Pengumuman

Mulai esok (11 Julai 17) blog ini tidak akan diupdate Oleh kerana blog ini dan blog yang satu lagi mengandungi bahan yang sama, saya rasa adalah wajar untuk menghidupkan satu blog sahaja iaitu mountdweller88 untuk dilayari dengan mudah tanpa gangguan insya Allah Saudara/saudari persilakan ke - mountdweller88.blogspot.com

Wednesday, September 30, 2009

Ribut Luar Biasa Di KB

Lebih kurang jam 3.20 petang tadi saya ke AM Bank Kota Bharu menyelesaikan sedikit urusan. Ketika saya ingin menyeberang Jalan Ibrahim ke tempat saya letakkan kereta dengan secara tiba-tiba ribut melanda. Pada mulanya saya ingatkan ribut biasa. Jadi saya hanya berdiri di atas pembahagi jalan sambil memandang ke arah datangnya ribut. Tapi makin lama ribut menjadi semakin kuat dengan membawa pasir dan apa saja berterbangan menerjah muka saya. Pedih dan perit rasanya. Kerana tidak tahan dengan kepedihan dan sukar membuka mata, saya pusing membelakangkan arah ribut namun belakang dan punggung saya pula kepedihan walau pun beralaskan baju dan seluar. Rasanya seolah saya akan diterbangkan. Suasana menjadi kelam dengan dengan debu.

Di dalam saya berdiri itu, saya terfikir sekiranya ada zink atau benda-benda bahaya diterbangkan ribut akan menghentam belakang saya tanpa saya sedari kerana membelakangkan arah ribut. Saya cuba berpusing tetapi tidak tahan dengan tiupan angin yang kencang dengan membawa pasir, debu dan apa saja yang ringan. Saya berlari kembali ke tepi jalan sebelah sini dan berlindung di sebalik pum machine di Shell Station bersebelahan dengan bank. Sejurus saya di situ baru saya perasan, hanya saya keseorang di situ. Semua pekerja pam sudah lari berlindung di dalam bangunan pejabat sambil memerhatikan saya semacam kehairanan. Saya berdiri berlindung di situ sambil memerhatikan kereta yang saya parking di seberang jalan dengan bimbang dahan runtuh atau pokok tumbang kerana memang saya letakkan di bawah satu pokok yang agak besar.

Apabila kekuatan ribut agak berkurangan sedikit dan hujan pun mula turun rintik-rintik, saya berlari semula menyeberang jalan dan terus ke kereta serta memandu secepat mungkin beredar dari bawah pokok itu menghala ke pejabat. Dalam perjalanan ke pejabat hujan turun cukup lebat dan ribut masih lagi menggila. Dahan pokok dan signboard yang tertanggal bertaburan di atas jalan raya. Sesampai di pejabat, saya lihat laman pejabat pun bersepah dengan sampah dan dahan pokok yang patah di bawa angin. Hujan masih lebat tetapi ribut sudah reda. Alhamdulillah saya dan kereta saya selamat.

Apabila saya masuk ke dalam pejabat saya ditegur "Eh kenapa Abang Din nampak pelik?" Barulah saya sedar rupanya muka saya kotor dengan debu, rambut saya penuh dengan pasir dan di dalam baju juga di masuki pasir!

Inilah kali pertama saya berada di dalam ribut yang sebegini kuat.

Monday, September 28, 2009

Melayu Dan Ilmu Hitam

Saya mohon maaf kepada semua pengunjung kerana agak lama tidak update blog disebabkan masalah streamyx pada mulanya dan di akhir-akhir ini saya kesibukan pula dengan Raya dan ziarah. Di entry ini saya suka untuk ceritakan sedikit apa yang berlaku kepada keluarga kami akibat dari Ilmu Hitam (sihir).

Rumah orang tua saya adalah jenis rumah yang bertiang setinggi empat kaki. Pada suatu masa tiang yang menungkat salah satu palang yang menampu lantai reput dan adik saya masuk ke bawah rumah untuk menukarnya. Belum pun sempat siap dia telah keluar dengan menggaru-garu badannya yang berbintat-bintat sebesar hujung jari kelingking. Akhirnya saya pula masuk ke bawah rumah menyiapkan apa yang ditinggalkan.

Yang anihnya saya ok saja sehingga siap apa yang saya kerjakan. Tidak terkena apa-apa masalah gatal dan sebagainya. Sejak hari itu hanya saya sahaja yang boleh masuk ke bawah rumah bila ada apa-apa masalah yang perlu diselesaikan. Kalau orang lain yang masuk, sama ada abang atau adik saya memang akan kena penyakit gatal dan bengkak-bengkak. Begitulah keadaannya berterusan sehinggalah saya kahwin dan pindah ke rumah sendiri.

Pada masa yang lain pula, saya tergerak hati untuk masuk ke bawah rumah, di bawah bilik emak. Saya nampak ada satu bungkusan kecil di atas kayu palang penyokong lantai. Saya ambil dan saya buka. Saya dapati bungkusan kecil itu mengandungi satu jenis kulit yang dilakarkan/wajahkan manusia dan bersama kulit itu ada debu hitam. Saya ambil dan buangkan ke Sungai Kelantan. Apa yang saya percaya manusia ini cuba mengenakan arwah emak. Tapi alhamdulillah, tidak memberi apa-apa kesan kepada arwah. Apa yang saya tahu, kulit itu mungkin kulit binatang haram dan debu hitam itu adalah serbuk besi dari bekas nasi Sami di Kuil Siam.

Selepas itu pula, berselang beberapa bulan saya ternampak satu botol kecil yang saiznya sebesar botol Minyak Atar yang berisi sejenis cecair berwarna merah seakan darah terapung di dalam kolah mandian dan basuhan yang selalu digunakan oleh arwah di dalam bilik bersebelahan dengan bilik tidur arwah. Saya percaya itu adalah Minyak Dagu. Saya ambil dan letakkan di atas pagar kerana berhajat nak buang ke sungai kemudian. Selepas hari itu saya terlupa untuk membuangnya.

Selang beberapa minggu saya menemui botol yang sama berada di atas palang dinding di dalam rumah. Anih, botol yang saya letakkan di pagar luar rumah boleh bergerak sendiri dan berada di dalam rumah. Saya ambil dan terus
buang ke sungai. Setakat itu semua perkara tadi tidak memberikan kesan.

Memang saya tahu ada manusia yang dengkikan kami kerana keluarga kami agak senang sedikit darinya. Dia bukan orang lain. Saudara terdekat juga yang sebelumnya selalu dibantu oleh arwah sehingga garam dan gula tidak ada pun, arwah yang bantu.

Kemudiannya saya dapat tahu yang saya disantau pun adalah kerana dendam tak tertunai. Kononnya sayalah yang menjadi penghalangnya dengan apa yang saya amalkan secara istiqamah. Selepas disantau pun Allah masih memanjangkan hayat saya sehingga kini. Alhamdulillah.

Mungkin jarang manusia sedar yang sihir dan ilmu hitam membawa kepada Syirik!

Wednesday, September 16, 2009

Along Tak Pulang Raya


Sedih dan terkilan. Along tidak dapat cuti beraya di rumah bersama keluarga.

Inilah pengorbanan yang dilakukan untuk negara. Inilah juga pengorbanan kami.

Tuesday, September 15, 2009

Sindrom Taksub, Fanatisme Orang Melayu

Ciplak secara copy and paste dari Utusan Malaysia Online


Saya agak tertarik oleh tulisan yang cenderung ke arah menuduh yang menerbit persoalan, siapakah yang taksub dan fanatik. Siapa pula yang cetek ilmu (katakan saja bagi saya ialah cetek fikiran) sebenarnya. Kepada siapakah sebenarnya yang difokoskan article ini ?


Oleh Feriz Omar

MASIH ingatkah kisah kumpulan Al-Arqam yang pernah menggemparkan negara sekitar awal 1990-an dahulu? Kalau nak diikutkan, asal ceritanya bermula dengan seorang ustaz biasa yang giat berdakwah.

Saban hari, fahaman itu berkembang membentuk suatu kumpulan agama yang besar dan memiliki entiti perniagaan dalam pelbagai bidang.

Akhirnya pengasas kumpulan tersebut, Ashaari Muhammad langsung lupa daratan, tenggelam dalam kekuasaan dan mula menyerong daripada akidah Islamiah sebenar. Ashaari mula menjadi idola puluh ribuan pengikutnya dan dianggap wali yang cukup tinggi tarafnya.

Tulisan hari ini sebenarnya bukanlah hendak merungkai isu Al-Arqam. Tetapi yang mahu diperhalusi dan dibicarakan ialah sentimen dan elemen ‘fiil’ Melayu bila mana ia terlalu taksub dalam satu-satu hal.

Dalam konteks Al-Arqam ini misalannya, ketaksuban yang tak kena gaya, tidak berpandukan ilmu dan asas Islam yang hakiki menyebabkan penyelewengan berlaku.

Akhirnya pemimpin pula didewa-dewakan, dipuja dan dihormati secara melampau. Kumpulan yang didokong pula bagai dapat merealisasikan segala-gala hajat dan diumpamakan tiada cacat-cela.

Taksub Berpolitik

Kalau dikaitkan dengan suasana berpolitik orang Melayu sendiri, macam itu jugalah perangai ketaksubannya. Sesetengahnya, bila sudah terlampau fanatik dan percaya dengan parti yang disokong, rasional daripada parti lawan ditolak mentah-mentah.

Sifat, “aku saja betul” dan “kau tetap salah” mewarnai semangat dan kepercayaan politik. Tuduh-menuduh menjadi kebiasaan dengan isu halal-haram dan betul-salah sudah bukan lagi asas pertimbangan. Asalkan yang disokong menang!

Lebih parah sebenarnya, bila adunan politik itu disadur pula dengan kepentingan Islam. Seperti yang pernah dikatakan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad, kelemahan sesetengah orang Islam ialah mereka begitu cepat terpengaruh dengan apa sahaja yang dibuat atas nama Islam; dan orang Melayu adalah contohnya paling tepat yang mudah tertarik dalam hal-hal berunsur keagamaan.

Yang jadi mangsa adalah pengikut yang mempunyai kefahaman agama setakat ‘cukup-cukup makan’ sahaja. Gara-gara kecetekan ilmu, mereka ini sering hilang punca dan selalu berdasarkan sentimen perasaan dalam pertimbangan antara hak dan yang batil serta bersikap tertutup dalam menerima buah fikiran yang dilihat berasal daripada kelompok lain.

Bila asas agama digunakan untuk membuktikan betul-salah sesuatu perkara, soal dosa pahala, kafir dan syurga-neraka pun menjadi isu yang terbeban untuk dibicarakan dan dihukum oleh sang pengikut. Inilah yang malangnya; menghukum dan membuat kesimpulan tanpa ilmu di dada!

Perdebatan Mengarut dan Tidak Berfaedah

Isu di sini sebenarnya bukanlah bertujuan untuk memisahkan entiti agama daripada politik. Agama Islam sememangnya syumul atau ‘complete’. Namun, asas agama tentulah wajib dijadikan pegangan setiap insan politik yang bernama ‘Melayu’ dan berjatidirikan ‘Islam’.

Tetapi dalam suasana hiruk-pikuk dan kecelaruan kefahaman Islam yang setakat ‘separuh masak’ saja di kalangan ramai Muslimin di Malaysia, perlu ada boundary tertentu agar agama tidak sampai terseleweng dan disalah tafsir.

Oleh kerana terlalu taksub kepada pemimpin atau sesebuah pertubuhan, hari ini Islam dilihat lebih cenderung ke arah menilai tahap keimanan, mencari perbezaan fahaman imam yang diikuti dan menilai tahap roh perjuangan sehingga menjadikan umat Islam berpecah-belah.

Kita sepatutnya mencari persamaan dan elakkan perbezaan. Begitu banyak perdebatan dan perbalahan yang sudah sampai ke tahap mengarut dan tidak berfaedah.

Justeru itulah, Islam memerangi kejahilan ilmu kerana akibat buruknya mampu melahirkan manusia bersifat taksub membabi-buta. Ketaksuban juga akan memecah-belahkan umat Islam bahkan menjahanamkan hubungan silaturrahim sesama Muslim.

Paling buruk, apabila ia mula menganggu-gugat keamanan dan kestabilan sesebuah negara berbilang kaum seperti Malaysia. Orang-orang bukan Islam akan merasa salah faham dan segala usaha untuk melaksanakan pembangunan Islam juga turut terbantut.

Kembalilah kepada asas al-Quran yang menyarankan kepentingan ilmu supaya kita tidak terperangkap dalam ketaksuban fanatisme dan membuta-tuli yang menghancurkan diri sendiri, agama, bangsa dan negara tercinta.

FERIZ OMAR ialah Presiden Pertubuhan

Profesional Melayu & Pewaris Bangsa (ProWaris).

Salam Aidil Fitri

Assalamu alaikum w.b.t.
PAK DIN DAN KELUARGA
mengucapkan
SELAMAT HARI RAYA ADIL FITRI
kepada semua 116 orang Followers blog ini
dan semua rakan cyber

MAAF ZAHIR DAN BATIN

Pak Din nak kungsi kenangan lalu semasa Pak Din masih kanak-kanak menyambut Aidil Fitri.

Biasanya selepas Solat Raya kami pulang dulu ke rumah dan menikmati Juadah Raya yang disediakan sehingga kenyang dan berkumpul dengan kawan-kawan. Kami akan berbincang nak menyerbu ke rumah orang yang paling kaya dan pemurah di sekitar kampung. Bila dah banyak dapat duit raya kami akan bersantai di Padang Merdeka sebelum meronda pekan.

Pada Hari Raya yang kedua kami akan ke kubur kerana semacam menjadi adat orang di sini akan menziarahi kubur pada Hari Raya kedua sambil bersedekah dan berzakat. Rezeki dari kubur biasanya menjadikan kami kaya sekajap. Di kubur bagi orang Kota Bharu seolah bertukar menjadi tapak Pesta kecil. Siap dengan orang menjual bermacam-macam termasuklah Nasi dan Air minuman serta permainan kanak-kanak.

Tektik Pak Din senang saja, bukannya meminta tetapi biasanya Pak Din akan pilih kubur orang kaya dengan pelawatnya yang ramai dengan waris. Kebiasaannya setiap kubur orang kaya akan ada Wakaf dan di situ ada disediakan naskah Alqur'an yang dipecahkan ke Juzud-Juzud kecil. Oleh kerana pada masa itu Pak Din sudah khatam qur'an sejak umur sembilan tahun, Pak Din sudah lancar dengan bacaan yang agak baik (mengikut Guru Qur'an Pak Din), Pak Din akan duduk di Wakaf dan membaca Alqur'an tanpa diminta oleh sesiapa.

Kebiasaannya sedang kita membaca akan datanglah waris-waris simati menghulurkan RM1.00 atau RM2.00. Kekadang tu ada yang lebih pemurah akan menghulurkan RM5.00 atau RM10.00 bergantunglah kepada nasib dan rezeki. Bayangkan berapa banyak Pak Din boleh kumpul dengan seharian di kubur. Kalau Pak Din rajin, pada Hari Raya ketiga Pak Din akan pergi ke kubur lagi.

Selepas Hari Raya bila sekolah telah dibuka, Pak Din dan kawan-kawan memang joli. Pada masa itu bukannya berkira nak menyimpan!

Friday, September 11, 2009

Begini Nasib Kita

Adakah Ahli Politik kita berpolitik kerana kepentingan politik atau pun politik berkepentingan? Apa yang saya nampak ialah perlakuan politik yang berlebihan di kalangan Ahli Politik kita. Bila ini berlaku rakyat terabai.


Politik adalah jalan ke puncak kuasa pemerintahan. Bila kuasa pemerintahan sudah dikuasai maka sepatutnya mereka pentingkan pentadbiran negara. Bekerja dan berfikir untuk kesejahteraan rakyat dan kemajuan negara. Tapi nampaknya di negara ini tidak begitu. Ahli Politik seolah-olah berpolitik 25 jam sehari. Bilakah masanya mereka luangkan masa berfikir secara mendalam demi keperluan rakyat yang menaikkan mereka ke anjung kuasa?


Itulah sebabnya kita dapati sebarang keputusan membuat polisi dan sebagainya menjadi separuh masak. Yang paling akhir ialah kenaikan harga minyak. Diubah gred konon. Tapi bila disoal, jawapannya berbelit-belit. Apalah malangnya nasib kita sebagai rakyat marhaen.


Kalau di negara maju Kerajaan dan Pembangkang boleh duduk berbincang semeja untuk kepentingan rakyat. Mereka berpolitik ada hadnya. Di negara ini tidak begitu jadinya. Pembangkang dan Kerajaan bertelagah 24 jam. Memaki hamun tidak kira masa dan tempat, hatta di bulan Ramadhan sekali pun. Mereka seolah tidak kenal dan tidak cukup waktu.


Pilihanraya di adakan 5 tahun sekali untuk menentukan kuasa pemerintahan. Sepatutnya di masa inilah saja mereka bertelagah dan berpolitik. Sesudah sah kuasa digenggam sepatutnya otak dan tenaga mereka tertumpu kepada pemerintahan dan kesejahteraan rakyat.

Itulah sebabnya suasana politik di negara ini tidak pernah tenang dan damai. Ada saja isu dicipta untuk membuka laluan percakaran.


Yang melopong dan menanggung beban adalah rakyat. Belanja hangus politik pun rakyat yang tanggung, berbelanjaan kerajaan yang tidak berhemah dan rugi pun rakyat yang tanggung. Ini tidak termasuk lagi kerugian yang dialami kerajaan di dalam pelaburan akibat penelitian separuh masak dengan jumlah berbilion. Rakyat juga yang tanggung.


Entah apa nak jadi dengan negaraku Malaysia akhirnya…..

Thursday, September 10, 2009

Kosmo 10 Sept. 2009

Kenapa Kosmo memilih tajuk ini?
Ada apa-apa yang tersirat?

Tuesday, September 8, 2009

Streamyx Juga Puasa

Assalamu alaikum wbt. semua teman-teman cyber.

Tiga hari terpaksa paku n3 terakhir di sini kerana masalah streamyx. Dua kali panggil ke pusat khidmat di KL dan hari ini baru ok.

Saya mohon maaf kepada semua. Selamat berpuasa!

Friday, September 4, 2009

Peristiwa Lucu Bersama Seorang Anggota Komando 69

Di blog melayuangkat satu n3 dari beliau mengkisahkan tentang kehebatan Komando 69 yang disertai gambar mereka menjalani latihan yang semangnya lasak.

Pasukan ini memang dianggotai oleh manusia yang berhati kental, lasak , berani serta patuh pada arahan. Pengalaman saya bertanding bersama mereka di satu pertandingan mendaki gunung pada pertengahan tahun 90'an cukup memberikan saya pengentahuan tentang mereka.

Pertandingan itu adalah pertandingan Dakithon Gunung Tahan peringkat antarabangsa yang bermula dari Kuala Tahan ke Puncak Tahan dan turun semula ke Kuala Tahan. Pertandingan itu disertai oleh 130 peserta dari pelbagai persatuan dan negara. Ketika itu saya mewakili Persatuan Mendaki Kelantan. Jarak udaranya kalau tidak silap adalah melebihi 150km (sesiapa yang tahu dengan tepat sila betulkan). Masa yang diberikan adalah 70 jam. Peserta bertanding di atas risiko sendiri. Sekiranya tidak yang pulang selepas 70 jam barulah pasukan SAR akan dihantar.

Satu peristiwa yang lucu berlaku di antara saya dan Juara pertandingan ini iaitu salah seorang peserta yang mewakili Pasukan Komando 69. Pada lebih kurang jam 3-4 pagi di puncak Gunung Restkit berhampiran satu jurang, saya bertembung dengannya dalam jarak lebih kurang 20 kaki. Keadaan berkabus tebal dan cahaya samar. Dalam keadaan yang kurang pasti kerana kesamaran saya berhenti berlari. Dia pun berhenti. Saya bergerak rapat sedikit sambil mengintai. Dia juga bergerak rapat. Bila sudah agak hampir 15 kaki jaraknya antara saya dan beliau, saya mencabar "Siapa" Dia jawab "Saya" Saya tanya lagi "Saya tu, siapa" barulah dia jawab "69" . Sabil gelak saya berkata "Ooo.. rupanya orang, saya ingatkan beruang" Lantas dia menjawab "Saya pun ingat awak beruang". Kami sama-sama ketawa. Yang lucunya kami sama-sama ada membawa lampu suluh tetapi tidak seorang pun antara kami yang menyuluh. Kedua-duanya takutkan beruang marah!.

Bayangkan jarak antara saya dan dia. Dari situ jangkaan saya masih ada 3 atau 4 jam untuk saya sampai ke Puncak Tahan. Dia sudah pun di perjalanan balik. Bermakna saya berselisih dalam jarak 6 jam atau lebih. Bagaimana pun dia agak lambat sampai ke Penamat sebab lampu suluhnya rosak dan terpaksa berlari di dalam gelap. Saya pula tersangkut banjir di Sungai Melantai kerana hujan lebat sebelumnya. Di sini ramai perserta yang sangkut dan tidak berani menyeberang kerana arus yang deras dan air yang dalam. Saya ambil risiko dengan bergayut dari dahan ke dahan untuk menyeberangi dan alhamdulillah saya lepas.

Di garisan Penamat dia sampai lebih awal dengan catatan 22 jam 46 minit. Saya pula tiba di awal pagi dengan catatan 30 jam 5 mint. Dia menjadi juara yang rekodnya sehingga sekarang gagal dipecahkan. Itulah satu cerita kekentalan seorang yang bergelar Komando Pasukan 69 yang pada masa itu berpengkalan di Ulu Kinta, Perak.

Pagi esoknya bila kami bertemu, kami gelak besar kerana kedua-dua kami memang dah jadi Beruang, jalan mengangkang! Kerana segala urat saraf jadi tegang dan sakit. "Rupanya kedua-dua kita memang dah jadi beruang!" katanya.


Thursday, September 3, 2009

Toleransi Agama Di Kelantan

Di copy and paste dari blog Dato' Zaid Ibrahim. (Izinkan saya)

YB Nurul Izzah dari Lembah Pantai begitu murah hati. Dia memuji saya sebagai seorang pemimpin politik Melayu yang berani sederhana dan berprinsip. Saya amat berterima kasih kepadanya. Tetapi sebenarnya ada ramai lagi pemimpin Melayu Islam yang tidak ekstrem dan bersifat sederhana. Mereka berani ,ada prinsip dan integriti. Mereka juga wajar kita beri perhatian dan sokongan .Orang Melayu Islam di negara ini memerlukan kepimpinan yang sederhana dan berperikemanusiaan seperti Tok Guru Nik Aziz dan YB Khalid Samad.

Berbeza pula dengan Menteri Dalam Negeri Hishammuddin Hussein yang bangga kerana dapat menunjukkan kepada kepimpinan UMNO dan kuncu-kuncu mereka di Seksyen 23 Shah Alam, Selangor bahawa dialah yang prihatin dengan nasib orang-orang UMNO. Orang-orang inilah yang berarak dengan kepala lembu membantah cadangan pembinaan sebuah kuil kerana kononnya kuil itu dekat dengan rumah mereka. Hishammuddin sedikit pun tak rasa bersalah atau meminta maaf terhadap tindakan mengancam rusuhan kaum dan menghina kaum serta agama lain. Malah dia pula menjadi jurucakap kumpulan ini dengan berkata mereka tidak berniat untuk menghina sesiapa. Sudah tentu selepas lawatan ke tempat itu dan kenyataan Menteri yang sedemikian rupa, maka siasatan polis juga mungkin selesai begitu sahaja selepas ini. Jika pergaduhan kaum berlaku atas provokasi kumpulan kepala lembu itu, apakah Hishammuddin berani bertanggungjawab?

Pada zaman penjajahan dahulu, iaitu sebelum UMNO bermaharajalela di negara ini, Masjid Kapitan Keling telah dibina di sebelah kuil Hindu Arulmigu Mahamariamman di Pitt Street di Pulau Pinang. Di hadapan masjid itu pula ada gereja Kristian St George’s Church. Orang Islam masa itu bila sembahyang di masjid itu tidak pula rasa tersinggung atau goyang iman mereka. Mereka tidak pula menyembelih lembu dan berarak membawa kepala lembu serta memaki hamun kaum dan agama lain. Yang berkuasa di Pulau Pinang pada zaman itu adalah orang Kristian. Mereka berhak untuk melarang pembinaan Masjid Kapitan Keling dan kuil Hindu di sebelah gereja mereka. Kuasa ada pada mereka. Mereka boleh memberi alasan kononnya mereka tersinggung dann terguris hati jika masjid dan kuil dibina di sebelah gereja mereka. Mereka boleh berkata sembahyang mereka tidak sempurna atau tidak diterima Tuhan kalau ada masjid dan kuil yang berdekatan dengan gereja mereka. Tetapi penjajah Inggeris tidak pula berbuat demikian. Malah dekat situ juga ada kuil Kuan Yin Teng untuk orang Cina. Nampaknya pada zaman dulu, manusia Malaya boleh hidup saling hormat-menghormati antara satu sama lain. Masa itu orang Melayu Malaya tidak perlu dibawa ke seminar khas Biro Tata Negara untuk menginsafkan mereka tentang nasib agama dan bangsa. Masa itu tidak ada Utusan Malaysia yang mana pengarangnya seperti Zainuddin Maidin dan anak-anak didiknya telah mengajar orang Melayu supaya membenci kaum dan agama lain.

Jika masyarakat Pulau Pinang terdiri dari berbagai kaum, Kelantan pula yang majoriti penduduk adalah orang Melayu turut bersikap terbuka. Kerana sifat unik orang Kelantan ini, maka UMNO tidak sempat tumbuh segar dan dengan itu selamatlah nasib orang Melayu Islam Kelantan. Darah mereka belum tebal dengan rasa benci dan perkauman yang meluap-luap. Jiwa Islam Melayu yang dipupuk dalam suasana kampung masih tenang dan beradab. Kalau orang Kelantan “gedebe” pun, ia tidak ada kena-mengena dengan kebencian kaum dan agama. Orang Kelantan ke masjid dan surau untuk melakukan ibadah tetapi tidaklah pula mereka rasa tersinggung bila melihat kuil Buddha yang besar tersergah di kawasan mereka. Hanya di Kelantan ada tiga wat Buddha yang terbesar; Buddha Berdiri di Kampung Balai, Buddha Berehat di Kampung Berok dan Buddha Bersila di Kampung Jubarak. Semua wat Buddha ini dibina dengan harga berjuta ringgit; berada dalam kawasan majoriti besar orang Melayu Islam. Tetapi Melayu Islam di kampung-kampung ini tidak sama dengan sesetengah Melayu canggih di Seksyen 23 Shah Alam. Melayu kampung di Kelantan mendengar nasihat Tok Guru Nik Aziz untuk hormat agama lain. Mereka tahu apa yang Tok Guru ajar itu memang berlandaskan Al-Quran yang melarang umat Islam mempermain-mainkan agama orang lain. Orang Melayu Islam di Kelantan juga tidak terguris hati mereka bila kerajaan membina sabuah masjid di Rantau Panjang yang bentuk rupa saperti rumah maharaja Cina. Malah mereka bangga dengan sikap toleran dan keterbukaan Islam yang di tonjolkan olih Tok Guru.

Sepatutnya orang Melayu di Shah Alam mendengar nasihat YB Khalid Samad, seorang pemimpin Melayu Islam yang sederhana dan peka kepada tuntutan dan masalah rakyat di negara majmuk Malaysia ini. Khalid telah menulis dengan berani dalam blognya: “Terdapat juga segelintir golongan yang bagaikan tidak sanggup ‘melihat’ kuil dan tok kong. Walau jauh macam mana sekalipun, sekiranya mereka buka jendela rumah dan dapat melihat ‘bumbung kuil atau tok kong’, mereka menjadi bagaikan dirasuk. Adakah wajar sikap ‘ekstrimis’ yang seperti ini di sebuah negara yang diwarnai dengan kepelbagaian kaum dan agama?”. Kalau nak tahu lebih lanjut isu kuil dan kepala lembu itu, sila layari: www.khalidsamad.com

Khalid dan Tok Guru adalah antara pemimpin Melayu Islam yang patut kita banggakan kerana mereka mampu menyelamatkan negara ini dari terjunam ke dalam kancah pergaduhan kaum dan pertelingkahan agama yang dashat. Saya yakin ada ramai lagi orang Melayu Islam yang berpendirian sederhana tapi tegas dan benar-benar menghayati prinsip jujur, ikhlas dan toleran mengikut ajaran Islam. Orang-orang seperti inilah yang wajar kita dengar pandangan mereka. bukan penghasut dan pembenci kaum dan agama.

