Operasi di selatan Lautan Hindi fokus visual
7:15PM - 23 Mar 2014
Operasi di selatan Lautan Hindi hari ini untuk mencari pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang, melibatkan usaha mencari secara visual objek yang dikenal pasti satelit China pada 18 Mac.
Pengurus besar Lembaga Keselamatan Maritim Australia (AMSA) John Young berkata walaupun usaha itu mengambil banyak masa dan menyulitkan, namun ia akan tetap diteruskan.
"Kami merancang untuk meneruskan usaha mencari secara visual objek yang telah dikenal pasti di dalam imej visual berkenaan," katanya dalam sidang akhbar di Canberra, Australia yang disiarkan secara langsung oleh CNN hari ini.
Pada hari Sabtu, sebuah satelit China menunjukkan satu objek berukuran 22 meter panjang dan 13 meter lebar kira-kira 1,550km di barat daya Perth.
Objek itu dikesan satelit pencerapan bumi China 'Gaofen-1' kira-kira pada tengah malam 18 Mac (waktu Beijing).
Dalam sidang akhbar sama, ketua Pusat Penyelarasan Menyelamat AMSA Mike Barton berkata usaha mencari secara visual itu merupakan suatu perubahan
seratus peratus dan operasi itu memberi tumpuan di kawasan lebih khusus dengan berpandukan imej satelit tersebut.
Katanya lapan pesawat terdiri daripada empat pesawat tentera dan empat pesawat awam menggunakan khidmat sukarelawan kecemasan yang terlatih dalam kaedah pemerhatian, dihantar ke loksi yang dikenal pasti.
"Kawasan tumpuan sering berubah akibat perubahan pergerakan air dan kami terus menjejakinya dengan menggunakan boya datum khas serta mendapatkan
pendapat pakar daripada organisasi tertentu...kami gabungkan semua maklumat yang ada dengan imej satelit dalam membuat pencarian di kawasan berkenaan.
"Malam ini, kami akan lakukannya sekali lagi serta pergi ke kawasan carian dan akan terus berbuat demikian sehinggalah kami mendapat sesuatu berkaitan objek yang dikesan di kawasan itu," katanya.
Barton berkata imej satelit terbaharu yang dikeluarkan China adalah sama dengan imej yang dikesan satelit Australia beberapa hari lepas di kawasan terbabit.
"Jadi, sekali lagi, fokus adalah kepada mencari secara visual untuk mengesan barangan berkenaan dan menentukan jenisnya...tapi ia amat sukar dilakukan dari atas (pesawat)," katanya.
Beliau berkata operasi itu akan berterusan hingga petang Waktu Siang Timur hari ini.
Sementara itu, Young menjangka jumlah aset yang digunakan dalam operasi SAR di selatan Lautan Hindi bertambah beberapa hari lagi.
Pesawat Boeing 777-200ER itu yang dalam penerbangan ke Beijing dengan membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang kira-kira sejam selepas meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada pukul 12.41 tengah malam 8 Mac.
Pesawat berkenaan dijadualkan mendarat di Beijing pada pukul 6.30 pagi hari yang sama. - sumber
No comments:
Post a Comment
Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa