Laporan yang memetik Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar mengesahkan adanya usaha yang dilakukan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak ke arah mewujudkan kerajaan perpaduan merupakan satu “kenyataan politik yang berniat nakal”, demikian menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri (PMO).

NONEMenurut kenyataan itu, usaha yang dilakukan oleh bekas Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla (kanan) sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) bagi mendapat persetujuan Najib dan Anwar agar mengelak daripada menyerang antara satu sama lain dan menerima keputusan pilihanraya merupakan satu-satunya perjanjian politik yang ada.

"Perbincangan mengenai sebuah kerajaan perpaduan tidak mungkin berlaku selagi pihak pembangkang terutama Datuk Seri Anwar serta kepimpinan Pakatan Rakyat sehingga kini masih tidak dapat menerima keputusan pilihan raya Umum ke-13 dan mempertikai keputusan tersebut," kata kenyataan itu lagi.

Katanya, laporan itu disiarkan oleh sebuah portal berita dalam talian, tetapi tidak dinamakan dalam kenyataan tersebut.

Kenyataan yang sama juga menyifatkan berita tersebut yang memetik “sumber yang boleh dipercayai dan rapat dengan kem” perdana menteri merupakan “daya imaginasi” penulis tersebut kerana tidak ada sebarang usaha ke arah mewujudkan sebuah kerajaan perpaduan.

Kenyataan itu jelas merujuk kepada laporan yang diterbitkan oleh laman Asia Sentinel pada hari Isnin, yang memetik Anwar mengesahkan Najib mahu mengadakan perbincangan perpaduan dengannya, dengan Jusuf sebagai perantara.

Bagaimanapun, PMO berkata tidak ada sebarang usaha ke arah mewujudkan sebuah kerajaan perpaduan.

Sebaliknya, kata kenyataan itu, Jusuf telah membantu mengusahakan perjanjian antara Najib dan Anwar sebelum pilihan raya umum agar kedua-duanya menerima keputusan rakyat di peti undi.

"Namun, Datuk Seri Anwar enggan berbuat demikian kerana mendakwa berlaku penipuan dalam proses PRU13.

"Oleh itu,  kenyataan Datuk Seri Anwar mengesahkan adanya usaha baru ke arah mewujudkan kerajaan perpaduan merupakan satu “ciptaan dan rekaan”  bagi kepentingan politik  pembangkang khususnya ketuanya," tambah kenyataan itu.