Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Wednesday, March 8, 2017

Beri Mahathir peluang reformasi negara

06 Mac 2017 | AHMAD LUTFI OTHMAN

Sejak dua tahun mutakhir ini, saya cukup memilih untuk hadir mana-mana majlis keramaian, terutama yang jauh jaraknya dari kediaman. Banyak pertemuan, hatta anjuran keluarga dan rakan terdekat, termasuk majlis perkahwinan, terpaksa dilupakan.

Apatah lagi program politik; misalnya, walaupun begitu teruja untuk mengikuti dari dekat perkembangan Konvensyen Tahunan Parti Amanah Negara pada 10-11 Disemberlalu, dan sahabat karib sudahpun datang menjemput di depan pintu, saya hanya mampu melayari media baru sambil bermalas-malasan di ruang tamu.

Namun begitu, ada pengecualiannnya. Hmpunan Bersih 4.0 jatuh ketika kegagalan ginjal sampai tahap yang cukup serius tetapi saya masih enggan mengikuti hemodialisis. Saya sibuk mencari rawatan alternatif tetapi tidak berkesan.

Dalam keadaan toksik penuh berkumpul dalam badan, dan jalan pun terhuyung-hayang, saya gagahi juga, dengan berpimpin-tangan anak, menyusur Jalan Tun Perak, berdekatan Dataran Merdeka, bersama puluhan ribu hadirin. Begitu juga dengan perarakan Bersih 5.0, walaupun sekadar menonton dari tangga hotel di sekitar Pudu Sentral.

Konvensyen reformis 

Apabila mendapat undangan Rozan Azen Mat Rasip, untuk hadir ke Konvensyen Reformis di Shah Alam, 25 Februari, saya tidak terus menolaknya meskipun Sabtu adalah hari rutin rawatan. Saya merancang untuk menukar jadual hemodialisis.

Pertemuan para reformis yang diketuai Saari Sungip itu, bagi saya, ada kelainan dan keunikan. Pak Abu (Saari) sendiri merupakan tokoh yang istimewa di hati saya. Mengenali dari jauh semenjak zaman kampus, era awal 80-an, yang popular dengan buku Risalah Usrah. Bekas Presiden JIM ini dikurung ISA sebanyak dua kali, pada zaman Dr Mahathir Mohamad.

Namun menjelang program bersejarah itu, tahap kesihatan saya tambah merosot. Malah saya dikehendaki jalani proses transfusi darah di hospital ekoran bacaan hemoglobin yang terlalu rendah. Justeru, tengahari Sabtu itu, saya terpaksa berehat selama empat jam di atas kerusi dialisis, tingkat 6, HUKM (dan dikenakan bayaran dua kali ganda kerana rawatan di luar waktu pejabat!).

Saya bukanlah antara golongan reformis awal yang bersama mencetuskan gelombang protes besar-besaran pada awal September 1998 apabila Anwar Ibrahim dipecat Dr Mahathir daripada semua jawatan dalam kerajaan dan Umno.

Cuma, saya antara saksi mata melihat dari dekat penunjuk perasaan bertempiaran lari disembur air kimia, ditembak gas pemedih mata, dibalun belantan, disepak-terajang, sepanjang Jalan Tunku Abdul Rahman, sekitar Masjid Kampung Baru dan Dataran Merdeka.

Lengkap bersenjata berat 

Sehingga bekas Timbalan Perdana Menteri yang diaibkan itu ditangkap secara ganas sepasukan polis bertopeng lengkap bersenjata berat, selepas dipecahkan pintu rumahnya di Bukit Damansara, di bawah ISA pada 20 September 1998. saya sekadar pemerhati, dan sesekali masih mengkritiknya. Sejurus sebelum itu, saya menulis buku 'Layakkah Anwar Ketuai Reformasi?', yang turut memperpersoalkan kewibawaan beliau untuk menerajui perubahan.

Saya tidak menunggu lama untuk beraksi proaktif menentang kezaliman Dr Mahathir apabila Anwar dipukul hampir mati, dibogelkan dan seluruh sumber, jentera serta kemudahan kerajaan diperalatkan demi mempertahankan kuasa sang perdana menteri. Segala adab dan pantang larang ketimuran diketepikan.

Para demonstran yang memenuhi Jalan Tunku Abdul Rahman digempur, dibalun, diganasi dan ditangkap. Saya menerbitkan buku politik popular (antaranya Skandal Seks atau Konspirasi Politik, Malaysia Tanpa Anwar), majalah Detik dan Wasilah (kemudiannya diharamkan KDN), terbitan khas isu (Siapa yang Dibicarakan: Anwar, PM atau Polis Cawangan Khas, Pantang Undur: dari Bukit Damansara ke Penjara, Misteri Lebam Mata Anwar Terbongkar), makalah kartun dan komik reformasi, seterusnya deretan tabloid tidak berkala, tanpa permit.

Majalah diulang cetak 

Majalah Tamadun yang saya terajui meletup apabila menjadikan kes pemecatan Anwar sebagai cover dan fokus khas untuk keluaran September 1998. Ia diulang cetak sebanyak tiga kali, mencecah hampir 150,000 naskhah keseluruhannya untuk terbitan bulan itu sahaja. Para demonstran menggunakan gambar berwarna di muka tengah majalah tersebut sebagai poster pembakar semangat semasa menunjuk perasaan.

Sebenarnya episod menjadi pengkritik tegar Dr Mahathir bermula lebih awal. Saya mula menjadi karyawan Harakah sejak keluaran sulung Mac 1987. Bersama organ pembangkang tidak semestinya secara automatik harus menentang apa saja tindakan elit pemerintah.

Tragedi berdarah Memali, 19 November 1985 menjadi turning point. Ia merumuskan kesimpulan mudah, Umno mampu melakukan apa saja demi kuasa, walaupun terpaksa membunuh ulama di ceruk kampung. Saya terlibat dalam dua penerbitan khas mengenai peristiwa hitam ini.

Berikutan kemenangan tipis Dr Mahathir dalam pemilihan Umno, April 1987, belang kediktatorannya menyerlah. Operasi Lalang, yang menyumbat lebih 100 aktivis ke dalam perangkap ISA adalah mercu tandanya. Saya merakamnya khas dalam makalah Demokrasi Zaman Mahathir. Ia dikuti penggantungan permit beberapa akhbar, Melayu-Cina-Inggeris. Pindaan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, Akta Polis dan ISA menyusul. Peranan semakan kehakiman dihilangkan.

Pengharaman Umno (seperti dikehendaki Dr Mahathir sendiri) dan kes rayuan untuk memulihkan parti itu di mahkamah lebih mencolok mata. Kebebasan badan kehakiman musnah teruk. Bukan saja Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas dan dua hakim Mahkamah Agung -- Tan Sri wan Sulaiman Pawah Teh dan Datuk George Seah -- dipecat tetapi perjalanan kes rayuan Umno itu juga menyaksikan seluruh struktur kehakiman peringkat tertinggi dicabuli.

 Serangan berbisa

Saya menyusun pengalaman buruk itu dalam buku Islam, Kehakiman dan Kediktatoran: Kes Tun Salleh Abas. Era gelap 1987-88 itu mungkin lebih gelita daripada tahun-tahun 1998-99.

Walau bagaimanapun, sejarah lampau Dr Mahathir tidak menghalang saya untuk mengikuti siri ceramahnya apabila bekas Perdana Menteri itu melancarkan serangan berbisa terhadap penggantinya, Abdullah Ahmad Badawi.

Sekurang-kurangnya saya hadir di Taman Melawati, Alor Setar, Kota Bharu dan Damansara. Saya turut terkena tempias bahang seumpama semburan pedih cili, serangan kepada Dr Mahathir di Lapangan Terbang Pengkalan Chepa, Kelantan. Faktor Dr Mahathir juga sedikit sebanyak membantu menjatuhkan prestasi BN dalam PRU2008. BN hilang majoriti dua pertiga di dewan rakyat dan lima negeri tumbang.

Apabila Dr Mahathir mengetuai kempen Selamatkan Malaysia dan berusaha keras mengutip lebih sejuta tanda tangan Deklarasi Rakyat, saya kira usahanya menentang pemerintahan Najib Razak, adalah serius. Mulanya hanya Najib menjadi sasaran, tetapi kemudian bertukar untuk menjatuhkan regim Umno-BN seluruhnya. Penjelasannya mengenai skandal mega 1MDB -- yang begitu kompleks -- agak mudah difahami. Beliau turut mempopularkan Umno sebagai kleptokrasi pimpinan "penyangak dan pencuri".

Pertemuan pertamanya dengan Anwar, selepas 18 tahun tiga hari, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membuka babak baru yang lebih menarik. Dua musuh ketat ini dirakam erat bersalaman. "Politik Malaysia selepas ini tidak sama lagi," kata seorang pemerhati. Walaupun sebahagian penyokong Anwar masih sangsi terhadap Dr Mahathir, namun bagai sudah "ternampak cahaya di hujung terowong".
Apabila Dr Mahathir mengetuai kempen Selamatkan Malaysia dan berusaha keras mengutip lebih sejuta tanda tangan Deklarasi Rakyat adalah serius untuk menentang pemerintahan Najib.

Usah desak Mahathir 

Malah seorang pengkagum setia Anwar memberitahu saya: "Selama ini Anwar terhalang untuk jadi PM disebabkan faktor Mahathir. Jadi bila Mahathir seolah-olah mahu berdamai dengan Anwwar, halangan itu sudah tidak ada lagi. Cuma Mahathir ini, perangainya jangan paksa dia. Jangan desak dia minta maaf, dia tak akan buat, tapi akhirnya dia akan mengalah juga."

Dalam tempoh itu juga, Dr Mahathir bagai aktivis muda yang luar biasa tenaga dan staminanya. Beliau mengusahakan penubuhan parti baru, Bersatu, bersama Muhyiddin Yassin, bekas timbalan perdana menteri yang dipecat, tertumpu untuk menarik keluar ahli-ahli Umno. Sehingga lewat malam, ditemani Dr Siti Hasmah Ali, beliau memenuhi undangan, walaupun ke ceruk kampung.

Tampak jelas, keazaman politiknya yang jitu dan fokus untuk menubuhkan sebuah kerajaan baru. Kadang-kadang progrmnya penuh sehari suntuk, dari awal pagi sampai dini hari. Tokoh-tokoh pembangkang yang menjadi seterunya dulu, seperti Mohamad Sabu dan Lim Kit Siang menjadi gandingannya di pentas-pentas pidato. Demi kepentingan rakyat dan menyelamatkan Malaysia daripada terjerumud ke dalam kancah negara gagal, mereka menunjukkan jiwa besar dan minda terbuka, bersedia bertolak ansur dan mengetepikan perbedaan.

Kemunculannya secara mengejut dalam Konvensyen Reformis di Shah Alam lebih menggemparkan. Namun, mengenali watak Dr Mahathir, tiada yang mustahil bagi orang tua berusia 92 tahun itu. Walaupun diejek dan disorak, Dr Mahathir seperti biasa, kelihatan tenang, dan memberikan mukadimah ucapan yang menghargai peranan reformis sepanjang sejarah. Katanya, tamadun hanya dapat dibentuk apabila berlaku reformasi.

Selepas Najib jatuh, hukumlah 

Menyedari tidak mudah untuk audien reformis menerimanya, Dr Mahathir berjaya meredakan ketegangan apabila berkata: "Selepas kerajaan Umno-Najib ini dijatuhkan, dan tertubuhnya kerajaan baru, kalau nak hukum saya ketika itu, hukumlah!" Seolah-olah secara tidak langsung, beliau seperti sudah mengaku kesalahan yang dilakukannya dahulu.

Naib Presiden PKR, Prof Shaharuddin Badaruddin dan Ketua Pemuda Nik Nazmi Nik Ahmad dilaporkan berkata, penyokong reformasi perlu berlapang dada, apatah lagi Anwar sendiri sudah dilihat berdamai dengan “musuh ketatnya” itu. "Pasti ada yang tidak boleh memaafkan Dr Mahathir. Kita tidak boleh paksa, biar secara natural … sebagai manusia, rasa marah akan berkurangan," kata Dr Shaharuddin.

"Saya faham ramai golongan reformasi yang bermula sejak 1998 masuk ISA, hilang kerja. Ia pengalaman pahit dan bukan mudah untuk menerima Dr Mahathir.Tetapi kita kena berlapang dada, seperti ditunjukkan Anwar dan keluarganya," tambah Nik Nazmi.

Saya juga percaya, masa menjadi pengubat paling mujarab, lama kelamaan golongan yang mendambakan perubahan ini boleh menyesuaikan dengan situasi, bekerjasama demi matlamat perjuangan yang lebih besar dan kudus. Apatah lagi melihat kerakusan Najib semakin dahsyat memporak-perandakan negara.

Menunjuk jalan 

Dr Mahathir juga seperti mahu menunjuk jalan; Najib dan BN hanya dapat disingkirkan dengan tekad politik yang terarah, "tidak berpusing-pusing" di persimpangan yanag sama. Agak kerap juga dia menyindir sikap Pas yang kelihatan lebih selesa dengan Umn0-Najib berbanding dengan rakan-rakan oposisi.

Namun begitu, ingatan Anwar yang disampaikan dalam konvensyen itu jugaharus diberi perhatian agar sejarah perubahan di negara-negara lain menjadi pengajaran: "Revolusi Perancis dengan slogan memukau – liberty, equality,ar fraternity – tetapi dijadikan medan pertarungan elit dan nasib petani terabai. Revolusi Rusia berakhir dengan penguasaan mutlak elit komunis bermula dengan Lenin dan seterusnya Stalin juga berakhir dengan pentadbir rakus.

"Negara yang mengamalkan demokrasi dan parti lain menjadi pengganti tetapi meneruskan dasar pembangunan yang memihak kepada korporat dan saudagar kaya sementara majoriti rakyat, terutama petani, pekerja bandar, termasuk kelas menengah terus terpinggir. Lantaran itu, kesedaran dan conscientisation dikalangan reformis dan rakyat perlu terus segar. Mereka perlu jelas dan faham apa maksud dan agenda perubahan."

Ada juga yang masih menyimpan curiga; mungkinkah Dr Mahathir akan kembali berkuasa selepas Najib dijatuhkan, apatah lagi dalam masa sama, Anwar masih terpenjara.

Sesungguhnya kerajaan baru yang bakal terbentuk bukan sepenuhnya atas inisiatif Dr Mahathir, tetapi hasil kolektif usaha kuat semua parti pembangkang yang hampir sama kuat, iaitu PKR, DAP, Amanah dan Bersatu, juga muafakat dengan begitu banyak NGO yang lain, serta didukung majoriti rakyat yang proaktifberpartisipasi. 

Mereka diikat dengan prinsip kebertanggungjawaban dan integriti yang tinggi.
Tiada parti dominan 

Dalam Pakatan Harapan, semua parti hampir seimbang kekuatannya, bukan seperti BN yang didominasi Umno. Dan apabila pemerintah baru terbentuk, tuntutan reformasi dan perubahan sistem harus dimulakan segera, terutama memperkukuhkan institusi yang penting dalam demokrasi dan doktrin pengasingan kuasa, seperti Parlimen, kehakiman dan media. Ia tidak memungkinkan mana-mana tokoh, walaupun sehebat Dr Mahathir, untuk memperlihatkan gaya kediktatoran seperti dulu.

Menghampiri usia satu abad, saya percaya Dr Mahathir tidak berangan-angan untuk menjadi PM lagi, ia lebih kepada usaha gigihnya untuk memenuhi nurani beliau sebagai negarawan ulung dan di samping menyempurnakan misinya untuk memperbetulkan kesilapan masa lalu, termasuk memilih Najib sebagai perdana menteri.

Lebih penting, usaha membina semula negara yang hampir musnah ini adalah tugas dan tanggungjawab semua pihak, bukan sekadar parti-parti yang dapat membentuk kerajaan baru tetapi juga terbeban ke atas masyarakat sivil, budayawan, agamawan, mahasiswa, dan rakyat seluruhnya. Mereka berpartisipasi politik bukan hanya sekadar mengundi lima tahun sekali tetapi sentiasa prihatin dan sedar akan hak dan tanggungjawab sebagai warga.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa