'Varmer sering bertanya ayahnya kenapa tidak menghubungi mereka'
Adik sedih terima mesej terakhir ucapan hari jadi daripada abang
Adik perempuan kepada seorang penumpang pesawat Malaysia Airlines MH370 tidak menyangka ucapan “Selamat hari jadi” daripada abangnya adalah mesej terakhir yang diterimanya.
S Thenmoli, 26, eksekutif operasi di sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur, berkata abangnya, S Puspanathan, 34, menghantar mesej menerusi WhatsApp: "Take Care, tot if u cum today (Friday), we go for dinner; Anyway see u after I back from China and Wish u advance happy birthday". (Jaga diri, jika kamu datang hari ini (Jumaat), kita pergi makan malam; Apa pun jumpa kamu selepas saya balik dari China dan Ucapan lebih awal, selamat menyambut hari jadi".)
Beliau berkata mesej itu dihantar beberapa jam sebelum abangnya menaiki pesawat MH370 yang dilapor hilang pagi semalam.
"Hari ini merupakan hari lahir saya yang ke-26 dan saya tidak mempunyai adik-beradik lain dan sekarang saya amat merindui abang saya," katanya hari ini.Puspanathan bekerja dengan sebuah syarikat swasta di ibu kota dan berlepas ke Beijing, China atas urusan kerja.
Thenmoli berkata Puspanathan sering ke luar negara atas urusan kerja dan beliau akan menghubungi keluarga dengan menghantar e-mel, tetapi kali ini, mereka tidak menerima sebarang panggilan daripadanya.
"Sudah beratus kali saya membuka e-mel dengan harapan abang akan membalas e-mel dengan menyatakan dia telah sampai destinasi dengan selamat, namun tiada apa-apa maklum balas sampai sekarang," katanya.
Puspanathan berkahwin dengan K Sridevi, 30, suri rumah dan pasangan itu mempunyai dua anak lelaki P Varmer, 3, dan P Thashuvarmen berusia setahun.
Thenmoli berkata sejak insiden itu, anak sulung abangnya Varmer sering bertanya ayahnya kenapa tidak menghubungi mereka.
"Kakak ipar saya kini berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk mengetahui perkembangan insiden ini," katanya.
Katanya, anggota keluarganya kini trauma dengan insiden itu kerana Puspanathan seorang yang bertanggungjawab dan mengambil berat hal keluarga.
Operasi menyelamat dilancarkan sejak semalam selepas pesawat yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal menuju ke Beijing dilaporkan hilang daripada radar pukul 1.30 pagi semalam, kira-kira sejam setelah berlepas dari KLIA. – Bernama, 9 Mac, 2014.
No comments:
Post a Comment
Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa