Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Saturday, December 2, 2017

Kes terhadap Anwar lemah

Kes terhadap Anwar lemah tanpa keterangan 2 saksi penting
Bede Hong · Diterbitkan pada 30 Nov 2017 11:02PM ·
Peguam mewakili Anwar Ibrahim berkata kes terhadap ketua pembangkang itu berhubung kerugian forex BNM, lemah tanpa keterangan dua saksi penting. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 November, 2017

PUTRAJAYA mempunyai kes yang lemah terhadap Anwar Ibrahim berhubung kerugian urus niaga mata wang asing Bank Negara Malaysia (BNM) kerana dua individu penting tidak memberi keterangan, kata peguam pemimpin pembangkang itu.

Saksi berkenaan ialah allahyarham Jaffar Hussein yang meninggal dunia pada 1998 dan bekas ketua audit negara Ishak Tadin, 85, yang tidak sihat untuk memberi keterangan sepanjang pendengaran berlangsung dua bulan dan berakhir 19 September.

Suruhanjaya siasatan diraja (RCI) itu ditubuhkan untuk menyiasat kerugian BNM yang diketuai Pengerusi Petronas Mohd Sidek Hassan, menyampaikan keputusannya kepada Yang di-Pertuan Agong pada 13 Oktober. Laporan 500 halaman itu dibentangkan di Parlimen hari ini.

“Laporan itu kekurangan bukti jelas yang serius daripada individu utama; akibat yang tidak dapat dielakkan kerana mengadakan inkuiri selepas 25 tahun kejadian berlaku,” kata Gurdial Singh Nijar dan Sivarasa Rasiah yang mewakili Anwar, dalam satu kenyataan.

RCI itu mendapati Anwar dan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad bersalah atas kerugian itu, di mana suruhanjaya itu mendapati jumlahnya mencecah RM31.5 bilion antara 1992 dan 1994.

Suruhanjaya itu kemudian mengesyorkan kedua-duanya disiasat di bawah Seksyen 417 atau 418 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara lima tahun dan denda. Kegagalan membayar denda boleh membawa kepada hukuman penjara lebih lama.

Peguam berkenaan yang bertindak sebagai peguam pemerhati bagi pihak Anwar pada pendengaran itu berkata keputusan membeli dan menjual saham dibuat oleh Jaffar.

“Beliau memaklumkannya dalam deklarasi awam di Deli. Dan melaksanakannya menerusi pegawainya.

“Timbalan pengurus di jabatan bank pada masa itu memberi keterangan bahawa urus niaga forex (membeli dan menjual saham) diputuskan oleh jabatan bank,” kata keterangan itu.

Peguam itu berkata Anwar menjelaskan panjang lebar mengapa beliau menyerahkan laporan audit tahunan BNM kepada kabinet dan Parlimen, dan ia sudah ditandatangani oleh ketua audit negara dan gabenor BNM.

“Sebelum itu, Anwar dimaklumkan tentang perbalahan antara gabenor dan ketua audit negara tentang bagaimana hendak menjelaskan kerugian itu dalam laporan. Beliau minta pihak berkenaan menyelesaikan perbalahan itu di mana seperti tertera dalam laporan tahunan itu,” kata peguam.

Anwar turut memberi keterangan bahawa beliau tidak boleh menggunakan maklumat dalam draf ketua audit negara dan terpaksa menggunakan laporan audit yang sudah diluluskan oleh ketua audit neara.

“Paling teruk, penyampaian laporan yang sudah diaudit kepada kabinet menjadi satu penghakiman. Bagaimana ia boleh menjadi penipuan terhadap kabinet hingga membawa kepada tuduhan jenayah kerana menipu?

“Tidak ada seorang pun anggota kabinet yang mempersoalkannya.

“Tambahan lagi, Parlimen perlu menerima laporan tahunan audit itu. Itulah apa yang Anwar buat. bagaimana ini boleh jadi penipuan kepada Parlimen?”

Peguam itu berkata kesimpulan RCI itu yang Anwar menipu kabinet berdasarkan kepada “fakta salah” memandangkan bukan beliau membuat keputusan tentang rawatan akaun keuntungan atau kelulusan. – 30 November, 2017.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa