Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Friday, March 21, 2014

MH370: Putrajaya Masih Menyembunyikan Fakta?

Tataulah benar atau tidaknya tuduhan mereka ini?
Yang aku nampak Putrajaya buntu dan tidak tahu apa yang nak dikhabarkan
Ahli keluarga memang dalam tertekan dan gelisah tambahan pula macam-macam spekulasi yang dibuat oleh akhbar luar negara

Keluarga penumpang MH370 kecewa dengan taklimat khas
OLEH LEE SHI-IAN
MARCH 21, 2014
Anggota keluarga penumpang pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang 14 hari lalu meninggalkan resort selepas taklimat khas Malaysia Airlines di Cyberview Resort and Lodge di Cyberjaya semalam. Pencarian antarabangsa di laut dan udara kini memasuki hari ke-14 masih gagal menemui kesan 239 penumpang pesawat tersebut. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 21 Mac, 2014.

Taklimat khas Putrajaya dan Malaysia Airlines kepada keluarga penumpang pesawat hilang MH370 malam tadi gagal memberikan jawapan yang dinanti-nantikan.

Lebih 50 orang hadir di Cyberview Lodge, Spa and Resort di Cyberjaya, Selangor untuk taklimat bermula pukul 9.00 malam itu bagaimanapun, mereka gagal untuk mendapatkan jawapan dimahukan mengenai lokasi MH370 dan kedudukan ahli keluarga mereka.
 
Kebanyakan yang hadir merupakan warga China yang sedih dan tertekan semenjak dua minggu lalu apabila pesawat Boeing 777-200ER dengan 239 penumpang dan anak kapal itu mula hilang pada awal pagi 8 Mac.

Anggota media tidak dibenarkan untuk bersama mendengar taklimat itu dan terpaksa menunggu di luar sehingga ianya berakhir.

Difahamkan, pegawai tertinggi dari Putrajaya, Malaysia Airlines dan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) merupakan di antara yang hadir dalam taklimat itu.

Menurut salah seorang pegawai kerajaan Malaysia, sesi taklimat tersebut berjalan dalam keadaan tegang sepertimana persoalan-persoalan yang ditimbulkan oleh anggota-anggota keluarga penumpang MH370 yang masih belum ditemui itu.

“Situasi sangat tegang semasa taklimat dan kebanyakan warga China meluahkan kemarahan dan kekecewaan mereka,” kata pegawai kerajaan Malaysia itu dengan syarat tidak dinamakan.

“Mereka tidak berganjak Putrajaya menyembunyikan fakta mengenai kedudukan pesawat dan lambat dalam berkongsi maklumat.”

Salah satu persoalan yang ditimbulkan adalah mengapa misi mencari dan menyelamat diperluaskan ke koridor utara dan selatan seminggu selepas pencarian tidak berhasil.

Selepas komunikasi terputus dengan MH370 pada 1.20 pagi, 8 Mac, misi pencarian dilakukan di Laut China Selatan.

Kemudiannya ianya diperluaskan ke Selat Melaka apabila pihak berkuasa mengesyaki pesawat MH370 berpatah balik.

Misi pencarian itu kemudiannya diperluaskan lagi dari radius 50 batu nautika ke 100 batu nautika.

Operasi terkini di kedua-dua koridor utara dan selatan adalah seluas 2.4 juta batu nautika.

Koridor utara bermula daripada kawasan sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan sehingga ke utara Thailand.

Koridor selatan pula bermula daripada Indonesia ke selatan Lautan Hindi.

Pegawai tersebut memberitahu, anggota keluarga penumpang MH370 yang hilang juga diberikan taklimat mengenai perkembangan di Australia di mana dua objek dikesan oleh satelit di Lautan Hindi.

Taklimat tersebut berakhir lebih kurang sejam setengah selepas itu dan anggota keluarga penumpang MH370 dibawa keluar melalui pintu lain bagi mengelakkan petugas media.

Seorang warga China yang enggan dinamakan memberitahu media beliau kecewa dengan taklimat tersebut kerana menjelaskan tentang perkara sama.

“Kami tidak diberitahu perkara baru dalam taklimat tersebut. Kami tidak dapat jawapan yang diinginkan,” katanya dalam bahasa Mandarin.

Semalam, pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengatakan satu pasukan peringkat tertinggi diterbangkan hari ini ke Beijing untuk memberikan taklimat kepada anggota keluarga penumpang MH370 di sana.

Pasukan peringkat tertinnggi itu mewakili beberapa jabatan dan agensi seperti Pejabat Perdana Menteri, Kementerian Luar, MAS, DCA dan Tentera Udara Diraja Malaysia.

Pasukan ini diharapkan mampu menenangkan ahli keluarga penumpang MH370 yang marah kerana tidak mendapat begitu banyak maklumat daripada pihak berkuasa Malaysia. – 21 Mac, 2014.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa