Pengumuman

Mulai esok (11 Julai 17) blog ini tidak akan diupdate Oleh kerana blog ini dan blog yang satu lagi mengandungi bahan yang sama, saya rasa adalah wajar untuk menghidupkan satu blog sahaja iaitu mountdweller88 untuk dilayari dengan mudah tanpa gangguan insya Allah Saudara/saudari persilakan ke - mountdweller88.blogspot.com

Saturday, April 25, 2015

Sekarang di KL

Maaflah sekiranya saya mungkin jarang update blog

Gelaran kehormat “Menteri Percanggahan”

Sukar untuk mengambil serius Menteri GST Ahmad Maslan 
08:30PM Apr 24 2015
oleh Sonia Ramachandran

PANTAUAN GST Timbalan Menteri Kewangan Ahmad Maslan wajar diberi gelaran kehormat “Menteri Percanggahan”
 Ini ialah kerana kenyataan timbalan menteri itu yang disiarkan sejak akhir-akhir ini telah didapati bercanggah dengan laporan  lain.
Salah satu contoh ialah kes kad prabayar telefon bimbit.
Pada 2 April, Ahmad Maslan dipetik berkata yang syarikat telekomunikasi perlu membayar kembali pelanggan mereka yang dikenakan enam peratus cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) untuk kad prabayar.
“Pengarah Jabatan Kastam GST Subromaniam Tholasy sedang bertemu dengan syarikat-syarikat telekomunikasi untuk membincangkan isu ini, Syarikat-syarikat besar itu tidak sepatutnya melakukan kesilapan seperti itu, “ Ahmad Maslan dilaporkan berkata.
Timbalan Menteri Kewangan itu juga memberi amaran kepada syarikat-syarikat telekomunikasi yang mereka boleh diheret ke mahkamah sekiranya terus berkeras mahu mengenakan enam peratus GST ke atas kad prabayar.
Selepas kenyataan Ahmad Maslan pada 2 April, Subromaniam dilaporkan berkata yang syarikat-syarikat telekomunikasi dibenarkan mengenakan cukai GST enam peratus kepada kad prabayar tetapi pelanggan perlu mendapat ‘air time’ tambahan.
Kemudian timbul pula isu caj perkhidmatan.
Pada 28 Febuari, Ahmad Maslan dilaporkan berkata yang caj perkhidmatan 10 peratus yang dikenakan oleh hotel dan restoran tidak perlu dibayar selepas pelaksanaan GST.
Ahmad Maslan berkata yang cadangan untuk menghentikan caj perkhidmatan di hotel dan restoran perlu dilaksanakan secepat mungkin bagi mengelakkan pelanggan daripada keliru antara caj perkhidmatan dan GST.
‘Caj perkhidmatan yang dikenakan oleh hotel dan restoran tidak dikutip oleh kerajaan. Caj ini dikenali sebagai ‘tips’ dan perlu diberikan secara terus kepada pekerja tetapi ada syarikat yang menyimpan caj itu dan tidak berkongsi dengan para pekerja.
“Jadi saya mahu beritahu yang anda tak perlu bayar kadar caj perkhidmatan 10 peratus sekiranya perkhidmatan mereka tidak memuaskan,’ Ahmad Maslan dipetik sebagai berkata.
Pada 5 April, Ahmad Maslan dilaporan berkata yang peraturan khas sedang dirangka untuk caj perkhidmatan yang dikenakan dalam pelbagai sektor, seperti hotel dan restoran, sebagai cara untuk mengawal selia caj-caj tersebut.
Dia berkata kementeriannya, bersama-sama dengan Kementerian Perdangangan dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK),  sedang menyiapkan garis panduan dan meneliti pelbagai aspek.
Ini termasuklah menurunkan caj perkhidmatan kepada kadar tetap kurang daripada 10 peratus, yang menjadi amalan standard industri, serta melihat kemungkinan untuk memberikan pilihan kepada pengguna sama ada untuk membayar caj perkhidmatan atau tidak, sekiranya perkhidmatan tempat itu tidak memuaskan.
Pada 22 April, kerajaan mengumumkan yang caj perkhidmatan kekal.
Ketua Setiausaha KPDNKK Alias Ahmad berkata yang keputusan itu dicapai dengan perjumpaan dengan pihak-pihak berkaitan termasuklah persatuan, kesatuan dan kumpulan kepenggunaan.
The Star memetik Alias sebagai berkata yang keputusan itu hanya tertakluk kepada perniagaan yang mempunyai perjanjian kolektif (CA) sahaja yang boleh mengutip caj perkhidmatan.
“Perjumpaan itu mengambil kira beberapa isu yang dikemukakan oleh kumpulan-kumpulan itu, termasuklah gaji rendah diterima oleh para pekerja industri berkenaan.
‘Masih terdapat pekerja hotel yang dibawah gaji serendah RM350 sebulan, walaupun gaji minimum kebangsaan sudah dilaksanakan.
“Jika caj perkhidmatan dihapuskan, gaji asas yang rendah akan menjadikan industri perhotelan dan restoran tidak kompetetif. Ini juga memberi ruang kepada pekerja asing untuk mengambil tempat pekerjaan pekerja tempatan,” Alias dilaporkan berkata.
Bukankah lebih baik jika perniagaan yang tidak membayar gaji minimum kepada kakitangan mereka dikenakan denda daripada membenarkan mereka terus mengenakan caj perkhidmatan?
Bukankah gaji minimum ialah peraturan kerajaan yang perlu dipatuhi?
Alias menambah yang semua perniagaan yang mengenakan caj perkhidmatan  perlu memaparkan papan tanda.
“Kementerian juga sedang menyediakan peraturan standard kepada perniagaan yang mengenakan caj perkhidmatan,” Alias dipetik sebagai berkata, menambah yang garis panduan itu sedang dirangka dengan bantuan Jabatan Peguam Negara.
Bukankah Menteri Kewangan yang sedang menyiapkan garis panduan ini, seperti yang dilaporkan sebelum ini?
Dengan maklumat terbaru ini. Adakah pengguna tidak perlu membayar caj perkhidmatan seperti yang dikatakan Ahmad Maslan sebelum ini?
Sekiranya timbalan menteri, yang memegang portfolio penting seperti kewangan, terus mengeluarkan kenyataan yang kemudiannya bercanggah dengan kenyataan pegawai lain, bagaimana rakyat boleh percaya kepada apa yang dikatakannya?
Dan mengapa kerajaan mendengar suara komuniti perniagaan berbanding dengan mendengar suara dan menjaga kebajikan rakyat?

Friday, April 24, 2015

Tempo kata sumber berita mereka sahih dan dipercayai

TEMPO pertahan laporan kemewahan Najib, Rosmah
 | April 24, 2015
Pengarang Tempo mendakwa artikel itu ditulis berdasarkan sumber maklumat dipercayai yang dipilih secara cermat.
najib tempo
PETALING JAYA: Majalah Tempo mempertahankan artikel yang mengulas kemewahan Perdana Menteri dan isterinya kerana menggunakan sumber berita yang dipercayai.
Pengarang Kanan Tempo, Puwanto Setiadi berkata, pihaknya memilih secara cermat sumber berita sebelum menyiarkan gaya hidup mewah Datuk Seri Najib Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor.
“Seperti sebelumnya, kami akan memilih sumber (berita) dengan secermat mungkin.
“Sehingga kini kami percaya dengan sumber-sumber yang kami gunakan,” katanya, lapor Malaysiakini.
Puwanto berkata, dalam artikel itu pihaknya turut menyiarkan ulasan Pejabat Perdana Menteri berhubung dakwaan kemewahan hidup Najib dan Rosmah.
Susulan laporan itu, Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim mahu mengadakan perjumpaan dengan Pengarang majalah itu untuk menerangkan kedudukan sebenar termasuk latar belakang Perdana Menteri.
Mengulas perkara itu, Puwanto berkata, pihaknya mengalu-alukan kedatangan Zahrain dan sedia mendengar penjelasan versi Zahrain.
Tempo menyiarkan artikel berkaitan gaya hidup mewah Najib dan Rosmah dalam edisi khas sempena Ulangtahun ke-60 Persidangan Asia-Afrika di Bandung.
Rencana bertajuk “Hidup Mewah Sang Perdana Menteri’ turut mendakwa gaya hidup yang dipaparkan tidak setanding dengan gaji yang diterima Najib sejak menjadi Perdana Menteri pada 2009.
Artikel itu turut mengaitkan kekayaan luar biasa anak tiri Najib, Riza Aziz.
Dia dikatakan membeli dua unit kondominum di tengah-tengah kota New York berharga ratusan juta ringgit.

Mereka akan kata ini cerita lama atau "aahh......semuanya fitnah!"

Hassan Ali sahkan memang wujud usul gabungan UMNO-PAS
Cerita dari penburukonline

Minggu lepas ketika mencari video lama di YouTube tiba-tiba terjumpa satu video berdurasi 18minit 24 saat yang merupakan laporan “Berita Terkini” yang dimuat naik dari akaun IMR Television. Video tersebut boleh ditonton dibawah.
Video tersebut merakamkan sesi soal jawab bekas pemimpin PAS, Datuk Hassan Ali dalam satu program tertutup yang dihadiri oleh penggiat Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dari seluruh negara yang berlangsung di Kem Permata Resort, Melaka pada 2013 lalu.

Dalam menjawab soalan peserta dengan jelas Hassan berkata, sememangnya wujud usul untuk menggabungkan PAS dan Umno yang dinamakn usul UG yang dibawa Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri.

Usul menggabungkan Pas dan Umno ini disokong pelbagai pihak dalam PAS antaranya ialah bekas timbalan presiden PAS Nasharudin Mat Isa termasuk beliau sendiri.

Hassan dengan tegas menyatakan Allahyarham Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat pula merupakan firaun kecil atau sebahagian dari parasit yang menghalang hasrat menggabungkan Umno dan PAS itu. Dengan nada menghina Hassan menyebut Nik Aziz ketika Maulidur Rasul bukan berarak di Kota Baru tetapi sebaliknya pergi ke rumah Mendiang Karpal Singh, untuk menyambut ulang tahun Karpal malah Hassan menyatakan selagi Nik Aziz hidup jangan mimpi UG terlaksana.

Hassan dalam video tersebut beberapa kali menegaskan Hadi sangat pro penggabungan PAS/Umno tetapi dihalang oleh puak Anwarinas dan pro Nik Aziz dalam PAS.

Hassan tanpa berselindung berkata, menjelang Muktamar PAS Jun akan perbagai pihak perlu terlibat membantu Hadi dan usul UG nya dengan memastikan kumpulan Anwarinas dan pro Nik Aziz kalah dengan digantikan dengan kumpulan ulama yang lebih terbuka dan sanggup bergabung PAS dan Umno demi Melayu dan Islam.

Meneliti perkara ini, tentu ramai ternanti maklum balas terhadap Hadi. Adakah benar dia sedia bergabung dengan Umno ?  Adakah benar kempen pemilihan dalam PAS yang sedang berlangsung kini ialah proses menyingkir kumpulan yang menentang usul UG dan digantikan dengan kumpulan yang konon bergelar ulama tetapi yang penting ialah ke arah agenda penggabungan Umno-PAS itu sendiri.

Jika ia fitnah maka  video ini fitnah yang menggugat integriti tokoh sebesar Hadi, ia harus bertindak dengan menuntut Hassan menarik fitnah tersebut atau disaman. Mohon maklum balas daripada Hadi.

Korang rasa pelik ke?

Bagi aku tak pelik bila sebut Hadi
Adakah dulu semasa di Turki Hadi diserang darah tinggi?

Ketika PAS Pusat sokong PKR di Permatang Pauh, Hadi ambil sikap berkecuali 
Published: 24 April 2015 9:06 AM
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang enggan menyatakan dengan jelas pendiriannya berhubung sokongan terhadap calon PKR di Permatang Pauh. – Gambar fail The Malaysian Insider, 24 April, 2015. 

Walaupun pemimpin PAS Pusat termasuk calon timbalan presiden paling popular, Naik Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkali-kali membuat kenyataan menyokong calon PKR di Permatang Pauh, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang nampaknya enggan menyatakan pendiriannya dengan jelas.
Hadi kelihatan 'tersepit' pada Rabu ketika diajukan soalan mengenai sikapnya terhadap PAS Permatang Pauh yang seperti mahu memboikot kempen PKR di sana susulan tidak setuju dengan pendirian presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
"Kita masih dalam PR. Kita menghormati akar umbi Permatang Pauh. Saya menghormati penyokong PAS di Permatang Pauh," kata Hadi ketika itu, mengulas kenyataan Yang Dipertua PAS Permatang Pauh Omar Hassan.
Omar sebelum ini menegaskan PKR hanya akan memperoleh sokongan mereka selepas menarik balik kenyataan menolak hudud, menggesa Dr Wan Azizah menarik balik kenyataannya dan memohon maaf secara terbuka.
Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang Yusni Mat Piah juga memberikan amaran yang sama kepada PKR.
Malah, Ketua Urusan Ulama PAS Permatang Pauh Badrul Abdul Rahman mengatakan, 'hukumnya haram dan berdosa mengundi calon yang menolak hudud', merujuk kepada Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh yang akan diadakan 7 Mei ini.
Di satu pihak, Hadi perlu berkempen untuk mendapat sokongan kepada hudud yang diperjuangkan PAS, tetapi di satu pihak lagi, terpaksa menghadapi rakannya dalam PKR yang tidak menyokong hudud dilaksanakan sekarang.
Kenyataan Hadi itu bagaimanapun berbeza dengan Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali pada 20 April yang menjelaskan PAS Pusat muktamad menyokong pencalonan PKR di Permatang Pauh dan sebarang keputusan di peringkat atas mengatasi keputusan yang dibuat di peringkat akar umbi.
Tuan Ibrahim juga menyeru semua ahli PAS yang berdaftar sebagai pengundi di Permatang Pauh memberi undi mereka kepada calon PKR.
Beliau yang juga ahli Majlis Syura Ulama berkata keputusan memberi kerjasama dalam PRK Permatang Pauh ialah keputusan yang turut melibatkan hukum syarak.
Beliau malah mengatakan PAS menerima penjelasan PKR berhubung Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan yang dipertikaikan dan memahami pendirian mereka bukannya menolak syariat Allah tetapi hanya berbeza pendapat dan pendekatan.
Selain perlu menyatakan sokongan kepada PKR atas dasar rakan sekutu dalam Pakatan Rakyat (PR), PAS juga akan menghadapi PRK Rompin pada 5 Mei di mana calon PAS akan menentang calon Barisan Nasional (BN).
Bagaimanapun, kenyataan Hadi semalam memberikan pelbagai mesej kepada ahli PAS menjelang Muktamar PAS ke-61 awal Jun ini di Kuala Selangor.
Ini kerana, selain kenyataan yang menjauhkan PAS daripada rakannya dalam PKR itu, Hadi juga dilihat mahu merapati Umno, dengan membuat kenyataan parti Islam itu perlu percaya kepada musuh tradisi PAS itu apabila ia menyatakan kesediaannya menyokong hudud.
"Umno kata hendak sokong hudud – dalam Islam kita diajar menerima ucapan zahir daripada sesiapa sahaja termasuklah mereka yang munafik sekalipun.
"Jadi, dengan cara ini yang munafik pun akhirnya bertaubat," kata Hadi pada forum yang sama.
Kenyataan sebegini sudah tentu menghantar mesej yang pelbagai kepada PAS.
Sebelum ini, kenyataan beliau pernah mengakibatkan seorang ahli PAS, Tamrin Abdul Ghafar mengumumkan keluar parti Islam itu.
Sebagaimana Tamrin, Leman Raja Lawak, seorang selebriti yang mendekati PAS menjelang pilihan raya 2013 lalu juga nampaknya terasa dengan kenyataan Hadi itu.
"Haram lawan Umno kat Rompin sebab Umno sokong hudud dah! Haram undi PKR kat Permatang Pauh sebab PKR tolak hudud... Haram kesemua," tulisnya di laman Facebook.
Leman juga jelas kesal dengan kenyataan yang dibuat Badrul.
"Buat kenyataan media haram tak wala' kat pimpinan PAS Pusat! Kita dok tarik pengundi, depa dok bagi lari pengundi," tulis Leman menjawab persoalan itu.
Pandangan Leman dan tindakan Tamrin sebelum ini dibimbangi menjadi trend dalam PAS ketika Hadi mengumumkan pertambahan ahli parti itu secara mendadak bulan lalu kepada 1,004,000 orang kini.
Bertindak balas kepada Badrul, Tuan Ibrahim mengeluarkan kenyataan meminta pimpinan parti di semua peringkat tidak mengeluarkan kenyataan kontroversi sama ada melibatkan hubungan dengan PR atau hukum.
"Isu kontroversi yang melibatkan hukum mesti dirujuk kepada pendirian rasmi Majlis Syura Ulama dan pendirian rasmi Dewan Ulama kerana ia mempunyai implikasi besar.
"Ia boleh mendedahkan mudarat yang lebih besar kepada rakyat sekiranya Umno-BN terus berkuasa," kata Tuan Ibrahim. – 24 April, 2015.

Mahathir tidak akan berjaya jatuhkan Najib

Adakah Dr M cemburui status Najib sebagai orang kuat Umno?
02:30PM Apr 24 2015
oleh Lokman Mustafa

PENDAPAT: Ada satu pepatah Bahasa Inggeris yang berbunyi sebegini, "Kejayaan melahirkan rasa cemburu".
Apa yang cukup pelik, saya tidak dapat mencari peribahasa Melayu yang mempunyai makna yang sama, mungkin kerana orang Melayu lebih cenderung bersikap cemburu tanpa alasan yang jelas. Oleh itu, simpulan bahasa Melayu ‘cemburu buta’ telah dicipta.
Bagaimanapun, penulisan ini bukannya cubaan untuk memahami jiwa Melayu, tetapi melihat kepada perebutan politik antara presiden Umno semasa, Najib Razak dan bekas presidennya, Dr Mahathir Mohamad.
Telah pun diketahui bahawa Najib kini sedang menghadapi kritikan Mahathir.
Walau bagaimanapun, jika Najib boleh menahan tekanan yang belum pernah terjadi sebelumnya ini, beliau akan mengukuhkan statusnya sebagai presiden Umno yang paling berjaya dalam era Umno Baru, sejak Mahathir sendiri.
Dan saya menganggap Mahathir tidak mahu ini berlaku.
Dalam sebuah artikel yang dipaparkan dalam Semut Harian, V Shuman menulis bahawa doktor kelahiran Kedah ini percaya yang ramai pemimpin Umno menyokong Najib kerana rasa takut.
“Sokongan yang ditunjukkan untuk Najib oleh 'kumpulan tertentu' bukan diberikan kerana mereka menyokong 1MDB.
"Mereka takut. Sesetengah berkata kepada saya mengenai 1MDB dan meminta saya melakukan sesuatu mengenainya.
"Sekarang mereka yang tidak menyokong Najib sedang terancam," tulis Mahathir.
Saya tidak fikir 'takut' adalah faktor tepat mengapa kebanyakan pemimpin Umno menyokong Najib.
Sebenarnya, ahli-ahli Umno Baru belajar makna perkataan itu semasa era Mahathir, apabila sejumlah 106 ahli-ahli politik berprofil tinggi, aktivis, ahli akademik dan pengamal media telah ditahan tanpa perbicaraan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada Oktober 1987.
Malah pengkritik-pengkritik Mahathir dalam parti beliau sendiri turut berasa takut.
Malah, Pentadbiran Mahathir terkenal kerana penindasannya terhadap pembangkang, dengan lebih 60 individu yang dipercayai terlibat dengan apa yang kononnya digelar Kumpulan Malaysia Malaysia (KMM), dikurung dari tahun 2001 hingga 2002.
Walau bagaimanapun, selepas Mahathir meletak jawatan pada tahun 2003, ahli-ahli Umno tidak lagi takut terhadap presiden mereka.
Jadi, bagaimanakah Najib mendapat sokongan daripada pemimpin-pemimpin parti Melayu itu termasuk dari perdana menteri terdahulu, Abdullah Ahmad Badawi, anda mungkin bertanya?
Dua perkataan: salahsilah dan reputasi.
Ahli-ahli Umno Baru melihat Mahathir sebagai seorang presiden yang mengasaskan parti mereka, berani memimpin negara selama 22 tahun dan tidak takut untuk bersuara terhadap Barat.
Apabila beliau berada di pucuk pimpinan, Malaysia berjaya memajukan dalam sektor perindustrian. Modal insan menyaksikan pertumbuhan yang besar dengan lebih banyak universiti-universiti awam dibuka dan sebahagian besar rakyat Malaysia, terutamanya dalam komuniti-komuniti yang tertinggal, mampu mendapatkan pendidikan sehingga ke peringkat pendidikan tinggi.
Mahathir melakukannya dengan cara beliau sendiri.
Tetapi ahli-ahli politik Umno nampak pada Najib, sesuatu yang ada Umno lama, iaitu elitisme.
Dan tanpa golongan elit mereka, siapakah Umno?
Cuba bayangkan PAS tanpa puak ulama atau PKR tanpa keluarga Anwar Ibrahim, dan anda akan fahaminya.
Jadi adakah Mahathir akan dapat menyingkirkan Najib, semudah seperti yang dilakukannya dengan Abdullah Badawi?
Jelas sekali, jawapannya adalah tidak.
Sebagai anak lelaki sulung perdana menteri kedua, Najib memahami kuasa dengan baik dan pasti akan menggunakannya terhadap mereka yang bercita-cita untuk menjatuhkannya dalam Umno.
Apabila Najib berjaya mengatasi gelombang kritikan daripada Mahathir, maka beliau akan dapat menerajui parti Melayu itu dengan lebih lama, dan ini adalah sebab sebenar mengapa Mahathir menggesa beliau untuk meletak jawatan.
Tambahan pula, Mahathir marahkan Najib kerana tidak membawa kembali era "Mahathirisme".
Beberapa pihak dalam Umno sudah pun mengatakan yang mereka lebih gemarkan 1Malaysia Najib, daripada Wawasan 2020 Mahathir.
Najib memberi BR1M, sedangkan Mahathir tidak mempunyai mentaliti 'wang adalah segalanya'.
Najib melantik Christoph Mueller sedangkan pada zamannya, Mahathir akan melantik seorang ketua pegawai eksekutif berbangsa Bumiputera untuk memimpin Malaysia Airlines.
Dan yang paling penting, gaya hidup Najib adalah berlawanan dengan slogan 'Bersih, Cekap, Amanah' Mahathir.
Jadi pertembungan ini sebenarnya adalah di antara lelaki yang telah membentuk Umno Baru dan seorang elit sejati parti Melayu itu, dengan kelebihan berada di pihak Najib.
Tetapi bagi rakyat Malaysia yang bukan ahli parti, soalan yang lebih penting adalah, adakah kita akan memberikan Najib satu lagi kemenangan dalam pilihan raya umum akan datang?

Apabila Raja sudah tidak boleh diharap mentadbir negeri kerana sakit atau "lus skru".......

Mencari Hang Nadim dan Bendahara dalam Pas
Thursday, April 23, 2015
Ibarat dalam sebuah negeri apabila orang menjadi raja sudah tidak boleh diharap mentadbir dan menguruskan tanah jajahan dengan baik, sama ada kerana sakit atau "lus skru", maka harus ada satu puak ataupun seseorang dalam kalangan mereka yang cerdik dan bijak akal untuk menjadi penasihat bagi menyelamatkan keadaan negeri.

Mereka harus ditampilkan sebagai pemangku bagi mentadbirkan negeri.

Seperti mana dikisahkan dalam riwayat Singapura di langgar todak, ketika itu wujud seorang budak bernama Hang Nadim yang bijak akal mengatasi masalah todak yang mengganas. Raja atau sultan sendiri ketika itu sudah tidak tahu apa hendak dilakukan lagi, biul kerana ramai penduduk negeri itu mati kerana ditikam todak.

Saat raja sudah hilang akal dan ilmu itulah Hang Nadim muncul menyelamatkan keadaan. Menjadi super hero. Dengan kelebihan akalnya dengan mudah serangan todak itu dipatahkan apabila beliau mengarahkan penduduk menjadikan batang pisang sebagai perisai.

Malangnya kehadiran Hang Nadim itu tidak dihargai oleh sultan. Sebaik Hang Nadim berjaya menewaskan todak dia dihukum bunuh. Alasan sultan ialah bimbang budak yang cerdik itu akan menguasai negeri dan mengambil alih tempatnya. Pemikiran demikian tidak patut diwarisi kerana ia merugikan.

Malang dan sedihnya tidak ada siapa yang mempersoalkan tindakan sultan pada masa itu melainkan setelah ianya terkambus dek sejarah. Mungkin rakyat Singapura semuanya taksub dan wala' bengung kepada raja itu sehinggakan semuanya terminum air kencing pandir.

Begitu juga dalam riwayat dan sejarah Melaka, tindakan raja yang tanpa usul periksa dan dibuat atas pendapat yang naif akhirnya menyesalkan dirinya. Sultan Melaka telah mengarah bendahara membunuh Hang Tuah kerana panglima itu difitnah melakukan kesalahan. Tetapi kerana kebijaksanaan bendahara, Hang Tuan tidak dibunuh sebaliknya disembunyikan di hulu Melaka.

Hinggalah sultan menyesal perbuatannya lalu, beliau teringat kepada Hang Tuah tatkala Hang Jebat mengamuk menuntut bela atas pembunuhan saudaranya yang tidak berdosa itu. Saat inilah bendahara yang bijaksana dan kasyaf itu membawa balik Hang Tuah untuk berdepan dengan Hang Jebat.

Bayangkan apa jadi kalau tidak ada bendahara yang bijaksana itu, tentu Melaka jadi huru hara dan sultan itu sendiri hilang riwayat. Demikian juga dengan kecerdikan Hang Nadim yang melawan todak itu. Kalau bukan kerana kecerdikannya itu mungkin sultan juga disodong todak.

Cukup mengambil dua sejarah separuh dongengan itu untuk dipadankan dengan apa yang berlaku dalam negeri bernama Pas waktu ini. Keadaan Pas hari ini kucar kacir dan mulai hilang rasa hormat dan sanjungan orang ramai. Semuanya ialah seperti apa berlaku di Singapura dan Melaka tadi kerana keadaan raja atau sultan yang tidak bijaksana dan sombong, degil dan enggan mendengar kata.

Ada orang mengatakan keributan dalam Pas kini disebabkan agenda musuh.  Saya kurang bersetuju kerana sudah menjadi harapan musuh untuk memecahkan Pas dengan apa cara sekali pun termasuk memberi cenuai dan wang kepada orang Pas sendiri.

Kalau kita sudah tahu dengan kerja musuh untuk merusakkan Pas, kenapa kita tidak bertindak membendung kejadian itu. Apabila sudah tahu dan ahli tidak dapat dikawal maka kesalahan itu bukan lagi kepada musuh tetapi kepada diri sendiri. Kenapa hendak disalahkan kepada ibu yang mengandung?

Maka itu Pas kini memerlukan budak cerdik atau orang seperti Hang Nadim ataupun bendahara Melaka itu untuk menyelamatkan Pas. Mereka harus muncul dengan segera tidak kira datang dari gunung atau pun lembah. Sekiranya keadaan dalam Pas kini dibiarkan nescaya Pas akan menjadi caca merba dan sebuah parti yang tidak disanjung hormat lagi. Negeri Pas juga akan jadi padang jarak padang terkukur.

Ada beberapa nama yang saya lihat berpotensi untuk menjadi Hang Nadim atau bertindak sebagai bendahara Melaka dalam Pas. Tiga nama ini sangat sesuai apabila integriti mereka masih boleh dipercayai. Ianya dinilai dari sudut sikap dan cara mereka berpolitik yang cukup sedarhana dan tawaduk. Mereka ialah ketiga-tiga naib presiden Pas yang kalau dalam hierarki di Istana mereka adalah panglima; Tuan Ibrahim Tuan Man, Salahudin Ayub dan Husam Musa. Inilah tiga budak cerdik dalam Pas pada waktu ini.

Cuba perhatikan mengenai sikap mereka dalam Pas, tenang dan sangat berjimat cermat dalam membuat kenyataan. Mereka tidak gelojoh, jauh sekali menunjuk hebatnya. Tuan Ibrahim dari kenyataanya menggambarkan dia seorang pendamai. Dia tidak suka kepada cara sesetengah ahli Pas yang bergasak sama sendiri yang merugikan Pas. Dalam penilaian saya dua atau tiga kali dia menyeru agar berbaik dan tidak membuka pintu kepada musuh.

Demikian juga dengan Salahudin Ayub. Dia lebih mengambil sikap mendiamkan diri dari bercakap. Salahudin mengelakkan diri terlibat atau pun terperosok dalam mana-mana kumpulan yang nampak agresif sehingga nampak kebundakannya. Salahudin juga menyesali apa yang berlaku tetapi tidak ada upaya untuk mengatasinya. Beliau seakan kecewa mengenang nasib Pas kini dan membimbangi masa depan.

Begitu juga dengan Husam Musa. Selepas diasingkan dari mainstream politik Pas Kelantan, Husam banyak bersendirian mengerjakan amal kebajikan. Dia seakan tidak pedulikan kepada apa yang berlaku dalam parti kerana menyedari power yang ada. Walaupun beliau diharap mencabar Abdul Hadi Awang tetapi saya tidak fikir Husam akan tergamak berbuat demikian. Husam juga sama seperti Salahudin dan Tuan Ibrahim bimbang dengan apa yang berlaku kini. Beliau akan meletakkan keselamatan parti lebih dari segala-galanya.

Bila saya menyebut tiga orang naib presiden ini, bukan bermakna mereka yang lain tidak cerdik. Cerdik atau menjadi sebutan saya kerana dengan kedudukan mereka sebagai pemimpin takah ketiga itu dapat mengawal diri. Mereka tidak excited untuk melonjak naik sebaliknya mengintai peluang dengan baik.

Sikap seperti inilah yang kita mahu dan dicontohi kerana mempunyai nilai kepimpinan. Mereka meletakan masalah kemaslahatan parti lebih penting daripada maslahat puak dan kumpulan. Mereka juga tidak membentuk apa-apa kumpulan untuk dilihat bagaikan kumpula rebana tertentu untuk berlawan dengan kumpulan rebana yang lain. Mereka sedar bertanding rebana tidak banyak laba kecuali dapat mendengar talun dan badan berpeluh balik rumah kalau kalah isteri marah.

Sehubungan itu saya yakin kalau mereka bertiga ini berkongsi idea dan tenaga mereka boleh muncul menjadi Hang Nadim dan bendahara Melaka dalam Pas menyelamatkan parti itu dari karam. Mungkin untuk bersendirian sukar, tetapi kalau menggunakan kedudukan mereka selaku naib presiden ia ada kekuatan dan suara mereka didengar.

Apa yang perlu mereka lakukan ialah menyeru agar ahli Pas di semua peringkat tidak ghairah untuk berlawan. Selain itu mereka bertiga juga harus "merantau" mencari penawar untuk mengubati tuan presiden yang kelihatan sakit sehinggakan tidak dapat berkhidmat dengan mampan lagi kini. Dan sebaik-baik tindakan mereka yang boleh mendatangkan keinsafan kepada orang lain mereka bertiga jangan bertanding apa-apa jawatan dalam muktamar Jun hadapan sebagai kompromi dan memberi laluan kepada yang lain yang berhajat.

Kalau mereka mengambil sikap demikian, sudah pasti orang yang ghairah untuk bertanding dengan apa jua alasan akan turut tergencat dan mudah-mudahan mereka akan ikut sama tidak bertanding dan dengan itu kemelut berebut jawatan dalam Pas kini boleh diatasi. Apakah mereka berani dan menerima pandangan ini sebagai bijaksana? [wm.kl.2:10 pm 23/04/15]

Mahathir: Berterus teranglah tentang masalah 1MDB

09:30PM Apr 23 2015
oleh V Shuman

KOMEN:  Kehilangan  duit yang dipinjam oleh 1MDB dan ketidakmampuan Perdana Menteri Najib Razak untuk memberikan penjelasan apa sebenarnya yang berlaku, telah menyebabkan dia tidak layak menjadi pemimpin negara ini, kata Dr Mahathir Mohamad.
Dalam artikel blognya yang diterbitkan hari ini, Mahathir berkata Najib, yang juga merupakan Menteri Kewangan, perlu bertanggungjawab di atas kewangan negara.
“Di Malaysia, PM dan TPM selalunya menjawat satu lagi portfolio tambahan. Selalunya sebagai Menteri dalam Negeri dan Menteri Pertahanan secara bergilir-gilir. Kadang-kala, sementara mencari calon yang sesuai, Kementerian Kewangan (MoF) juga diketuai oleh PM.
“Bagaimanapun, Najib, lebih senang meletakkan MoF dibawah kuasanya sepanjang masa. Dia telah melantik Menteri Kewangan Kedua. Ya, itu ialah haknya, tetapi dia (Najib) akhirnya perlu bertanggungjawab dengan kewangan negara,” katanya.
Mahathir menambah sangat mustahak bagi seorang pemimpin, yang diberikan kepercayaan untuk menguruskan duit rakyat, mengikut peraturan, undang-undang dan regulasi kewangan.
Dia mengakui yang korupsi wujud dalam mana-mana kerajaan, dan sebuah kerajaan juga boleh kehilangan duit melalui pelaburan yang merugikan.
“Kita perlu tahu di mana duit itu hilang. Tetapi apabila sejumlah besar wang lenyap, pihak yang bertanggungjawab perlu memberikan jawapan kepada kehilangan tersebut.
“Kehilangan berbeza daripada kerugian. Kehilangan ialah tentang duit yang hilang tanpa dapat dikesan. Ini mungkin terjadi kerana korupsi atau kecurian,” katanya, jelas merujuk kepada dana bermasalah 1MDB.
Menurutnya, terdapat situasi di mana kerajaan membentangkan dana luar bajet, yang mungkin tidak dibahaskan di Parlimen tetapi masih perlu diluluskan dan dipersoalkan oleh Kabinet.
“Kertas kerja kabinet adalah rahsia. Tetapi dalam kes 1MDB, pembentangan dan kelulusan kabinet tidak jelas. Nampaknya ada cubaan untuk bersembunyi di sebalik rahsia rasmi.”
Mahathir juga mempersoalkan yang 1MDB berjaya meminjam 42,000 kali ganda modalnya (hutang sebanyak RM 42 ribu juta berbanding pelaburan RM 1juta), kerana kerajaan telah memberikan jaminan kepada pinjaman tersebut.
“Dengan kata lain, sebenarnya kerajaan  yang meminjam duit tersebut. Jika 1MDB rugi, kerajaan yang terpaksa menangungnya. Tetapi operasi 1MDB tidak dipantau oleh pegawai kerajaan yang bertanggungjawab menguruskan dana kerajaan,” tambahnya lagi, dana itu memang bermasalah sejak peringkat awal.
Mahathir kemudiannya memberikan senarai pelaburan 1MDB yang diketahui umum, termasuklah tanah untuk projek Tun Razak Exchange (TRX) dan tanah Lapangan Terbang Sungai Besi- keduanya dibeli dengan harga jauh lebih rendah daripada harga pasaran.
“Nampaknya 1MDB tidak akan memperolehi apa-apa pulangan daripada pelaburannya. Bukan sahaja ia rugi, tetapi kerajaan juga hilang duit apabila 1MDB hanya membayar RM 683 juta untuk TRX dan Sungai Besi. Jumlah kehilangan yang ditanggung kerajaan dianggarkan sehingga RM 25 ribu juta.
“1MDB menilai asetnya berjumlah RM 52 ribu juta. Ini adalah kerana tanah kerajaan dibeli di bawah harga pasaran. Ia hanya boleh menggunakan duit ini untuk membayar pinjaman hanya sekiranya berjaya menjualnya sebagai tanah atau selepas dimajukan.  Kemajuan projek TRX sangat perlahan dan tiada kerja pembangunan di lakukan di Sungai Besi. Tiada duit yang akan masuk sepanjang pembangunan; hanya duit yang keluar,” katanya.
Mahathir menyimpulkan artikelnya dengan memberikan Najib tekanan: “ Kehilangan duit yang banyak dipinjam oleh 1MDB dan ketidakmampuannya untuk menjawab soalan apakah sebenarnya yang terjadi kepada dana tersebut, menyebabkan dia tidak layak jadi perdana menteri Malaysia.”
Tekanan yang diterima Najib semakin bertambah tetapi dia kelihatan tidak gentar dengan pengkritiknya.
Walaupun terdapat ahli Umno yang merasakan Najib perlu menjawab tuduhan yang dilemparkan kepadanya, yang kita terima setakat ini hanyalah kebisuan yang panjang.
Malah temuramah yang disiarkan baru-baru ini sangat mengecewakan, dan  ianya bukanlah sesuatu yang mengejutkan.
Blog Mahathir secara ‘misteri’ tidak dapat dimasuki sehingga hari ini, tetapi ‘posting’ nya selalu muncul dalam media sosial, terutama melalui para bloger yang menyokongnnya.
Sudah sampai masanya untuk Najib meletakkan titik penamat kepada isu ini dan berterus terang tentang 1MDB dan menjawab semua soalan yang dibangkitkan, berbanding tindakannya sekarang yang hanya cuba untuk mengawal media sosial serta cuba menghentikan kritikan kepadanya walaupun tidak berjaya. 

Yakin Nur Jazlan tidak akan menjadi lalang

DATUK NUR JAZLAN TAK BOLEH BERLINDONG DISEBALIK SEHELAI LALANG.
THURSDAY, 23 APRIL 2015
Anggota Parlimen Pulai dan Ketua UMNO Bahagian Pulai Datuk Nur Jazlan  anak kepada bekas Menteri Penerangan Datuk Mohamed Rahmat tidak boleh berselindong di sebalik sehelai lalang bila menapikan bahawa tulisannya bermaksud  mahukan Perdana Menteri Datuk Seri Najib meletak jawatan.

Tidakah syor beliau supaya Najib membubarkan Parlimen dan mendapatkan mandat baru dari   rakyat dengan  mengadakan Pilihanraya Kilat bagi mencuci persepsi negatif terhadapnya  dan keluarganya  memberi arti bahwa Najib mesti letak jawatan.?

Bagaimanakah  pilihanraya itu boleh diadakan jika Najib tidak meletak jawatan?

Dalam tulisannya yang berterus  terang di Malaysian Insider, Nur Jazlan telah menunjukan beberapa kelemahan Najib dan mahukan Najib menjawab segera kritikan dan tuduhan terhadapnnya dan beliau juga berpandangan jawapan Najib menerusi intverviu di TV3 baru-baru ini tidak dapat menangkis kritikan dan spekulasi umum terhadap 1MDB dan juga GST..

Bagaimanapun Nur Jazlan sendiri tidak pasti samaada UMNO akan dapat kembali  berkuasa selepas pilihanraya kilat itu sedangkan  Najib sekarang  berada pada kedudukan yang lemah untuk mempertahankan dirinya kerana barisan pertahanannya terdiri dari orang -orang yang tidak mempunyai kredibiliti dan pengalaman sehingga segala hujjah mudah sahaja dijawab bukan sahaja dikalangan pembangkang malah oleh rakyat biasa.

Jika kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin " You are not alone Sir " dipertikaikan sebagai sokongan kepada  Mantan Perdana Menteri Tun Mahathir dan dilihat sebagai cuba bersembunyi  tetapi kenyataan Datuk Nur Jazlan menampakan  beliau lebih berani dan  lepas bebas.

Ini meningkatkan  kredibilitinya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara kerana menunjukan sikap kebertanggungjawabannya tetapi kenapa pula beliau cuba bersembunyi di sebalik sehelai lalang?.

Lalang mudah ditiup angin dan akan nampak belang. Bagaimanapun saya yakin Nur Jazlan tidak akan menjadi lalang.

Fatwa songsang: Ini penjelasannya

Kaji mendalam 'fatwa Permatang Pauh'
mk - 1:17PM - 23 Apr 2015

Pandangan bahawa haram dan berdosa mengundi calon yang menolak hudud dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh seperti yang dinyatakan seorang pemimpin akar umbi PAS, perlu dikaji lebih mendalam, kata Dr Zaharuddin Abd Rahman.

Pengerusi Pertubuhan Multaqa Asatizah itu berkata sesuatu hukum agama tidak boleh dijatuhkan dengan mudah tanpa penerangan terperinci kerana akan mengelirukan masyarakat, lapor Sinar Harian hari ini.

"Sememangnya akan jatuh haram menyokong calon yang menolak perlaksanaan hudud secara ingkar dalam keadaan dia menyakini hukum itu dari Allah.

"Jika seseorang itu menolak asas hudud seperti potong tangan untuk mencuri, itu bahagian asas hukum yang tidak boleh ditolak.

“Namun jika yang ditolak adalah hukum ranting seperti jumlah yang dicuri atau lain-lain kaedah sabitan bersifat jihad (proses penyelidikan), bagi saya itu belum boleh dianggap tolak hudud serta jadi haram menyokong calon terbabit," katanya seperti dilapor akhbar itu.

Ketua Urusan Ulama kawasan itu Badrul Abdul Rahman dilapor berkata bahawa ‘haram mengundi calon tolak hudud’.

Hal demikian mengundang kenyataan tegas anggota Majlis Syura PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang menggesa pemimpin semua peringkat tidak mencetuskan kontroversi sebaliknya merujuk Majlis Syura Ulama dan Dewan Ulama PAS berkaitan hubungan dalam Pakatan Rakyat.

Bagaimanapun, Zaharuddin berkata hukum haram tidak boleh dijatuhkan jika calon menolak hudud kerana tidak yakin dengan rang undang-undang hudud yang dibuat dalam bentuk kontemporari oleh PAS atau masalah kredibiliti parti itu untuk melaksanakan hudud.

"Maknanya sesiapa yang tidak menolak hudud tidak perlu risau," Dr Zaharuddin dilaporkan sebagai berkata.

Mamat ni mamai ker apa?

Patut laa dia tidak senang duduk di kalangan cerdik dalam DAP
Antara menyiasat dan menghukum pun tak faham.........
Kalau dah tertayang di depan mata......syak wasangka apa ker namanya?

'Tak boleh siasat kekayaan PM hanya kerana syak'
mk - 3:11PM - 23 Apr 2015

Syak wasangka sahaja tidak cukup untuk membolehkan pihak berkuasa menyiasat dakwaan salah laku sekitar kekayaan keluarga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, kata panel penasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“SPRM akan siasat jika ada kes untuk siasatan. Dengan kata lain, kamu tidak hanya siasat sesuatu yang tidak tahu pokok pangkalnya.

“Jika bimbang, saya bimbang ia tak akan sampai ke mana-mana.

Jika saya buat dakwaan, saya pergi ke SPRM dan kata demikian demikian […] tetapi hanya beritahu mereka syak wasangka saya.

“Kamu tidak bunuh seekor kucing hanya kerana sangka ia makan ikan kamu,” kata anggota Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim kepada pemberita di Putrajaya.

Thursday, April 23, 2015

Allahyarham Jamaluddin Jarjis: Bongkar sebab trajedi

Bongkar sebab trajedi demi keadilan untuk JJ
Tulisan Umum
23 April 2015

PERSAINGAN DEMOKRASI DI ROMPIN TIDAK HARUS MELUPAKAN TAN SRI JAMALUDDIN JARJIS


2.      Namun persaingan demokrasi di Rompin ini tidak seharusnya melupakan puncanya iaitu pemergian tokoh penting dan sahabat ‘perencana’ dibelakang Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu Tan Sri Jamaluddin Jarjis. Tokoh ini wajar tidak boleh dilupakan, khususnya misteri trajedi kemalangan itu harus diberi perhatian sewajarnya seiring apabila negara memutuskan untuk mengebumikan jenazah arwahyarham di Makan Kehormat Negara iaitu Makam Pahlawan.

3.      Jujurnya saya mengenali beliau secara peribadi. Dalam 5 tahun perkenalan dengannya banyak kali kami bertemu bersembang, ada sehingga pertemuan sehingga 2 – 3 jam lamanya. Bagi saya ia seorang tokoh yang ‘cool’ dan focus dengan matlamat kerjanya. Dia seorang yang bekerja meletakkan matlamat di depan dan dengan apa cara pun matlamatnya pasti dicapai. Mungkin ramai punya perbagai versi cerita mengenai arwah tetapi bagi saya dia ada sisi baiknya juga. Pernah sekali ketika kami berbual, datang seorang lelaki yang saya kira ia kakitangan di bawahnya untuk menguruskan bantuan peribadi beliau ke satu kawasan majoriti orang Islam yang amat memerlukan di negara jiran. Bila ditanya kenapa tidak ada hebahan media , dia menjawab kerja politik nak raih sokongan dan undi kena masuk media tetapi sumbangan ini urus niaga saya dengan pencipta maka tak perlu orang tahu. Malah ketika berbicara dalam talian beliau sendiri bersetuju membantu Koop SAMM Berhad untuk mendapat tanah pertanian tanpa meminta apa balasan pun malah beliau pesan jangan beritahu orang lain sebab nanti kalau ada ‘geng Umno’ tahu beratur pula yang minta. Arwah kata dia kalau nak bantu luar urusan politik biar dia bantu orang yang mampu bekerja bukan dapat tanah lepas itu jual.

4.      Mungkin ramai juga tidak tahu bahawa dia jugalah ‘pencatur’ atau ‘penyusun’ penting politik negara. Dari pemerhatian saya tidak melampau dikatakan dia antara ‘nyawa politik’ Najib Razak. Namun bila kami bersama banyak perbezaan pandang kami letak tepi tapi bersembang banyak perkara yang punya pandang serupa. Cuma sempena 20 hari perginya tokoh ini dan mengambil kesempatan persaingan demokrasi di Rompin ayuh kita teliti trajedi tersebut


5.      Pertama yang saya pelikkan ialah sepanjang perkenalan saya dengan arwah tidak pernah beliau menggunakan khidmat ‘bodyguard’, malah beliau sendiri pernah menyatakan dengan saya beliau tidak selesa jika ada ‘bodyguard’ lainlah kalau memang ada ancaman bunuh yang serius. Beberapa pertemuan beliau membawa kenderaan sendiri. Untuk satu pertemuan sembang santai, dia  mengambil saya dan teman saya dengan kenderaan yang beliau pandu sendiri. Maka apabila melihat senarai penumpang mangsa tragedi helikopter tersebut maka sesuatu yang pelik. Kenapa tiba – tiba Tan Sri Jamaluddin Jarjis menggunakan khidmat ‘bodyguard’, adakah beliau mendapat ancaman serius ?

6.      Jujurnya beberapa minggu sebelum trajedi saya dan seorang kawan yang biasa kalau saya bertemu Jamaluddin Jarjis dia akan bersama, ada saling berhubung. Dalam salah satu pesanan ringkas arwah menyatakan maaf sibuk sangat kerana sedang menyelesaikan pergeseran antara Mahathir dan Najib. Beliau ada berkongsi beberapa perkara termasuklah peranan beliau menjadi orang pengantara dan ‘selesai bertemu Tun Daim’.


7.      Maka persoalan muncul adakah selepas terlibat serius secara dalam sebagai orang tengah menyelesaikan masalah pertembungan Najib dan Dr. Mahathir ini dia menggunakan ‘bodyguard’ ? Adakah ada pihak yang tidak senang melihat Najib melayan permintaan Dr. Mahathir ? Adakah dia diancam serius selepas itu sehingga menggunakan ‘bodyguard’ ?


8.      Helikopter tiba - tiba meletup juga sangat pelik. Rekod menyatakan Helikopter punya rekod pemeriksaan penuh dan dalam keadaan baik sebelum penerbangan. Dua saksi awal menyatakan helikopter terbang dalam keadaan baik dan tiba – tiba meletup.  Cuaca baik ketika itu, jika letupan berpunca dari mechanical failure untuk mencetuskan api dan menyambar  fuel tank maka ia seharusnya berasap dan ia tidak terus meletup, pilot seharusnya membuat panggilan ke menara kawalan ‘may day…may day’ , namun menara kawalan melaporkan tidak ada langsung panggilan kecuali yang terakhir melaporkan semua baik.

9.      Kotak hitam ditemui dan dihantar ke AAIB. AAIB ialah pihak yang terlibat dalam penyiasatan. Helikopter ini buatan Airbus. Sama macam ‘GermanWings’. Teringat kes ‘GermanWings’ dimana hanya beberapa minggu lepas nahas pasukan penyiasat terus menyatakan bahawa juruterbang bunuh diri. Kes tragedi kemalangan yang membawa kematian arwah ini polis awal lagi telah menolak unsur sabotaj dan kini mengumumkan menyiasat akaun juruterbang pula, moga penyiasatan tidak hanya untuk dipermudah dengan mewujudkan kambing hitam sahaja.

10. Carian rekod menyatakan dari 93-2015, 11 kejadian libat helikopter jenis yg sama. Tiada yg meletup kecuali yang dinaiki Jamaluddin Jarjis.

11.  Ia meletup diudara bukan terhempas dan meletup. The Malaymail online (13 April) menyebut dengan jelas “ It did not specify any indications or reasons as to why the helicopter had exploded in mid-air during the flight. However, the team hopes that the combination of both black box data and reconstruction of the wreckage would provide answers to what had happened that fateful evening on April 4”
 

1    2.  Selasa 30 Disember 2014, helikopter Ecureui Unit Udara PDRM terhempas di Kampung Rambai Lama Gobek, Tanah Merah, Kelantan ketika misi menghantar bantuan makanan kepada mangsa banjir. Helikopter yang penuh dengan bahan bantuan, berat dan sarat jatuh dalam keadaan cuaca buruk tetapi semua penumpang selamat. Saksi kejadian melihat helicopter itu berlegar – legar, berasap sebelum jatuh dan kemudian ada letupan. Tetapi helikopter yang dianiki oleh arwah dalam keadaan baik dan tiba – tiba meletup.

13.  Sepatutnya setiap penerbangan harus dilaporkan semua penumpang dan bagasi kepada pihak berkuasa, tetapi dalam penerbangan tersebut penumpangyang dikatakan pada peringkat awal sebagai pembantu juruterbang itu tidak punya rekod lengkap. Apa bagasi dibawanya ? Adakah letupan itu ada kena mengena dengan bagasi yang dibawanya ?


14.  Helikopter yang nahas itu model Eurocopter AS365 n2. Sejarahnya model ini mengalami pengubah suaian apabila Airbus ambil alih Aerospatiale dan kemudian upgrade helikopter model ini dari 1 enjin kepada 2 enjin. Airbus dalam memperkatakan kemampuan  helikopter ini menyatakan its capable of travelling long range, well suited to operating in climates of a high ambient temperature or at location of significant altitude. Jadi hanya terbang dari Kuantan dalam cuaca baik dan ia tiba – tiba meletup tanpa panggilan kecemasan dari juruterbang, hanya mampu diperjelaskan adakah ia diletupkan ? Adakah ini berkaitan pertembungan politik yang beliau terlibat ditengahnya ? . Pihak berwajib harus tampil menjelaskan perkara ini dan penyiasatan serta keadilan buat mangsa perlu diperlihatkan.


15.  Al fatihah dan doa buat orang yang pernah ku kenali, Tan Sri Dr. Jamaluddin Jarjis tenanglah kau di sana. Moga Allah mengampunkan dosanya dan dosa – dosa kita semua. Moga Allah menerima amal baiknya dan amal  baik kita semua.

Tulisan : che’GuBard