Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Friday, March 7, 2014

Hero Yang Tidak Dilupakan

Sokongan rakyat bantu Mejar Zaidi bertahan hadap Mahkamah Tentera
OLEH LOOI SUE-CHERN
MARCH 06, 2014
Mejar Zaidi Ahmad menjadi contoh mereka yang berani bercakap mengenai kegagalan dakwat kekal yang digunakan pada PRU13. Grafik oleh @malaysian_gags

Juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Mejar Zaidi Ahmad amat bersyukur dengan sokongan dan tawaran bantuan yang diterimanya sejak tiga minggu lalu apabila mendedahkan beliau akan dihadapkan ke mahkamah tentera kerana mendedahkan kegagalan dakwat kekal dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), tahun lalu.
Juruterbang yang berpangkalan di Butterworth, Pulau Pinang itu berkata, beliau terharu dengan kata sokongan dan tindakan bertimbang rasa yang diberikan oleh ahli politik, badan bukan kerajaan dan orang awam.
Ramai yang meluahkan rasa menyampah dan tidak percaya kerana seseorang diheret ke mahkamah ketenteraan kerana bersikap jujur.
“Ada yang datang mengucapkan tahniah kepada saya dan memberikan sokongan mereka, ucapan yang baik-baik dan kata-kata semangat.
“Ada juga yang masih takut memberikan sokongan secara terbuka, walaupun di Facebook, mungkin kerana takut ia menjejaskan kerjaya mereka. Tetapi, saya pasti di dalam hati, mereka bersama saya juga,” katanya.
Zaidi berkata, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dan Ahli Parlimen Shah Alam daripada PAS, Khalid Samad juga menawarkan bantuan dan sokongan moral.
“Mereka bertanya sama ada keluarga dan saya memerlukan sebarang bantuan untuk melalui keadaan ini. Saya bersyukur dengan tawaran itu tetapi saya berada dalam keadaan baik.
“(Ahli Parlimen Sepang) Mohamed Hanipa Maidin yang mengendalikan kes saya secara pro bono,” katanya kepada The Malaysian Insider.
Zaidi berkata, beliau hanya meminta Khalid membantunya memperomosikan bukunya berjudul Peringatan-peringatan Penting untuk Bakal Jamaah Haji dan Umrah.
Katanya, beliau mula menulis buku itu pada tahun lalu selepas tindakan dikenakan kepadanya oleh tentera udara susulan daripada laporan polis yang dibuatnya mengenai dakwat kekal yang digunakan dalam PRU13 pada Mei tahun lalu.
Beliau bercadang untuk menjual buku itu untuk mengumpul dana menampung yuran guamannya dan menyara keluarga jika beliau kehilangan kerja dan pencen.
“Saya merancang untuk menulis lebih banyak buku, sekurang-kurangnya dua buku pada tahun ini.
“Saya mahu menulis mengenai ketenteraan dan pengalaman hidup saya. Harapnya saya dapat mencapai sasaran saya untuk menulis dua buku tahun ini,” kata juruterbang jet pejuang yang ditugaskan menjalankan kerja pejabat pada Mei lalu selepas membuat laporan polis mengenai dakwat kekal itu.
Isterinya ialah seorang suri rumah dan mereka mempunyai empat anak berumur antara tiga hingga 20 tahun.
Buku Zaidi dijual menerusi pos pada harga RM15 setiap satu dan mereka yang berminat membelinya boleh membayar ke akaun Zaidi.
Semalam, Gabungan Pilihan Raya Bebas dan Adil (Bersih 2.0) melancarkan kempen “Rakyat Sokong Mejar Zaidi” di media sosial untuk menyokongnya menjelang perbicaraan kesnya bulan depan.
Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah turut menghantar surat ke Majlis Angkatan Tentera Malaysia meminta semua tuduhan terhadap Zaidi digugurkan.
Dengan populariti dan kontroversi, Zaidi tidak terlepas daripada penipuan.
Katanya, seorang rakan memberitahunya minggu lalu bahawa ada satu posting di Facebook oleh seseorang yang kononnya mengutip sumbangan untuk yuran guaman Zaidi.
“Rakan saya tidak pasti sama ada number akaun di posting itu adalah milik saya tetapi saya tidak mahu ada pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan atas kesukaran saya.
“Saya ada post peringatan di laman Facebook saya ‘Sokong Mejar Zaidi TUDM’ bahawa saya hanya ambil duit daripada jualan buku saya,” katanya.
Zaidi juga aktif di laman Facebooknya, memberi komen mengenai ketenteraan dan beberapa isu semasa.
Antara posting terbarunya ialah berkaitan perbalahan kawasan Laut China Selatan dan krisis air di Selangor.
Zaidi berkata, posting di Facebooknya adalah mengenai isu semasa, seperti keadaan kering dan panas sekarang.
“Saya kaitkan musim kemarau dengan ajaran Islam yang menyatakan jika pemerintah sesebuah negara kejam terhadap rakyatnya, menghukum mereka yang tidak bersalah dan membebaskan orang bersalah, maka Allah akan bawa bencana seperti kemarau dan banjir.
“Kita juga perlu mengambil kejadian ini sebagai petanda daripada Tuhan. Jadi, kita perlu hentikan semua kekejaman, perbetulkan apa yang salah dan hidup seperti mana yang Tuhan dan agama kita tetapkan,” katanya.
Zaidi berdepan beberapa pertuduhan mengikut Seksyen 50 (2) dan Seksyen 51 Akta Angkatan Tentera 1972 di Mahkamah Tentera. Beliau didakwa pada 7 Februari lalu.
Beliau didakwa mengeluarkan kenyataan media mengenai dakwat kekal tanpa kebenaran Kementerian Pertahanan dan gagal menggunakan saluran tentera yang seharusnya untuk menyuarakan rasa tidak puas hati apabila membuat laporan polis dan bercakap dengan media.
Zaidi juga didakwa menghantar dua SMS bersifat politik atau hasutan semasa bertugas di pangkalan udara Butterworth pada 1 Mei, 2013.
Beliau turut didakwa membuat kenyataan media menyatakan kekecewaan berhubung dakwat kekal, yang sepatutnya disiasat melalui saluran ketenteraan, dan kebocoran dakwat kekal kepada media tanpa mendapat kelulusan Majlis Angkatan Tentera di Taman Bertam Indah, Kepala Batas pada 3 Mei tahun lalu.

Dalam temubual pertama bersama The Malaysian Insider bulan lalu, beliau berkata, beliau melakukan semua itu walaupun tahu berdepan dengan masalah besar daripada pegawai atasannya, kerana beliau rasa bertanggungjawab sebagai umat Islam untuk membuat laporan polis mengenai kegagalan dakwat kekal itu. – 6 Mac, 2014.

1 comment:

  1. Thanks for any other informative website. Where else may I am getting that
    type of info written in such a perfect approach? I have
    a challenge that I'm simply now working on, and I've been at the look out for such information.


    my web blog: Kat - ,

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa