Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Sunday, April 9, 2017

Isu dedak RM90 juta: Siapa pula Samsuri Mokhtar?

Isu Dedak RM90 Juta PAS Belum Saman SR, Rafizi Mahu Dedah Nama Tokoh.....


Sarawak Report: Belum ada notis saman PAS sampai hari ini

Editor Sarawak Report belum menerima sebarang notis saman meskipun sudah lebih 3 bulan tarikh akhir bagi pihaknya memenuhi tuntutan PAS berhubung laporan mendakwa pucuk pimpinan parti itu menerima RM90 juta daripada Datuk Seri Najib Razak, berakhir.

“Mereka mengugut untuk menyaman saya dalam masa seminggu jika saya tidak melakukan banyak perkara (yang dituntut) pada pertengahan Disember (lepas)… tetapi belum ada (sebarang tindakan),” kata Clare Rewcastle Brown kepada FMT menerusi e-mel. Katanya, peguam bagi PAS di United Kingdom masih belum mengemukakan sebarang notis guaman terhadapnya ataupun portal itu berhubung ancaman mereka.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pertanyaan sama ada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang atau partinya telah mengambil tindakan undang-undang terhadap beliau dan Sarawak Report di UK sejak kata dua itu dikemukakan.

Sementara itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan pula tidak respons kepada FMT walaupun mesej WhatsApp dihantar semalam. Sebelum ini, Takiyuddin berkata, peguam partinya di United Kingdom telah menghantar surat tuntutan kepada Sarawak Report pada 13 Disember lepas.

Beliau berkata, surat yang mengandungi 3 tuntutan iaitu menggesa Sarawak Report menarik balik artikel bertarikh 6 Ogos 2016 dan mengeluarkan permohonan maaf mengikut terma yang dipersetujui oleh partinya.

Permintaan ketiga mahu Sarawak Report memberikan jaminan tidak akan menyiarkan tuduhan palsu pada masa-masa akan datang. 

Tempoh 7 hari itu berakhir 20 Disember lepas. 

Sarawak Report mendakwa RM90 juta telah dimasukkan ke dalam akaun pemimpin atasan PAS. Transaksi itu mendakwa ia salah satu usaha Najib untuk “menarik” kepimpinan PAS supaya menyokong Barisan Nasional dan Umno. 

Dakwaan itu dikritik oleh pemimpin-pemimpin PAS, termasuk Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, yang dilaporkan berkata, 

PAS akan mengambil tindakan undang-undang berhubung laporan itu yang berniat jahat mencemarkan reputasi parti itu dan dasar Islamnya. 

Sementara itu, peguam S N Nair berkata, pihak yang menghantar notis lazimnya memperlihatkan keseriusan untuk menyaman jika perkara dituntut tidak dipenuhi. 

Jika tidak, ia hanya kata dua kosong yang tidak menunjukkan keseriusan bahawa kemudaratan telah dilakukan akibat sesuatu laporan, kata beliau. Tambah beliau, sesetengah peguam, bergantung kepada kerumitan kes dan faktor-faktor lain, biasanya memfailkan saman secepat mungkin. Bagaimanapun jelas beliau, tindakan undang-undang tidak wajar mengambil masa yang lama kerana sengatan fitnah akan berkurangan dari semasa ke semasa. -FMT 
SPRM SUDAH ADA KERTAS SIASATAN PEMINDAHAN WANG DARI AKAUN PERIBADI DATO’ SERI NAJIB

Saya sedia maklum jawapan rasmi Setiausaha Agung PAS, YB Datuk Takiyuddin Hassan kepada kenyataan saya mengenai dana berkaitan 1MDB yang dipindahkan dan sampai kepada seorang tokoh yang rapat dengan pimpinan PAS sekarang. Beliau menyeru supaya saya menyerahkan bukti yang saya ada kepada SPRM supaya SPRM boleh segera menyiasat.

Saya ingin memaklumkan kepada rakyat bahawa SPRM sudah pun menyiasat aliran dana dari akaun-akaun yang disiasat berhubung dana 1MDB yang dipindahkan ke akaun peribadi Dato’ Seri Najib Tun Razak. Dari siasatan itu, satu aliran dikesan sampai kepada tokoh yang rapat dengan pimpinan PAS itu.

Oleh itu, tidak timbul soal segera menyerahkan bukti kepada SPRM seperti yang dinyatakan oleh Datuk Takiyuddin itu. Namun, saya akan mendedahkan nama tokoh tersebut dalam masa beberapa minggu ini dan selepas itu, saya akan membuat laporan SPRM supaya SPRM dapat merujuk kembali kepada kertas siasatannya sendiri.

Setelah saya menamakan tokoh tersebut, ia akan menjadi ujian besar kepada UMNO dan PAS seperti berikut:

1. Pimpinan UMNO akan bergelut sekali lagi dengan isu campur tangan dalam pentadbiran keadilan negara sekiranya Peguam Negara sekali lagi menutup kes walaupun kertas siasatan telah selesai dan bukti telah dikumpul oleh SPRM;

2. Pimpinan PAS di segenap peringkat perlu menyemak sama ada mereka pernah sekali-kali menerima bantuan kewangan, derma, infaq atau dana (dalam apa jua bentuk dan bagi apa jua tujuan) dari tokoh yang saya namakan itu kerana ada kemungkinan besar ia dana dari wang rakyat yang dibelanjakan melalui 1MDB. Sebagai sebuah parti yang mengaku mengangkat Islam, setiap pemimpin PAS perlu lebih teliti dari semua parti lain mengenai asal usul sumber kewangan mereka untuk mengelakkan sumber yang disifatkan syubhah (diragui).

Saya pada mulanya tidak berniat untuk membawa isu ini tetapi episod di Parlimen semalam mengesahkan bagaimana isu penambahbaikan mahkamah syariah telah dimainkan lebih dari setahun demi memberi ruang bernafas kepada Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Setelah ditangguhkan 3 kali, jelas bahawa isu yang dibawa oleh PAS melalui rang undang-undang persendirian untuk meminda Akta 355 (RUU355) akan terus dijadikan umpan oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak. Sementara saya bersedia untuk berbahas sepenuhnya dan memberikan pandangan bagaimana cara terbaik menambahbaik mahkamah syariah, persetujuan di luar dewan di antara Dato’ Seri Najib dan PAS (seperti yang disahkan oleh Dato’ Seri S Subramaniam, presiden MIC bahawa keputusan itu telah dipersetujui lebih awal di Majlis Tertinggi Barisan Nasional) menunjukkan Dato’ Seri Najib tidak berniat pun untuk menambahbaik mahkamah syariah.

Isu RUU355 telah dijadikan umpan untuk memastikan PAS kekal berkecuali sebagai blok ketiga dan tidak bersuara dalam isu-isu penting seperti 1MDB. Jika Parlimen bersidang untuk Belanjawan 2018 dalam bulan Oktober, saya yakin PAS sekali lagi akan berkecuali semasa pengundian belanjawan kerana bimbang akan menjejaskan persefahamannya dengan Dato’ Seri Najib yang berkisar mengenai RUU355.

Oleh itu, selagi polemik isu RUU355 ini tidak diselesaikan, selagi itulah kelebihan berada di tangan Dato’ Seri Najib untuk bermuslihat politik dari semasa ke semasa dengan menggunakan PAS.


Setelah saya bersangka baik lebih setahun dan berharap agar RUU355 ini dapat dibahaskan sama seperti semua rang undang-undang yang lain, saya yakin segala yang berlaku di Parlimen, bila diambil kira pula soal dana 1MDB yang mengalir ke tokoh yang rapat dengan pimpinan PAS, mewajarkan saya memutuskan bahawa PAS akan terus “dipegang” Dato’ Seri Najib selagi isu RUU355 ini dibenarkan berpanjangan.

Oleh sebab itulah, saya berpandangan adalah menjadi tanggungjawab saya berdepan terus dengan PAS dan UMNO sekaligus mengenai kedua-dua isu ini supaya rakyat boleh kembali kepada isu yang paling penting iaitu kebajikan rakyat yang terlalu terbeban dengan pelbagai kenaikan harga barang, peluang pekerjaan yang sempit dan gaji yang berkurangan.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

 ULASAN GB 

Oh rupa-rupanya PAS mengikut cara dan stail Najib dalam bab saman-menyaman ni. Najib dulu kata nak saman SR Kata hari Selasa, tapi dah berpuluh Selasa berlalu, tak juga saman itu dilakukan. 

Kini giliran PAS, dulu Presiden PAS kata nak saman dalam tempoh sebulan, tapi kini dah berbulan-bulan.... habuk pun tarak. 

Pe'el dan perangai PAS dah sama dengan UMNO, dan dari hari sehari pekung semakin terdedah. 

Dato Husam Musa sudah pun membuat kenyataan ada wang yang mengalir melalui Affin Bank ke akaun beberapa orang pimpinan PAS. 

Kelmarin, rafizi pula mendedahkan ada dana berkaitan 1MDB yang dipindahkan dan sampai kepada seora ng tokoh yang rapat dengan pimpinan PAS sekarang. 

Seperti biasa Setiausaha Agung PAS menafikan dan begitu juga Pengerusi Lajnah Penafian PAS, Setiausaha Politik Presiden Pas, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar " memperlekehkan Rafizi dengan menyoal "Siapa Rafizi?" 

Katanya, melayan kerenah orang yang ada masalah yang kronik dalam mengatur strategi yang sentiasa gagal, adalah satu perbuatan yang amat membuang masa dan anti-logik, 

Rakyat ingin bertanya pula, "Siapa Samsuri?' Apa kredibiliti yang dia ada berbanding Rafizi? Sekurang-kurangnya Rafizi adalah seorang wakil rakyat yang telah berjaya membongkar banyak isu penyelwengan dan ketirian UMNO BN, tetapi apa kedudukan Samsuri selain dari menjadi seorang setiausaha politik yang makan gaji daripada seornag presiden parti yang kini telah dipertikaikan integritinya dengan kerap ponteng parlimen dan bersekongkol dengan UMNO? 

Cukup-cukuplah PAS. Hukum kebenaran dan keadilan akan terus mendedahkan dedak yang diterima. Pekung tidak boleh selama-lamanya ditutup. 

1 comment:

  1. https://arrahmahnews.com/2017/04/09/video-sistem-pertahanan-rudal-suriah-tembak-jatuh-36-rudal-tomahawk-as/

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa