberikan isyarat supaya orang di belakang saya berhenti dengan gaya Polis Trafik menahan kenderaan. Tapi apa yang berlaku sebaliknya. Mereka berlari menyerbu saya dengan soalan "Apa dia Din". Jadi untuk membuatkan mereka beredar dengan cepat saya terpaksa menjawab "Harimau Belang besar!". Barulah masing berlari macam berlumba ke hujung lorong dan mendaki untuk melepasi Bukit Sarsi. Selepas itu sehinggalah kami tiba di Kem Sungai Milo tanpa apa-apa halangan.

Setiba di rumah, saya ke rumah Abang Sulung saya dan saya ceritakan yang saya rasakan ada sesuatu keanihan bila saya terlalu kerap terserempak Harimau semasa di Hutan atau Gunung. Apa yang saya tahu geng-geng Pendaki lain tidak pula kerap terserempak dengan Sang Belang.

Abang ceritakan yang Arwah Datuk kami ada mengamalkan Ilmu Penunduk Harimau. Untuk menjadikan Ilmu itu mujarab, Arwah Datuk terpaksa berhadapan dan bertarung mengalahkan Harimau. Lepas itu barulah Harimau akan tunduk kepadanya. Jadi kata Abang mungkin Ilmu itu turun kepada saya tanpa saya tahu sebab Datuk meninggal semasa saya berumur empat atau lima tahun. Saya merupakan Cucu kesayangannya.

Wednesday, November 10, 2010

Benarkah Binatang Buas Faham Cakap?

"Awak semua sudah taukan macam mana jalan di depan kita. Curam dan licin. Jadi jangan gopoh-gapah dan berjalan dengan hati-hati di dalam hanya satu barisan" Saya berikan peringatan kepada semua peserta.

Saya bersama 25 orang peserta mendaki sedang menuruni puncak Gunung Ayam untuk ke Gua Lahad, Stong. Keadaan trek memang licin di sebabkan hujan malam tadi. Perjalanan agak bahaya kerana treknya juga agak curam dan terdapat banyak pokok rotan. Pada masa ini saya yang menjadi trekker dan berada dalam jarak 20 meter dari peserta pertama.

Sebagai trekker saya kena pastikan kumpulan ini berada di trek yang betul, keadaan yang pasti selamat dari ancaman dan bahaya kepada peserta. Jadi saya akan berada di dalam jarak tertentu dari peserta untuk pastikan keadaan dan suasana.

Di satu kawasan yang agak mendatar lebih kurang 200 meter dari anak sungai kecil tempat yang sepatutnya kami berehat, saya ternampak sesuatu melompat dengan pantas dan hilang di sebalik sebatang balak besar yang tumbang membujur trek. Saya berlari untuk meninjau binatang atau apakah yang begitu pantas menghilang.

Sesampai di tempat itu saya berhenti dan meninjau dan menjenguk-jenguk di belakang batang balak yang sudah dipenuhi semak. Tiba-tiba saya mendengar satu ngauman lemah (bukan mengancam). Rupanya banyangan yang saya nampak tadi adalah seekur Harimau Belang yang mungkin terkejut dengan kehadiran saya dan bising peserta di belakang. Lantas melompat menyembunyikan diri di sebalik batang balak tumbang yang besar itu.

"Oh.. engkau rupanya" dengan spontan saya bersuara. Dengan jiwa yang agak gentar saya menyambung "Kau jangan keluar, ramai lagi anak buah aku sedang turun di belakang. Nanti mereka takut"

Dalam keadaan berani-takut saya berdiri di bahagian pangkal batang balak tersebut sambil menunggu semua peserta lepas turun. Sebenarnya saya tidak ada pilihan. Saya terpaksa berhenti dan tunggu di situ untuk pastikan semua peserta selamat turun.

"Eh, bau apa busuk sangat nih!, macam bau belacan ajer. Sape yang bawa?" Salah seorang peserta yang bermulut agak becuk bersuara bila tiba di tempat saya dan harimau di batang balak tersebut. Memang bau harimau memang busuk dari jarak dekat.

"Kamu jangan banyak cakap, turun jer cepat. Cakap banyak pula dia ni!" Tegur saya separuh jerkah. Peserta itu tanpa berkata apa-apa berlari turun dengan muka yang hairan memandang saya yang masih berdiri di situ.

Bila saya pasti yang semua peserta sudah lepas turun dalam jarak yang selamat saya pun berkata "Ok, kau boleh bangun dan pergi. Semua anak buah aku sudah lepas"

Sejurus selepas saya berkata begitu, saya nampak Harimau itu bangun dengan perhalan dan melompat ke arah semak yang agak tebal dan rumpun buluh yang padat. Harimau itu terus menghilang. Saya pun teruskan perjalanan ke anak sungai tempat semua peserta diarahkan mengambil rehat dan minum.

Setibanya di situ, peserta yang saya marah tadi bertanya "Kenapa tadi Abang Din marah dan arahkan saya berjalan cepat?"

"Kamu tak tahu di belakang balak di hadapat aku tadi ada Harimau bersembunyi. Bau belacan yang kau kata tadi adalah bau mulut harimau. Aku terpaksa tunggu di situ untuk pastikan kamu semua selamat turun. Kamu pula cakap banyak!" Saya menjawab dengan selamba supaya mereka tidak cemas.

Dengan muka pucat dia berkata "Nasib baik saya tak tahu, kalau tidak terkencing saya"

"Hah.. kau tak payah kencing, bala sudah lepas. Lain kali jangan cakap banyak bila terima arahan" Saya menyindir.

Saya terfikir adakah benar orang tua-tua kata Harimau dan Gajah faham cakap manusia. Atau adakah kerana kebetulan harimau tadi itu takut kerana kami ramai dan berlindung di situ.

Tuesday, October 21, 2008

Bertembung Gajah Di Tasik Kenyir

Pada suatu masa saya telah diminta oleh Jabatan Belia Dan Sukan Kelantan untuk mengendalikan satu kem bagi Kursus Penggerak Rekreasi Negeri di Tasik Kenyir yang melibatkan 20 orang peserta yang mewakili daerah masing-masing. Kursus ini adalah dikhaskan untuk lepasan Level I, Rekreasi. Ini bermakna semua peserta sudah ada pengalaman di bidang ini.

Seorang Pegawai Sukan di Jabatan Belia Dan sukan Kelantan, 2 oarang dari Jabatan Perhilitan Dan Taman Negara, 2 orang dari Jabatan Perikanan dan saya sendiri membawa 2 orang pembantu bersama mengendalikan kem berkenaan. Saya adalah Ketua Fasilitator dan Ahmad dari Pejabat Polis Kontingen Kelantan sebagai Kem Komandan. Saya juga bawa isteri dan seorang anak buah untuk memberi mereka bersama makan angin. Kursus ini dijadualkan selama lima hari dengan modul aktiviti darat, air dan teknikal - pengendalian tali.

Kami pilih Sungai Cancing sebagai tapak kem kira-kira lima jam dengan boat dari Pengkalan TNB di Tasik Kenyir, Ulu Terengganu. Agak Jauh dan terpencil.

Pada petang hari ke dua saya adakan program trekking dan mendaki. Saya mengepalai semua peserta mendaki sebuah bukit yang agak tinggi. Setelah bersusah payah meredah rimba dan semak kami sampai di puncak bukit itu. Dari puncak ini kami dijadualkan turun di sebelah sana dan seterusnya membawa peserta meredah hutan dalam jarak perjalanan 8km. Jangkaan kami akan tiba kembali ke kem sebelum jam 10.00 malam.

Apabila kami semua sedang menuruni bukit tadi, kami terserempak dengan sekawan gajah liar. Tidak silap saya 8 ekor dengan 3 ekor anak. Kawanan gajah ini dikepalai oleh seekor gajah jantan yang besar berwarna perang. Kawanan gajah ini sedang mendaki dan kami sedang menuruni bukit. Dalam jarak 30 meter dari gajah saya arahkan peserta berhenti dan saya bersuara kepada gajah jantan yang menjadi kepala kawanan gajah tadi " Hai gajah, kamu ke tepi dulu bagi laluan aku nak turun" . Gajah itu buat dek aje, dan saya bertempik dengan kuat mengulangi apa yang saya kata tadi. Gajah jantan tadi mendongak dan memandang saya dengan mata yang garang. Apabila saya tidak berganjak, gajah itu menunjukkan tingkah laku yang marah dengan merenung dengan tajam, mengangkat belalai tegak ke atas dan mengibaskan kedua-dua telinganya yang besar. Saya faham gajah itu sudah marah. Mungkin dirasakan saya mengancam anak-anaknya.

Saya toleh ke belakang dan berkata kepada Mad "Kita undur dulu, perlahan!". Bila saya sebut undur dulu, semua peserta bertempiaran lari dalam ketakutan tanpa menghiraukan pesanan saya supaya bertenang. Bila dah kelam kabut, gajah tadi meluru naik. Saya mengelak ke laluan lain dan kembali ke kem. Sayalah yang terkemudian sekali berundur selepas Mad.

Setiba di kem saya kira semua peserta dan didapati 2 orang sudah hilang. Yang lain semuanya selamat. Terpaksalah saya dan Mad keluar mencari sebelum hari gelap. Kami jumpa kedua-dua orang peserta tadi di sebelah bukit di seberang trek yang kami daki tadi. Mereka sudah salah laluan dan gagal mencari jalan pulang ke kem. Nasib baik mereka duduk dan menunggu bantuan tiba. Memang saya berikan arahan sebelum trekking, sesiapa yang tersesat jangan teruskan perjalanan sebaliknya tunggu di situ sehingga bantuan tiba. Itulah peristiwa yang agak merunsingkan saya kerana yang terlibat adalah peserta kursus dan keselamatan mereka adalah di bawah tanggung jawab saya dan Mad.

Sebenarnya gajah adalah binatang yang lemah lembut walau pun besar dan nampak ganas. Hidup berkumpulan dan biasanya yang jantan menjadi pelindung kepada kawanan. Bila tidur anak-anak gajah akan tidur di tengah-tengah dengan gajah dewasa akan tidur di sekeliling anak anak gajah tadi untuk melindungi sikecil dari sebarang ancaman. Boleh dikatakan hidup gajah adalah dalam satu keluarga yang erat dan saling melindungi.

Gajah makan umbut dan pucuk kayu. Rebung dan buluh muda adalah makanan lazim baginya. Satu lagi yang gajah amat gemar ialah garam. Tidak kira garam bukit atau garam di dapur kita. Kalau di belantara ada "salt lick". Biasanya gajah akan mengembara di dalam belantara untuk mencari makanan. Maknanya hidup gajah adalah nomad tetapi mempunyai territory yang kusus. Gajah menjelajah bukit ke bukit, gunung ke gunung, belantara ke belantara melalui trek yang sama berulang-ulang. Biasanya selepas 2 atau 3 bulan mereka akan kembali lagi ke tempat yang sudah mereka tinggalkan setelah makanan di situ habis sebelumnya. Maknanya perjalanan kita akan selamat sekiranya kita menemui najis gajah yang baru tetapi jika najis yang kita temui itu sudah berkulat atau berlumut (najis lama) maka kita perlu berhati-hati kerana kemungkinan besar kita akan bertembung dengan si tuan najis. Pusingan laluannya mungkin sudah tiba.

Gajah akan menyerang sekiranya dirasakan terancam. Atau keselematan kumpulannya terancam. Gajah tidak akan masuk kampung dan musnahkan tanaman sekiranya habitatnya tidak diganggu dan makanannya mencukupi. Bila habitatnya diganggu dan makanannya tidak mencukupi, gajah akan keluar ke ladang-ladang dan ada kemungkinan menceroboh rumah-rumah yang berdekatan dengan hutan. Kalau mereka menceroboh rumah, tempat utama yang mereka tuju adalah dapur. Gajah mencari garam dan abu di dapur!

Ingat, gajah adalah binatang cerdik. Sekali kena perangkap dia sudah tahu dan tidak akan kena lagi. Ladang yang berpagar letrik belum tentu selamat dari gajah. Sekali kena renjatan, gajah akan menumbangkan pokok ke atas pagar letrik tadi dan mereka akan meniti di atas batang kayu yang tumbang melepasi pagar letrik. Mereka meniti batang kayu itu bergilir-gilir sehingga semua ahli kawanan itu lepas.

Sekiranya diserang gajah, jangan panjat pokok. Kalau kita panjat pokok gajah akan menggoyang pokok tersebut. Sekiranya pokok itu gagal ditumbangkan, gajah akan tunggu. Cara yang terbaik ialah menyorok di lobang sempit pada batu yang besar yang gajah tidak terjangkau dengan belalainya. Walau pun gajah akan tunggu tetapi bila dia gagal dan lapar, gajah akan beredar.

Kalau kita hendak lari dengan berlari, kita hendaklah berlari mengelilingi bukit atau tanah tinggi. Tindakan ini akan melambatkan pergerakan gajah sebab masalah imbangan di tempat yang curam. Gajah akan lebih cepat dari kita sekiranya kita berlari secara terus sama ada mendaki bukit atau menuruni bukit. Maka kita tidak akan selamat.

Satu lagi, gajah adalah binatang pendendam. Kalau disakiti atau dikacau, gajah akan mencari sampai dapat kecuali kita sempat lari ke perkampungan. Gajah takut dengan bunyi bising. Untuk halau gajah hanyalah dengan cara buat bising atau letupan.

Tahi gajah boleh dicampur dengan air untuk dibuat penawar demam panas dengan melumurkan ke badan sementara mendapat rawatan doktor!

Tuesday, October 14, 2008

Harimau Tunjukkan Buah Salak Masak

Assalamu alaikum dan Salam Sejahtera buat semua sahabat maya.

Oleh kerana ramai yang ingin tahu pasal Harimau sejenis makhluk yang dikenali buas (bukan Tok Rimau yang pandai menaip) terutama Puan melayuangkat maka saya terpanggil untuk menceritakan sedikit tentang kisah harimau. Pertembungan saya dengan harimau sebenarnya sudah acap kali tetapi bukan di tempat yang sama.

Harimau tidak suka jumpa manusia:

Sebenarnya makhluk ini tidak suka berjumpa manusia dan akan mengelak dari berjumpa manusia. Dia boleh mengesan kehadiran manusia dengan bau/aroma manusia kerana harimau mempunyai deria bau yang kuat walau pun melalui angin. Itulah sebabnya penadaki atau penjelajah hutan amat jarang bertembung dengan harimau kecuali tiupan angin yang sehaluan dengan arah perjalannya. Itu pun sekiranya angin itu agak keras tiupannya. Jika di dalam keadaan biasa memang harimau mampu mengesan kehadiran manusia.

Tabiat Harimau:

Tabiat harimau sama macam kucing. Makan suka berebut dan tamak. Sekiranya terkejut, harimau akan melompat tangkas bersembunyi tetapi dia tidak akan lari jauh. Dia akan kembali mengintai apakah yang membuat dia terkejut tadi. Dengan mangsanya dia suka menunjuk kekuatan. Tengok pada kucing, kucing kalau dapat tangkap tikus dia tidak terus memakannya. Dia mempermainkan tikus itu hingga lembik terlebih dahulu dan akan menyeret mangsanya jauh dari tempat mangsa ditangkap sebelum memakanya. Begitu jugalah dengan harimau.

Kerana tabiat harimau begitu, sekiranya kita bertembung dengan harimau, harimau akan melompat bersembunyi dan di masa yang sama kita hendaklah cepat lari jauh dari tempat itu. Jangan panik. Kalau kita panik, kita tidak dapat lari dengan cepat bermakna kita lemah dan kita akan menjadi mangsa mainannya.

Sebab kita jadi mangsa:

Kita bukanlah mangsa sebenar bagi harimau. Kita adalah mangsa kebetulan. Memang dia tidak suka jumpa manusia tetapi pada situasi tertentu manusia juga akan menjadi mangsanya. Manusia menjadi mangsa harimau hanya sekiranya harimau berada di tiga situasi.

Pertama: Harimau tercedera atau sakit atau tua. Pada situasi ini harimau akan lemah dan lapar kerana tidak berdaya untuk berburu. Dia akan mencari mangsa yang lemah menjadi habuannya. Jikalau pada masa itu kita berada di tempat yang salah pada masa yang salah maka kitalah habuannaya kerana bagi harimau kita adalah mangsa yang lemah.

Kedua: Bila habitatnya diganggu dan dia tidak mendapat makanan. Bermakna dia lapar. Di situasi ini dia akan terasa terancam dan naluri mempertahankan hak. Mempertahan tempat/territory atau seekor ibu yang mempertahankan anaknya. Dia akan menjadi garang dan menyerang

Ketiga: Sekiranya dia terkejut dan terperangkap. Contohnya semasa dia terkejut, dia tidak ada ruang untuk lari. Dan itulah masanya kita akan menjadi mangsa.

Walau pun harimau cuba mengelak jumpa manusia tetapi saya sendiri mengalami dua peristiwa pelik. Pertama harimau mendengar kata sebagaiman saya ceritakan peristiwa di Gunung Ayam di dalam posting yang lalu dan yang keduanya di Bukit Bakar semasa saya treking pada malam hari dari Bukit Bakar, Machang ke Jeram Linang, Pasir Puteh. Kelantan.

Kumpulan kami memulakan trekking sudah lewat 5.00 petang. Pada waktu maghrib kami tiba di satu aliran kecil/anak air dan saya arahkan berhenti untuk solat dan memasak makan malam. Lebih kurang jam 9.00 malam kami meneruskan perjalanan. Lebih kurang satu jam lebih trekking kami sampai ke satu bukit. Pada masa itu saya minta Mad mengepalai perjalanan dan saya di belakang sekali. Sedang asyik berjalan dan melayan fikiran tiba-tiba saya terlanggar orang yang di hadapan saya. Rupanya semua orang berhenti mengejut. Saya tanya Mad apa halnya berhenti cara begitu. Dia cakap "Abe Din, ada barang di depan" Saya heran, barang apa pulak? Saya berlari ke hadapan mendapatkan Mad. Bila tiba di hadapan Mad, Mad menyuluh satu kesan yang saya tahu itu adalah kesan tapak harimau yang masih baru tetapi harimau tidak kelihatan. Agak besar juga, lebih kurang saiz piring kueh! Saya kata "Ooo harimau rupanya" Mad takut nak sebut "harimau".

Saya minta Mad pula berada di belakang sekali dan saya mengepalai dan meneruskan perjalanan. Dalam 5 minit berjalan saya terdengar cakaran harimau pada pasir dan daun kering. Saya arahkan berhenti sekejap. Lepas seketika kami terus berjalan. Sekejap lagi saya terdengar bunyi cakaran lagi. Begitulah seterunya berulang sampai 3 kali. Saya faham rupanya harimau itu menyuruh kami mengekorinya. Bila jauh sikit dari kami, harimau mencakar lagi. Kami berjalan sehingga sampai di puncak satu bukit yang dipenuhi pokok salak. Kami berhenti dan saya terbau bau buah salak masak, cukup harum. Saya suluh keliling, semuanya pokok salak. Saya suluh ke kaki saya, rupanya saya sudah terpijak setangkai salak yang memang sudah masak dan pecah. Rupannya buah yang pecah itulah yang menerbitkan bau harum itu. Salak Nangka.

Saya arahkan semua peserta meletak haversack masing-masing dan cari buah salak yang masak. Rupanya cukup banyak buah yang masak dan kami petik. Puas makan kami masukkan ke dalam beg untuk dibawa di perjalanan. Di masa ini cakaran harimau itu sudah tidak kedengaran lagi. Rupanya harimau itu memandu kami ke puncak bukit yang ada salak yang sudah masak. Harimau itu tunjukkan kami buah salak!

Ada lagi satu peristiwa yang dialami oleh arwah abang kedua saya. Satu masa dia tersesat di hutan semasa berburu. Arwah abang saya ini suka berburu. Dia berjalan sehingga hari malam tetapi masih tidak jumpa jalan keluar. Dia sudah putus asa sebab dia tidak bawa lampu suluh. Tiba di satu kawasan semak renek abang saya terdengar harimau mengaum lembut dan mencakar tanah. Abang saya cakap "Kalau kamu dari keturunan baik-baik, tolong hantar aku keluar" Tiba-tiba harimau itu mencakar dan abang saya ikut bunyi cakaran itu kerana tidak nampak apa-apa tanpa lampu. Sekejap sekejap bunyi cakaran demi cakaran dan abang saya terus ikut bunyi itu sehingglah keluar ke jalan raya yang menghubungkan bandar Machang dan Pasir Puteh. Bila abang saya sudah boleh keluar, dia kata kat harimau itu " Terima kasih, kau tunggulah esok petang aku akan bawa upah sepaha daging lembu untuk kamu" Selepas itu abang saya telefon kepada kawan untuk menjemputnya di tepi jalan itu.

Pada petang esoknya abang saya bawa sepaha daging lembu dan letakkan di tempat terakhir kesan tapak harimau kelihatan. Untuk pastikan harimau itu ambil atau tidak daging itu, lusa tu abang saya pergi ke tempat dia tinggalkan daging semalam dan dia dapati daging itu sudah tidak ada tetapi ada kesan harimau. Bermakna daging itu sudah diambil harimau.