Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Sunday, March 19, 2017

PAS mahu kuasai 5 negeri: UMNO sedia berikan laluan tapi Hadi nafi

Umno sedia beri laluan Pas kuasai 5 negeri?
18 Mac 2017 | ZAKARIA MUSA

Semasa majlis Taklimat Khas Presiden di Kompleks Pas Kedah, akhir Januari lalu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menggariskan impian parti itu dalam PRU14. Pertama, mempertahankan Kelantan, selain kembali memerintah Terengganu dan Kedah, serta menerajui Selangor. Kedua, memperoleh sekurang-kurangnya 40 kerusi Parlimen.

Februari 2017, dalam majlis pelancaran jentera Pas di Alor Limbat di Marang, Terengganu, beliau menegaskan parti itu harus memerintah lima negeri, yakni penambahan satu lagi negeri berbanding penekanannya di Kota sarang Semut, Kedah.

"Sebab itu bagi Terengganu, Kelantan, Kedah, Perak, Selangor. Biar Pas memimpin. Negeri lain Umno nak lagi biarkan dia. Biarkan dia. Kalau boleh (Pas) nak telan habis, telan habis.

"(Pas) kena ukur dengan saiz kita sendiri. Kita memerlukan satu kerjasama untuk mengekalkan kuasa politik Islam. Ini sangat penting kita kena sedar," ujar Ustaz Hadi, dikutip dari rakaman video berdurasi 55 saat yang tular di media sosial.

Hala tuju Pas PRU14

Sudah jelas hala tuju Pas dalam PRU14. Tiada kesamaran lagi. Presiden yang mempunyai kata pemutus dalam parti, telah menunjukkan destinasi yang mahu dituju. Sasarannya memimpin lima negeri dan menguasai 40 kerusi Parlimen, dengan restu Umno.

Ketua Pemuda, Nik Abduh Nik Abd Aziz selepas himpunan RUU355 di Padang Merbok, turut mengakui kesediaan Umno untuk memberi laluan kepada Pas bagi memenangi 40 kerusi Parlimen itu, satu impian yang jauh lebih tinggi daripada prestasi terbaik semasa pilihan raya umum 1999, iaitu 27 kerusi.

Tidak menjadi kesalahan bagi mana-mana parti politik untuk meletakkan apa jua target apabila menyertai pilihan raya. Maka, jika Pas mengimpikan untuk memimpin lima negeri -- Kelantan, Terengganu, Kedah, Perak dan Selangor -- tentulah parti itu mempunyai pendekatan dan strategi yang khusus.

Itu pun, bagi Ustaz Hadi, sasaran itu dibuat selepas "diukur dengan saiz kita sendiri", maknanya "sudah ukur baju di badan sendiri". Lebih kurang maksudnya, sasaran lima negeri itu merupakan impian yang boleh dicapai -- realisitik -- bukannya hanya satu angan-angan.

Politik matang dan sejahtera

Namun, saya lebih tertarik dengan ungkapan beliau seterusnya: "Ini budaya politik matang dan sejahtera yang kita lakukan hari ini. Orang Umno pun selesa. Mereka pun tak mahu berbalah lama. (Umno) tak mahu (pendekatan politik) keras, mahu lembut. Lembut inilah kita boleh berbincang untuk mencari mana benar, mana salah."

Bukan lagi tersirat, Ustaz Hadi tidak berselindung lagi. Untuk menguasai lima negeri itu, dan juga menang sekurang-kurangnya 40 kerusi Parlimen, Pas perlu mengadakan kerjasama "untuk mengekalkan kuasa politik Islam".

Beliau juga sering menekankan tentang survival kuasa politik "Melayu-Islam" dan dalam masa sama membangkitkan ancaman daripada DAP dan kuasa politik orang bukan Islam yang disifatkannya semakin meningkat.

Apa saja mengenai hubungan dengan parti-parti pembangkang, khususnya Amanah dan DAP, semuanya mustahil untuk dijalin, begitu juga dengan Bersatu. Walaupun masih ada kerjasama dengan KeADILan, tetapi "ada saja masalah yang timbul".

Tetapi jika dikaitkan Pas dengan Umno, maka akan dicari segala argumen yang positif, yang memungkinkan terbentuknya hubungan baik demi kesatuan ummah. Dalam masa sama, isu-isu berkaitan skandal raksasa pemerintahan Umno-Najib Razak, tidak lagi menjadi agenda besar.

Umno tidak lagi keras

Lihat istilah yang digunakan Ustaz Hadi; Umno tidak keras lagi, lembut, boleh berbincang, tidak mahu berbalah. Usah lupa istilah yang dirujuk kepada sebahagian pemimpin Pas semasa muktamar di Batu Pahat. Apa lagi gelaran buat tokoh-tokoh yang menubuhkan Parti Amanah Negara!

Benarkah Umno kini sudah lembut dan tidak keras berdepan seteru politiknya? Benarkah kerajaan Najib telah mengambil pendekatan sederhana seperti juga stail politik Pas di bawah Ustaz Hadi?

Apakah Umno selesa dengan impian Pas mahu merebut empat negeri daripadanya dan mengekalkan pemerintahan di Kelantan? Apakah Umno akan memberi laluan mudah kepada Pas dan bersedia hanya untuk menguasai negeri-negeri lain, seperti Perlis, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan dan Johor? Sementara kedudukan Umno di Johor pun dilihat goyang.

(Umno pernah menawarkan Perak dan Selangor untuk dipimpin Pas sejurus keputusan PRU2008 diumumkan. Meskipun Pas menguasai kerusi Dun dua negeri tersebut pada bilangan paling minimum, ia diperuntukkan jawatan menteri besar jika bersetuju kerjasama dengan Umno. Mungkin Ustaz Hadi masih terasa terkilan kerana tawaran Umno itu ditolak majoriti pimpinan Pas!)

Wah, begitu baik sekali Umno untuk menyerahkan negeri-negeri utama tadi? Ataupun Pas-Hadi yang sebenarnya begitu naif untuk membaca sifir mudah politik.
Sesungguhnya Umno dan kuasa bagai kembar siam yang sukar ditanggalkan. Dalam keadaan ia kalah tiga negeri sekarang, dan hilang majoriti dua pertiga Parlimen, Umno nampak resah-gelisah mahu mendapatkan kembali kuasa mutlak dahulu dengan cara apa sahaja.

Pas hanya diperalatkan

Khazanah negara yang kaya ini masih tidak cukup untuk dibahagikan sesama kaum kerabat dan kroni. Bagaimana mahu dibahagikan kepada lebih ramai kelompok lagi, terutama kepada pemimpin Pas pula? Umno bercakaran sesama sendiri, rakus-ganas untuk membolot sumber yang semakin mengecil.

Sumber dalaman Umno memberitahu: "Pas hanya diperalatkan untuk mempertahankan kuasa yang ada. Mungkin pemimpin tertinggi Umno gelak-ketawa terguling-guling mendengar Pas percaya dengan keikhlasan Umno untuk biarkan Pas menang lima negeri dan 40 kerusi Parlimen itu."

Sekurang-kurangnya penyokong ikhlas Pas pada akar umbi semakin faham ke mana tujuan parti itu hendak dibawa para pemimpinnya. Dan mereka juga sedar bahawa satu undi kepada Pas, sama ada mengukuhkan lagi Umno-Najib atau menjadi undi yang membazir ketika setiap undi penting untuk membawa perubahan dan menyelamatkan Malaysia.

Semakin jelas situasi politik hari ini, apabila membaca ucapan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Kuala Terengganu, 17 Mac lalu.

"Insya-Allah dengan doa untuk kita menyatukan orang-orang Melayu, biarlah kita kehilangan segelintir 'kawan' kita tapi kita akan dapat 'kawan baharu' yang kumpulannya lebih besar akan bersama-sama kita. 'Kawan baharu' kita ini mungkin dulu musuh politik kita tapi mereka telah faham untuk sama-sama tangani masalah bersama (berkaitan agama Islam) dengan tidak mengenepikan agama lain," ujarnya.

Tapi Hadi nafi pulak:

Hadi nafi PAS nak tadbir 5 negeri
Anne Muhammad   18 Mac 2017, 2:51 tengahari

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menafikan beliau pernah mengeluarkan kenyataan bahawa parti Islam itu mahu mentadbir lima negeri dan menyerahkan selebihnya kepada Umno pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Kata Abdul Hadi apa yang menjadi keutamaan partinya ialah memenangi 40 kerusi parlimen yang akan ditandingi nanti.

Lebih daripada itu, anggota parlimen Marang itu menjelaskan, tidak ada sesiapa yang dapat meramalkan masa depan.

“Saya tak pernah buat kenyataan macam tu. Kita tak nampak (tak boleh tahu) masa depan. Sepuluh negeri ke, tiga negeri ke, satu negeri ke, itu keputusan PRU," kataya di Cyberjaya hari ini.

Abdul Hadi sebelum itu merasmikan Konvensyen Profesional Malaysia anjuran Dewan Pemuda PAS Malaysia. Dianggakan 300 orang hadir pada majlis berkenaan.

Turut hadir pemimpin utama Dewan Pemuda PAS seperti Nik Abduh Nik Aziz, Muhammad Khalil Abdul Hadi dan Khairil Nizam Khirudin.

Abdul Hadi menyatakan, PAS juga berhasrat menjadi "penentu" dalam politik negara, dipercayai merujuk kepada kedudukan parti itu yang tidak memihak sama ada kepada BN atau Pakatan Harapan.

Sebelum ini satu klip video ringkas memaparkan Abdul Hadi berceramah menjadi tular di media sosial.

Rakaman video berdurasi 1.10 saat menunjukkan Abdul Hadi berkata, PAS harus memerintah di lima negeri iaitu Terengganu, Kelantan, Kedah, Perak dan Selangor, manakala selebihnya terserah kepada Umno.

Dalam rakaman video yang disunting itu Abdul Hadi berkata: "Sebab itu bagi Terengganu, bagi Kelantan, bagi Kedah, bagi Perak, bagi Selangor - biar PAS memimpin. Negeri lain, Umno nak lagi, biar ke dia.

"Kalau boleh (PAS) nak (sapu) habis, tapi (kita) kena ukur dengan saiz kita sendiri. Kita memerluan satu kerjasama untuk mengekalkan kuasa politik islam.

"Ini sangat penting. Kita kena sedar. Ini budaya politk matang dan sejahtera yang kita lakukan hari ini. Orang Umno pun selesa. Mereka pun tak mahu berbalah lama, tak mahu keras, (nak) lembut."

Sementara itu Nik Abduh berkata, beliau tidak akan mempertahankan jawatannya sebagai ketua Pemuda PAS dalam muktamar yang akan berlangsung di Kedah hujung April ini.

“Saya dah sebut dalam parlimen dulu, saya tak pertahankan jawatan saya,” katanya.

2 comments:

  1. Mmg hebat hj hadi. Dia dah berjaya mengelirukan semua org termasuk dirinya sendiri. Inikah politik matang atau politik fenin?

    ReplyDelete
  2. Nik ABODOH macam dah tahu dia akan KALAH untuk pertahan Jawatan Ketua PEMUDA awal awal lagi dh undur diri.

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa