Rumah di ceroboh, digeledah tanpa waran
Ahmad membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut
Keluarga Ahmad dikejutkan dengan kehadiran hampir
20 lelaki bersenjata, menutup muka dan mengarahkan
mereka membuka pintu, pagi kelmarin
Pintu dapur rosak akibat ditendang pihak berkenaan
RANTAU PANJANG - “Maaflah, kami tersalah rumah,” kata pihak berkenaan, yang menceroboh masuk ke dalam rumah seorang pengetua di Taman Nering, jam 3 pagi, kelmarin.
Setelah pihak terbabit memeriksa rumah selama lima minit, pengetua yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad, 56, berkata, salah seorang daripadanya memohon maaf kerana tersilap rumah.
Rosakkan beberapa pintu
Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad, 56, memohon penjelasan daripada pihak berkenaan, menceroboh kawasan rumah pada lewat malam tanpa mempamerkan waran geledah.
Ketika kejadian katanya, dia dan isteri bersama dua anak sedang tidur di dalam bilik, terkejut dengan ketukan kuat di bahagian pintu depan rumah.
Serentak dengan itu, mereka mendengar jeritan seorang lelaki yang mengarahkan mereka membuka pintu dengan segera.
“Jika saya enggan membuka pintu, mereka menjerit akan memecahkan pintu dan menceroboh masuk.
“Walau siapa pun berada di luar, saya tidak akan buka kerana berhak untuk menjaga keselamatan keluarga dan harta benda,” katanya.
Pernah dirompak penjenayah mengaku pihak berkuasa
Ahmad yang juga pengetua sekolah agama berkata, keluarganya masih trauma mengenangkan kejadian yang sama pernah berlaku 2008 lalu.
Ketika itu katanya, mereka dirompak oleh penjenayah, menggunakan cara yang sama.
“Penjenayah lengkap berpakaian kalis peluru, seragam gelap, menutup muka dan mengetuk pintu dengan cara yang kasar.
“Mereka juga mengaku pihak berkuasa dan meminta kami bekerjasama bagi menyelesaikan kes jenayah,” katanya.
Percaya dengan dakwaan tersebut, Ahmad membuka pintu namun tanpa disangka mereka disamun sehingga menyebabkan kerugian yang banyak, apabila penjenayah melarikan barang kemas isteri dan beberapa peralatan rumah lain.
Disebabkan itulah katanya, dia enggan membuka pintu kerana tidak mahu ‘pisang berbuah dua kali’.
Halang penduduk dekati rumah
Kekecohan yang berlaku menyebabkan jiran dan saudara terdekat mengerumuni rumah.
Namun katanya, meskipun diajukan pelbagai persoalan, penduduk dihalang untuk mendekati rumah.
“Hanya selepas sejam berlalu dan identiti pegawai berkenaan dipastikan sendiri oleh penduduk, barulah saya bersetuju untuk membuka pintu.
“Disebabkan mereka memecahkan pintu lebih awal, ia rosak sehingga menyebabkan saya terpaksa membuka pintu sliding bersebelahannya,” katanya.
Lebih mengecewakan, Ahmad berkata, pegawai berkenaan memasuki bilik dan menggeledah almari dan keluar dalam masa lima minit.
“Hanya selepas mendapati kami berempat berada di rumah, malah anak lelaki masih kecil, pegawai berkenaan keluar tanpa sepatah kata.
Maruah tercalar
“Meskipun saya mengalami kerugian akibat kerosakan pintu itu, namun ia boleh digantikan dengan wang ringgit.
“Namun maruah yang tercalar tidak akan dapat dipulihkan dalam masa yang singkat,” katanya.
Beliau berkata, maruahnya sebagai seorang guru malah pengetua sekolah agama, tercalar disebabkan pihak berkenaan melakukan kesilapan membaca peta.
Sepatutnya Ahmad berkata, pihak berkenaan memastikan sasaran terlebih dahulu, sebelum mengambil tindakan.
Cara itu katanya, menunjukkan kurangnya integriti sebaliknya mengambil mudah dengan melabel penduduk sebagai tidak bekerjasama membanteras jenayah.
“Saya menggesa pihak berkenaan memohon maaf di atas kesalahan yang dilakukan,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa