Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Friday, November 11, 2011

Pengiktirafan Lebih Luas Persamaan Yang Ada Antara Islam Dan Agama Lain - Raja Nazrin

KUALA LUMPUR: Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah bertitah pengiktirafan lebih luas boleh berlaku di Barat tentang banyak persamaan antara Islam, Yahudi dan Kristian, sebagaimana Islam memulia dan menghormati nabi-nabi Kristian dan Yahudi. Baginda menarik perhatian, sebaliknya jurang antara agama Islam dan Kristiansering diperbesar-besarkan.

Raja Nazrin menegaskan dalam pelbagai isu, sama ada hak asasi manusia, keadilan sosial, tanggungjawab alam sekitar, urus tadbir yang baik, kebebasan beragama,atau undang-undang dan moral, wujud terlalu banyak persamaan antara dua agama ini.

"Jurang hanya meluas antara Islam berserta tradisi spiritual agungnya yang lain, dengan versi hedonistik dan materialistik jahil pandangan sekular dunia dan sifat semula jadi manusia," titah baginda dalam kuliahnya mengenai 'Islam, Muslim dan Hak Asasi Manusia' di Pusat Kajian Islam Oxford, Universiti Oxford, pada Rabu.

Teks ucapan baginda dikeluarkan di sini. Raja Nazrin bertitah, pada tahap intelektual, pusat-pusat ilmu Barat,seperti Universiti Oxford, boleh menarik perhatian lebih besar terhadap sumbangan Islam kepada ilmu dan persefahaman manusia, dan kepada pencapaian tamadun oleh Islam.

Baginda berpendapat bahawa dalam komentari pihak barat tentang Islam, perlu disedari bahawa terdapat begitu banyak wajah Islam seperti mana agama-agama lain. "Menilai Islam dengan rujukan kepada masyarakatnya yang ditadbir paling lemah tidak langsung membantu. Selain itu, dalam membandingkan tamadun, seseorang itu tidak boleh membandingkan ideal tinggi sesuatu agama dengan realiti daif agama lain," ujar baginda.

Baginda juga memberitahu khalayak bahawa pihak Barat perlu berusaha memahami derita dan sengsara rakan Muslim di banyak bahagian dunia, tidak kurang juga diPalestin, berikutan kegagalan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan masyarakat dunia menyelesaikan konflik Palestin pada tahap perundangan antarabangsa sehingga ini. Raja Nazrin telah dipilih sebagai pemegang amanah pusat berkenaan, yang dikurnia Piagam Diraja oleh Ratu Elizabeth II Britain, menjadikannya Institusi Islam pertama di Britain mendapat pengiktirafan seumpama itu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa