SEPANG: Warga media sosial dipenuhi emosi hari ini (9 Mac) terutama bagi yang mengikuti perkembangan siasatan ke atas nasib yang menimpa penumpang serta 12 anak kapal pesawat MAS MH370.
Sejak berita kehilangan pesawat itu tersebar pada pagi 8 Mac, pelbagai persoalan timbul dan kebanyakannya tidak dijawab pihak berkuasa.
Walaupun petugas media rasmi di Malaysia serta di rantau ini, bekerja sepanjang masa bagi memberikan maklumat yang disahkan, pihak berkuasa “berdiam diri” apabila disoal berhubung siasatan mereka.
Pihak berkuasa Malaysia mengadakan sidang akhbar berkala di hotel berhampiran KLIA, dengan maklumat terbaru bakal dihebahkan pada pukul 8 pagi ini.
Ini, bagaimanapun, menjadikan pelbagai spekulasi serta teori konspirasi dikongsi “pakar lantikan sendiri” di media sosial, yang bersumberkan khabar angin serta lapuran yang tidak disahkan kebenarannya.
Pemerhati turut berpendapat bahawa kekurangan maklumat sahih menyebabkan teori berkaitan isu keselamatan serta pembabitan pengganas dihubungkan dengan insiden berkenaan.
Pemangku menteri pengangkutan Datuk Seri Hishamuddin Hussein pagi tadi berkata, pihak berkuasa (termasuk pasukan risikan luar negara dan unit anti-pengganas) sedang menyiasat senarai penumpang bagi mengenalpasti empat individu yang didakwa menggunakan paspot yang dicuri – seperti laporan media asing berlegar di laman sosial.
Ketua jabatan penerbangan awam Datuk Azharuddin Abdul Rahman kemudian mengesahkan hanya terdapat dua saspek, dan bukannya empat, berdasarkan rakaman CCTV dari kaunter kemasukan ke balai perlepasan. Media asing berkata, dua paspot asal dimiliki Christian Kozel, 30 tahun, dari Austria yang melaporkan kehilangan paspotnya di Thailand pada 2012 dan Luigi Maraldi, 37 tahun, dari Itali yang melaporkan kecurian pada Ogos tahun lalu.
Siasatan lanjut berkaitan senarai penumpang serta kemungkinan kawalan keselamatan dibolosi di kaunter imigresen turut menimbulkan tanda tanya, dengan pihak berkuasa menjelaskan bahawa “segala aspek tentang insiden tersebut sedang disiasat”.
Isu lain turut dibangkitkan dan dijawab ketika sidang media hari ini termasuk pengesahan tentang kesan tumpahan minyak yang didapati pihak tentera laut Vietnam; jumlah kekuatan pasukan pencari dan menyelamat; serta kemungkinan “patah balik” dilakukan juruterbang bagi menukar haluan asal penerbangan.
Di dalam perkembangan berkaitan, theantdaily difahamkan bahawa prosedur operasi berpiawaian bagi syarikat penerbangan memeriksa senarai penumpang bagi setiap penerbangan hanya di kaunter kemasukan dan selepas pintu perlepasan diturunkan, berdasarkan pas perlepasan yang dikumpul di pintu perlepasan.
Proses ini dilakukan di bawah andaian semua penumpanga yang melalui pemeriksaan imigresen memiliki paspot sah dan tidak disenarai hitam bagi mengikuti penerbangan.
“Kru penerbagan tidak boleh mengesyakki mana-mana penumpang tanpa sebarang bukti, jika mereka melihat seseorang tidak menyamai nama atau kewarganegaraan di dokumen perjalanan,” sumber dari industri penerbangan memberitahu theantdaily.
Menteri Informasi, Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Chee menggesa rakyat agar berhenti menyebar spekulasi dan khabar angin sambil menunggu pihak berkuasa menghebahkan maklumat yang sahih.
“Tiada gunanya maklumat tersebar dengan segera tetapi ia tidak benar dan mampu mengganggu perasaan mereka yang terlibat,” kata beliau ketika melawat pusat media di sini.
Ahmad Shabery, di dalam kunjungannya, diserbu wartawan tempatan serta wakil media asing.
Walaupun menyuarakan kerisauan dengan keadaan kerja petugas media di sini, Ahmad Shabery dikritik koresponden asing kerana enggan mengulangi kenyataan di dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris.
Ahmad Shabery turut dilaporkan berkata, tragedu Air France pada 2009 merupakan contoh kesukaran menyiasat insiden sebegini, tetapi tidak mahu mengulang kenyataan tersebut di dalam Bahasa Inggeris.
Rakyat Malaysia menunggu dengan debaran tentang perkembangan terbaru mengenai insiden itu, sambil berkongsi hastag #prayforMH370 di laman sosial Facebook dan Twitter.
Jelas bahawa usaha mengalih tumpuan daripada apa yang dilihat tragedi nasional ini akan menerima kritikan, terutama bagi mesej yang tidak sensitif – samada dibuat rakyat biasa atau mana-mana pemimpin.
Pesawat MH370 dilaporkan hilang di dalam penerbangan ke Beijing dari Kuala Lumpur selepas membuat perlepasan di KLIA pada jam 12.41 pagi Sabtu.
Ia sepatutnya tiba di Beijing pada 6.30 pada hari yang sama.
No comments:
Post a Comment
Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa