Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Sunday, May 4, 2008

Catatan Mountain Trekking - Gunung Tebu

Hari ini hari Khamis 1 Mei 2008, Saya dan isteri berkereta dari rumah di Kota Bharu menuju ke Pekan Pasir Puteh di dalam perjalanan ke kaki Gunung Tebu, Jabi, Besut, Terengganu untuk satu ekspedisi yang kami namakan "Aprisiasi Alam" di dalam perjalanan kami berhenti bersarapan pagi di Kampong Selising bersama Sdr. Mohd. Nordin serta isteri dan keluarga jam 08:30.

Selepas bersarapan kami bersama-sama meneruskan
perjalanan dan tiba di Lata Belatan (air terjun di kaki Gunung Tebu) pada jam 09:00. Di sini Sdr. Mat Ripin, Zuhdi, Emie dan Wan Aishah sudah sedia menunggu, begitu juga dengan Sdr. Zulkifly dan keluarga serta ikut sama Sdr. Affandi dari JPS. Selain dari kumpulan kami sudah ramai orang lain yang datang untuk mandi dan berkelah di Air Terjun ini. Pusat rekreasi ini agak terkenal di Terengganu dan Kelantan.

Setelah selesai urusan sewa Chalet untuk isteri saya Zainab dan isteri Sdr. Mohd. Nordin Kak Hasmah yang akan menginap sementara menunggu kami pulang dari puncak Gunung Tebu pada keesokannya. Kami berikan sedikit taklimat akhir kepada anggota kumpulan kami sebelum memula
kan pendakian. Setelah selesai membuat semakan checklist dan persediaan minda, kami bertolak untuk trekking ke puncak Gunung Tebu pada jam 10:20.

Jarak Gunung tebu dari Kota Bharu ialah lebih kurang 80km. melalui Pekan Jertih, Kampong Jabi dan melencung masuk ke Kampong Kuala Kubang dan terus ke Air Terjun Belatan. Ketinggian Gunung Tebu ialah 3,400 kaki atau 1,046m dari aras laut. Jarak trekking dari Lata Belatan ke puncak Gunung Tebu adalah 7.2km. Di puncaknya juga dikatakan ada banyak manumen sejarah tetapi tidak pernah disahkan oleh mana-mana badan sama ada persatuan sejarah atau pun mana-mana badan pelancungan.

Monumen sejarah yang dituturkan dari bibir ke bibir adalah Batu Pelana yang di katakan "Pelana" kuda Sultan Ahmad Shah, Sultan Terengganu. Batu Madrasah - seketul batu granit besar yang bahagian atasnya datar dan rata. Di sana juga terdapat satu kesan "kubur misteri" yang lengkap dengan batu nisan dari batu sungai, dan terdapat juga sebuah batu yang dikatakan batu pancung dengan kesan yang terbelah. Tempat ini juga dikatakan pernah menjadi medan perang Sultan Ahmad Shah. Entah betul entahkan tidak Wallahuaklam!

Setelah lebih kurang setengah jam trekking melalui denai yang terang di kawasan perkelahan kami menyeberangi sebatang sungai dengan meniti di atas batu-batu dan seterusnya menyambung trekking ke sungai Cakah Dua (Cabang Dua). Jam 11:00 kami tiba di sana dan berehat seketika. Jam 11:30 dari tebing sungai ini kami terpaksa merentas sungai dengan meranduk air untuk ke seberang dan meneruskan perjalanan ke Batu Tok Mat Hassan.

Di peringkat ini sudah terasa penat dan peluh sudah pun menjelejeh walau pun treknya tidaklah terlalu curam. Selepas setengah jam trekking dari tebing sungai ini, keadaan trek sudah mula curam. Kami terpaksa berhenti rehat agak kerap, beban yang dibawa sudah terasa berat, bahu sudah terasa sakit dan lenguh, lutut sundah rasa longgar, nafas sudah termengah-mengah, tekak sudah terasa kering, peluh jangan cakaplah macam berjalan di tengah hujan. Saya nasihatkan kepada anggota kumpulan supaya jangan minum air terlalu banyak, cukup untuk basahkan tekak saja. Minum air dengan banyak semasa aktiviti trekking akan menyebabkan keletihan.

Setelah dua jam trekking, ahli kumpulan sudah mula terpecah, yang lebih kuat
sudah kehadapan yang lemah dah tertinggal kebelakang. Di peringkat ini Sdr. Mohd. Nordin mengepalai yang di hadapan dan saya mengawasi yang di belakang. Selepas perperang dengan semangat dan perasaan letih kami tiba di Batu Tok Mat Hasaan jam 14:00 setengah jam lewat dari kumpulan pertama. Kami berehat dan makan tengahari di sini.

Jam 15:00 kami bertolak dar
i Batu Tok Mat Hassan ke Puncak Gunung Tebu melalui Jendela Padang. Dari sinilah semua peserta akan merasai pendakian yang sebenar dengan kecerunan sehingga 75 darjah. Trekking yang amat meletih dan memeritkan. Jam 15:45 sampai di Jendela Padang, berehat seketika menghilangkan lelah sambil menikmati pemandangan dari "jendela". Jendela Padang adalah merupakan satu lubang di celah-celah pokok rimbun yang melalui lubang ini kita boleh melihat pemandangan yang lapang dan cantik dengan berlatar belakangkan bukit yang suram.

Jam 16:10 kami bertolak dari Jendela Padang meneruskan pendakian ke puncak. Di peringkat inilah semangat akan berperang dengan nafsu letih yang ingin mengalah. Cukup menyiksakan bagi yang kurang cergas atau pun sesiapa yang telah berusia. Kejang otot dan semput nafas adalah perkara biasa. Rasa dahaga pula ibaratkan kalau diminum air satu sungai boleh kering. Di peringkat ini jugalah salah seorang dari kami telah mengalami kejang otot, terpaksa menggunakan spray. Selepas itu pula salah seorang dari anggota perempuan pula sudah mengalah. Tapi walau bagaimana pun kerana dipaksa beliau teruskan juga dengan keadaan yang longlai.

Di peringkat 1km
dari puncak, saya sendiri pun dah tidak boleh ikut rentak mereka yang terlalu kerap berhenti dan menjadikan badan sudah sejuk dan lambat untuk panas. Keadaan ini menyebabkan saya sendiri pun terasa akan kejang otot. Saya minta izin untuk mendahului mereka bersama Sdr. Zuhdi dan Wan Aisyah. Kami sampai di puncak jam 19:00 , rehat, ambil air dan masak minuman serta makan roti sambil menuggu yang dua orang lagi.

Jam 20:35 barulah anggota yang terakhir sampai dan tiba di puncak dan berehat. Kami bercadang hendak berkhemah dan tidur di situ saja. Tetapi pada jam 21:00 Sdr. Cheah Sin Choy dari Persatuan Cinta Alam datang dari puncak kubur bertanya khabar. Beliau mendesak kami perkumpul dan buat kem bersama kumpulan beliau di puncak kubur. Kami bertolak ke Puncak Kubur Jam 22:00 dan bermalam di sana bersama anggota Sdr. Cheah.

Sebelum itu Sdr, Cheah dan 23 o
rang anggota Persatuan Cinta Alam Kelantan telah sampai pada Jam 19:00 dan berkhemah di Puncak Kubur. Setibanya di Puncak Kubur, rupanya ramai lagi kumpulan trekkers atnik Cina yang lain sudah berkhemah di situ mendahului kami. Walau bagaimana pun mereka sporting dan kami berkungsi tapak perkhemahan bahkan air juga mereka pelawa untuk dikungsi bersama walau pun untuk mendapatkan air pun adalah cukup memeritkan, terpaksa turun ke anak air memakan masa perjalan setengah jam dan untuk naik balik ke tapak perkhemahan memakan masa tiga kali ganda. Selepas itu saya difahamkan yang kumpulan atnik Cina tadi ialah dari Kelab Penyokong PAS.

Kami berkhemah, makan malam dan tidur di sini. Saya terlelap agak pada jam 03:00 sementara yang lainnya masih lagi rancak bersembang dan makan apa saja yang ada dari bekalan yang di bawa.
Malam tadi tidur saya tidak berapa lena walau pun badan memang letih. Ini adalah disebabkan keadaan yang tidak selesa. Kerana kami sampai ke puncak kubur sudah jam 22:00, saya malas nak dirikan khemah atau gantung hammoc. Jadi saya tidur saja diatas tanah di bawah pokok yang permukaan tanahnya tidak rata dan sedikit condong dengan beralaskan sleeping mate tanpa bantal.

Pagi ini hari Jumaat 2 Mei 2008, saya bangun awal dan tanpa basuh muka atau mandi saya berkemas untuk turun. Sebelum turun saya diberi nasi lemak dan teh oleh Sdr. Mohd. Nordin. Setelah makan dan bersembang serta bergambar seketika, saya bertolak t
urun pada jam 09:30 berseorangan.

Lebih kurang setengah jam trekking turun di antara puncak dan Batu Tok Mat Hassan saya dapat mengejar 3 orang trekkers Cina dan kami turun bersama seketika. Saya memberi sedikit panduan bagaimana berjalan menurun bukit dengan cara yang selamat dan laju. Semasa saya berhenti rehat sekejap mereka minta izin untuk jalan dahulu dan meninggalkan saya.

Pada jam 10:30 sesampai di Batu Tok Mat Hassan saya bertembung lagi dengan kumpulan tadi yang sedang berehat dan saya pun berehat sama. Mereka berhenti agak lama, jadi oleh kerana badan saya dah mula berasa nak sejuk, saya mohon diri untuk jalan dahulu. Dari sini saya berjalan kekadang berlari anak menyebabkan tekak saya cukup haus sedangkan air bekalan sudah habis. Dalam haus dan letih saya sampai ke Sungai Cakah Dua jam 11:30 dan gogok air sepuasnya. Setelah hilang dahaga dan perut kenyang dengan air,
saya teruskan perjalanan ke Lata Belatan dan tiba jam 12:20.

Di Lata Belatan saya dijamu dengan coca cola oleh isteri saya dan isteri Sdr. Mohd. Nordin yang menunggu. Disebabkan terlalu dahaga dan keletihan saya habiskan 1.2liter coca cola sejuk. "
"Aaaah lega!!!"

Kami balik ke chalet tempat isteri saya menginap dan mandi. Jam 14:00 kami pulang tanpa menunggu kumpulan Sdr. Mohd. Nordin sampai.








1 comment:

  1. Salam bro. Terima kasih mengunjungi blog wa. Sekadar kunjungan balas.

    : )

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa