Aku telah bosan. Bosan dan sudah naik menyampah dengan orang-orang politik. Gawat, kecuh tidak kian sudah. Entah bila akan berakhir agaknya. Entah bila pula banduan-banduan di penjara dunia politik akan bebas. Bebas untuk memikir dan bekerja untuk kepentingan rakyat dan negara. Sedar tidak sedar mereka merengkuk di dalam penjara buatan sendiri dan mereka yang melontarkan diri mereka kedalamnya! "Penjara Dunia Politik". Mereka bergaduh sesama sendiri, mereka bertekak sesama mereka. Mereka balun membalun sesama meraka. Mereka tuduh menuduh sesama mereka. Agaknya bila runtuh bumi yang tercinta ini, barulah mereka menengadah ke langit dan menyesali tindak tanduk mereka.
Sedarkah mereka yang rakyat memilih mereka. Rakyat mengundi mereka untuk kepentingan rakyat dan negara. Kita memilih mereka untuk membela nasib kita. Kemakmuran tanah air kita. Membela kedaulatan Negara kita. Tetapi tidak, mereka tidak habis-habis berjuang untuk kuasa dan periuk nasi mereka. Bertelagah mempertahankan orang-orang mereka.
Dan sekiranya mereka berperang sesama sendiri tidak kunjung tamat, maka bilakah masanya untuk mereka memikirkan kita, memikirkan pentadbiaran negara kita, memikirkan untuk memakmurkan negara kita? Bukankah itu pecah amanah namanya? Tidak bertanggung jawab maknanya?
Aku sudah pekak mendegar hujah mereka, aku sudah tidak ingat lagi janji mereka, aku sudah muak menonton lakonan mereka. Aku sudah jijik mendengar pandangan mereka. Sedar tidak sedar mereka sedang memperbodohkan diri mereka sendiri. Alangkah baiknya sekiranya pihak Pembangkang bekerjasama dengan parti Pemerintah berfikir dan bekerja kearah kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat? Entahlah, lantak kamu lah Labi......
Kita tinggalkan mereka sekarang. Jom kita pergi ke gunung bersama aku. Kali ini aku nak bercerita tentang pertemuanku dengan seorang orang tua di Gunung Stong, Kelantan.
Suatu hari beberapa tahun yang lalu, kami bertiga berkhemah di Jeawang Jungle yang terletak di permulaan Air Terjun Gunung Stong yang jarak perjalanan treking dari Kg. Jelawang mendaki Gunung Stong lebih kurang 2 ke 3 jam. Dari Jelawang Jungle ke Puncak Gunung Stong pula lebih kurang 2 ke 3 jam pula. Bersama saya ialah Tuan Saharizam dan Mohd. Shah. Setalah satu malam di sini, petang esoknya kami mendaki ke puncak Stong.
Kami mendaki tanpa membawa apa-apa bekalan dan lampu suluh juga tertinggal. Kami melalui trek balak tinggal, merentasi Sungai Rantai dan melewati Gua Stong untuk ke puncak, treknya memang mencanak hanya sedikit saja terdapat tempat-tempat yang landai. Setibanya di satu permatang lebih kurang 40 minit dari puncak saya terasa amat mengantuk. Saya minta dua orang lagi rakan saya meneruskan perjalanan ke puncak sementara saya nak tidur. Saya minta bila mereka turun nanti kejutkan saya. Mereka meneruskan perjalanan ke puncak dan saya sandarkan badan ke satu banir pokok dan lena.
Saya terjaga, dan hari sudah gelap, hampir maghrib tetapi saya tidak dikejutkan oleh dua rakan tadi. Saya sangka mereka sengaja tinggalkan saya untuk melawaklah konon. Bergurau! Memang gurau geng-geng gunung ni gila-gila. Oleh kerana hari sudah gelap tanpa lampu dan sangkaan saya dua kawan tadi sudah tinggalkan saya, saya turun dengan berjalan cepat dan kadang-kadang berlari.
Di pertengahan jalan saya terserempak dengan seorang lelaki tua yang memakai kain pelikat lusuh dan bersemutal (lilit kain di kepala longat Kelantan) sedang mendaki menghala ke puncak. Saya beri salam dan bertanya " Pak Cik nak ke mana?" Dia kata "Oh.. Pak Cik nak pulang ke atas, anak dari mana?" Saya jawab "Saya dari puncak dan nak balik ke kem di Jelawang Jungle"
"Anak jalanlah baik-baik, hari dah gelap" Saya ucapkan terima kasih dan toleh ke hadapan. Sekejap saya pusing belakang dan orang tua itu sudah hilang dari pandangan saya. Baru saya terfikir, orang tua ni nak balik ke atas tetapi di atas mana ada kampung atau orang tinggal. Sah dia ni bukan orang. Perkara ni rasanya Wak Jono boleh jawab kot?. Saya terus berlari turun.
Hampir jam 8.00 malam saya tiba di kem tetapi saya dapati dua orang rakan tadi tiada di situ. Saya jadi keliru. Adakah dia orang tersesat atau memang belum turun lagi? Saya menunggu. hampir jam 10.00 malam mereka sampai di kem dan memarahi saya meninggalkan mereka. Saya kata saya ingatkan mereka yang tingglkan saya. Rupa-rupanya bila mereka sampai di puncak, mereka juga mengantuk dan tertidur. Bila terjaga hari sudah gelap. Mereka turunlah tanpa lampu.
Di perjalanan mereka turun, mereka diekori oleh satu lembaga berbulu. Sekali tengok macam orang, sekali tengok macam mawas. Bila mereka berlari, lembaga itu ikut berlari. Bila mereka berjalan lembaga itu ikut berjalan. Jadi mereka berjalan buat macam tidak ada apa-apa.
Setiba di satu Beta Balak Lama (tempat longgokan balak yang sudah dipotong) mereka berjumpa dengan satu kumpulan pendaki dari Gua Musang yang membuat kem di situ. Kebetulan yang menjadi Trekker kumpulan ini kami kenal. Mereka berhenti dan bersembang sekejap sementara lambaga itu masih berdiri tidak jauh dari mereka.
Selepas bersembang dan bertanya khabar dua orang kawan saya tadi hendak memulakan perjalanan turun ke kem. Tuan Saharizam (Tuan : gelaran salah satu keturunan Raja di Kelantan) berkata kepada lembaga itu "Kamu tunggulah kawan-kawan aku ni di sini, kami nak turun ke bawah sekejap" Lembaga itu pun tunggulah di situ dan mereka turun. terlepaslah mereka dari diekori oleh lembaga tadi. Tapi entah apalah pula yang berlaku kepada kumpulan yang mendirikan kem di situ pada malam itu tak tahulah. Itulah cerita mereka.
September 19th, 2008 at 7:30 am
Salam.
Mountdweller kata: “Saya juga kagumi YAB Perdana Menteri dari segi peribadinya. Tapi sayang, keperbadian beliau yang lembut dan berhati-hati membuatkan beliau lambat bertindak dan telah diambil kesempatan oleh musuh-musuhnya.”
———————————————-
Sdr. Mountdweller,
Maaf saya kurang setuju dengan pandangan anda kerana pada hemat saya sifat yang dicanang2 kononnya ada pada PM kita itu sebenarnya hanya indah khabar dari rupa. Pada mulanya saya pun seperti yang lain2 mempunyai tanggapan yang muluk2 terhadap beliau apabila melihatkan kelembutan budibicara dan tingkahlakunya.
Namun, setelah berkesempatan memerhatikannya dari jauh selama beberapa tahun ini iaitu semenjak beliau menjawat jawatan Perdana Menteri Malaysia, sedikit demi sedikit persangkaan positif saya kepadanya luput dari benak fikiran saya sehinggakan sukar sekali untuk saya merubah persepsi buruk itu hingga ke saat ini.
Antara faktor2 yang mendorong timbulnya pandangan negatif saya terhadap beliau ialah seperti berikut:
1. sikapnya yang suka berdolak-dalih dalam melakukan banyak perkara terutamanya yang menyangkut mengenai kepentingan rakyat umum umpamanya dalam membuat keputusan untuk menurunkan harga minyak baru2 ini..
2. sifatnya yang kelihatan suka bermuka2 dan cenderung berpura2 alim di hadapan khalayak ramai terutamanya apabila tibanya musim2 pilihanraya. Gendang2 Umno selalu saja dipalu untuk mewarwarkan ke seluruh pelusuk tanahair megenai keperibadian Abdullah Badawi yang kononnya sangat terbilang ilmu agamanya bahkan sejarah keturunannya juga selalu disebut2 untuk membuktikan ketokohan agama beliau. Walhal, pada pendapat saya itu semua tidak lebih dari omong kosong semata2 kerana peribadi beliau sehari2 tidak mencerminkan kebenaran hakikat itu.
3. kelemahannya dalam mengawal kegelojohan anak menantunya, ahli2 keluarga terdekatnya dan juga mereka yang ‘berbau2 bacang’ dengannya dari terlibat dalam urusan pentadbiran dan kewangan negara sehingga mengakibatkan berlakunya pelbagai penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan wang rakyat sepanjang tempoh pemerintahannya selama ini.
4. keterlanjurannya memperkenalkan fahaman ‘Islam Hadhari’ yang sehingga kini masih diragui kedudukannya samada benar atau salah menurut kaca mata Islam. Oleh itu, pelaksanaannya sedikit sebanyak telah menimbulkan kekeliruan di kalangan umat Islam di negara ini.
5. sifatnya yang suka berbohong kepada rakyat contohnya semasa ditanya berkenaan dengan tarikh pembubaran parlimen dan tarikh pilihanraya umum ke-12 yang lalu. Beliau menafikan khabar2 angin mengenainya sedangkan ia kemudiannya ternyata benar selepas itu.
6. kegagalannya untuk memberikan kepastian kepada rakyat Malaysia berhubung dengan matlamat utama projek2 mega negara yang dirancang sebaik sahaja beliau mengambilalih tampuk pemerintahan negara, umpamanya Projek WPI yang dikatakan kepentingannya lebih memihak kepada sebuah negara asing.
7. kegagalannya untuk memastikan Akta Hasutan (ISA) tidak disalahgunakan demi kepentingan politik kerajaan BN yang berada di bawah pimpinannya sehingga ramai musuh2 politik mereka yang menjadi mangsanya kini.
Begitulah antara beberapa isu yang dapat saya kongsikan di sini yang menjadi penyebab kepada hilangnya kepercayaan saya kepada beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia.
Saya juga tidak bersetuju bila saudara katakan sifatnya yang lambat bertindak menyebabkan musuh2nya mengambil kesempatan. Bagi saya soal musuh mengambil kesempatan tidak timbul atau perlu digembar-gemburkan kepada rakyat. Ini kerana sebagai Perdana Menteri, segala kuasa untuk membuat keputusan berada di tangannya dan beliau tidak boleh menyalahkan orang lain sekiranya berlaku sebarang konflik atau masalah kerana yang jelas beliau perlu bertanggungjawab atas segalanya.
Saya juga menganggap beliau bukan lambat atau lembap dalam berbuat sesuatu tapi itu mungkin menunjukkan bahawa beliau seorang yang licik permainan politiknya sehingga gerak-langkahnya sukar dihidu lawan apatah lagi untuk mempersalahkannya atas apa yang berlaku. Selalunya bagi orang2 berkarakter begini, orang jadi mudah bersimpati kepadanya kerana perilaku mereka yang ibarat kata orang tua2 “pijak semut pun tak mati”.
-Sekadar pandangan-
Wassalam.