Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Friday, December 1, 2017

Gam pelajar, kakitangan: Bekas naib canselor UM bersuara

Bekas naib canselor UM: Universiti tak patut gam pelajar, kakitangan

  | November 30, 2017
Ghauth Jasmon berkata, adalah salah untuk menghalang ahli akademik daripada menyuarakan pendapat mereka.
PETALING JAYA: Bekas naib canselor Universiti Malaya (UM), Datuk Dr Ghauth Jasmon berkata, universiti tidak patut menghalang pelajar dan kakitangannya menyuarakan pendapat mereka terhadap kerajaan dan institusi pendidikan itu sendiri.
“Arahan seperti ini tidak patut berada dalam mana-mana institusi pendidikan.
“Menyekat komuniti akademik tidak bijak dan tidak betul. Walaupun pada zaman Nabi Muhammad, ada kebebasan bersuara di mana beliau membenarkan orang bertanya sebarang soalan dan beliau akan menjawabnya,” katanya kepada FMT melalui pesanan teks.
Ghauth berkata, ini kali pertama beliau menyaksikan sebuah universiti menghalang kebebasan bersuara.
Beliau mengulas laporan FMT berhubung arahan UM kepada kakitangan dan pelajarnya supaya tidak mengkritik universiti itu atau kerajaan di khalayak ramai atau media.
Seorang kakitangan yang tidak mahu dikenali memberitahu FMT, beliau mendapat notis daripada pentadbiran UM minggu ini.
Aktivis pelajar termasuk Anis Syafiqah dan Tan Jia You mengkritik tindakan UM itu.
Ghauth yang merupakan naib canselor UM dari 2008 hingga 2013 berkata, komuniti akademik sepatutnya bebas menyuarakan pendapat mereka, khasnya isu yang menyentuh kesejahteraan masyarakat dan negara.
“Dengan arahan ini, kita sebenarnya mengehadkan kebebasan berkembang dan bersuara.”
Katanya, universiti bertanggungjawab melahirkan pemimpin dan graduan berfikiran wajar serta berkemahiran keusahawanan kerana pendapat diperlukan untuk membantu kemajuan negara.
Sementara itu, Persatuan Untuk Belia Baharu UM (Umany) mengkritik arahan itu melanggar kebebasan asasi pelajar.
“Tindakan UM untuk menutup mulut kami ialah cara memalukan untuk menyemai ketakutan di kalangan pelajar.”
Sementara itu, Timbalan Naib Canselot Universiti Selangor (Unisel), Prof Madya Dr Shaharuddin Badaruddin berkata, pelajar perlu dibenarkan mengkritik dasar kerajaan.
“Universiti sebahagian daripada masyarakat sivil dan mereka berperanan menyampaikan dan mendukung kebebasan berpengetahuan serta bersuara.
“Kita memerlukan semak dan seimbang dalam sistem, bukannya menutup mulut mereka,” katanya kepada FMT.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa