Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Tuesday, August 10, 2010

Penjelasan Berkaitan Tajuk "Penang, Apa Dah Jadi?"

Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) hari ini menafikan dakwaan Dewan Perniagaan Komtar (KMA) dalam Mingguan Malaysia semalam yang ia menghalang 27 peniaga Melayu daripada berniaga ketika Ramadan di Komtar.

“Merujuk kepada kenyataan akhbar (semalam), pihak PDC ingin memaklumkan bahawa kenyataan yang dilaporkan bahawa 27 peniaga Melayu dihalang berniaga di bazar Ramadan di Komtar adalah tidak benar,” kata Pengurus Kanan Hartanah PDC Mohd Bazid Abdul Kahar.

Bazid berkata, adalah tidak bertanggungjawab untuk memainkan sentimen perkauman bahawa ada penindasan peniaga Melayu hanya untuk menutup kegagalan Persatuan Perniagaan Komtar (KMA) membayar sewa kepada PDC dan kegagalan menguruskan bazar Ramadan mengikut peraturan ditetapkan.

Kata beliau, sebenarnya permohonan KMA untuk menganjurkan bazar Ramadan di ruang legar paras tiga Komtar untuk 27 peniaga telah dibincang pada Jawatankuasa Induk Pemulihan Komtar Khamis lalu bersama-sama dengan wakil persatuan itu.

Pada mesyuarat itu, telah pun dibangkitkan perlunya mengehadkan jumlah bilangan peniaga demi mengatasi masalah kesesakan ekoran terlalu banyak gerai ditempatkan di pusat pentadbiran kerajaan negeri.

“Masalah kesesakan ini tahun lepas telah pun menyebabkan kesesakan dan kesulitan orang ramai keluar masuk ke Pusat Pentadbiran Negeri,” kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

Laporan Mingguan Malaysia memetik Naib Pengerusi KMA Mohamed Ghani Abd. Jiman berkata, kesemua 27 peniaga yang terlibat hanya dimaklumkan kelmarin tentang keputusan itu sedangkan persiapan telah dibuat untuk memulakan perniagaan mereka semalam.

Menurutnya, pihaknya dan Jawatankuasa Pemulihan Komtar yang dipengerusikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Ng Wei Aik ketika bermesyuarat kali terakhir pada 5 Ogos lalu bersetuju untuk meneruskan tradisi bazar Ramadan yang dianjurkan setiap tahun.

Tambahnya, para peniaga juga telah membuat bayaran sewa tapak gerai kepada KMA selaku penganjur dan memenuhi syarat-syarat ditetapkan.

Kata beliau, mengambil kira kewujudan 20 gerai yang sedia ada di kawasan yang dipohon dan untuk mengelakkan kesesakan di kawasan tersebut yang merupakan juga pintu masuk utama ke Pusat Pentadbiran Kerajaan Negeri, maka PDC telah memutuskan untuk hanya membenarkan penyewaan bagi 10 gerai beroperasi di situ dengan pengenaan sewaan RM50 sehari untuk setiap gerai, iaitu harga sama yang dibayar oleh 20 gerai sedia ada.

Surat kelulusan tentang penyewaan ini dikeluarkan oleh PDC pada petang Jumaat kepada KMA.

“KMA telah pun mendirikan gerai di kawasan tersebut sebelum sebarang kelulusan diterima daripada PDC dan tanpa membayar sewa.

“Di samping itu didapti bukan sahaja KMA mendirikan 10 gerai seperti yang diluluskan tetapi telah mendirikan 27 gerai,” katanya.

Jelas beliau, PDC bukannya menghalang tetapi hanya ingin mempastikan penggunaan ruang di ruang legar konkos dibayar sewa oleh KMA dan dibuat mengikut prosedur dan syarat yang dikenakan oleh PDC bagi menjamin suasana dan keselesaan di kawasan tersebut.

“Adalah tidak patut PDC dipersalahkan bila KMA mengutip sewa daripada 27 peniaga tetapi tidak pun diberikan kepada PDC.

“PDC juga ingin memaklumkan bahawa KMA telah bertindak tanpa pengetahuan PDC dengan berurusan terus dengan 27 peniaga terlibat dan mengutip wang sewaan.

“Sepatutnya KMA hanya boleh berbuat demikian apabila memperoleh kelulusan dan persetujuan PDC berkenaan penyewaan ruang legar tersebut,” katanya.

Tindakan KMA ini menurut beliau, telah menjadikan 27 peniaga tersebut sebagai mangsa yang kemudiannya menuduh PDC sebagai pihak yang bersalah dalam hal ini.

“Adalah tidak adil PDC dipersalahkan untuk kesalahan yang dilakukan oleh KMA.

“Dengan surat kelulusan yang PDC keluarkan bertarikh 6 Ogos 2010, pihak KMA boleh meneruskan dengan pemasangan kemudahan gerai yang dirancang tertakluk kepada syarat tidak melebihi 10 gerai dan membayar sewa yang dikutip daripada peniaga,” katanya.

Di samping itu katanya, KMA juga perlu memenuhi syarat-syarat yang PDC telah letakkan dalam surat kelulusan tersebut.

“Kini perkara ini telah menjadi satu isu. Sebagai jalan penyelesaian, Pengurus Besar PDC Dato Rosli bersetuju untuk ruang legar konkos paras tiga akan ditambah daripada 10 gerai kepada 17 gerai dengan penggenaan sewaan RM50 sehari bagi setiap gerai.

“Ini adalah untuk mengelak kesesakan, ketidakselesaan pengunjung serta keselamatan di kawasan tersebut,” katanya.

Sebagai alternatif, kata beliau, baki 10 peniaga lagi dibenarkan untuk ditempatkan di konkos paras empat untuk membantu pihak KMA, 10 peniaga terlibat hanya akan dikenakan sewaan RM25 sehari untuk setiap gerai iaitu selepas diskaun sebanyak 50 peratus.

Surat kelulusan yang baru berkenaan telah pun dikeluarkan oleh PDC hari ini.

“Sekiranya setelah usaha penyelesaian ini dibuat dan KMA gagal mematuhinya, maka PDC dengan kerjasama agensi penguat kuasa yang berkaitan akan mengambil tindakan yang sewajarnya.

“Pengurus Besar PDC Dato Rosli Jafar telah pun mengarahkan sekiranya KMA tidak mahu membayar sewa yang dikutip daripada peniaga kepada PDC dan mematuhi peraturan yang ditetapkan maka PDC akan terus berurusan dengan 27 peniaga secara individu.

“Adalah jelas di sini bahawa PDC tidak pernah sekali-kali menghalang peniaga untuk berniaga di situ tetapi apa yang perlu ialah segala urusan hendaklah dibuat dengan mengikut prosidur, pembayaran sewa dan syarat-syarat yang telah ditetapkan demi menjamin keselesaan, keselamatan para peniaga dan para pengunjung kelak,” katanya.

Sumber Utara Online

Maaf, N3 saya tentang perkara berkaitan sebelum ini adalah bersumberkan malaysiakini


No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa