Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Monday, April 3, 2017

Kenyataan Media ADUN Simpang Pulai: Punca fenomena hutang isi rumah

Kenyataan Media

01 April 2017

ANAK TIRI PERDANA MENTERI BOLEH BELI RUMAH HARGA £23.25 JUTA, TETAPI RAKYAT DISURUH SEWA SAMPAI MATI

Saya mengambil maklum hujah Menteri Kewangan II Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang menyeru rakyat negara menukar cara pemikiran berhubung pembelian rumah ketika muda dan menanggung hutang jangka panjang yang besar.

Namun, saya ingin mengingatkan Menteri tersebut bahawa punca fenomena hutang isi rumah yang semakin meningkat adalah kegagalan perlaksanaan dasar kerajaan BN yang menjaminkan keselesaan rakyat jelata,

Jika menteri mempertikaikan cara pemikiran rakyat sendiri yang menyumbangkan hutang isirumah bertambah, kenapa tidak pernah menteri tersebut mempertikaikan perbuatan anak tiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang membeli rumah mewah yang berharga £23.25 juta (USD$33.6 juta) di London pada tahun 2012, dengan menggunakan wang daripada dana pelaburan kerajaan 1 Malaysia Development Berhad (1MDB)?

Alangkah kelakarnya negara ini, apabila rakyat disuruh sewa rumah sampai mati, sedangkan anak tiri Najib mampu membeli rumah mewah di luar negara.  Sekiranya dana 1MDB itu tidak disalahgunakan, sudah pasti wang sebanyak itu mampu membangunkan puluhan ribu unit rumah Program Perumahan Rakyat di seluruh negara.

Dahulu, menteri meminta rakyat untuk mengubah gaya hidup sewaktu subsidi barang keperluan asas ditarik balik.  Sekarang, menteri meminta rakyat menukar budaya dari membeli rumah kepada sekadar sewa rumah. Kenyataan Menteri ini menunjukkan kerajaan hari ini tidak bertanggungjawab dan mahu lepas tangan dari membantu rakyat.

Saban tahun, kira-kira 70 peratus penduduk tertumpu di bandar-bandar utama yang merupakan pusat tumpuan aktiviti ekonomi. Bilangan penduduk pula bertambah setiap tahun disebabkan migrasi untuk mendapatkan pekerjaan disebabkan peluang pekerjaan tiada di halaman kampung masing-masing.

Situasi ini, menyebabkan ramai anak muda memilih untuk memiliki rumah sendiri pada usia yang muda terutamanya bagi mereka yang migrasi ke bandar daripada halaman kampung.  Pinjaman bank untuk perumahan diberikan sehingga 35 tahun. Hal ini dilakukan untuk memastikan apabila tempoh bayaran balik tamat, peminjam yang pencen atau bersara berjaya memiliki rumah sendiri tanpa perlu menumpang rumah dengan ahli keluarga lain.

Memikirkan tempoh bayaran yang agak lama, pilihan terbaik untuk membeli rumah adalah pada umur yang muda.  Jika membeli rumah pada usia yang lewat, maka jumlah ansuran bayar balik pinjaman bulanan dan harga rumah akan semakin meningkat kerana purata harga hartanah meningkat dari semasa ke semasa. Menurut Laporan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), harga rumah di Lembah Klang naik secara mendadak setiap tahun, contohnya pada tahun 2014, peningkatan harga rumah telah mencecah lebih dua kali berbanding harga pelancaran.

Kita sedia maklum bahawanya kadar kenaikan gaji pekerja di negara ini hanya sekitar 2.6% saja, ini ditambah lagi peningkatan kos sara hidup di mana langkah kerajaan memotong pelbagai program seperti memotong subsidi petrol, minyak, dan barang mentah, barangan keperluan lain serta penambahan cukai baru seperti Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).  Maka, bukan bermaknanya semakin usia bertambah, kekayaan yang terkumpul akan bertambah banyak.

Lebih parah lagi setelah perlaksanaan cukai GST pada tahun 2015, sudah pasti harga mentah pembinaan, kos pengangkutan, kos buruh dan sebagainya akan menyumbang kepada kenaikan harga bahan binaan.  Menurut JPPH, adalah tidak menghairankan menjelang 2020 rumah teres akan mencecah RM1 juta.  Jika di lokasi panas seperti di kawasan Lembah Klang, rumah sedemikian akan dan telahpun mencapai harga RM1 juta.

Mengikut kajian CEUPACS pada May 2016, kira-kira 60% atau 960,000 daripada 1.6 juta penjawat awam yang masih tidak memiliki rumah sendiri. 75% daripada jumlah tersebut adalah merupakan mereka yang berumur 40 tahun dan ke bawah.  Malangnya bagi anak muda hari ini, mereka tidak berpeluang untuk memiliki rumah dalam masa terdekat kerana menghadapi kos sara hidup yang tinggi.

Hakikatnya, Kerajaan BN pada hari ini cuba menutup lubang penyelewengan dan kegagalan dengan menggali keluar 'kesenangan' rakyat. Memang betul kata Khairy Jamaluddin bahawa menjelang tahun 2050, rakyat akan kurang beban hutang sebab masa itu rakyat tak perlu bayar hutang ansuran rumah, memandangkan semua orang akan sewa rumah sehingga mereka mati tanpa sebarang harta tempat tinggal diwariskan kepada anak-cucu mereka.  

YB Tan Kar Hing
Naib Ketua AMK Malaysia
ADUN Simpang Pulai
Parti Keadilan Rakyat (Keadilan)

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa