Mufti: Persoal Tuhan, Siti Kasim menjurus ke arah murtad
Datuk Dr Wan Salim Mohd Nor menyarankan Siti Kasim kembali ke jalan yang benar dengan mendalami pengajian akidah Islam.
PETALING JAYA: Kenyataan Siti Kasim yang mempersoalkan tentang kewujudan Tuhan jelas menunjukkan peguam kontroversi itu jahil agama, kata Mufti Pulau Pinang Datuk Dr Wan Salim Mohd Nor.
Beliau berkata kalau betul Siti Kasim mengeluarkan kata-kata yang meragui asal usul kewujudan Tuhan, ia menjurus ke arah murtad.
“Bila dia buat kenyataan macam itu maknanya dia sebagai seorang Muslim, kita bimbang akidah dia terkeluar daripada Islam dan menjadi murtad,” katanya kepada FMT.
Wan Salim berkata beliau menyarankan Siti Kasim supaya kembali ke jalan yang benar dengan mendalami pengajian akidah terutamanya melibatkan agama Islam.
“Saya sangat mengalu-alukan kalau Siti Kasim berbincang secara tertutup dengan pakar akidah termasuk pakar saintifik yang boleh beri keterangan kerana orang macam dia perlu diberi pemahaman bukan dengan cara tradisional tetapi dikaitkan dengan perkembangan sains,” katanya.
Beliau berkata Siti Kasim mungkin terpengaruh dengan sesetengah pandangan barat yang sudah hilang kepercayaan kepada agama.
“Bagi mereka agama tidak boleh selaras dengan perkembangan sains, tapi kita dalam Islam, semakin majunya sains, makin dapat dibuktikan kebenaran Islam, termasuk dari sudut kepercayaan.
“Jadi bagi orang ateis, mereka ini ada sebab tertentu kenapa tidak percaya kepada Tuhan dan antaranya ialah kerana psikologi,” katanya.
Wan Salim berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Siti Kasim dalam temu bual bersama media berbahasa Cina, 3 tahun lalu yang beliau pernah berfikir tentang asal usul kewujudan Tuhan.
Susulan kenyataan itu beberapa portal mula melaporkan tentang wawancara itu pada 2014 dan menyebabkan pengguna media sosial menyerang peguam tersebut sehingga ada yang membuat ugutan bunuh.
Berikutan ugutan bunuh itu, Siti Kasim tampil membuat laporan polis pada 18 Mac apabila mendakwa media memanipulasikan kenyataan sebenar sehingga mengelirukan orang ramai.
Mengulas kewajaran segelintir pihak mengancam untuk membunuh Siti Kasim, Wan Salim berkata tindakan itu tidak sepatutnya berlaku kerana ia akan memberi gambaran Islam sebagai agama ekstrem.
Katanya, Islam tidak mengajar umatnya membunuh walaupun pihak yang ditentang itu dikatakan murtad atau menentang Islam seperti mana dilakukan Siti Kasim.
“Saya tidak setuju, ini kerana latar belakang kita berbeza. Mungkin Siti Kasim dipengaruhi suasana rumah tangga semasa kecil dan sebagainya, sebab itu kita kena simpati kepada orang seperti ini.
“Kita kena bimbing dia ke jalan yang benar, tapi terpulang kepada dia setelah kita usaha dia tidak terima apa boleh buat, yang penting kita tidak beremosi dan tangani benda ini dengan bijaksana,” katanya.
Mana pendakwah2 dan pakar2 motivasi hebat? Bantulah saudari kita.
ReplyDeletekalau dinegara saud dah lama minah ni dah ditangkap....malang nya ini negara melayu......hahahaha
ReplyDelete