Tuesday, September 1, 2009

Nafsu Pula Mengamuk

Sambil bersantai di hadapan komputer, terfikir pula membuka satu perkara yang mungkin kita tidak sedari. Semua orang tahu di bulan Ramadhan ini dikatakan Syaitan dibelenggu/dipasung. Tetapi hakikatnya Nafsu pula bermaharajalela. Kebanyakan kita menjadi tamak kerana diuja oleh Nafsu.

Bila nak berbuka kita tamak dengan selera kita mahukan apa saja walau di akhirnya kita membazir. Kita menyedia/membeli terlalu melebihi kemampuan makan kita.

Bila bersolat Tarawih kita mahukan Imam yang cukup cantik dari segi bacaan/hafalan, suara, cergas dan mempu membaca surah yang panjang. Kerana apa? Kerana gilakan Pahala. Kononnya bila kita lakukan dengan lebih dan baik, kita akan dikurniakan Pahala yang banyak. Kita lupa yang bukan semuanya yang kita lakukan dengan keikhlasan. Ikhlaskah kita bila kita bersolat, kita mengharapkan sesuatu dari Allah? Layakkah kita yang dilahirkan sebagai seorang Hamba meminta-minta atau berharapkan sesuatu dari Tuannya sebagai upah? Memang Allah berjanji tatapi bukankah semuanya adalah di atas kemurahan, pengasihnya? Lupakah kita dengan "Tidak aku jadikan manusia dan jin melainkan untuk beribadah kepada ku" . Ini bermakna semua yang kita lakukan kengikut apa yang dikehendaki Allah adalah tugas kita yang asasi/hakiki.

Bila bersedekah, kita akan mencari siapa yang dianggap golongan yang sebaiknya menerima sedekah. Tetapi kita lupakan jiran dan anak Yatim di keliling kita. Di bulan Ramadhan ini jugalah kita berebut-rebut untuk bersedekah dan sebagainya sedangkan di masa-masa yang lain kita abaikan. Itu juga kerana tamak mengejar Pahala. Bukankah ketentuan Syurga dan Neraka adalah ketentuaNya? Atas rahmatNya. Apakah tanpa keikhlasan, ganjaran yang Allah janjikan akan tertunai?

Pada bulan Ramadhan juga kita rajin membaca Alqur'an. Ini juga kita lakukan kerana pada bulan Ramadhan limpahan pahala berlipat kali ganda. Jadi ikhlaskah kita apabila habis saja Ramadhan kitab suci Alqur'an akan kita tinggalkan sebagai hiasan tanpa kita mendalami isi Alqur'an itu untuk diamalkan?

Begitu juga qiamullail selain dari Tarawih cukup rajin kita lakukan tetapi kenapa tiada istiqamah?

Cara berpakaian juga sama. Berapa ramai dari kita yang lelaki berkopiah ke pejabat sedangkan G.O kata tidak boleh. Selepas bulan Ramadhan kopiah entah ke mana songkok juga ditapakan. Bukankah itu juga satu lakonan untuk mewarakkan fizikal, bukannya Rohani? Siperempuan pula siap bertudung dan mekup pun dikurangkan atau tidak berhias langsung. Betul siisteri hanya berhiasa untuk suami tetapi kenapa di masa yang lain mereka ke pejabat dengan hiasan yang melebihi dari di rumah untuk tatapan suami?

Maaf, apa yang saya ungkitkan di atas semuanya bagus sekiranya kita melakukannya dengan ada keihklasan dan dibuat dengan istiqamah. Tetapi kalau tidak ada kedua-keduanya maknanya kita sengaja membiarkan diri kita diperkudakan nafsu!. Kita menganggap pahala adalah hak kita.

Walau apa pun yang saya katakan, masih terlalu banyak ruang untuk diperbahaskan. Silakan supaya pengentahuan kita bertambah dan fikiran kita bercambah.