Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Saturday, March 8, 2014

Taib: Raja Borneo terakhir

Hazlan Zakaria
FOKUS SARAWAK: Kita semua perlu akur bahawa Gabenor Sarawak yang baru Governor Tan Sri Abdul Taib Mahmud merupakan satu watak yang hebat. Beliau dianggap simbol kedaulatan Borneo, di celah-celah keangkuhan kerajaan persekutuan dari semenanjung.
Keterampilan beliau memukau pandangan, dan Taib membuktikannya dengan kejayaan beliau memikat seorang wanita jelita bagi dijadikan teman hidupnya.
Taib juga memukau kebanyakan warga Sabah dan Sarawak, bahkan ahli politik pembangkang terpesona olehnya. Ini berikutan ketegasan Taib bahawa Sarawak harus diperintah anak Sarawak dan Umno perlu menjauhi negeri itu. Mereka terus sahaja bersetuju dengannya.
Ada sebab-sebab nyata mengapa Taib dihormati, walaupun penglibatan di dalam perniagaan serta kehidupan mewah beliau dan keluarga bukan lagi rahsia.
Ramai berpendapat, selagi Taib, seorang anak Sarawak sejati, mengekalkan pengaruhnya di Sarawak dan mungkin juga Sabah, kedua-dua negeri di Borneo itu bakal terus memiliki daya usaha serta identiti sendiri.
Penduduk tempatan melihat Malaysia hanya mahu menawan mereka dan bukan bersama-sama menyertai mereka di dalam penubuhan negara ini.
Di samping itu, janji-janji peralihan kuasa daripada peringkat persekutuan kepada anak tempatan tidak lagi terlaksana.
Walaupun kaya-raya, Taib merupakan lambang keharmonian pelbagai kaum dan agama di Sarawak.
Pendiriannya di dalam isu kontroversi berhubung kalimah Allah jelas memperlihatkan ciri-ciri ini. Beliau dianggap pejuang tempatan yang disanjung kerana mempertahankan hak penduduk-penduduk di Sabah dan Sarawak.
Ahli pembangkang Sabah Datuk Dr Jeffrey Kitingan berpendapat, warga Sabah dan Sarawak perlu berpendirian seperti Taib bagi meraih apa yang dijanjikan kepada mereka melalui perjanjian penubuhan Malaysia.
Jeffrey juga satu-satunya ahli dewan undangan negeri dari parti Parti Reformasi Negeri (Star) yang berasal dari Sarawak dan bertapak di Sabah. Beliau sememangnya sangat layak bercakap bagi penduduk dari kedua-dua negeri di Borneo itu.
Ramai warga Sarawak yang melaungkan sentimen bahawa mereka melihat diri mereka sebagai anak Sarawak dahulu, dan kemudian warga Malaysia. Ada juga yang bercakap tentang semangat nasionalisme di Sabah dan Sarawak dengan menggesa parti-parti politik daripada semenanjung meninggalkan mereka, bukan setakat Umno.
Bahkan, “pembebasan” yang dijanjikan Pakatan Rakyat juga tidak mendatangkan keyakinan di kalangan warga tempatan. Parti politik dari semenanjung ini dilihat bertegas mahu bertapak di sana dan bukan menjalin kerjasama dengan pakatan pembangkang sedia ada.
Dengan Sabah sudah dimangsai angkara politik dari semenanjung (dibaca: Umno), Taib sendirian berdiri -- sebagai Raja Borneo terakhir.
Selepas 33 tahun menerajui pentadbiran kerajaan selaku Ketua Menteri, Taib dilaporkan cukup selesa dan kaya-raya bagi meletakkan kepimpinan negeri Sarawak di tangan seorang pengganti. Namun Taib sudah pasti kekal sebagai “Raja” yang mengawasi jajahan takluknya, Bumi Kenyalang.
Taib nampak bakal memegang jawatan Gabenor sehingga akhir hayatnya.
Jadi apakah nilai segala daya usaha Sarawak ini? Soalan yang berlegar ketika legasi Taib semakin jelas kelihatan.
Amat menyedihkan jika warga Sabah dan Sarawak yang dikecewakan kerajaan persekutuan, namun akhirnya membenarkan anak negerinya sendiri bermaharajalela.
Dunia ini aneh dan perkara-perkara yang lebih aneh serta menyedihkan bakal berterusan.
Selagi kerajaan persekutuan tidak bersikap adil terhadap nasib penduduk Sabah dan Sarawak, dengan pembangunan serta perjanjian 18 atau 20 perkara yang dimeterai diabaikan, Taib atau seseorang sepertinya akan kekal berkuasa.
Dan kerana segala aspek kehidupan ini bukan hitam atau putih, tetapi kelabu, agak sukar menyimpulkan samada ia buruk atau sebaliknya.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa