Sudah lama saya tidak berkesempatan mencurahkan apa yang terbuku di benak saya setelah beberapa isu yang menyentuh perasaan dan fikiran saya di dalam masa tiga minggu ini.
Muzakarah PAS - UMNO
Isu ini menyentuh diri saya sebagai seorang pengundi. Pada PRU12 dulu saya dan isteri berikan undi kami kepada Calon dari PAS kerana sudah tidak menyenangi UMNO. Pilihan ini adalah berdasarkan PAS adalah sebuah parti yang berteras dan memperjuangkan Islam. Dari segi pimpinannya, yang saya suka dan banyak perkara yang saya setuju hanya Dato' Tuan Guru Nik Ab. Aziz Nik Mat seorang sahaja. Separuh dari pimpinan PAS yang ada hari ini yang saya nampak adalah seiras juga dengan pemimpin UMNO walau pun PAS mendokong Islam. Saya amat setuju dengan kenyataan Tok Guru tentang dialog PAS dan UMNO tempoh hari.
Bagi saya dialog tu bagus, cuma apakah natijah perbincangan itu? apakah yang dikatakan membawa untung kepada melayu itu? Setakat ini melayu masih tidak dapat apa-apa. hanya UMNO yang mendapat politacal mileage, kecualilah PAS masuk BN. Bila PAS masuk BN barulah sama-sama boleh buat polisi dan di implementasikan. Atau pun seperti yang dicadangkan oleh Tok Guru, bubarkan PAS dan UMNO dan tubuh parti lain berdasarkan Islam dan perjuangan Islam.
Kalau setakat bercakap, hanyalah buat cair air liur dan berbuih mulut jer? tapi sanggupkah PAS masuk BN atau PAS dibubarkan dan pada masa yang sama orang-orang UMNO membubarkan parti mereka dan bergabung di bawah payung yang baru dengan perjuangan yang baru? Saya yakin dan pasti orang UMNO tidak akan sanggup kerana tombolok dan kuasa masing-masing.
Kalau PAS boleh duduk semeja dengan PKR dan parti perkauman cina iaitu DAP, saya rasa PAS pun boleh juga duduk bersama BN. cuma yang membuat PAS berhati-hati ialah kerana fobia dengan pengalaman lepas. PAS pernah diperalatkan dan ditendang dari BN. Kalau PAS mahu dan akan duduk di dalam BN dengan meninggalkan Pakatan Rakyat maka PAS membuat tiga kesilapan sekali gus.
Pertama PAS akan mengkhianati amanah pengundi yang bukan totok PAS yang bencikan UMNO dan cuba berjinak-jinak dengan PAS. Lebih menyedihkan dikatakan di dalam dialog itu juga ada menyebut pihak UMNO menawarkan jawatan dan sebagainya. Jadi kalau untuk jawatan, kenapa tidak masuk saja UMNO? Jangan diheret parti PAS sekali.
Kedua PAS telah tidak jujur kepada kawan-kawan di dalam PR dengan berunding di pintu belakang dan meniggalkan apa yang diperjuangkan bersama semasa menghadapi PRU12 dulu. Di atas sebab-sebab itulah juga Calon-Calon pembangkang mendapat jumlah undi yang tidak diduga dan menafikan majoriti 2/3 parti kerajaan.
Ketiga Pas menyorongkan kepalanya ke dalam rahang buaya dan tunggu pada bila-bila masa sahaja akan dibaham. Adakah betul tindakanya bagi sebuah parti Islam yang dua kali "Dipatuk oleh ular yang sama dari lubang yang sama" sekiranya ini terjadi?.
Satu lagi persoalannya adakah UMNO memang ikhlas. Di masa ini hanyalah bergantung kepada seikhlas mana UMNO memerlukan rakan parti melayu dan Islam seperti PAS dan kononnya demi perpaduan Melayu. apakah UMNO perlukan PAS kerana survival politiknya atau pun ikhlas untuk survival melayu. sewaktu hampir lemas, akan dicapai apa sahaja walau pun seketul taik!
congak-congak dan buatlah tanggapan dan andaian sendiri.
Penangkapan Anwar
Bagi saya perkara ini berlaku ada akibat kegelojohan dan alpa di pihak Anwar sendiri.
Pertamanya Anwar mewar-warkan PR akan menubuhkan kerajaan baru september serta menerima lompatan MP dari BN secara ramai-ramai. Berita ini mengundang kebimbangan dan kita semua tahu pemimpin BN sangat takut akan kehilangan kuasa. Jika dibenarkan Anwar menubuhkan kerajaan baru PR bermakna pemimpin BN menyediakan tali gantung ke leher sendiri akibat dosa-dosa yang dilakukan ketika berkuasa. Itu sebab Mahathir pun meronta-ronta dan meraung-raung kerana dosa-dosanya yang lalu telah dilakukannya dahulu baik kepada Anwar atau pun kepada rakyat dan negara. Semuanya takutkan hantu dan bayang Anwar. Jadi sesuatu harus dirancang dan dilaksanakan. Mereka menghantar Saiful menyempurnakan misi mereka
Keduanya kealpaan di pihak Anwar. Kenapa dengan senangnya siSaiful ini masuk dan menempatkan diri pada tempat yang begitu srategik? Latar belakang budak ini tidak diselidiki tetapi terus diberikan kepercayaan. Siapa yang pasang perangkap dan hantar Saiful itu bukan persoalannya. Tetapi bagaimana Saiful boleh menembusi tempat itu. Seandainya semua orang di pihak Anwar berhati-hati dan waspada sudah tentu perkara begini boleh dielakkan.
Penangkapan Anwar adalah kemuncaknya konspirasi atau pun kerja jahat orang-orang yang terlibat. Walau pun tidak sempurna, cara penangkapan itu memberikan sedikit tekanan kepada Anwar dan juga ahli-ahli Keadilan dan kawan-kawan di dalam PR. Pihak Anwar akan sibuk mempertahankan diri dan kawan-kawan di dalam PR nampaknya sedang perhati-hati dan menganalisa fakta. Walau pun dari fakta penangkapannya memihak kepada Anwar, tetapi ada juga segelintir penyokong yang was-was. Itu adalah perangkap yang dipasang untuk Anwar yang telah tersangkut umpan walau pun hasilnya amat kecil.
Perangkap yang dipasang untuk PAS pula memang mengena. Dengan mengadakan dialog/muzakarah melalui pintu belakang memang memberikan impak. Populariti PAS memang terjejas. Ada ahli yang mengutuk dan ada penyokong yang menyatakan kekesalan menyokong PAS di dalam PRU dulu. Macam-macam tohmahan dilemparkan kepada PAS. Perpecahan pendapat juga timbul di kalangan pemimpin PAS, sehinggalah diredakan oleh Majlis Syura'. Dalam pada itu pun masih lagi kedenganran suara-suara penyokong yang sudah tidak mempercayai PAS.
Di kalangan kawan-kawan di dalam PR juga telah ada bibit-bibit curiga terutamanya DAP. Memang hak DAP pun untuk mencurigai PAS. Perkara ini timbul adalah kerana rundingan di pintu belakang. Suami mana yang tidak cemburu sekiranya isteri bersembang dipintu belakang dengan jejaka lain? Kenapa tidak menjadi tetamu dan berkunjung melalui pintu besar di hadapan sekiranya PAS dan UMNO betul-betul jujur di dalam ikatan PR?
Kesimpulannya perangkap yang dipasang oleh UMNO kedua-duanya mengena. Saham UMNO dikalangan ahlinya dan rakyat sedikit naik dan saham PAS yang banyak merudum. Kepercayaan rakyat terhadap PAS masih lagi menjadi persoalan. Anwar pula sedang sibuk mempertahankan diri.
Bagi saya adalah lebih baik bagi Anwar merencana dan melaksanakan perencanaannya dalam diam tetapi berkesan. Sampai masanya tubuh saja kerajaan baru. Tiba masanya tandingilah mana-mana kerusi yang dihajati.
Bila bertindak di dalam diam begini, tidaklah ada manusia yang kepanasan dan meraung tidak tentu hala. Gerak kerja akan lebih tenang dan lancar.
Assalamualaikum Tuan;
ReplyDeleteSaya juga hairan mengapa PAS secara tiba-tiba menjadi OKU apabila berhadapan dengan strategi pecah dan perintah dari UMNO.
Mengenai kegelojohan Anwar, mungkin beliau berstrategi.
1. Tiada siapapun yang nak lompat pada Pakatan
2. Sememangnya benar apa yang dikatakan.
Jika strategi beliau adalah yang pertama tadi, maknanya sekarang senjatanya sudah mula makan tuan.
Namun sekiranya beliau bersandarkan teori yang kedua, maknanya kita hanya menghitung hari untuk berpayung di bawah kerajaan yang lain.
Pakatan diragui atas 2 perkara.
1. Wujudnya DAP
2. Siapa Pemimpin yang boleh mempengaruhi semua pemimpin parti gabungan.
Ini adalah musuh sebenar Pakatan.
Akhir qalam, izinkan saya memaut blog Tuan ke blog saya yang tidak seumpamanya itu.
Wallahualam.
dengan besar hati tuan dipersilakan, moga kita sama-sama berhubung sebagai satu keluarga melalui buah fikiran.
ReplyDeleteassalamualaikum.
ReplyDeleteFresh dari Jakarta, jejak saja kaki di tanah air tercinta, cerita kemelut politik Melayu masih tak habis habis.
Bilalah agaknya Orang Melayu akan Insaf dan bersatu hati demi masa hadapan Bangsa, Agama dan Negara tercinta ini.
Yang best lebih baik tengok gambar Along di KD TUDM tu!!