Dr Mahathir kritik cara Malaysia tangani krisis Korea Utara
Malaysia tidak perlu jadikan Korea Utara sebagai musuh, dan perlu kembali dasar berkecuali.
PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menyelar pentadbiran semasa Malaysia dalam menangani krisis dengan Korea Utara, dan berkata ia menyebabkan ketegangan yang membimbangkan rakyat.
“Ini satu peristiwa yang tidak pernah alami Malaysia sebab itu kita tidak begitu cekap dalam menanganinya sehingga timbul ketegangan antara kita dengan Korea Utara.
“Saya fikir ini jadi satu pengajaran kepada kita, iktibar tangani masalah ini pada masa depan,” kata bekas perdana menteri itu di Yayasan Kepimpinan Perdana.
Hubungan Malaysia dan Korea Utara kini di tahap paling tegang sejak kedua-dua negara menjalinkan hubungan diplomatik pada 1973.
Ia susulan kematian Kim Jong Nam, abang tiri pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, selepas diserang 2 wanita, yang dipercayai diupah Korea Utara, dakwaan yang ditolak Pyongyang sejak awal.
Malaysia dan Korea Utara sudah pun menghantar pulang kedua-dua dutanya, dan minggu ini kedua-dua kerajaan berkeras menghalang rakyat masing-masing pulang ke tanah air.
Ia mengancam membawa pertelingkahan itu ke tahap baharu menyamai tebusan, ekoran dakwaan polis yang suspek warga Korea Utara yang terlibat dalam pembunuhan Jong Nam masih bersembunyi di dalam bangunan kedutaan di Bukit Damansara.
Dr Mahathir berkata Malaysia tidak perlu jadikan Korea Utara sebagai musuh.
Katanya, Malaysia perlu menangani krisis itu dengan lebih bijak dan menjadikannya satu pengajaran pada masa akan datang.
“Namun demikian terdapat banyak misteri dalam kes ini, siapa yang berniat untuk membunuh, apa dia hasil daripadanya dan macam mana boleh berlaku.
“Kerana negara kita ini dipenuhi dengan ramai orang asing dan mereka bawa perkara yang tidak baik kepada kita. Sebab itu sementara kita perlu berterus terang, kita mesti tentukan fakta itu betul apabila kita buat sesuatu kenyataan,” katanya.
Mengulas lanjut Dr Mahathir berkata Malaysia perlu ikut dasar dahulu dengan memilih berkecuali dan tidak terikat dengan mana-mana negara.
“Dasar dahulu adalah kita berkecuali dan tidak terikat diri kita dengan mana-mana. Kita bersahabat dengan semua negara tanpa mengambil kira dasar atau ideologi mereka.
“Sekarang ini ada perbezaan dasar sedikit, kita sudah mendekatkan diri kita dengan satu negara lain. Ini kurangkan kebebasan kita,” katanya tanpa menamakan siapa yang dimaksudkannya.
“Adalah lebih baik, kita pilih dasar berkecuali kerana beri banyak manfaat kepada kita,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa