OLEH ZULKIFLI SULONG, PENGARANG ANALISIS DAN RENCANA
AUGUST 14, 2013
Selepas penat berkempen untuk pilihan raya kecil demi pilihan raya kecil pasca PRU 2008 lalu, akhbar Siasah menerbitkan satu laporan utama di muka depannya bertajuk "Negara Tanpa Pembangkang".
Ia adalah laporan kepada satu temuramah khas yang dibuat dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di bangunan Parlimen Malaysia.
Ketika itu, Abdul Hadi mencadangkan supaya dibentuk sebuah'kerajaan perpaduan'.
"Beliau mencadangkan kerajaan perpaduan Habibie di Indonesia selepas kerajaan Suhartoe berjaya dijatuhkan, dijadikan contoh," lapor muka depan Siasah ketika itu."Kerajaan ini adalah kerajaan tanpa pembangkang dan dibentuk dengan pembabitan semua parti politik yang ada dan bekerja untuk kepentingan negara.
Namun cadangan Abdul Hadi itu mendapat tentangan dari dalam PAS sendiri dan ia dilebelkan sebagai usaha untuk menyatukan PAS dan Umno atas nama kepentingan Melayu dan Islam.
Ia berdasarkan senario politik ketika itu yang memperlihatkan ada sesetengah pihak dalam kepimpinan PAS mahu membentuk kerajaan bersama antara Umno dan PAS. Namun kini pemimpin begini tidak ada lagi dalam PAS.
Namun begitu, sehingga kini, ada pihak dalam PAS terus memomokkan idea ini dan golongan yang menyokongnya dilebelkan sebagai 'geng kerajaang perpaduang'.
Ini kerana, ramai pemimpin PAS dari Terengganu dilebelkan sebagai pendokong idea ini.
Padahal, kenyataan Presiden PAS ketika itu jelas, kerajaan perpaduan ini hendaklah membabitkan semua pihak antara Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat.
Kini slogan kerajaan perpaduan bergema lagi. Kali ini idea dan cadangannya dikatakan datang dari Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Beliau menghantarkan mesej melalui wakilnya kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim. Semalam, Anwar melalui Asia Sentinel mengesahkan perkara ini.
Latar belakang kerajaan perpaduan kali ini agak berbeza. Ia berupa tawaran Najib kepada Anwar untuk membentuk kerajaan bersama dengan cara membawa Anwar dan penyokongnya ke dalam kerajaan.
Menurut pemimpin PKR, Najib menawarkan Anwar menjadi Timbalan Perdana Menteri di samping empat pemimpin kanan PKR akan menjadi menteri.
"Datuk Seri Anwar menolak cadangan ini kerana tidak mahu meninggalkan rakan-rakannya dalam Pakatan," kata Datuk Saifudin Nasution Ismail dalam satu pertemuan dengan The Malaysian Insider sebelum cuti hari raya lalu.
Menurut Saifudin, Najib cuba untuk bertemu Anwar dalam lawatan kedua-duanya ke Indonesia pertengahan Jun lalu, namun Anwar mengelaknya.
"Anwar sampai ke Indonesia beberapa hari sebelum Najib. Sepatutnya mereka berjumpa di lapangan terbang apabila Anwar mahu pulang ke Malaysia dan Najib baru tiba ke Indonesia.
"Namun KU (Ketua Umum, gelaran pemimpin PKR kepada Anwar), mengelak dengan memasuki kapal terbang awal 15 minit dari jadual," kata Saifudin.
Kenapa Najib perlukan kerajaan perpaduan dengan Anwar?
Bagi Asia Sentinel,"Ia adalah usaha Najib untuk membuka gelanggang baru melawan Mahathir, yang banyak membiarkan blogger kawalannya menyerang perdana menteri yang cedera itu."
Ringkasnya, Najib perlukan bantuan untuk mempertahankan kedudukannya dari terus diserang oleh Tun Dr Mahathir yang sentiasa tidak berpuashati dengan Perdana Menteri yang menggantikannya.
Sebelum ini Tun Abdullah menjadi mangsa. Kini giliran Najib pula. Jadi sebelum diserang lebih teruk, Najib boleh berkata, "Saya ada opsyen lain."
Apa pula kata orang ramai terhadap gagasan ini?
Ketika idea ini dibawa oleh Presiden PAS selepas pilihan raya umum 2008 lalu, sebahagian pemimpin PAS menolak idea ini.
Bagi mereka, ia umpama membawa ambulan untuk menyelamatkan kerajaan BN yang hampir mati. Ini kerana ketika itu ramai yakin kerajaan BN akan berjaya dijatuhkan dalam pilihan ke 13.
Namun kini, ada pula yang terfikir, apa salahnya ditubuhkan kerajaan perpaduan. Pilihan raya sudah kalah walaupun mendapat undi popular 52 peratus. Petisyen juga gagal dan disekat di tengah jalan.
"Baik kita berusaha dari dalam pula," kata seorang penerbit buku yang banyak menerbitkan buku pro Pakatan Rakyat di ibu negara.
Pihak yang terasa diserang 'agenda kerajaang perpaduang' dulu sudah tentu tidak senang dengan idea ini. Bagi mereka, kenapa ketika Abdul Hadi membawanya diserang tetapi bila Anwar Ibrahim pula terbabit, ia disokong pula.
Oleh kerana ia hanya baru berada di peringkat permulaan, masih terlalu awal untuk menentukan ke mana hala tuju kerajaan perpaduan Najib dan Anwar Ibrahim ini selepas gagalnya kerajaang perpaduang yang dibawa Abdul Hadi sebelum ini. – 14 Ogos, 2013.
No comments:
Post a Comment
Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa