Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Friday, March 31, 2017

Cocok benar nih: Pesan Lebai Malang

Pesan Lebai Malang
31 Mac 2017 | ZURINAH HASSAN
Lebai Malang

Pesan Lebai Malang
jangan jadi seperti aku
banyak berangan-angan
tetapi salah pertimbangan.

Aku ini hidup di kampung
bahagia rasanya orang menyanjung
dilihat rajin beribadat
dilayani dengan hormat
dikira alim diminta berkat
dijemput ke rumah
didudukkan di tengah
disalami para jemaah.

Suatu hari datanglah undangan
di hilir berlaku kematian
di hulu ada kenduri kesyukuran
aku yang dilihat tenang
diam-diam mencongak peluang
tak siapa menyangka
diam diam membayangkan hidangan
kenduri lebih enak lauknya banyak
tetapi kematian di hulu mengharap
kedatanganku
mereka yang mengundang terlebih dulu
dan aku telah setuju
kemudian tiba jemputan kenduri
menolak bererti rugi.

Lama juga berkira-kira
lauk sedap terbuka selera
banyak bererti laba
tak sedar hari meninggi
mengayuh ke hulu mengejar kenduri
pantang menolak rezeki

Waktu sudah dekat
aku hampir terlambat
hari panas arus pun deras
aku perlu bekerja keras
jika tidak mahu terlepas
namun, apabila aku sampai
semuanya sudah selesai
dengan penuh kecewa aku ke hilir pula
berkayuh sekuat tenaga
namun, kelajuan perahu terhalang
oleh air yang sedang pasang
aku sampai hampir petang
jenazah sudah sempurna dikebumi
khidmatku tak perlu lagi.

Begitulah dikata orang
malangnya Si Lebai Malang
mudik menongkah arus hilir menongkah pasang
di sana tak dapat nasi
di sini tak dapat makan
ke hulu terlepas habuan
ke hilir terlepas peluang.

Aku yang dilihat warak
sebenarnya tamak
sana mahu ditangkap
sini mahu dikepung
sana mahu dikejar
sini mahu dikendong
ke sana mengejar peluang
ke sini mengira untung.
Wahai anak cucu
jangan jadi sepertiku
lebih nafsu kurang ilmu
banyak bermimpi kurang strategi.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa