Amanah gesa PM perjelas isu Malaysia jual senjata Korea Utara
Timbalan Presidennya, Salahuddin Ayub berkata, Kerajaan Malaysia perlu memberi penjelasan kepada rakyat tempatan dan masyarakat antarabangsa bahawa terdapatnya syarikat dan individu yang menjual senjata dari Korea Utara di negara ini.
PETALING JAYA: Parti Amanah Negara (Amanah) hari ini menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak supaya membuat penjelasan terperinci dengan segera mengenai dakwaan Malaysia terlibat menjual senjata dari Korea Utara.
Timbalan Presidennya, Salahuddin Ayub berkata, Kerajaan Malaysia perlu memberi penjelasan kepada rakyat tempatan dan juga masyarakat antarabangsa bahawa terdapatnya syarikat dan individu yang menjual senjata dari Korea Utara di negara ini.
Dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini, beliau berkata, Najib seharusnya memberikan penjelasan tentang keterlibatan penjualan senjata dari Korea Utara oleh Global Communications Company (Golcom) yang kemudiannya menukar identiti kepada International Golden Services (IGS).
“Di bawah pentadbiran Perdana Menteri mana mungkin Najib boleh menafikan bahawa Malaysia telah menjadi destinasi penjualan senjata haram oleh negara Korea Utara yang bertentangan dengan sekatan senjata Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).”
Tegasnya, perkembangan terbaru ini telah membawa masalah dan reputasi Malaysia di mata badan dunia tersebut.
Dalam erti kata lain, kata Salahuddin, “kita sendiri yang membuka ruang untuk orang memasang jebak atau perangkap yang hari ini rakyat dan pegawai kita di Pyongyang yang menjadi taruhan.”
“Rakyat pula diminta bersembahyang hajat untuk menutup segalanya?” kata beliau.
Salahuddin menambah, masyarakat antarabangsa umumnya sedia maklum bahawa Korea Utara adalah di antara negara penyangak di mana hubungan diplomatik dan hubungan dagang harus ditangani dengan teliti dan cermat sesuai dengan beberapa konvensyen dan peraturan antarabangsa.
Tambahnya, apabila berlaku krisis Kuala Lumpur-Pyongyang ketika ini akibat pembunuhan politik abang tiri pemimpin Korea Utara, ada pihak termasuk Reuters telah dapat menimbulkan beberapa penemuan menarik yang semacam tersembunyi daripada pegetahuan umum sebelum ini seperti kemudahan Imigresen tanpa visa oleh rakyat Korea Utara ke negara ini.
“Terdapat syarikat yang beroperasi menjual senjata buatan Korea Utara yang juga dimiliki oleh orang kuat sebuah parti politik di negara ini.
“Dikatakan Korea Utara dapat mewujudkan pusat penjualan senjata mereka di Kuala Lumpur,” katanya sambila perdana menteri seharusnya memberikan penjelasan tentang isu ini.
Akhir bulan lepas, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pihak berkuasa dalam proses membatalkan pendaftaran 2 syarikat Malaysia yang didakwa mempunyai kaitan dengan agensi risikan Korea Utara.
Katanya, 2 syarikat itu adalah International Global System Sdn Bhd dan International Golden Services Sdn Bhd yang dilaporkan mempunyai kaitan dengan Glocom.
Glocom ialah singkatan untuk Global Communications Co yang dikawal Biro Umum Peninjauan – agensi perisikan Korea Utara ditugaskan untuk operasi luar negara dan perolehan senjata yang dikenakan sekatan oleh PBB.
Reuters melaporkan Glocom yang menjual peralatan perang beroperasi dari pejabatnya di Brickfields, dikatakan menutup kegiatan intipan bagi pihak Korea Utara.
Glocom pernah menyertai pameran senjata 2 tahun sekali di Malaysia, Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia sekurang-kurangnya 3 kali sejak 2006, menurut laman web Glocom.
Malaysia adalah antara beberapa negara di dunia yang mempunyai hubungan baik dengan Pyongyang.
Bagaimanapun, hubungan itu menjadi tegang selepas Kim Jong Nam, abang sebapa kepada diktator Korea Utara, Kim Jong Un, dibunuh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), pada 13 Februari lalu.
No comments:
Post a Comment
Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa