Idea Khomeini menjelma dalam akidah walak
Dr Mohd Asri Zainul Abidin Hari ini, 3:48 petang
ULASAN Selepas Nabi SAW wafat, al-Khulafa al-Rashidin selepas baginda Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali penuh insaf bahwa mereka tidak maksum. Ucapan mereka selaku pemimpin sentiasa menzahirkan keinsafan bahawa mereka sebagai manusia mungkin tersilap dan boleh diperbetulkan.
Padahal, para khulafa itu merupakan seagung-agung ulama. Bahkan mereka semua sahabat utama baginda Nabi SAW lebih daripada itu, mereka semua dijamin syurga.
Namun begitu, mereka tidak pernah mendakwa rakyat hendaklah berwalak penuh kepada mereka sekalipun jelas salah, apatah lagi bohong. Lihatlah ucapan utama Abu Bakar:
"Wahai manusia, sesungguhnya aku telah dilantik menjadi pemimpin kamu, bukanlah aku yang terbaik dalam kalangan kamu. Jika aku betul, tolonglah aku. Jika aku salah, betulkanlah aku. Benar itu adalah amanah, bohong itu adalah khianat.
“Orang yang lemah dalam kalangan kamu adalah kuat di sisi sehingga aku mengembalikan haknya. Orang yang kuat dalam kalangan kamu, lemah di sisiku sehingga aku mengambil daripadanya hak (menghalang apa yang bukan haknya), insya-Allah.
“Jangan kamu meninggalkan jihad (perjuangan), kerana tidak ada kaum yang meninggalkan jihad, melainkan Allah menimpakan mereka dengan kehinaan. Taatlah aku selagi aku taatkan Allah dan Rasul-Nya. Jika aku derhakakan Allah dan Rasul-Nya, maka tiada ketaatan untukku." (Ibn Athir, Al-Kamil fi al-Tarikh, 1/361).
Demikian konsep keinsafan yang sama dapat kita lihat dalam ucapan Umar, Uthman dan Ali.
Hal ini amat berbeza dengan pemimpin Revolusi Syiah Iran Khomeini. Ketika dia ingin memperkukuhkan kuasanya, dia memperkenalkan konsep wilayah al-faqih iaitu secara literalnya kekuasaan mutlak faqih (absolute guardianship / authority of the jurist).
Tujuan untuk memberikan kuasa yang tidak dipertikaikan kepada diri Khomeini itu sendiri sebagai pemimpin agama Revolusi Iran.
Konsep wilayah al-faqih Khomeini ini memberikan kekuasaan kepada golongan mullah (mullah ataupun golongan agama yang kononnya dianggap ulama menurut gelaran yang mereka berikan untuk diri sendiri) tanpa boleh dipertikaikan bidang kuasa dan tindakan mereka.
Mempertikaikan tindakan dan pendapat mereka dianggap bagaikan mempertikaikan Allah, Rasul-NYA dan para imam Syiah. Ini atas asas, para faqih itu merupakan wakil kepada para Imam 12 Syiah yang maksum.
Walaupun para ulama Syiah itu sendiri mempunyai pelbagai pandangan terhadap konsep ini; apakah bidang kuasa faqih dan sejauh kesahihannya pada zaman menanti kemunculan Mahdi, namun Khomeini menggunakan ‘akidah’ ini demi memperkukuhkan penguasaan politiknya di Iran.
Dengan akidah tambahan ini, maka seperti para imam Syiah yang 12 tidak dipertikaikan, demikian kepimpinan mullah (ulama) tidak boleh dipertikaikan. Walak yang sepenuhnya hendaklah diberikan.
Hal ini pasti bercanggahan dengan kefahaman kepimpinan dalam Islam yang ditunjukkan oleh al-Khulafa al-Rasyidin yang memberi ruang dipersoalkan tindakan mereka. Bahkan tidak semestinya pemimpin itu ulama. Apa yang penting, kepimpinan itu berada dalam batasan keizinan syarak yang luas.
Ceduk
Malangnya, selepas Revolusi Iran mula dieksport keluar, dalam dunia Sunni terdapat gerakan politik yang menggunakan nama agama terpengaruh dengan idea wilayah al-faqih. Untuk survival politik, mereka mengimport idea tersebut.
Tujuannya sama, untuk memperkukuhkan cengkaman politik golongan agama ke atas pihak lain. Ia bukan sekadar tujuan memperkukuhkan ajaran Islam dalam masyarakat tetapi memastikan kuasa politik hanya di tangan golongan mullah tanpa ada saingan luar.
Maka, konsep Islam iaitu agama memandu amalan politik bertukar kepada golongan agama memegang kekuasaan politik tanpa boleh dipertikaikan. Ini diterjemahkan sebagai ‘konsep kepimpinan ulama’.
Tidak memadai dengan itu, dalam memberikan wajah baru wilayah al-faqih dalam versi dunia luar Syiah maka ditanamkan akidah walak ataupun taat setia kepada ulama tanpa boleh dipertikaikan.
Walaupun perkataan ‘taat mutlak’ tidak disebut, namun mereka menjelmakannya dalam wajah yang lain seperti sesiapa yang mempertikaikan ataupun mengkritik akan menerima bala, hidup tidak diberkati, tercabut ikatan agama, mati jahiliah dan seumpamanya.
Itu semua adalah jelmaan konsep ‘akidah’ wilayah al-faqih Khomeini dalam versi baru akidah ‘kepimpinan ulama dengan walak sepenuhnya’.
Maka, jika ada yang menyatakan akidah Syiah Revolusi Khomeini tidak mempengaruhi sesetengah gerakan politik yang memakai jenama Islam di luar Iran, maka itu tidak benar.
Jika ada yang mendakwa Iran tidak pernah mengeksport idea revolusinya keluar, maka itu juga tidak benar bahkan mungkin sekadar menyembunyikan apa yang diamalkan.
Akidah Islam, pemimpin boleh ditegur dan walak ada batasnya. Kepimpinan dalam Islam ialah kepimpinan yang tidak menyanggahi ajaran Islam dan tidak disyaratkan golongan mullah itu sendiri yang mesti menjadi pemimpin.
Konsep siyasah syariyyah dalam Islam begitu luas tanpa terikat dengan wilayah al-faqih ataupun ‘kepimpinan ulama’ dengan walak mutlak. Golongan ulama dan bukan ulama boleh menjadi pemimpin jika memenuhi konsep al-quwwah dan al-amanah.
DATUK DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN berkhidmat sebagai mufti Perlis. Artikel ini dimuatkan kali pertama di Facebook beliau dengan tajuk asal “Idea wilayat al-faqih Khomeini menjelma dalam akidah walak sesetengah gerakan politik”.

No comments:
Post a Comment
Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa