KUALA LUMPUR: Mereka bukan calang-calang orang, tetapi tahfiz, bekas pegawai tentera, pegawai bank dan pesara kerajaan, kini tergolong sebagai pesakit terdampar selepas tiada waris termasuk anak-anak yang mahu mengambil mereka pulang walaupun sudah sembuh dirawat di hospital. Jumlah pesakit seperti mereka, kebanyakannya warga tua semakin meningkat di beberapa hospital kerajaan termasuk Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang mencatatkan 489 kes tahun lalu meningkat 81 kes berbanding tahun sebelumnya.
Sebahagian mereka kini ditempatkan di rumah transit yang dikendalikan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi penempatan sementara sebelum dipindahkan ke rumah perlindungan lain.
Bagaimanapun jumlah itu kini sudah terlalu besar untuk ditampung rumah transit berkenaan.
Difahamkan, beberapa hospital kerajaan di sekitar Lembah Klang seperti Hospital Serdang, Hospital Sungai Buloh dan Hospital Tuanku Ampuan Rahimah Klang menghadapi masalah sama.
Pegawai Jabatan Kerja Sosial Perubatan HKL (JKSPHL), Mohd Kamaruzzaman Ali yang ditemui Berita Minggu berkata, sebahagian pesakit dihantar oleh anak ke hospital untuk rawatan, tetapi selepas sembuh, mereka tidak datang mengambil orang tua masing-masing.
Waris pesakit berkenaan bukan saja tidak datang menjenguk di hospital, malah sengaja memberikan alamat dan nombor telefon palsu kerana tidak mahu dikesan.
Ketika ini, hampir semua rumah transit di Lembah Klang dihuni sepenuhnya pesakit terdampar, sekali gus menambah lagi kesesakan di HKL kerana pengendali rumah transit tidak dapat menerima pesakit untuk sementara. Rumah transit hanya boleh menempatkan mereka untuk tempoh enam bulan ke setahun saja sebelum dipindahkan.
Rumah transit yang dikendalikan NGO di HKL hanya boleh menampung kira-kira 20 penghuni, sedangkan masih ramai penghuni belum dipindahkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sama ada ke Rumah Seri Kenangan atau Rumah Ehsan di seluruh negara.
Mohd Kamaruzzaman berkata, daripada keseluruhan kes di HKL, 81.8 peratus membabitkan pesakit lelaki yang majoritinya berbangsa Melayu dalam lingkungan usia 18 ke 74 tahun.
Katanya, bagi pesakit terdampar yang langsung tiada waris atau waris gagal dikesan dan boleh menguruskan diri sendiri, mereka akan ditempatkan di Rumah Seri Kenangan milik JKM, manakala pesakit terlantar dan memerlukan penjagaan sepenuhnya, seboleh-bolehnya mereka akan ditempatkan di Rumah Ehsan.
Sementara itu, Pegawai Kerja Sosial Perubatan Hospital Ampang dan Pengerusi Pusat Penjagaan Nur Hasanah (rumah transit) Mohiadin Bahado, berkata pihak hospital perlu mengeluarkan pesakit dari wad apabila sembuh atau hanya memerlukan rawatan susulan seminggu atau sebulan sekali bagi menempatkan pesakit lain.
“Untuk sesetengah kes, kita boleh berunding dengan doktor untuk menangguhkan proses mengeluarkan mereka dari wad, tetapi sampai bila? Kita perlu faham kapasiti wad, selain duduk lama di wad mendedahkan mereka kepada pelbagai jangkitan kuman.
“Dari segi psikologi, apabila mereka gagal ditempatkan di institusi penjagaan kekal dengan alasan masih ada waris, secara automatik semangat untuk hidup merosot,” katanya.
Beliau berkata, ada waris yang enggan mengambil pesakit berkenaan dengan alasan sibuk bekerja malah ada yang menolak dengan alasan, bapa atau ibu mereka tidak bertanggungjawab ketika mereka kecil.
Pegawai Kerja Sosial Perubatan Hospital Serdang, Rozida Ahmad Zaidi berkata, pesakit terdampar yang tidak berwaris kerana tidak pernah berkahwin atau berkahwin, tetapi tiada zuriat, akan ditempatkan ke penempatan sementara kelolaan JKM.
“Misi JKM untuk meletakkan mereka kembali ke dalam sistem keluarga. Namun apabila waris tidak mahu menerima, mereka akan menghuni Rumah Seri Kenangan, tetapi tempoh dilalui sebelum ditempatkan di sana panjang dan tentunya tempoh itu mengguris hati mereka,” katanya.
Pengarah Bahagian Warga Tua dan Keluarga JKM, Mohd Fazari Mohd Salleh, berkata bagi kes pesakit terdampar, sejak 2006 hingga 2008, JKM sudah menempatkan 220 orang di dua Rumah Ehsan di Dungun, Terengganu dan sebuah lagi di Kuala Kubu Bharu, Selangor. Kedua-dua Rumah Ehsan itu hanya boleh menampung 220 pesakit pada satu-satu masa.
“Pesakit terdampar dikategorikan sebagai orang papa mengikut Akta Orang Papa 1977. Kebanyakan mereka tidak berwaris atau tidak mampu dijaga mereka,” katanya.
Sehingga September 2009, JKM memberi elaun Bantuan Orang Tua (BOT) RM300 sebulan kepada 71,944 warga emas. Angka ini adalah peningkatan sekali ganda berbanding 31,042 orang pada 2008 dan 27,636 orang pada 2007.
Sumber dari
Hafizah Iszahanid
hafiza@bharian.com.my
2010/05/23
Salam tuan,
ReplyDeleteBegini nasibnya orang tua tua dizaman moden... siapa yang bertanggungjawab cipta dunia yang kalut sehingga lupa akan kasih sayang ni?
Sesiapa Muslim yang sakit, daif walau usianya muda, wajarlah kita tolong sedaya upaya seperti memberi perlindungan rumah tumpangan semnetara dia sihat semula atau mampu untuk berdikari keluar.
ReplyDeleteJika tidak jangan kita tergolong di antara yang mencemuh mereka yg terpinggir oleh keluarga & sanak saudara sendiri. Kasihan mereka yang malang ini.
Janganlah kita hanya mampu melihat kesusahan orang-2 kita tanpa apa-2 usaha yg kondusif. Jika orang-2 Kristian & bukan Islam lain menolong mereka mengapa tidak kita dahulukan saudara (ada pertalian darah atau hanya sekadar saudara seIslam) kita? Oh! jika orang lain (bukan Islam) tolong kita marah pula mereka? Celaka sungguh akhlaq kita kalau bersikap begitu kerana mencerminkan betapa busuk hatinya orang-2 kita.
Kalau benarlah kacang lupakan kulit, memang kacang tidak mengenang jasa.Walaupun atas alasan ibu bapa tidak menjaga dengan baik tetapi tidak sepatutnya mereka dipinggirkan kerana tanpa mereka siapalah kita.Kita dapat melihat dunia dan mengecap kemewahannya kerana adanya ibu bapa.Walaubagaimanapun sebagai ibu bapa, kita boleh mengambil iktibar bahawa anak-anak adalah amanah Allah kepada kita.Sekiranya amanah itu dipelihara dengan baik nescaya Allah tidak akan membiarkan kita.
ReplyDelete