Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Friday, January 27, 2012

Bercerainya Singapura

IBNU HASYIM: Fokus Sejarah PAS Siri 25
ADALAH tidak memeranjatkan bagi yang mengerti perkembangan politik, apabila dengan tiba-tiba sahaja pada 27 Mei 1961, Perdana Menteri Malaya meledakkan satu projek baru yang dikatakan kepada orang Melayu, bahawa ianya adalah ‘Melayu Raya’. Tetapi bukanlah ‘Melayu Raya’ seperti yang dimaksudkan oleh Dr Burhanuddin merangkumi Gugusan Kepulauan Melayu. Ia akhirnya dikenal dengan persekutuan Malaysia yang diwujudkan pada 16 September 1963.

Walaupun ‘Melayu Raya’ menurut Perdana Menteri atau Malaysian itu adalah projek Malaya dengan kerjasama Inggeris untuk menggabungkan Federation of Malaya, Singapura, North Borneo atau Sabah, Sarawak dan juga Brunei, tetapi sebenarnya adalah projek Inggeris. Ini dapat dilihat apabila matawang di semua negeri tanah jajahan Inggeris telah disatukan. Juga dalam abad ke 19, Lord Brassey seorang pengarah North Borneo Campany telah mengemukakan kepada kerajaan Inggeris untuk menggabungkan semua negeri-negeri Melayu, dengan menubuhkan satu jajahan Inggeris yang besar.

Tetapi ianya dibantah oleh kebanyakan pemegang-pemegang saham dari syarikat-syarikat Inggeris yang berkepentingan di daerah ini. Hasrat yang telah lama dipendamkan oleh Inggeris, tiba-tiba muncul kembali melalui lidah Perdana Menteri Malaya, tentulah ada sebabnya. Pada waktu itu peperangan di Indochina tidak menampakkan kekalahan pihak komunis. Perkembangan dan persiapan PKM (Parti Komunis Malaya) di bawah pimpinan Ching Peng kian bertambah di kawasan Betong, Utara Semenanjung, makin meluas di Malaya dan Singapura.

Dengan ini kedudukan Singapura dari segi politik perlu dikaji kembali oleh Inggeris, selewat-lewatnya pada Jun 1963, yang member makna bahawa Inggeris hendaklah memerdekan Singapura dengan segera. Indonesia pula dengan kelengkapan tentera Rusia terus memperhebatkan kempen mendapatkan kembali Irian Barat dari penjajahan Belanda. Jika ini berjaya, maka perhatian Indonesia dijangka akan tertumpu pula ke Kalimantan Utara. Filipina juga dikatakan akan mencuba menguasai North Borneo tersebut.

Memang politik Inggeris dikatakan bersedia memerdekakan tanah jajahannya, asal saja semua peraturan yang dibuat tetap melindungi kepentingan ekonominya. Untuk memerdekakan Sabah, Sarawak dan Brunei sahaja, dibimbang masuknya pengaruh komunis di kalangan orang-orang Cina Sarawak yang memang sudahpun ada pengaruhnya. Maka kerana inilah pihak Inggeris perlu berkerjasama dengan Federal of Malaya yang ternyata begitu jujur menjaga kepentingan-kepentingan ekonomi mereka di Malaya, dan memang setia kepada kebudayaan serta perundangan mereka untuk mengambil alih tugas-tugas penjajah atau menjadi talibarut penjajah tersebut, sebelum terjadi sesuatu yang akan merugikan mereka kelak.

Pada mulanya Indonesia tidak menentang kerana ‘Malaysia’ yang dicadangkan itu adalah negeri-negeri jajahan Inggeris sahaja. Indonesia tidak campur tangan, seperti tidak campur-tangannya dalam persoalan di Pulau Timor-timor yang diperintah oleh Portugis waktu itu. Kemudian dengan tiba-tiba sahaja Indonesia menyerang gagasan Malaysia dan menuduh sebagai ‘nekolin’ atau ‘new colonial’ (penjajahan baru), dan berazam ‘mengganyang’ Malaysia.

Ada yang menganalisis, tindakan Presiden Soekarno dari Indonesia itu didorong oleh golongan komunis yang merencanakan rampas-kuasa di Indonesia apabila berlaku pertempuran dengan Malaysia, di samping perjuangannya merebut Irian Barat. Saudara Amaluddin Darus sendiri pada dasarnya adalah menyokong gagasan Malaysia kerana dalam tahun 1957/1958, beliau telah mengusulkan dalam Mesyuarat Agung PAS supaya mendesak Kerajaan Persekutuan mempengaruhi Inggeris menyerahkan negeri-negeri Kalimantan Utara termasuk Singapura digabungkan ke dalam Federation of Malaya. Usul tersebut diterima oleh PAS.

Kerajaan PAS Kelantan juga telah mengambil tindakan undang-undang menuntut supaya mahkamah supaya mahkamah mengisytiharkan Malaysia Act tidak sah pada 10 September 1963. Kelantan bertindak demikian adalah kerana projek Malaysia dibuat cuma dengan perundingan 5 negara iaitu Malaya, North Borneo, Sarawak, Singapura dan Brunei, tanpa berunding dengan kerajaan negeri Kelantan. Malaya cuma satu unit dari perundingan tersebut, sedangkan sebenarnya terdiri dari 11 unit negeri-negerinya, termasuk Kelantan.

Bagi negeri Kelantan, Malaysia adalah satu bentuk persekutuan yang longgar dibandingkan dengan Federatian of Malaya. Contohnya seperti perjanjian tentang agama, kerakyatan dan lain-lain. Malaysia telah berjaya ditubuhkan tanpa Brunei, yang tidak jadi menyertainya. Tetapi secara mendadak, tiba-tiba Singapura dikeluarkan dari Persekutuan Malaysia. Sidang parlimen dijadualkan pada 9 Ogos 1965, pemberitahuan hanya dibuat melalui telegram kepada ahli-ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Pagi itu persidangan Dewan Rakyat dimulakan tanpa ahli-ahli dari Singapura. Tunku Abdul Rahman PM Malaysia waktu itu membentangkan perkara pemisahan Singapura dari Malaysia. Persidangan berlarutan hingga pukul 1.00 pagi 10 Ogos dan disambung oleh Dewan Negara hingga hamper menjelang subuh barulah ditangguhkan. Maka luluslah undang-undang yang memisahkan Singapura dari Malaysia. Saudara Amaluddin Darus dari PAS memberi undi setuju di dalam Dewan Negara.

Beliau menulis dalam bukunya ‘Lintasan Politik Malaysia’, katanya:

Saya sungguh tidak mengerti mengapa Tunku mengambil keputusan mengeluarkan Singapura dan mengapa pula Datuk Mohd Asri sudah menyokong dan mengarahkan ahli-ahli PAS di parlimen supaya menyokong pemisahan yang tersebut tanpa sebarang perbincangan. Kesilapan besar yang telah terjadi adalah mempunyai akibat yang berlanjutan, dan sangat-sangat dikesali.”

Tan Sri Syed Jaafar Albar, Setiausaha Agung UMNO ketika itu telah meletak jawatan sebagai bantahan. Seorang ahli Dewan Negara dari PERIKATAN, Tuan Haji M.Said dari Kuala Kangsar Perak yang tidak hadir dalam mesyuarat Dewan Negara itu mengirim telegram tanda tidak setuju dan membantah. Sedangkan Amaluddin Darus sendiri berpendapat, dari segi sejarah Singapura sendiri adalah milik bangsa Melayu. Dari sudut ilmu alam juga terletak di tengah-tengah Kepulauan Melayu. Begitu juga dari sudut politik dan ekonomi.

Menurut beliau lagi, memang sejak dari mula lagi, pemimpin-pemimpin UMNO tidak mahukan Singapura bersama Malaya. Malah sebelum tahun 1960 lagi Lee Kuan Yew, David Marshall dan Tun Lim Yew Hock telah menghendaki supaya Singapura dapat bercantum dengan Malaysia, tetapi Tunku Abdul Rahman tidak pernah mengindahkan. UMNO satu pertubuhan kebangsaan, yang dipimpin oleh orang-orang kebangsaan telah begitu takut dengan Singapura.

Pada hal menurut Amaluddin lagi, yang dikatakan nasionalis itu adalah mereka yang mengenal bangsanya, tanahair serta sejarahnya, di mana mereka memperjuangkan hak-hak mereka dari segi politik, ekonomi dan tetap berpandu kepada ajaran mereka sebelum dijajah. Tetapi UMNO tidak menghendaki sebahagian dari tanahair bangsa Melayu semata-mata kerana takut kepada jumlah penduduk Cina Singapura yang nanti akan menghilangkan perimbangan penduduk dan pengundi menurut kaum.

(Sila lihat statistic penduduk Malaya tanpa Singapura 1947, penduduk Malaysia termasuk Singapura 1963 dan Malaysia tanpa Singapura 1970 menurut kaum, dalam buku ‘Personaliti Perkahwinan’ oleh Ibnu Hasyim, terbitan GG Edar 1992).

Apabila Malaysia terpaksa ditubuhkan untuk mengimbangi keramaian keturunan Cina, maka ditentukan perwakilan dari Singapura di dalam parlimen hanya seramai 17 orang sahaja, iaitu 15 di Dewan Rakyat dan 2 di Dewan Negara. Menurutnya lagi, pemisahan Singapura dari lingkungan politik Malaysia adalah berpunca dari sebab-sebab politik perkauman, perlembagaan, kewangan dan pertentangan tokoh kepimpinan Cina antara Lee Kuan Yew dengan Tun Tan Siew Sin yang mengetuai MCA.

Menurutnya lagi pemisahan Singapura adalah satu langkah yang gopoh, untuk selamat buat sementara. Singapura akan berpisah sebagai negara berdaulat di tengah alam Melayu adalah sama seperti Istael di tengah-tengah alam Arab, malah lebih hebat lagi. Sebuah pulau kecil yang tidak cukup tanah untuk didiami dan tidak ada bahan mentah, pasti akan bergerak liar menguasai negara-negara sekelilingnya, demi kehidupan ekonominya. Perkembangan penduduknya akan menyebabkan ia terpaksa mencampuri politik negara-negara lain untuk kehidupan politiknya.

Singapura yang berasingan sekarang ini, tidaklah menjamin akan menyenangkan Malaysia khasnya, samada dari segi politik, ekonomi dan social. Sebagai penyelesaiannya Saudara Amaluddin menyarankan:

Sebelum Malaysia wujud saya pernah memberi ceramah kepada orang-orang Melayu di Singapura, di mana dalam ceramah saya telah saya nyatakan bahawa PAS di Singapura tidak akan berpeluang memerintah Singapura, sekalipun PAS memasuki 100 kali pilihan raya di Singapura. Justeru kerana itu tugas utama bagi PAS Singapura ialah dakwah mengIslamkan manusia di Singapura.”

Kini PAS sudah tiada lagi di Singapura. Maka menurut penulis sebuah gerakan Islam perlu diwujudkan atau jika sudah ada perlu digerakkan di Singapura. Hubungan mereka dengan gerakan-gerakan Islam se dunia perlu dieratkan. Barulah tugas-tugas ‘dakwah mengIslamkan manusia di Singapura’ boleh dilaksanakan. Pendekatan dakwahnya hendaklah sesuai dengan suasana penduduk Singapura yang berbagai kaum itu sendiri.

Tidak boleh seperti yang difahamkan oleh sebilangan nasionalis-nasionalis Melayu, ‘peluk Islam’ dikatakan ‘masuk Melayu’, sedangkan dari sudut sejarah orang Cina dan India lebih dulu masuk Islam dari orang Melayu. Apalagi bila dilihat jumlah penduduk Islam di negara China sekarang melebihi dari semua penduduk pelbagai kaum di Malaysia dan Singapura. Apalagi juga, bila seseorang bukan Melayu yang memeluk Islam di Malaysia telah di’bin atau binti’kan kepada ‘Abdullah’, maka terputuslah salsilah keturunan dan asal usul yang sangat-sangat dipertahankan.

Mungkin inilah juga sebabnya, ramai orang-orang Cina yang masuk Islam atau sejak datang dari negara China pun sudah Islam di Malaya, tetapi tidak dapat dikesan, seolah-olah tiada. Yang tinggal hanya ‘baba & nyonya’ Melaka yang mungkin boleh jadi Melayu, tetapi tidak disebut Melayu kerana enggan bertukar agama. Mereka boleh diterima oleh masyarakat Melayu Islam kerana masyarakat Melayu mengamalkan pegangan Islam ‘tiada paksaan dalam beragama.’

Kenapa tidak dapat dikesan bangsa Cina yang masuk Islam ini? Pada saya, adalah kerana sikap me’Melayu’kan orang bukan Melayu yang masuk Islam. Bangsa mereka larut dalam bangsa Melayu, menyebabkan hilang identity asal mereka. Itu, satu kesilapan yang perlu diperbetulkankan, kerana PAS kini, sangat perlu pemimpinnya dari kalangan orang Cina!

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa