Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Wednesday, April 12, 2017

Dah sama-sama bijak katakan........berhujahlah kamu dan kami menilai!

Dzulkefly jawab PAS: Itu tekad AMANAH
mk     Hari ini, 8:21 malam
Dzulkefly
Dr Khairuddin Aman Razali

ULASAN | Tuduhan Anggota Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali bahawa Parti Amanah Negara (AMANAH) melakukan "jenayah intelek" kerana menganjurkan Seminar Pemikiran Tok Guru Nik Aziz Nik Mat'.

Menjadikan keadaan lebih rumit lagi apabila tuduhan seperti itu bukanlah satu perlakuan "jenayah" dalam mana-mana peruntukan Kanun Keseksaan.

Kata beliau lagi, bahawa seminar ini "seolah-olah mahu menggambarkan AMANAH mendapat restu Nik Aziz".

Sejujurnya saya tidak tahu untuk tertawa atau berasa sedih membaca laporan tersebut. Apakah tujuan sebenar di sebalik perkara ini dipolemikkan?

Lebih saya sangsikan ialah nilai ilmiah atau intelektual untuk memanjangkan topik atau wacana (baca: polemik) ini. Pun begitu, memenuhi permintaan sesetengah pihak, saya tuliskan juga.

Sekali lagi saya tegaskan, tujuan seminar itu diadakan adalah untuk "menekuni dan merakamkan keunikan jalur pemikiran Tok Guru" mengemudi pelbagai cabaran kerencaman masyarakat majmuk dan mendepani tuntutan politik dan anutan agama yang kerapnya saling bersilang.

Khasnya lagi, ia menekuni pemikiran beliau yang berdepan cabaran sebuah kerajaan persekutuan yang amat menceburui usia pentadbiran dan kerajaannya.

Khairuddin terlupa, segala tuduhan "penipuan, cerita rekaan dan pembohongan" yang dimaksudkan itu juga disaksikan dan didengari juga puluhan ribu penonton.

Tidak semudah itu untuk beliau seorang hendak menjadi pendakwa dan hakim sekaligus. Terlalu ramai yang menyanggahi kesimpulan beliau yang simplistik serta sarat dengan prejudis dan kejengkelan itu. Maaf, itu yang sejujurnya.

Takut hilang tak berganti

Sebaliknya ramai merakamkan rasa gembiar kerana mendapat pencerahan kertas kerja oleh mereka yang pernah bersama Tok Guru dari pelbagai sisi, zaman dan latar sosiobudaya secara pengkisahan (naratif), mahupun pandangan analitikal seorang saintis politik yang kini seorang ahli politik.

Lebih penting lagi buat kami, ketajaman pemikiran politik lslam Tok Guru yang bersendikan tasaamuh (toleransi) yang seimbang serta mantiknya yang tinggi hasil penguasaan ilmu yang mendalam.

Dari situ beliau lantas berani membuat pendirian-pendirian politik yang tidak konvensional dan tidak predictable. Ia adalah keunikan kepemimpinan Tok Guru yang kini kami takuti akan hilang tidak berganti.
Kehebatan beliau mengembangkan dakwah pada setiap derap langkah siasahnya dan memperkukuhkan sokongan siasah dalam kebijaksanaan dakwahnya menyerlahkan Tok Guru sebagai ulama haraki yang inklusif, serta punyai bacaan politik yang responsif.

Ini yang kami mahu pelajari dan tekuni dalam seminar pemikiran berkenaan.

Yang penting, dalam empat pembentangan pagi itu, tidak ada unsur-unsur untuk:
  • Memperendah atau mencerca (mentajrih)
  • Mendewa-dewa (mentaqdis), atau pun
  • Dibuat kalam dusta (kazib maudhu’) yang dinisbahkan dan disandarkan kepada Tok Guru.
Lebih tegas lagi kalau saya katakan, tidaklah seperti kejutan yang dibuat Nik Abduh Nik Aziz anakanda Tok Guru sendiri - pada Seminar Pemikiran Datuk Dr Haron Din.

Sementelah Khairuddin menjatuh hukuman sabit kesalahan kami sebagai "jenayah intelek", maka kami juga boleh saja lakukan sedemikian.

Secara khusus, lebih wajar kalam Nik Abduh diperhatikan dari segi aspek mentajrih pendekatan (uslub) serta orientasi pemikiran Tok Guru yang beliau bandingkan dengan Haron.

Nampak makin jelas

Sememangnya setiap pandangan bersifat relatif (nisbiyah), namun tidak dapat tidak, ketika idea itu dikemukakan, Nik Abduh seharusnya sedar akan impak dan ‘integriti intelektual’ ayahandanya yang diperendahkan dalam ruang wacana itu.

Memang Nik Abduh hebat, atau apa ya?

Perbandingan beliau, meskipun secara ilmiah, jelas mempunyai unsur ‘tajrih’. Pada yang lebih berminat, sila rujuk laporan Politik Penyatuan Kelebihan Haron Din berbanding Nik Aziz di Internet.

Tegasnya, apakah Nik Abduh sanggup memperendahkan uslub siasatud dakwah ayahandanya, justeru kerana mencari alasan politik (tabrir siyasi) bagi mengesahkan perubahan pendekatan politik segelintir kepimpinan partinya kini, termasuk dirinya?

Dulunya lawan tetapi kini boleh lunak dan berkawan dengan musuh tradisi, kononnya atas kemaslahatan dan penyatuan agenda Melayu-Islam?

Nik Abduh sangat sedar akan ketegasan almarhum ayahandanya mengenai mentakrif musuh dan lawan, seperti Rasulullan SAW amat jelas dan tidak berganjak mentakrif Abu Jahal dan Abu Lahab bagi mewakili atau menjadi simbol kezaliman pimpinan Quraish.

Kedua-dua tokoh itu pada hakikatnya mewakili segala kebobrokan tadbir urus masyarakat yang membeban, menindas serta menzalimi golongan marhaen serta masyarakat umum di Makkah.

Ya, kalau pun ada yang sudah mula melupakan atau tidak lagi mahu 'istiqomah' sehingga terumbang-ambing serta hilang arah kompas perjuangan, maka kami di AMANAH bertekad untuk melangsungkan dan memperkukuhkan ciri-ciri kebijaksanaan (fatonah), kewibawaan serta integriti kepemimpinan Tok Guru dalam amalan dan penghayatan politik Islam yang inklusif dan progresif yang kami dukungi.

Kalau ini yang dianggap "jenayah intelek", maka AMANAH - secara sedar dan penuh iltizam - akan teruskan malah bercita-cita menubuhkan sebuah institut pemikiran tokoh-tokoh besar ulama dan intelektual yang pernah tampil di persada tanah air, seumpama Tok Guru, Allahyarham Datuk Fadzil Noor dan Pendeta Za’aba - sekadar contoh terhad.

Nampaknya semakin jelas, ketika AMANAH komited untuk melangsungkan pendekatan politik Islam Tok Guru, PAS kini mengubah haluan ke arah penyatuan Melayu Islam anjuran Haron.

* DR DZULKEFLY AHMAD ialah Pengarah Strategi Parti Amanah Negara.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa