Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Friday, March 24, 2017

Siapa jantan siapa betina?

Thursday, March 23, 2017
Antara Husam dan Takiyuddin: Siapa jantan siapa betina?

ULASAN AWAL

Catatan: Sudah lama saya menyiapkan artikel pendeknya ini, pada 9 Februari lalu. Tetapi saya simpan dan tidak melepaskan dalam blog. Hari ini adalah dirasakan masa terbaik untuk melepas artikel ini. Ada dua sebab, pertama Presiden Amanah Mohamad Sabu menyebut Husam bakal diletakkan Amanah di parlimen Kota Bharu.

Kedua, malam tadi dalam ceramah di Cherang, Kota Bharu, Takiyuddin menyerang Husam agak keras juga. Wassalam. [23/03/17 2:15 pm)

Memetik maklumat Cikgu Wan Rahim Wan Abdullah, Setiausaha Agung parti agama (Pas), Takiyuddin Hassan akan kekal bertanding di parlimen Kota Bharu pada Piraum ke-14 nanti. Kata Cikgu Rahim, Takiyuddin sudah membuat jaminan itu untuk berhadapan dengan Husam Musa.
Takiyuddin Hassan

Ada munasabah kalau Takiyuddin mengambil tanggungjawab itu. Sudah tentu keputusan pilihan raya lalu memberi keyakinan kepada anak kelahiran Sik, Kedah yang merantau mencari makan dan membina kerjaya di Kelantan itu untuk berasa yakin dapat mengekalkan kerusi berkenaan.
Husam Musa

Khabarnya Takiyuddin juga sedia untuk menanti kunjungan Husam ke Kota Bharu.

Pada Piraum ke-13 Takiyuddin menang di kerusi itu buat pertama kali apabila mengalah, Muhamad Fatmi Che Salleh dari Umno dengan majoriti 15,970.

Beliau mendapat 40,620 undi manakala Fatmi 24,650. Sebelum ini kerusi parlimen Kota Bharu disandang oleh Cikgu Wan Abdul Rahim dengan mengalahkan calon Umno yang sama dalam Piraum ke-12 dengan majoriti 11,288.

Wan Rahim mendapat 32,129 undi manakala Fatmi 20,841. Majoriti diperolehi Wan Rahim kurang 4,682 berbanding dengan diperolehi Takiyuddin. Majoriti besar diraih Takiyuddin itu tidak boleh dibanggakan kerana waktu itu Pas bergabung dengan PKR dan belum berpecah seperti hari ini. Mungkin kalau Takiyuddin kekal di Kota Bharu keadaan berbeza.
Wan Abd Rahim

Kawasan Kota Bharu merupakan kawasan urban yang mempunyai peratus pengundi berpengetahuan dan celik maklumat. Sebagai kawasan bandar para pengundinya tidak berfahaman kolot dan terikat dengan dogma parti politik baik Umno maupun Pas. Atas kapasiti itu, mana-mana parti tidak mudah memperbodohkan pengundi dengan fatwa atau pun hujah-hujah bersifat konsevertisme agama.

Selepas tahun 1990, kawasan Kota Bharu merupakan kawasan kubu pembangkang yang dibina bersama oleh Semangat 46 dan Pas. Selepas Semangat 46 hilang ia diambil oleh PKR. Walaupun PKR baharu muncul tetapi ia dimenangi oleh PKR menerusi calonnya Ustaz Ramli Ibrahim (Allahyarham). Kemenangan Ramli itu hasil dari kepaduan undi Pas yang disokong undi PKR.

Tahun 2004 baharu kerusi ini dapat dirampas semula oleh Umno menerusi calonnya Zaid Ibrahim. Zaid mempunyai pengaruh tersendiri di kawasan ini memandangkan latar belakangnya dan juga penanaman budi dilakukan menerusi sebuah Yayasan kebajikan diusahakan isterinya. Kebetulan pula lawan Zaid, Nik Mahmud Nik Hassan yang buta dalam parti politik.

Dalam pilihan raya 2008 kerusi ini dirampas oleh Cikgu Rahim (Pas).  Kejayaan beliau sebagai wakil rakyat ini dengan kombinasi beliau selaku Yang Dipertua Pas Kota Bharu, Wan Rahim membina kekuatan dan Kota Bharu menjadi kubu Pas. Pengaruh peribadi Cikgu Rahim di Kota Bharu tidak dapat diatasi oleh mana-mana tokoh Umno di kawasan ini kecuali Zaid Ibrahim.
Dalam Piraum lalu Wan Rahim tinggal kerusi parlimen Kota Bharu untuk beri laluan kepada Takiyuddin yang sebelum ini menyandang kerusi Dun Bunut Payung dua penggal. Pada Piraum ke-13 itu Takiyuddin ditolak di Bunut Payung ekoran kurang memberi perhatian kepada rakyat, dan menyerah kepada Cikgu Rahim mengurusnya. Gara-gara itu beliau ditolak oleh penyokong Pas di Bunut Payung menyebabkan beliau tidak ada kerusi untuk ditandingi.
Menyedari masalah itulah Cikgu Rahim sedia menyerahkan kerusi parlimen Kota Bharu untuk Takiyuddin dan beliau sendiri sedia dicalonkan untuk menentang Tengku Razaleigh Hamzah di Gua Musang, tetapi kalah. Tindakan diambil Cikgu Rahim itu merupakan satu pengorbanan demi survive politik Takyuddin yang dianggap sebagai adiknya.

Jika hendak dikira yang sepatutnya mudik ke Hulu Takiyuddin bukan cikgu Rahim. Takiyuddin masih muda berbanding dengan cikgu Rahim dan juga sebagai peguam yang hebat di Kelantan. Tetapi kenapa cikgu Rahim. Cikgu Rahim tidak membantah bila dihantar ke Gua Musang, tidak seperti mana Takiyuddin membantah dan jadi macam kucing jatuh anak apabila namanya tidak lekat di Bunut Payung. Jika bukan kerana pengorbanan cikgu Rahim sudah pasti Takiyuddin tidak lagi bergelar YB.

Itulah pengorbanan dan jiwa besar Cikgu Rahim dalam politik. Ianya besar dan sesuatu yang harus dikenang khasnya oleh mereka yang baharu menerjun diri dalam arena politik. Beliau tidak mencari tempat selamat, tetapi sedia dicalonkan di mana-mana sahaja. Cikgu Rahim adalah hamba setia dan bomoh besar dalam politik Pas. Keampuhan dan dan keulitan itulah menjadikan Cikgu Rahim sebagai "mahaguru" politik di Kelantan, khasnya semasa berada dalam Pas. Dengan "kemahaguruan" itulah juga bekas Speaker itu membangun Parti Amanah kini, yang diejek dan ditejel tetapi kini sudah mulai digeruni akan sengatnya.

Sebenarnya tidak layak ustaz-ustaz muda "juz amma" dalam Pas menghina Cikgu Rahim. Semasa mereka  dalam bedungan ibu lagi, cikgu Rahim sudah meranyai ke segenap pelusuk di Hulu Kelantan menubuhkan dan menghidupkan Pas. Saya selalu kata bahawa cikgu Rahim adalah aset kepada parti agama itu, tetapi ia tidak pernah diberi perhatian. Kemajuan dicapai Amanah kini ia adalah atas usaha cikgu Rahim yang digemuksuburkan oleh Husam yang juga dianggap adiknya. 

Berbalik kepada kerusi parlimen Kota Bharu tadi, Husam sudah pun membayangkan dia akan bertanding di kerusi berkenaan. Naib Pengerusi Amanah Kelantan Che Ibrahim Mohamed sudah pun menegaskan Amanah akan bertanding di kerusi parlimen Kota Bharu dan Kubang Kerian. Semasa berceramah di Selising Husam membayangkan dia akan bertanding di Kota Bharu.

Ertinya cabaran Takiyuddin yang sedia menanti kunjungan Husam ke Kota Bharu sudah pun bersambut. Ia bagaikan terpancat silat langkah pun terbuka. Semua pemerhati politik kini sedang menumpu kepada Kota Bharu. Sehingga saat artikel ini ditulis, belum ada sepatah jawaban dan komen daripada Takyuddin Hassan. Apakah anak Sik itu sudah takut?

Jika berlaku perlawanan antara Husam - Takiyuddin dalam Piraum ke-14 ia adalah pertemuan yang bakal menarik perhatian ramai.

