PANDANGAN DAN PENDAPAT BERDASARKAN PENGALAMAN SENDIRI MENYOKONG YANG BENAR MENENTANG YANG SALAH DARI SUDUT PANDANGANKU
Pengumuman
Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)
Wednesday, April 16, 2008
Sambungan Gunung-Gunung di Negeri Kelantan
2. Gunung Ayam
Letaknya berjiran dengan Gunung Stong dan lebih tinggi sedikit dari Gunung Stong. Laluan trekking ke Gunung Ayam agak lebih mencabar dari Gunung Stong. Dari Kampong Jelawang para trekkers akan melalui laluan yang sama untuk ke Gunung Stong tetapi treknya akan berpisah sebelum tiba ke Gua Lahat ia itu gua tempat persinggahan sebelum ke Puncak Gunung Stong. Dari simpang tersebut trekkers akan mendaki satu bukit kecil dan menyeberangi satu anak sungai dan seterusnya mendaki tebing sungai berkenaan yang merupakan sebuah bukit yang agak tinggi. Dari situ laluannya agak sukar berbukit-bukit, agak lecak dan akan tiba di puncak Gunung Ayam dalam masa tiga atau empat jam (bergantung kepada kemampuan mendaki dan berjalan dengan beban beg galas)
Pengunjung boleh bermalam di puncak Gunung Ayam kerana ruangan untuk berkhemah agak luas dan punca air pula boleh didapati di kaki bukit kecil yang menjadi puncak gunung ini. Dinasihatkan kepada sesiapa yang ingin bermalam di puncak gunung ini perlu menyediakan baju penahan sejuk kerana di puncak Gunung Ayam kadang kalanya terlalu sejuk disebabkan puncak ini berangin terutama bila hari hujan.
Pemandangan di gunung ini berlainan dari Gunung Stong, oleh kerana ianya lebih tinggi maka tumbuhan dan suasananya agak berlainan. Di puncaknya laksana taman yang dipenuhi oleh pokok-pokok renek (bonzai) dan berlumut. Pokok Orkid liar juga boleh didapati di sini dengan berbagai jenis dan warna. Amat cantik, ditambah pula sesuasananya pada waktu pagi dan petangnya dipenuhi kabus yang putih.
Di sepanjang laluan ke puncak ini kita boleh dapati bermacam-macam pokok herba seperti Kacik Fatimah, Tongkat Ali dan juga akar Cawat Pangan. Saya juga pada satu pendakian ke puncak gunung ini telah menjumpai Kulat Susu Rimau. Walau bagaimana pun sekira anda ke sana janganlah diusik serta merusakkan alam semula jadi. Simpanlah untuk tatapan anak cucu kita di kemudian hari.
Dari segi ancaman pula, di sini ada kalanya kumpulan gajah berkeliaran mencari makan. Laluan ke puncak ini adalah juga merupakan laluan gajah menjelajah kompleks pergunungan ini. Sekawan Harimau juga ada di kawasan ini. Di masa membiak, ada juga kelamin harimau yang membawa anak. Badak juga ada terdapat di kawasan ini. Walau pun binatang-binatang ini ada menghuni di kawasan ini, tidak pernah lagi menyerang manusia. Kita cuma perlu berhati-hati.
Di puncak gunung ini juga di katakan agak keras. Tidak boleh berperangai melulu. Saya sendiri pernah mendengar orang azan subuh dan di masa yang lain pula saya pernah dengar orang mengaji Qur'an sebelum waktu subuh. Makhluk apa, wallahu aklam, mungkin juga Bunian.
Saya pernah pada satu masa yang lain membawa pelajar sekolah bergabung dengan ahli Persatuan Belia tidak dapat turun dari puncak ini kerana tidak jumpa jalan turun. Sehinggalah saya terpaksa memanggil dan berjumpa dengan makhluk di sini dan memintanya menunjukkan jalan untuk turun. Rupa-rupanya pada malam tadi ada beberapa orang dari persatuan belia yang berkelakuan tidak senonoh dan cakap takbur. Jadi saya minta maaf bagi pihak mereka kerana saya yang mengepalai mereka. Barulah kami jumpa jalan dan dapat turun dari puncak itu.
Bersambung pada bahagian Gunung Rabung -
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa