Isyarat terakhir MH370 di tengah laut
HANOI (Vietnam): Pihak berkuasa Vietnam mengesan isyarat terakhir pesawat MAS MH370 di luar pantai barat daya negara itu di Laut China Selatan.
Pegawai Gerakan Mencari dan Menyelamat Vietnam Pham Hien berkata, isyarat itu dikesan di 120 batu nautika di barat daya wilayah Ca Mau, lapor Agensi.
Pengarah pihak berkuasa penerbangan awam Vietnam Lai Xuan Thanh berkata, pesawat itu sedang terbang di kawasan laut dan dalam perjalanan memasuki ruang udara Vietnam tetapi pegawai kawalan udara tidak menerima sebarang perhubungan selepas kali terakhir dikesan.
Vietnam yang bekerjasama dengan Malaysia dan China turut melancarkan gerakan mencari pesawat pesawat Boeing 777-200 yang dalam penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke Beijing.
Pesawat itu dilaporkan tidak mengeluarkan isyarat kecemasan atau sebarang tanda amaran kesulitan.
Sementara itu, kerajaan sudah menggerakkan semua aset ketenteraan udara, darat dan laut untuk operasi mencari dan menyelamat dengan kawasan carian bertumpu di perairan Laut China Selatan berdekatan Vietnam.
Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kerajaan juga sudah mendapatkan kerjasama ketenteraan dari China; Vietnam dan Filipina untuk bantuan operasi dan menyelamat.
Beliau berkata, pihak ketenteraan juga menafikan bangkai pesawat MAS dijumpai di perairan Vietnam.
"Aset ketenteraan negara sudah digerakkan ke perairan Vietnam namun, setakat ini tiada sebarang penemuan bangkai pesawat dilaporkan," katanya pada sidang media sebentar tadi.
Katanya, pihaknya tidak dapat sahkan lagi samada pesawat itu terhempas atau sebaliknya.
Hishammudin berkata, pihak MAS sudah menghubungi hampir 80 peratus ahli keluarga mangsa bagi memaklumkan situasi berkenaan. - sumber
No comments:
Post a Comment
Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa