Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Thursday, October 30, 2008

Ada Tapi Tak Nyata

Maaf ye Wak Jono, tajuk ciplak ni...

Dekat raya baru nih, En. Karim bawa balik lima rak yang penuh telur untuk isterinya Puan Amnah buat kueh tempahan raya. Bila bawa balik Puan Amnah tanya suaminya "Bang, mana tepungnya, mana gulanya. Kan saya dah pesan kat abang pagi tadi" Rupanya En Karim lupa nak belikan dua perkara lagi. "Sorry Nah, abang lupa tadi. Tapi hari masih siang, jomlah kita keluar belikan sama-sama, lagi pun boleh awak pilih apa-apa lagi yang perlu"

Puan Amnah pun bersiap dan bila nak naik kereta, Puan Amnah teringatkan anak lelaki bungsunya Amin yang berumur 4 tahun sedang tidur. Jadi Puan Amnah pesan kat kakak Amin, Amsyirah yang di dalam darjah 5 untuk menjaga adiknya sementara dia ke kedai bersama bapanya. En. Karim dan Puan Amnah teruslah ke kedai nak beli semua keperluan.

Semasa Puan Amnah berpesan kepada Amsyirah tadi, Amsyirah tengah asyik baca komik doraemon. Asyik dengan komik, dia tidak sedar si Amin sudah bangun dan ke dapur mencari ibunya. Di dapur, di dapati ibunya tiada tetapi banyak telur. Amin pun mula pecahkan telur itu satu persatu sehingga habis. Jadi bertaburanlah kulit telur dan lenjun ruang dapur dek isi telur yang dipecahkan Amin. Kakaknya masih tidak sedar yang Amin menyudahkan kerja di dapur.

Lebih kurang 2 jam kemudian En. Karim dan Puan Amnah pun balik. Alangkah terperanjatnya mereka apabila didapati semua telur yang dibeli telah pecah. Dengan suara yang kuat Puan Amnah memanggil Amsyirah yang masih lagi di bilik dan adiknya pun memang sudah jumpa kakaknya. Puan Amnah menengking Amsyirah "Syirah, siapa yang pecahkan semua telur ni? Kan telur mama nak buat kueh tempahan orang!" Amsyirah terdiam kerana terperanjat. Tiba-tiba Amin bersuara "Mama, adik pecahkan sebab nak bagi anak ayam senang keluar. Tapi tak ada pun!" . "Mana Adik tahu di dalam tu ada anak ayam?" Celah En. Karim. "Hari tu kat rumah atuk, Adik tengok ibu ayam patuk-patuk telur, pas tu keluar anak ayam. Sebab kat rumah kita ibu ayam tak ada, Adik tolonglah pecahkan supaya anak ayam boleh keluar tapi semua telur ni tak ada anak ayam. Semua ada air jer". Amin merenung putih telur dan kuning telur berlambak di lantai. Perlahan Amin berkata "Kalau ada anak ayam, raya lain kali Papa tak payah beli telur sebab ayam ni akan bertelur lebih banyak, mama boleh buat lagi banyak kueh, kita akan kaya"

Puan Amnah ambil rotan nak dirotanya Amin tetapi En. Kasim menghalang. "Kenapa awak ni, apa kata Amin tu betul, tak apa esok saya beli telur lain"

Sunday, October 26, 2008

Pesanan

Kepada teman-teman yang akan masuk hutan, inilah sedikit pesanan dari saya. Untuk makluman para teman, saya bukannya handal, saya bukannya berani dan saya bukannya tahu sangat. Saya adalah insan yang serba kekurangan. Sesiapa yang mahu terima pakai terimalah.... apa yang saya perturunkan di bawah:

Untuk mengatasi rasa takut inilah yang saya lakukan:

* Kenal diri kita, siapa kita dan kita akan kenal Allah. Bila dah kenal Allah maka di sisi Allahlah segala-galanya. Mana lebih kita takutkan Binatang, Setan atau kepada Allah. Jadi tawakkal dan serahkan segala urusan hanya kepada Allah. Tang ini kena belajarlah sikit dengan mursyid.

*Tekat di hati "Tidak akan bergerak sebesar zarah sekali pun tanpa izin aku" Maknanya kita tidak akan binasa tanpa izin Allah. Zikrullah jangan diabaikan sebab "Sekiranya kamu mengingati Aku, Aku akan mengingatimu" Yakinlah kita di bawah perlindungan Allah.

* Kita manusia dijadikan Allah sebagai Khalifah di bumi. Maknanya kita adalah Raja dan kita selayaknya berkuasa ke atas mereka, lebih-lebih lagi setan. Setan/Iblis adalah makhluk durhaka kepada Allah dan dimurkai Allah. Jadi kita sebagai Muslim, kenapa nak takut/tunduk kepada Iblis.

* Semasa kita nak masuk hutan, mengikut petua Arwah Guru saya, kita hendaklah memberi salam kepada semua makhluk hutan dan katakan kita telah dipesan oleh Nabi Ilyas untuk datang sebagai tetamunya.

* Amalkan Ayat seribu dinar dan Laqadja akum di samping ayat Kursi. Kalau tersesat baca surah Waddhuha.

Ada lagi sedikit sebanyak bekalan tambahan. Cuma kenalah jumpa saya. Kalau yang tinggal di KB tu senanglah sikit. Tapi sekali lagi pesanan saya, Jangan anggap saya seorang yang handal - Hanya Allah yang Maha Mengetahui.

Friday, October 24, 2008

Selamat Harijadi


"SELAMAT HARIJADI SERKANDI PAPA YANG KE 24"

Papa dan Mama doakan Along akan cemerlang di dalam kerjaya.
Berjaya dan bahagia di dalam hidup.

Diteguhkan iman
Mendapat keredhaan Allah.


Amiin ya Rabbul Alamin

Thursday, October 23, 2008

Cite Lucu Halau Pelesit

Tengah hari tadi saya ke bolg freshworkshop.blogspot dan di situ ada cerita yang Sdr. Uxop tuan punya blog bercerita yang orang kampungnya menerima saka berupa pelesit dan menumpang mayat tuannya yang telah seminggu meninggal. Saya titipkan komen ringkas di situ. Walau bagaimana pun bagi saya perkara ini patut dihebahkan kepada ramai demi menjaga akidah umat Islam, maka rasanya elok saya ceritakan versi saya tolong kawan saya bersama menghalau PELESIT yang menumpang di dalam tubuh seorang wanita. Kawan saya ini seorang pengamal Tarekat. Dia akan tolong dengan ikhlas sekiranya sesiapa perlukan pertolongannya

Saya bukanlah seorang dukun yang tahu berubat, cuma kawan saya tadi minta saya memperkuatkan kuasa perdukunan. Saya hanya berzikir dan tumpukan segala pancaindera saya kepada Zat Allah mohon bantuanNya. Memang cara kami berbeza. Sebenarnya saya bukanlah diundang untuk menolongnya tetapi memang kebetulan pada masa pesakit itu datang saya juga sampai ke rumah sahabat ini.

Mengikut pesakit ini, pada suatu hari dia menemui satu bungkusan plastik di celah atap garaj kereta di rumahnya. Dia buka dan di dapati ada bangkai seekor katak puru kering semacam dipanggang. Dia minta suaminya membuang plastik yang mengandungi bangkai katak tadi. Sejak itu badannya lemah dan sakit-sakit.

Kami mulakan dengan sembahyang hajat dan kami sama-sama berzikir. Saya dengan cara saya dan kawan saya itu dengan caranya. Wanita itu dibaringkan berhampiran dengan ditemani suaminya.

Selepas beberapa minit kemudian wanita yang sakit tadi mengerang dan mengaduh. Panas dan sakit macam nak terbakar katanya. Jadi dukun kawan saya tu memerintahkan setan yang ada di dalam tubuh pesakit supaya keluar dan jangan ganggu lagi pesakit itu. Setelah diarah keluar berkali-kali tetapi setan itu tetap degil tak mahu keluar dan tidak boleh balik kononnya takut mak dia marah. Kami terus desak setan tu keluar, degil lagi dan itulah alasan dia berkali-kali tidak mahu keluar takut maknya marah.

Akhrinya saya sudah naik juak dengan helah dan kerenah setan tadi, lalu saya pula ambil tempat dekat dengan pesakit dan saya ugut "Kau mesti keluar dan tinggalkan wanita ini, kalau kau degil aku akan makan kamu dengan mak kamu sekali. Aku bagi kamu 30 saat sebelum aku makan kamu dan mak kamu, aku pun lapar ni". Tiba-tiba sisakit/setan tadi menjerit "Tolong jangan makan, jangan makan.... aku dah nak balik ni. Aku tak mahu mak aku mati kau makan!. Aku tak mahu tumpang dia lagi". Selepas itu pesakit itu terus sedar.

Kawan saya, saya dan isteri saya ketawa geli hati mendengar rintihan setan tadi. Rupanya kawan saya tadi ketawa adalah atas sebab lain. Kawan saya ketawa kerana mendengar ugutan saya terhadap setan tadi. Katanya tidak pernah lagi dukun yang mengugut nak makan setan tetapi sebaliknya setan yang ugut nak makan dukun tu adalah.

Saya pun bukanya rancang nak ugut begitu, cuma bila saya naik bosan dan naik marah dengan helah serta dalih setan tadi maka timbullah ugutan dengan sepontan dan kasar. Kononnya kita lebih kuat dari dia. Nasib baiklah juga setan tu betul-betul takut dan mengalah.

Wallahu Aklam.

Tuesday, October 21, 2008

Bertembung Gajah Di Tasik Kenyir

Pada suatu masa saya telah diminta oleh Jabatan Belia Dan Sukan Kelantan untuk mengendalikan satu kem bagi Kursus Penggerak Rekreasi Negeri di Tasik Kenyir yang melibatkan 20 orang peserta yang mewakili daerah masing-masing. Kursus ini adalah dikhaskan untuk lepasan Level I, Rekreasi. Ini bermakna semua peserta sudah ada pengalaman di bidang ini.

Seorang Pegawai Sukan di Jabatan Belia Dan sukan Kelantan, 2 oarang dari Jabatan Perhilitan Dan Taman Negara, 2 orang dari Jabatan Perikanan dan saya sendiri membawa 2 orang pembantu bersama mengendalikan kem berkenaan. Saya adalah Ketua Fasilitator dan Ahmad dari Pejabat Polis Kontingen Kelantan sebagai Kem Komandan. Saya juga bawa isteri dan seorang anak buah untuk memberi mereka bersama makan angin. Kursus ini dijadualkan selama lima hari dengan modul aktiviti darat, air dan teknikal - pengendalian tali.

Kami pilih Sungai Cancing sebagai tapak kem kira-kira lima jam dengan boat dari Pengkalan TNB di Tasik Kenyir, Ulu Terengganu. Agak Jauh dan terpencil.

Pada petang hari ke dua saya adakan program trekking dan mendaki. Saya mengepalai semua peserta mendaki sebuah bukit yang agak tinggi. Setelah bersusah payah meredah rimba dan semak kami sampai di puncak bukit itu. Dari puncak ini kami dijadualkan turun di sebelah sana dan seterusnya membawa peserta meredah hutan dalam jarak perjalanan 8km. Jangkaan kami akan tiba kembali ke kem sebelum jam 10.00 malam.

Apabila kami semua sedang menuruni bukit tadi, kami terserempak dengan sekawan gajah liar. Tidak silap saya 8 ekor dengan 3 ekor anak. Kawanan gajah ini dikepalai oleh seekor gajah jantan yang besar berwarna perang. Kawanan gajah ini sedang mendaki dan kami sedang menuruni bukit. Dalam jarak 30 meter dari gajah saya arahkan peserta berhenti dan saya bersuara kepada gajah jantan yang menjadi kepala kawanan gajah tadi " Hai gajah, kamu ke tepi dulu bagi laluan aku nak turun" . Gajah itu buat dek aje, dan saya bertempik dengan kuat mengulangi apa yang saya kata tadi. Gajah jantan tadi mendongak dan memandang saya dengan mata yang garang. Apabila saya tidak berganjak, gajah itu menunjukkan tingkah laku yang marah dengan merenung dengan tajam, mengangkat belalai tegak ke atas dan mengibaskan kedua-dua telinganya yang besar. Saya faham gajah itu sudah marah. Mungkin dirasakan saya mengancam anak-anaknya.

Saya toleh ke belakang dan berkata kepada Mad "Kita undur dulu, perlahan!". Bila saya sebut undur dulu, semua peserta bertempiaran lari dalam ketakutan tanpa menghiraukan pesanan saya supaya bertenang. Bila dah kelam kabut, gajah tadi meluru naik. Saya mengelak ke laluan lain dan kembali ke kem. Sayalah yang terkemudian sekali berundur selepas Mad.

Setiba di kem saya kira semua peserta dan didapati 2 orang sudah hilang. Yang lain semuanya selamat. Terpaksalah saya dan Mad keluar mencari sebelum hari gelap. Kami jumpa kedua-dua orang peserta tadi di sebelah bukit di seberang trek yang kami daki tadi. Mereka sudah salah laluan dan gagal mencari jalan pulang ke kem. Nasib baik mereka duduk dan menunggu bantuan tiba. Memang saya berikan arahan sebelum trekking, sesiapa yang tersesat jangan teruskan perjalanan sebaliknya tunggu di situ sehingga bantuan tiba. Itulah peristiwa yang agak merunsingkan saya kerana yang terlibat adalah peserta kursus dan keselamatan mereka adalah di bawah tanggung jawab saya dan Mad.

Sebenarnya gajah adalah binatang yang lemah lembut walau pun besar dan nampak ganas. Hidup berkumpulan dan biasanya yang jantan menjadi pelindung kepada kawanan. Bila tidur anak-anak gajah akan tidur di tengah-tengah dengan gajah dewasa akan tidur di sekeliling anak anak gajah tadi untuk melindungi sikecil dari sebarang ancaman. Boleh dikatakan hidup gajah adalah dalam satu keluarga yang erat dan saling melindungi.

Gajah makan umbut dan pucuk kayu. Rebung dan buluh muda adalah makanan lazim baginya. Satu lagi yang gajah amat gemar ialah garam. Tidak kira garam bukit atau garam di dapur kita. Kalau di belantara ada "salt lick". Biasanya gajah akan mengembara di dalam belantara untuk mencari makanan. Maknanya hidup gajah adalah nomad tetapi mempunyai territory yang kusus. Gajah menjelajah bukit ke bukit, gunung ke gunung, belantara ke belantara melalui trek yang sama berulang-ulang. Biasanya selepas 2 atau 3 bulan mereka akan kembali lagi ke tempat yang sudah mereka tinggalkan setelah makanan di situ habis sebelumnya. Maknanya perjalanan kita akan selamat sekiranya kita menemui najis gajah yang baru tetapi jika najis yang kita temui itu sudah berkulat atau berlumut (najis lama) maka kita perlu berhati-hati kerana kemungkinan besar kita akan bertembung dengan si tuan najis. Pusingan laluannya mungkin sudah tiba.

Gajah akan menyerang sekiranya dirasakan terancam. Atau keselematan kumpulannya terancam. Gajah tidak akan masuk kampung dan musnahkan tanaman sekiranya habitatnya tidak diganggu dan makanannya mencukupi. Bila habitatnya diganggu dan makanannya tidak mencukupi, gajah akan keluar ke ladang-ladang dan ada kemungkinan menceroboh rumah-rumah yang berdekatan dengan hutan. Kalau mereka menceroboh rumah, tempat utama yang mereka tuju adalah dapur. Gajah mencari garam dan abu di dapur!

Ingat, gajah adalah binatang cerdik. Sekali kena perangkap dia sudah tahu dan tidak akan kena lagi. Ladang yang berpagar letrik belum tentu selamat dari gajah. Sekali kena renjatan, gajah akan menumbangkan pokok ke atas pagar letrik tadi dan mereka akan meniti di atas batang kayu yang tumbang melepasi pagar letrik. Mereka meniti batang kayu itu bergilir-gilir sehingga semua ahli kawanan itu lepas.

Sekiranya diserang gajah, jangan panjat pokok. Kalau kita panjat pokok gajah akan menggoyang pokok tersebut. Sekiranya pokok itu gagal ditumbangkan, gajah akan tunggu. Cara yang terbaik ialah menyorok di lobang sempit pada batu yang besar yang gajah tidak terjangkau dengan belalainya. Walau pun gajah akan tunggu tetapi bila dia gagal dan lapar, gajah akan beredar.

Kalau kita hendak lari dengan berlari, kita hendaklah berlari mengelilingi bukit atau tanah tinggi. Tindakan ini akan melambatkan pergerakan gajah sebab masalah imbangan di tempat yang curam. Gajah akan lebih cepat dari kita sekiranya kita berlari secara terus sama ada mendaki bukit atau menuruni bukit. Maka kita tidak akan selamat.

Satu lagi, gajah adalah binatang pendendam. Kalau disakiti atau dikacau, gajah akan mencari sampai dapat kecuali kita sempat lari ke perkampungan. Gajah takut dengan bunyi bising. Untuk halau gajah hanyalah dengan cara buat bising atau letupan.

Tahi gajah boleh dicampur dengan air untuk dibuat penawar demam panas dengan melumurkan ke badan sementara mendapat rawatan doktor!

Friday, October 17, 2008

Kenduri Arwah

Salam buat semua teman-teman.

Saya akan ghaib selama 3 hari untuk ke Ipoh, kenduri Arwah untuk Mak Mertua saya. Balik nanti insya Allah saya akan tulis bab gajah pula.

Wassalam.

Tuesday, October 14, 2008

Harimau Tunjukkan Buah Salak Masak

Assalamu alaikum dan Salam Sejahtera buat semua sahabat maya.

Oleh kerana ramai yang ingin tahu pasal Harimau sejenis makhluk yang dikenali buas (bukan Tok Rimau yang pandai menaip) terutama Puan melayuangkat maka saya terpanggil untuk menceritakan sedikit tentang kisah harimau. Pertembungan saya dengan harimau sebenarnya sudah acap kali tetapi bukan di tempat yang sama.

Harimau tidak suka jumpa manusia:

Sebenarnya makhluk ini tidak suka berjumpa manusia dan akan mengelak dari berjumpa manusia. Dia boleh mengesan kehadiran manusia dengan bau/aroma manusia kerana harimau mempunyai deria bau yang kuat walau pun melalui angin. Itulah sebabnya penadaki atau penjelajah hutan amat jarang bertembung dengan harimau kecuali tiupan angin yang sehaluan dengan arah perjalannya. Itu pun sekiranya angin itu agak keras tiupannya. Jika di dalam keadaan biasa memang harimau mampu mengesan kehadiran manusia.

Tabiat Harimau:

Tabiat harimau sama macam kucing. Makan suka berebut dan tamak. Sekiranya terkejut, harimau akan melompat tangkas bersembunyi tetapi dia tidak akan lari jauh. Dia akan kembali mengintai apakah yang membuat dia terkejut tadi. Dengan mangsanya dia suka menunjuk kekuatan. Tengok pada kucing, kucing kalau dapat tangkap tikus dia tidak terus memakannya. Dia mempermainkan tikus itu hingga lembik terlebih dahulu dan akan menyeret mangsanya jauh dari tempat mangsa ditangkap sebelum memakanya. Begitu jugalah dengan harimau.

Kerana tabiat harimau begitu, sekiranya kita bertembung dengan harimau, harimau akan melompat bersembunyi dan di masa yang sama kita hendaklah cepat lari jauh dari tempat itu. Jangan panik. Kalau kita panik, kita tidak dapat lari dengan cepat bermakna kita lemah dan kita akan menjadi mangsa mainannya.

Sebab kita jadi mangsa:

Kita bukanlah mangsa sebenar bagi harimau. Kita adalah mangsa kebetulan. Memang dia tidak suka jumpa manusia tetapi pada situasi tertentu manusia juga akan menjadi mangsanya. Manusia menjadi mangsa harimau hanya sekiranya harimau berada di tiga situasi.

Pertama: Harimau tercedera atau sakit atau tua. Pada situasi ini harimau akan lemah dan lapar kerana tidak berdaya untuk berburu. Dia akan mencari mangsa yang lemah menjadi habuannya. Jikalau pada masa itu kita berada di tempat yang salah pada masa yang salah maka kitalah habuannaya kerana bagi harimau kita adalah mangsa yang lemah.

Kedua: Bila habitatnya diganggu dan dia tidak mendapat makanan. Bermakna dia lapar. Di situasi ini dia akan terasa terancam dan naluri mempertahankan hak. Mempertahan tempat/territory atau seekor ibu yang mempertahankan anaknya. Dia akan menjadi garang dan menyerang

Ketiga: Sekiranya dia terkejut dan terperangkap. Contohnya semasa dia terkejut, dia tidak ada ruang untuk lari. Dan itulah masanya kita akan menjadi mangsa.

Walau pun harimau cuba mengelak jumpa manusia tetapi saya sendiri mengalami dua peristiwa pelik. Pertama harimau mendengar kata sebagaiman saya ceritakan peristiwa di Gunung Ayam di dalam posting yang lalu dan yang keduanya di Bukit Bakar semasa saya treking pada malam hari dari Bukit Bakar, Machang ke Jeram Linang, Pasir Puteh. Kelantan.

Kumpulan kami memulakan trekking sudah lewat 5.00 petang. Pada waktu maghrib kami tiba di satu aliran kecil/anak air dan saya arahkan berhenti untuk solat dan memasak makan malam. Lebih kurang jam 9.00 malam kami meneruskan perjalanan. Lebih kurang satu jam lebih trekking kami sampai ke satu bukit. Pada masa itu saya minta Mad mengepalai perjalanan dan saya di belakang sekali. Sedang asyik berjalan dan melayan fikiran tiba-tiba saya terlanggar orang yang di hadapan saya. Rupanya semua orang berhenti mengejut. Saya tanya Mad apa halnya berhenti cara begitu. Dia cakap "Abe Din, ada barang di depan" Saya heran, barang apa pulak? Saya berlari ke hadapan mendapatkan Mad. Bila tiba di hadapan Mad, Mad menyuluh satu kesan yang saya tahu itu adalah kesan tapak harimau yang masih baru tetapi harimau tidak kelihatan. Agak besar juga, lebih kurang saiz piring kueh! Saya kata "Ooo harimau rupanya" Mad takut nak sebut "harimau".

Saya minta Mad pula berada di belakang sekali dan saya mengepalai dan meneruskan perjalanan. Dalam 5 minit berjalan saya terdengar cakaran harimau pada pasir dan daun kering. Saya arahkan berhenti sekejap. Lepas seketika kami terus berjalan. Sekejap lagi saya terdengar bunyi cakaran lagi. Begitulah seterunya berulang sampai 3 kali. Saya faham rupanya harimau itu menyuruh kami mengekorinya. Bila jauh sikit dari kami, harimau mencakar lagi. Kami berjalan sehingga sampai di puncak satu bukit yang dipenuhi pokok salak. Kami berhenti dan saya terbau bau buah salak masak, cukup harum. Saya suluh keliling, semuanya pokok salak. Saya suluh ke kaki saya, rupanya saya sudah terpijak setangkai salak yang memang sudah masak dan pecah. Rupannya buah yang pecah itulah yang menerbitkan bau harum itu. Salak Nangka.

Saya arahkan semua peserta meletak haversack masing-masing dan cari buah salak yang masak. Rupanya cukup banyak buah yang masak dan kami petik. Puas makan kami masukkan ke dalam beg untuk dibawa di perjalanan. Di masa ini cakaran harimau itu sudah tidak kedengaran lagi. Rupanya harimau itu memandu kami ke puncak bukit yang ada salak yang sudah masak. Harimau itu tunjukkan kami buah salak!

Ada lagi satu peristiwa yang dialami oleh arwah abang kedua saya. Satu masa dia tersesat di hutan semasa berburu. Arwah abang saya ini suka berburu. Dia berjalan sehingga hari malam tetapi masih tidak jumpa jalan keluar. Dia sudah putus asa sebab dia tidak bawa lampu suluh. Tiba di satu kawasan semak renek abang saya terdengar harimau mengaum lembut dan mencakar tanah. Abang saya cakap "Kalau kamu dari keturunan baik-baik, tolong hantar aku keluar" Tiba-tiba harimau itu mencakar dan abang saya ikut bunyi cakaran itu kerana tidak nampak apa-apa tanpa lampu. Sekejap sekejap bunyi cakaran demi cakaran dan abang saya terus ikut bunyi itu sehingglah keluar ke jalan raya yang menghubungkan bandar Machang dan Pasir Puteh. Bila abang saya sudah boleh keluar, dia kata kat harimau itu " Terima kasih, kau tunggulah esok petang aku akan bawa upah sepaha daging lembu untuk kamu" Selepas itu abang saya telefon kepada kawan untuk menjemputnya di tepi jalan itu.

Pada petang esoknya abang saya bawa sepaha daging lembu dan letakkan di tempat terakhir kesan tapak harimau kelihatan. Untuk pastikan harimau itu ambil atau tidak daging itu, lusa tu abang saya pergi ke tempat dia tinggalkan daging semalam dan dia dapati daging itu sudah tidak ada tetapi ada kesan harimau. Bermakna daging itu sudah diambil harimau.

Sunday, October 12, 2008

Tahun 2008 Merupakan Tahun Kehilangan

Nampaknya memang tahun 2008 menjadi tahun sedih bagi keluarga kami. Tadi pada jam 1.30 petang 12 Okt. 2008 kami kehilangan Kak Ipar yang begitu rapat dengan keluarga kami. Nik Fatimah Binti Nik Daud yang kami bahasakan Kak Mah adalah isteri kepada Abang Sulung saya telah pulang ke Rahmatullah. Beliau hanya pening, baring dan terus koma sebelum meninggal 2 jam kemudian. Ketika itu Allahyarham dan abang saya bertandang ke rumah Kakak ke dua saya di Pasir Puteh dan di sinilah beliau kembali ke sisi Allah. Jenazahnya akan disemadikan di Tanah Perkuburan Cik Siti di Jalan PCB Kota Bharu awal esok selepas subuh. Semoga rohnya dirahmati dan diampuni Allah yang Maha Pengampun. Amiin.

Pada 23 Ogos 2008 saya kehilangan Mak Mertua dan isteri saya kehilangan Ibu yang dikasihi. Pada 24 Jun 2008 sebelumnya kami kehilangan Abang Ipar, suami kepada Kakak kedua isteri saya akibat kemalangan. Allahyarham dilanggar lari. Sebelum ini tidak siapa pun yang tahu macam mana kemalangan berlaku. Ditakdirkan dengan izin Allah Allahyarham datang beritahu saya di dalam mimpi. Betul atau salah hanya Allah yang tahu. Di kalangan keluarga, saya hanya beritahu isteri saya saja tentang hal ini. Saya tidak mahu hebuh nanti orang akan kata saya mengarut atau merapu. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh mereka.


Saturday, October 11, 2008

Peristiwa Di Gunung Rabung

Kami mula mendaki dari Sg. Milo jam 9.00 pagi. Pada jam 11.00 sebelum tiba di Bukit Sarsi, salah seorang peserta perempuan mengalami sesak nafas ekoran trek yang agak mencanak dan curam. Rupa-rupanya budak ini memang menghidap athma tetapi dirahsiakan dari kami. Setelah rawatan awal tidak memberikan kesan, saya minta Mad (seorang kakitangan JSJ, IPK Kelantan) menghantarnya ke bawah dan tunggu kami di bawah sehingga kami turun. Mad bersetuju dan kami meneruskan pendakian ke Kem Taman. Kali ini Along ikut bersama saya.

Lebih kurang jam 6.00 petang kami tiba di Kem Taman setelah berhempas pulas mendaki dan mengharungi lurah serta permatang. Setelah rehat dan reda dari penat, saya arahkan peserta mendirikan khemah, ambil bekalan air dan memasak untuk makan malam. Saliran air/anak sungai terdekat adalah lebih kurang 100m. dari Kem. Untuk keselamatan, mandi dan ambil bekalan air mesti dilakukan sebelum hari gelap.

Semasa peserta sedang mandi dan ambil bekalan air, saya turun ke salah satu gaung berhampiran yang agak dalam untuk mencari kayu mati dan kering untuk dibuat unggun pada sebelah malamnya. Unggun api perlu untuk menghindari binatang buas dan memanaskan badan. Di pergunungan cuaca memang sejuk. Sedang saya meredah ranting dan semak di lurah itu saya ternampak selonggok kasut yang hampir reput. Saya teringat yang tiga empat bulannya sebelum ini satu kumpulan mendaki dari Gua Musang gempar kerana semua anggota kumpulan itu kehilangan kasut sebelah seorang. Mengikut ceritanya pada malam itu ramai dari kumpulan pendaki itu main terup/berjudi dan buat bising. Walau pun ketuanya cuba melarang tetapi tidak diendahkan oleh ahli kumpulan itu. Malam itu setelah puas berjudi dan buat bising, masing-masing pun tidur dengan meninggalkan kasut masing-masing di luar khemah.

Bila mereka bangun pagi dan bersiap untuk ke puncak, mereka dapati kasut masing-masing hilang sebelah. Kalau ada yang kiri yang kanan hilang. Kalau ada yang sebelah kanan yang sebelah kiri hilang. Jadi kumpulan itu naik ke puncak dan turun dengan hanya memakai selipar. Mendaki dan menurun dengan memakai selipar memang menyeksakan. Itulah balasannya bila membuat onar di tempat orang.

Berbalik tentang saya di lurah itu. Setelah saya kumpulkan kayu mati yang dah kering, saya pun membawa naik ke Kem dengan memikul dan ada yang saya heret saja. Setelah saya mandi dan solat serta makan malam, saya hidupkan unggun api sambil bersembang sekeliling unggun. Setelah puas bersembang ada sebahagian dari peserta masuk khemah dan mula bising dengan radio dan menyanyi. Saya cuba larang supaya jangan bising. Hanya sekejap mereka diam dan mereka terus bising juga. Saya dah naik muak nak larang dan saya biarkan saja. Apa-apa nanti tanggung sendiri.

Lebih kurang jam 1.00 pagi tiba-tiba satu pokok yang sederhana besar di kem itu tidak semena-mena tumbang dan betul-betul menghempap khemah yang bising tadi. Semua penghuninya berada di dalam khemah. Saya bingkas dan terus meluru ke khemah itu. Khemah itu separuh ranap, nasib baik pokok itu tersangkut pada seutas akar besar dan tidak menghempap khemah itu sehingga ranap terus. Penghuninya alhamdulillah selamat, cuma terkejut. Pucat lesi semuanya. Saya tenteramkan mereka dan saya katakan itulah sebabnya saya larang dari buat bising tadi. Saya tahu di sini memang tempat orang.

Sebenarnya dalam jarak 20m dari Tapak Perkhemahan itu ada satu tanah datar yang cantik dengan pokok-pokok gelam separuh bonzai dihiasi dengan orkid yang bermacam jenis ditambah pula dengan tanahnya yang berlumut kasar dan tebal macam karpet. Lebih menggerunkan dengan suasana kabus yang nipis di celah-celah pokok. Tempat itu cukup bersih tanpa sampah dan daun kering seolah-olah dijaga dengan rapi oleh sesuatu entiti. Saya tahu itu adalah Taman mereka.

Setelah semuanya reda dan pulih semangat saya tolong baiki khemah dan arah mereka tidur. Saya pun tidur di khemah saya. Berhampiran di sebelah kiri saya adalah Along (anak sulung saya) dan di sebelah kiri Along adalah kawan sepejabat saya Kamal. Kami tidur dengan hanya membuat khemah terbuka dan ringkas. Saya lena dan semua orang lena. Tiba-tiba saya terkejut dengan suara yang bising seperti budak-budak bermain kejar-kejar di padang permainan. Saya bangun dan lihat jam, baru jam 3.00 pagi. Bulan terang. Tetapi suara itu masih lagi begitu, bising. Jaraknya dari kepala tidur saya hanya agak 2 meter saja. Tidak ada kelibat jasad manusia yang kelihatan. Hanya suara yang tidak saya fahami.

Saya pandang Along, Along tidur nyenyak tiba-tiba Kamal bersuara " Din, tidakkah mereka tersepak atau terpijak kepala kita?". Rupanya Kamal juga terjaga dan mendengarnya. Saya katakan yang jangan risau, mereka nampak kita tetapi kita saja yang tidak nampak mereka. Kami cuba layan tidur dan kami terlena sehinggalah jam 6.30 pagi. Bila pagi saya cuba mencari kesan jika ada. Tetapi memang langsung tidak ada kesan.

Lepas sarapan kami ke puncak dan minum pagi di puncak. Berehat dan terus turun ke tempat Mad dan budak perempuan athma itu menunggu. Kami tiba di tempat Mad menunggu pada jam 5.30 petang. Memang perjalanan menurun jauh lebih cepat dari mendaki.

Wednesday, October 8, 2008

Komen Seorang Sahabat

Tengah hari tadi semasa sedang take 5 kat pejabat, saya belek-beleklah komen yang ada di blog saya. Belek punya belek saya terjumpa dua komen dari seorang sahabat yang selalu juga mengikut saya trekking dan mendaki. Di kedua-dua peristiwa itu memang beliau ada bersama.

Saya rasa baik juga untuk saya pastekan di posting ini tentang pandangan dan komen beliau terhadap apa yang telah saya ceritakan di posting yang lalu. Mungkin ada yang kurang percaya.
Komen-komen beliau adalah sepertimana berikut:

Diekori Syaitan Sehingga Ke Gunung Berapit

Anonymous sajey said...

testing-testing 1 2 3 ...
this is Tuan Saharizam writing...

hahaha!!!
still remember all those sweet memories. waktu masih aktif dalam aktiviti mountain trekking.

thanx a lot to Abe Din wujudkan blog nih. it brings back old memories.

to those yang keep on reading tihs blog, do not stop. this old guy have a lot of exp to share, setengah2 tu, saya ada sekali, so ini bukan kisah rekaan ya.

as for me Abe Din, sorry sebab dah lama tak joint the activity, sooo busy, kena jaga satu daerah sekarang nih, in fact tambah sibuk dengan kerja kedua and also struggling to complete my phd.

maybe boleh menyumbang sikit2 utk blog nih.

adios..

October 5, 2008 4:45 PM

Orang Tua Di Gunung Stong

Anonymous sajey said...

salam...

this is Tuan Saharizam writing.....
another true story by mount....

anyway, tu another kerja gila yang myself n mount buat.

deamg,
sebenarnya saya suruh tunggu pun saya dah tau makhluk yang mengikut tu akan balik ke temapt asal dia lepas pada tu..

adios..

October 8, 2008 3:59 PM

Suka Duka Aidil Fitri









Kedatangan Aidil Fitri disambut dengan ceria dan gembira dengan kepulangan dua orang puteri kami Along dari Kota Kinabalu dan Adik dari Permatang Pauh. Namun kegembiraan kami sedikit terencat dengan kepulangan ke Rahmatullah Ibu Mertua sebelum bulan Ramadhan yang lalu. Walau apa pun kami iringi dengan doa semoga rohnya damai dengan limpahan rahmat Allah yang Maha Esa. Hiba juga mengenangkan perasaan isteri kerana hari yang mulia kali ini disambut tanpa ibunya yang dikasihi tambahan lagi abang iparnya juga telah kembali ke Rahmatullah genap dua bulan sebelumnya. Isteri saya juga telah ketiadaan bapa yang juga telah meninggal.

Raya tahun ini kami hanya beraya di Kota Bharu, di rumah kami. Walau pun saya juga telah kehilangan Ibu, Ayah dan abang ke dua lama sebelum ini namun terhibur dengan ramai rakan taulan dan sanak saudara yang bertandang sehinggakan tidak cukup tangan untuk melayan. Berjabat dan berpelukan adalah tradisi lambang kemesraan dan silaturrahim.

Kemaafan dari yang hidup dan doa untuk yang telah pergi kami abadikan. Amin.

Tuesday, October 7, 2008

16 Sept. Tersasar, Sampai Bila Penantian Kita

Terlebih dahulu walau pun agak terlewat saya ucapkan Selamat Hari Raya Aidul Fitri dan mohon ampun dan maaf kepada semua pembaca sekiranya terkasar bahasa dan sumbang kata-kata.

Saya juga memohon maaf kerana tidak dapat untuk update blog kerana masalah dengan streamyx sejak tiga empat hari sebelum raya lagi sehingga ke hari ini. Sudah tiga kali saya buat aduan tapi dok camtu jugak. Itulah sebenarnya tahap kebertanggung jawaban orang-orang kita di dalam melaksanakan kerja yang diamanahkan. Pengguna juga yang susah. Bayar tetap kena bayar. Posting ini pun saya gunakan Desktop kat pejabat.

Berbalik kita kepada isu sebenar apa yang saya perkatakan di posting ini:

Kita rakyat Malaysia telah saksikan target 16 Sept. untuk membentuk kerajaan baru Malaysia oleh Pakatan Rakyat/DSAI telah tersasar, malah sipi pun tidak maka dialihkan pula pada Okt. Apakah sasaran kali ini juga akan tersasar?. Pada saya peratusnya adalah kecil untuk kesampaian. Keyakinan rakyat juga sudah goyah. Kelangsungan debum debam di alam media sudah tidak berapa kedengaran lagi. Sudah mula lemah. Sesungguhnya bagi saya dari awal lagi tidak mengharapkan apa-apa walau gegak gempita seentero dunia DSAI dan PKR mewar-warkan akan membentuk kerajaan baru menjelang 16 Sept. 2008. Setelah DSAI mencapai kemengan di dalam PRK Permatang Pauh, suara ke arah itu semakin lantang. Semua rakyat terpesona dan termakan dengan harapan.

Setelah sasaran yang dibidik tersasar, bermacam-macam alasan pula yang dilaungkan dan sasaran pun diubah pula ke Okt. 2008. Pun bagi pandangan saya, target ini akan tersasar juga. Sebenarnya bukan isu lompat itu dongeng, tetapi yang ingin melompat itu adalah terdiri dari manusia pengecut. Isu lompat itu saya percaya, tetapi keberanian mereka yang berhasrat melompat itulah yang meragukan. Mereka tidak ada jati diri sebenarnya. Kalau ada pun mungkin banyak "senongehnya".

Di pihak PR pula satu hal lain. Kalau ye pun akan ada pembentukan kerajaan baru tetapi siapa akan jadi PM selain Anwar sekiranya terjadi apa-apa kepada beliau. Mana senarai kabinet bayangannya. Bagaimana bentuk dan cara pemilihan melantik menterinya. Pembaharuan ekonomi sebagaimana yang akan dilakukan untuk meringankan beban rakyat akibat kemeseletan ekonomi dunia dan impak kenaikan minyak baru-baru ini. Sebenarnya rakyat masih di dalam gelap di dalam hal itu.

Dari segi komposisi kaum juga menjadi tanda tanya. Berapakah MP Melayu, berapa orangkah MP Cina, berapa orang pula MP India dan etnik lain. Apakah pula dengan pembentukan kerajaan baru akan merugikan atau menguntungkan Melayu dan Islam. Kalau merugikan lebih baik katakan "tidak". Walau pun saya rasa saya ini liberal tetapi hakikatnya saya masih lagi Melayu dan yang penting saya adalah Islam. Seandainya kedua-dua elemen ini terpinggir, pasti saya katakan tidak. Tidak rela!

Saya juga setuju dengan apa yang diperkatakan oleh sdr. Wan Nordin Wan Yaacob di dalam Harakah daily pada 6 Okt. 2008 sebagaimana yang saya pastekan di bawah, mohon izin sdr. Wan Nordin :

Wan Nordin Wan Yaacob | nordinnasrawi@yahoo.com
Mon | Oct 06, 08 | 3:12:37 pm MYT

Banyak cakap-cakap politik termasuk di warung kopi mempertikai kegagalan usaha Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim membentuk kerajaan Pakatan Rakyat pada 16 September lalu.

Walaupun pelbagai alasan diberikan, namun ada yang melihat sejak peristiwa 16 September tidak menjadi kenyataan mereka tidak lagi mengimpikan kerajaan baru jika tiada bukti kukuh yang boleh mengesahkan pembentukan atas dasar lompt parti.

Ia bukan bermaksud tidak menerima usaha Anwar namun, rakyat lebih mahu jika sesuatu yang dirancang itu bukan setakat untuk dihebahkan tetapi menuju kejayaan yang memberi keuntungan kepada rakyat.

Namun menilai semula titik bengit '16 September'yang kini menanti '16 Oktober' ada yang melihat sekiranya Pakatan Rakyat menerajui Malaysia ini, persoalannya samada Dato� Seri Anwar Ibrahim (DSAI) seorang yang layak menjadi Perdana Menteri atau sebaliknya?

Pastinya di minda para penyokong Anwar, nama Ketua Umum KeADILan itu menjadi ratib untuk mengisi jawatan nombor satu negara kerana bagi mereka berdasarkan pengalaman Anwar benar layak mentadbir.

Begitupun ada yang secara jujur melihat bahawa untuk faedah kepada rakyat yang mahukan perubahan pimpinan kerajaan adalah lebih utama jika Pakatan Rakyat sementara membincangkan siapa bakal menjadi Perdana Menteri.

Persoalan siapa bakal menjadi Perdana Menteri seharusnya tidak timbul kerana pastinya muafakat antara parti-parti yang bersatu di bawah Pakatan Rakyat boleh menyelesaikan titik pertembungan yang kurang enak dibahaskan ini.

Paling penting yang menjadi misi utama ialah Pakatan Rakyat menerajui negara tatkala Barisan Nasional mengenakan pelbagai cubaan untuk menyekat Pakatan Rakyat daripada melakukan perubahan pemerintahan negara.

Dalam hal ini rakyat di peringkat bawahan melihat Anwar sebagai 'pencetus perubahan' seharusnya mengubah strategi dan mempelbagaikan strategi sesuai dengan perkembangan politik semasa serta sentimen perkauman yang dimainkan oleh pihak tertentu.

Ada yang sinis menyatakan adakah usaha membentuk kerajaan itu seolah-olah hanya mampu dilakukan Anwar berseorangan tanpa sokongan tiga pemimpin parti dalam Pakatan Rakyat.

Tidak salah sekiranya dalam mewar-warkan angin perubahan ini, Anwar sepatutnya sudah menanamkan keyakinan kepada rakyat, penyokong dan ahli Pakatan Rakyat bahawa sekiranya apa-apa berlaku pada dirinya Pakatan Rakyat mempunyai ramai pemimpin untuk meneruskan agenda perubahan.

Malah Pakatan Rakyat mempunyai ramai pemimpin yang berkaliber, professional dan berpengalaman untuk dilantik menjadi Perdana Menteri baik dari KeADILan, PAS, DAP atau mungkin dari mereka yang akan melompat parti.

Oleh kerana seolah-olah sekarang penyokong dan penentang Pakatan Rakyat ditanamkan dalam minda mereka hanya Anwar yang layak jadi Perdana Menteri, maka pelbagai tekanan terutamanya serangan peribadi dihadapkan ke atas Anwar.

Isu perkauman, isu kononnya kurang ahli Parlimen Melayu dalam kerajaan Pakatan Rakyat dan isu kerjasama Anwar-USA dijadikan bahan semata-mata untuk menyekat naluri perubahan yang dikehendaki rakyat.

Ia belum ditambah lagi dengan momokan buruk media terhadap Anwar selain melagakan antara pemimpin DAP, PAS serta KeADILan.

Seharusnya Anwar dapat membaca permainan kotor kerajaan Umno/BN yang tidak mahu kerajaan yang mempunyai lubuk wang melalui Petronas, hasil bumi, cukai dan balak terlepas kepada Pakatan Rakyat.

Pengalaman 'terkena' pada tahun 1998 seharusnya menjadi pedoman kepada Anwar untuk mengatur strategi yang tidak hanya diterjemah di dada media sebaliknya menjadi realiti.

Satu formula kongsi kuasan haruslah diadakan untuk menangani isu ini dengan pembahagian jawatan kabinet dan jawatan Timbalan Menteri mengikut peratusan kaum sedia ada yang diamalkan Barisan Nasional, mengikut peratusan pengundi, mengikut peratusan kaum atau mengikut peratusan ahli parlimen dan seterusnya.

Selain dari itu kerajaan negeri yang diperintah Pakatan Rakyat serta pimpinan Pakatan Rakyat seharusnya menilai prestasi setiap wakil rakyat dan ahli Parlimen mereka sejauh mana menjalankan tanggungjawab mereka.

Ini akan menunjukkan keseriusan dan kesungguhan Pakatan Rakyat untuk menerajui Malaysia secara amnya. - mr _