Secara peribadi saya berharap sangat kedua orang ini bertempur di Kota Bharu. Hendaknya Takiyuddin tidak akan mencari helah untuk mengelakkan bertembung dengan Husam dan merisik mana-mana kawasan selamat di luar Kelantan. Parti agama itu sendiri patut menguncikan Takiyuddin di Kota Bharu. Kenapa saya menanti pertembungan mereka berdua. Sebab segala dendam politik yang wujud antara keduanya boleh dilunasi dalam pertandingan itu nanti.

Mereka berdua kawan yang boleh disifatkan seperti adik beradik kebetulan pula rapat dengan saya. Saya tahu cara Husam makan dan cara Takiyuddin makan. Namun diam-diam mereka saling "keret mengeret" ekor antara satu sama lain. Takiyuddin menerusi jawatan Setiausaha Agung banyak memain peranan untuk melihat Husam terpinggir?

Semasa Husam berhadapan dengan segala macam fitnah dalam rangka melemparkannya dalam Pas, si adik ini langsung tidak bercakap menjelaskan keadaan apa lagi membela Husam. Bahkan dalam beberapa kenyataan dan aksi Takiyuddin seakan mahu segera Husam dinyahkan dari Pas. Pelbagai pekeliling yang direka oleh Takyuddin untuk menekan Husam.

Sewaktu mereka berdua "berkeduh" hati saya pernah untuk mendamaikannya. Namun usaha saya sia-sia sahaja. Kedua pihak seperti tidak mudah untuk melupakan apa-apa yang berlaku menyebabkan hubungan mereka renggang. Perbezaan pendapat dan ghairah membina pengaruh menyebabkan keduanya terus berada dalam ketegangan. Saling "keret mengeret" ekor terjadi dalam diam.

Jadi kalau mereka berdua beradu kekuatan dan tenaga politik dalam Piraum akan datang ia adalah molek sekali. Setidak-tidaknya ia memberi jawaban kepada umum antara mereka berdua siapa yang popular dan diterima rakyat. Usah bertanya siapa yang benar. Takiyuddin tidak perlu gerun kerana kedudukannya tinggi dalam Pas sebagai Setiausaha Agung. Husam sebelum ini hanya Naib Presiden Pas sahaja. Kini dalam Amanah menjadi Penasihat Amanah.

Kedua mereka mempunyai ciri-ciri hampir sama. Usia hanya beza dua tahun sahaja, Husam lebih tua daripada Takiyuddin. Husam 58 Taki 56. Keduanya graduan Universiti Malaya. Takiyuddin dalam bidang undang-undang, manakala Husam dalam bidang ekonomi. Husam pernah jadi Ketua Pemuda Pas, manakala Takiyuddin naibnya. Husam juga pernah jadi Exco dua penggal, Takiyuddin juga Exco dua penggal. Husam pernah jadi ahli Parlimen, Takiyuddin kini ahli Parlimen Kota Bharu.

Sebenarnya keduanya tidak banyak beza kecuali dari segi kegemaran dan jumlah isteri. Takyuddin minat dengan motosikal besar, Husam pula minat dengan haiwan, bunga-bunga dan alam sekitar. Takiyuddin pernah menjadi presiden persatuan bolasepak Melayu Malaysia, melawat ke luar negara untuk mencari reka bentuk stadium, Husam pula ke luar negara untuk menjejaki tokoh-tokoh perjuangan Islam dan juga lokasi bersejarah disebut dalam Quran. Melakarkan stadium di Selising tanpa pun melawat stadium di Eropah dan Russia.

Perbezaan paling ketara di antara keduanya, Takiyuddin suka kereta mewah, Husam pula suka dengan buku-buku. Jumlah buku-buku dimiliki Husam nilainya lebih mahal dari nilai kereta yang dimilikinya. Semasa meninggalkan Exco Takiyuddin dapat Mercedez, Husam pula tidak ditawarkan apa-apa kereta sebagai sentimental valuenya menjadi Exco.

Jika mereka bertembung di Kota Bharu, agak-agaknya siapakah yang akan menang? Bersambung di keluaran akan datang. Dalam episod analisa kawasan-kawasan pilihan raya. Horas. [wm.kl.1:30 t/hari 09/02/17]

Posted by mohd sayuti Omar at 2:34:00 PM

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa