Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Monday, September 29, 2014

Nik Aziz: Walau Pun Uzur, Fikiranya Masih Utuh Dan Tajam

Cuma tak tahulah Utusan menulis benar-benar seratus peratus apa yang keluar dari mulut Nik Aziz

Rasa kecewa itu ada - Nik Aziz
Banyak pihak yang melihat kemelut politik di Selangor meletakkan Pas dalam situasi rugi apabila hubungan parti itu dengan sekutunya, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP dikatakan mula retak. Konflik tersebut juga dikatakan meretakkan anggota dalaman Pas sendiri. Jika tidak dibendung ia mampu memecahbelahkan parti itu memandangkan perselisihan pendapat beberapa kelompok yang wujud dalam Pas semakin ketara.

Paling ketara dengan kewujudan Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma), sebuah badan yang disebut-sebut bakal menjadi ‘Pas baharu’.

Sebagai Mursyidul Am Pas, pasti ramai yang mahu mendengar pendapat Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tentang konflik yang melanda parti Islam itu terutama selepas berakhirnya Muktamar Tahunan Pas Ke-60 yang mencipta pelbagai kejutan baru-baru ini.

Justeru, wartawan Mingguan Malaysia, ZAAIN ZIN dan jurugambar ROSNI MASRI menemui bekas Menteri Besar Kelantan itu di kediamannya di Pulau Melaka, Kota Bharu untuk mendapatkan pandangan beliau tentang konflik yang melanda Pas.

Dalam ruang pertemuan yang ringkas di rumahnya, Nik Aziz yang sinonim dengan panggilan ‘Tok Guru’ secara terbuka berkongsi beberapa pandangan yang tidak pernah disampaikan kepada umum sebelum ini.

Antaranya pertembungan golongan profesional dan ulama dalam Pas, kedudukan Pas dalam pakatan pembangkang, kebimbangan beliau terhadap kewujudan ‘broker dan barua’ serta kekecewaannya terhadap Pasma.

MINGGUAN: Apa pandangan Tok Guru apabila Pas sekarang dikatakan berdepan dengan krisis kepemimpinan sehingga membawa kepada perpecahan memandangkan sudah ada pihak mula berani mempersoalkan kredibiliti golongan ulama secara terbuka?

NIK AZIZ: Politik Islam mula dikenali di Tanah Melayu pada tahun 1950-an. Sebelum ini tidak ada politik Islam. Yang ada demokrasi, komunis, sosialis dan sebagainya. Oleh yang demikian, bila politik Islam diperkenalkan di Tanah Melayu dulu, mulalah orang kritik. Yang kritik itu bukan Cina atau kaum lain, tetapi Melayu sendiri. Melayu golongan Eropah, Yahudi (berpendidikan sekular). Bagaimanapun, itu pada awal dan sekarang ini politik Islam telah dipimpin oleh ulama. Golongan ulama ini ialah orang yang berilmu Islam.

Sekarang ini semakin ramai golongan intelektual menyertai Pas. Pada waktu saya mula-mula masuk Pas tahun 1967, ada seorang sahaja intelektual atau orang universiti yang menyokong parti Islam. Keadaan sekarang jauh berbeza kerana sudah ada pensyarah dan doktor, baik doktor perubatan mahupun Ph.D (doktor falsafah) menyokong parti Islam.

Selepas Nabi Muhammad SAW meninggal dunia, di tengah-tengah itu bermacam-macam timbul masalah kepada Islam. Ada sunnah, sunni dan syiah. Di Timur Tengah, ada macam-macam gerakan baik yang benar-benar Islam atau menjadi ejen kepada Amerika untuk timbulkan pecah-belah. Jadi tak pelik kalau perkara sama berlaku di Malaysia.

Apabila berlaku krisis dalaman, individu yang disalahkan ialah Presiden Pas iaitu Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Beliau dikatakan pemimpin yang lemah dan perlu diganti, malah pendapat dan keputusan beliau disanggah ahli sendiri. Mungkin sudah sampai masa beliau diganti?

NIK AZIZ: Tok Guru Haji Hadi lemah atau tidak, itu bukan persoalannya. Cuba orang lain ambil alih pucuk pimpinan, macam itu juga jadinya. Akan ada orang tuduh juga. Kalau Hadi undur, mari orang lain (gantikan beliau) kena tuduh juga. Macam-macam tuduhan akan tetap timbul.

Sejak kebelakangan ini, suara ulama terutama Majlis Syura dilihat seakan-akan semakin terpinggir manakala suara profesional semakin didengari dalam Pas. Apa pendapat Tok Guru?

NIK AZIZ: Tidak terpinggir, cuma sebab dia (ulama dan profesional) semakin bersatu. Dia jadi orang sama, yakni ulama itu adalah profesional, profesional itu adalah ulama.

Kalau kita lihat sekarang, perasaan prejudis terhadap kepemimpinan ulama semakin ditunjukkan apabila keputusan dibuat dibantah secara terbuka. Sepatutnya ahli parti menghormati dan mengangkat golongan itu pada tahap sepatutnya dalam parti. Namun apa yang berlaku adalah sebaliknya.

NIK AZIZ: Tidak, tak betul.

Bagaimana Tok Guru melihat masa depan Pas dan kepimpinan ulama, adakah parti ini akan terus dipimpin oleh ulama atau mungkin berlaku suatu hari nanti situasi di mana kumpulan profesional diangkat sebagai pemimpin tertinggi?

NIK AZIZ: Sekarang ini golongan profesional semakin ramai dalam Pas dan sedikit masa lagi, saya harap orang yang mengajar Matematik (profesional) ialah orang yang sama mengajar agama. Boleh dua-dua.

Saya memang harap boleh jadi macam itu, yang mengajar agama ialah golongan profesional, yang mengajar Matematik ialah ustaz. Ini kerana ustaz dan profesional itu orang sama dalam Islam.

Muktamar Tahunan Pas baru-baru ini menjadi medan kepada akar umbi meluahkan perasaan sedih dan kecewa terhadap pendekatan pemimpin tertentu Pas yang cenderung mengikut telunjuk Parti Keadilan Rakyat (PKR) terutama Datuk Seri Anwar Ibrahim. Sejauh mana Tok Guru melihat kebenaran dakwaan mereka itu?

NIK AZIZ: Tak ada sampai macam itu, nak ikut telunjuk macam mana. Pas (ditubuhkan) dulu, Pas wujud tahun 1951, PKR dan DAP tahun berapa? Pas cuma tak banyak bercakap. Lagi pun mahu bercakap banyak buat apa, kita ini sebagai abang. Dua lagi iaitu PKR dan DAP ialah adik. Yang menumpang ialah dua parti itu kerana Pas yang wujud dulu, tahun 1951 lagi.

Dalam tahaluf siyasi, tiada mana-mana parti lebih tinggi atau rendah kedudukannya. Namun apa yang berlaku sekarang, Pas sering diketepikan. Malah Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din sudah mengeluarkan kenyataan tahaluf siyasi perlu dikaji semula. Perlukah Pas berbuat demikian termasuk mempertimbangkan cadangan meninggalkan pakatan?

NIK AZIZ: Nak kaji semula tahaluf tidak apa, tetapi nak tinggalkan tahaluf, tidak. Islam sendiri mahukan tahaluf. Pada zaman Nabi Muhammad SAW pun ada tahaluf macam ini. Tahaluf itu diambil daripada baginda sendiri.

Dalam muktamar, Presiden Pas ada sebut tentang golongan ‘broker dan barua’ yang wujud dalam Pas sehingga menjadi musuh dalam selimut yang membahayakan Pas. Adakah benar wujud golongan ini dalam Pas?

NIK AZIZ: Saya tak campur. Dalam mana-mana organisasi pun ada benda tu (broker dan barua). ‘Broker’ ini dalam Islam kita panggil munafik. Golongan munafik inilah ‘broker’. Dalam Islam ada sebut (kewujudan) tiga golongan iaitu mukmin, kafir dan munafik. Tiga kumpulan ini mana-mana pun ada. Jadi dalam mana-mana pertubuhan, tak kira parti ke, korporat ke, semua ada ‘broker’.

Jadi bagaimana Pas mahu memastikan parti bersih daripada golongan ini?

NIK AZIZ: Itu terletak pada iltizam masing-masing. Sama ada mempunyai iltizam atau tidak iltizam.

Selepas ada krisis dalam Pas, sekarang wujud pula badan yang menggelar diri mereka Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma). Pasma ini mendakwa sebagai organisasi yang mahu mengukuhkan hubungan Pas dengan PKR dan DAP. Cara dia adalah cuba mencorak semula pemikiran politik Pas yang dikatakan jumud dan ketinggalan akibat diterajui golongan ulama. Pendek kata, Pasma ini dikatakan bakal jadi Pas ‘baharu’.

NIK AZIZ: Pasma yang timbul ini tidak tahu boleh kata Pas baharu atau tidak, itu dia punya pasal. Saya masuk Pas ketika zaman Datuk Mohd. Asri Muda. Bila UMNO ajak Pas masuk Barisan Nasional (BN), Pas berpecah belah kepada empat. Ada Hamim, Berjasa, Bebas Bersatu dan Pas. Saya antara orang yang menyokong Pas masuk BN, maka saya berada di pihak yang melawan Hamim, Berjasa dan Bebas Bersatu.

Bagaimanapun Alhamdulillah, orang itu semua sudah tidak ada sekarang. Ini semua kerana iltizam, yang kita sebut juga sebagai istiqamah. Pas yang ada sekarang istiqamah dengan perjuangan Islam. Saya tak nampak Pasma boleh gantikan Pas, apatah lagi UMNO, jauh sekali. UMNO yang bawa kebangsaan tidak akan dapat menyelamatkan orang Melayu daripada akhirat. Saya tak bimbang dengan Pasma, tetapi kecewa itu ada.

utusan.com.

Sunday, September 28, 2014

Hak PAS: Adakah Shaari Dan Hasnul Akan Dipecat?

Memecat Shaari Dan Hasnul Akan Menjadikan Pas Makin Terpinggir

Dua Adun Pas Selangor, Shaari Sungib dan Hasnul Baharuddin dilaporkan akan dipanggil mengadap Lembaga Disiplin parti esok ekoran tindakan mereka yang didakwa mendahului parti dengan memberikan sokongan kepada Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam kemelut pertukaran Menteri Besar Selangor.

Sehingga ini apa yang bermain di fikiran orangramai ialah apakah hukuman yang bakal diterima oleh kedua-dua Adun itu terima. Adakah mereka akan dipecat, digantung, diberi amaran atau dilepaskan begitu saja?

Sementara Presiden Pas, Haji Hadi kelihatan amat berang dengan tindakan Shaari dan Hasnul ini dengan melabelkan di pentas terbuka penggulungan Muktamar Pas di Batu Pahat dengan cop pengkhianat, barua, broker dan sudah dibeli, sebaliknya DAP pula meraikan kedua-dua Adun itu semalam dalam sebuah majlis jamuan dan menganggap mereka adalah "wira" yang mempertahankan kerajaan PR Selangor.

Berdepan dengan apa yang berlaku kepada Iszurie Ibrahim, Ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang yang juga Bendahari Pas negeri yang dikeluarkan daripada semua jawatankuasa tetap dan dibekukan peruntukannya ekoran kritikan terbuka terhadap dasar perumahan kerajaan negeri dalam ucapannya di muktamar baru-baru ini, sanjungan DAP terhadap Shaari dan Hasnul bagaikan sengaja merenjis minyak kepada api yang sedang membara dalam Pas ketika ini.

Shaari dan Hasnul sebelum ini mempertahankan tindakan mereka adalah bertujuan menafikan dakwaan sokongan majoriti yang didakwa dimiliki oleh Khalid Ibrahim serta atas semangat untuk mempertahankan kerajaan negeri PR.

Kiranya esok Shaari dan Hasnul akan dipecat oleh Pas, tanggapan umum tentunya tidak dapat lari daripada mengaitkannya dengan ucapan Haji Hadi di muktamar baru-baru ini. Akan wujud persepsi bahawa Lembaga Disiplin Pas hanyalah "rubber stamp" kepada Haji Hadi saja.

Malah mungkin juga wujud tanggapan bahawa hukuman pecat itu sebagai luahan rasa kekecewaan Pas bukan saja kerana gagal untuk terus mencatur penentuan politik di Selangor, bahkan juga kerana kehilangan satu kerusi Exco di negeri itu.

Tambahan pula, isu politik di Selangor secara umumnya sudah pun selesai apabila Azmin Ali diangkat sebagai Menteri Besar dan tidak seharusnya lagi Pas memanjangkan isu dengan suatu tindakan yang seolah-olah ada unsur balas dendam.

Lebih dari itu, tindakan pemecatan juga akan meretakkan lagi hubungan Pas dalam PR di sebalik parti itu berulangkali menyatakan mahu terus kekal dalam gabungan itu bersama PKR dan DAP. Ini kerana apa yang dilakukan oleh Shaari dan Hasnul adalah atas semangat untuk mempertahankan kerajaan PR yang didokong oleh Pas juga.

Malangnya dalam krisis Menteri Besar ketika itu, bukan Shaari dan Hasnul yang cuba lari dari semangat dan janji bersama PR, tetapi pihak lain dalam Pas. Lagi pula bukannya kedua-dua mereka ini menyokong calon daripada parti musuh, malah daripada parti yang diakui oleh Pas sendiri berhak terhadap kerusi Menteri Besar itu.

Sudah tentu, jika pemecatan juga yang dibuat esok, ia bukan saja keterlaluan, tetapi akan menjadikan Pas semakin terpinggir di mata pengundi pelbagai kaum yang menyokong PR selama ini. Pas tidak akan dipercayai lagi selepas ini. Ia adalah sesuatu yang merbahaya kepada masa depan Pas, khususnya di Selangor dalam pilihanraya akan datang.

Tindakan gantung juga tidak sesuai diambil jika Pas benar-benar ingin bersama PR bergerak ke hadapan menentang UMNO dan BN. Pas haruslah mengakui tindakan Shaari dan Hasnul memberi sokongan kepada Dr Wan Azizah adalah kerana salah Pas sendiri yang lambat menyatakan pendirian dan menangguh-nangguhkan tarikh mesyuaratnya.

Jika Pas lebih agresif dan progresif dalam tindakannya, termasuk mempercepatkan tarikh mesyuarat berhubung isu Menteri Besar dahulu, semua ini tidak mungkin berlaku.

Berdepan dengan kemungkinan hilang sokongan pengundi bandar dan separa bandar serta mesej yang diterima Pas dalam keputusan pilihanraya kecil Pengkalan Kubor, hukuman yang wajar diterima oleh Shaari dan Hasnul hanyalah diberikan amaran saja.

Lebih berjiwa besar jika Pas tidak menyabitkan dengan sebarang hukuman, lebih-lebih lagi dakwaan kononnya mereka dibeli atau bukti lain yang bersifat salahlaku juga tidak pernah dibuktikan sehingga kini.

Walaupun dilihat tidak seiringan dengan pendirian Haji Hadi tetapi adalah nyata bahawa Shaari dan Hasnul melalui tindakan yang dilakukannya bertujuan ingin membawa Pas bergerak di landasan yang betul bersama-sama dengan PR. Bukan salah mereka kerana bertindak cepat mendahului Pas dalam memberi sokongan kepada Dr Wan Azizah tetapi salah Pas kerana selalu lambat dan perlahan. ( SH 28/09/2014)

Brehem Ingat Semua Orang Buta Dan Tuli Ke?

Perkasa cabar Marina Mahathir kemuka bukti tuduhan
Published: 28 September 2014 | Updated: 28 September 2014 6:07 PM
Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali mencabar Marina Mahathir kemuka bukti atas tuduhan pertubuhan itu dapat hak istimewa. – Gambar fail The Malaysian Insider, 28 September, 2014. 

Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) hari ini mencabar anak perempuan bekas perdana menteri, Datin Paduka Marina Mahathir terhadap sindirannya ke atas Utusan Malaysia dan pertubuhan tersebut yang mengatakan mereka mendapat keistimewaan.
Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata Marina tidak wajar membuat tuduhan sedemikian jika tidak mempunyai bukti serta menyatakan kesediaan didakwa jika ada kebenaran atas tuduhannya.
"Jangan cakap hanya berasaskan kepada persepsi yang tidak ada bukti. Jika benar Perkasa melanggar undang-undang negara, boleh dakwa kita," kata Ibrahim yang dipetik berkata dalam edisi Mingguan Malaysia hari ini.
Marina baru-baru ini menyindir akhbar milik Umno Utusan Malaysia, mengatakan ia mempunyai kebebasan bersuara mutlak tidak seperti akhbar lain yang tidak memiliki keistimewaan sebegitu.
"Utusan ada kebebasan mengkucar-kacirkan keadaan," kata anak sulung Tun Dr Mahathir Mohamad itu semasa Persidangan Undang-Undang Antarabangsa Malaysia baru-baru ini.
Marina berkata, kumpulan pejuang hak Melayu, Perkasa, menikmati layanan istimewa dan mendapat ruang didengari media berbanding kumpulan lain.
Ibrahim juga membidas kenyataan Marina dengan mempersoalkan adakah menjadi kesalahan bagi mereka untuk memperjuangkan perkara yang sudah termaktub dalam Perlembagaan seperti hak keistimewaan kaum Melayu.
"Adakah dengan memperjuangkan asas Perlembagaan termasuk hak dan keistimewaan orang Melayu, agama Islam dan juga Raja-Raja Melayu menjadi kesalahan dan melanggar undang-undang negara," katanya.
Perkasa, pertubuhan bukan kerajaan rapat dengan pemerintah yang lantang dan membangkitkan isu melibatkan hak kaum Melayu dan agama Islam.
Bagaimanapun tindakan yang diambil Perkasa sering mencetuskan kontroversi kerana didakwa cuba mengapi-apikan bahang perkauman dan tidak sensitif kepada kaum dan agama lain. – 28 September, 2014. - TMI

Noh Bela PAS: Tak Ada Tupai Pokok Tak Goyang!

Ada gerakan terancang hadkan suara PAS di Selangor - Noh
Agensi |(Diterbitkan pada: September 27, 2014 18:49 MYT)

Ada gerakan terancang hadkan suara PAS di Selangor - Noh
NOH: Ada gerakan terancang hadkan suara PAS di Selangor - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, tindakan Menteri Besar Selangor yang baru, Azmin Ali mengurangkan satu kerusi exco Pas memperlihatkan wujudnya gerakan terancang dalam usaha mengurangkan suara wakil parti tersebut di dalam sebarang keputusan yang bakal dibuat oleh kerajaan negeri itu kelak.

Menurut beliau, pengurangan satu kerusi exco PAS ini juga secara jelas membuktikan bahawa kepercayaan PKR dan DAP terhadap PAS sudah mula goyah dan usaha untuk mengekang suara dan pengaruh PAS di dalam sebarang keputusan yang dibuat sedang dilaksanakan.

"Walhal, di Selangor PAS mempunyai lebih kerusi berbanding dengan PKR dan tidak sepatutnya kerusi exco yang sudah diperuntukkan kepada parti tersebut dikurangkan. Ini jelas memperlihatkan bahawa PAS sudah tidak lagi dipercayai oleh rakan-rakan sekutu mereka dan usaha untuk mengurangkan suara dan pengaruh PAS di negeri Selangor dengan dilaksanakan.

"Apa yang berlaku ini bagi saya juga merupakan satu bentuk  hukuman terhadap PAS khususnya di dalam kemelut MB Selangor, di mana PAS dilihat tidak memberi kerjasama yang baik sehingga dilabelkan oleh pengkhianat oleh rakan sekutu mereka sendiri.

"Dan tindakan mengurangkan jawatan exco PAS di dalam pentadbiran Selangor mungkin satu strategi terancang PKR dan DAP untuk menghadkan pengaruh, kuasa dan juga suara PAS di dalam pentabiran negeri Selangor,” jelasnya ketika memetik laporan UMNO-Online di sini hari ini.

Menurut beliau lagi, tindakan Azmin melantik seorang wakil PAS bagi menjawat jawatan timbalan speaker DUN Selangor pula hanya sekadar untuk menyejukkan hati PAS Selangor.

"Bagi saya jawatan timbalan speaker DUN  yang diberikan kepada PAS itu juga hanyalah sebagai penyedap hati di mana kuasa timbalan speaker amat terhad dan tidak mampu untuk memberikan sebarang impak atau pengaruh terhadap mana-mana keputusan yang dibuat oleh exco negeri.

"Berdasarkan senario di atas, apa yang jelas bagi saya, kedudukan Pas Selangor di dalam pakatan pembangkang jelas kini dicurigai oleh kepimpinan PKR dan DAP. Secara tidak langsung, kemelut yang berlaku ini juga akan memberikan kesan terhadap penglibatan PAS di dalam pakatan di peringkat pusat.

"Walaupun ada yang beranggapan bahawa kemelut pentadbiran Selangor akan selesai dengan pelantikan Azmin, namun saya yakin bahawa tindakan Azmin mengurangkan wakil PAS di dalam jemaah exco negeri akan mengundang rasa tidak puas hati dikalangan kepimpinan PAS yang boleh membawa pakatan pembangkang ke kancah kemelut yang lebih serius tidak lama lagi," ujarnya.

Saturday, September 27, 2014

Sebab PAS Kalah Di Peng. Kubor Dan Mungkin Juga Kehilangan Kelantan

PAS akan terlepas Kelantan. Lama dah aku ulas benda ni
Mad Yaacob mungkin alim dalam agama tetapi yang aku nampak dia tidak begitu alim di dalam pentadbiran dan tindak tanduk politiknya

Kelantan jatuh jika PAS rasa boleh terus bersendirian, kata PasMa
Updated: 27 September 2014 10:42 AM - TMI
Setiausaha PasMa Mohd Taib Ahmad meyenaraikan punca kekalahan PAS di Pilihan Raya Kecil Pengkalan Kubor, dan menegaskan PAS perlu mengekalkan pakatan dengan rakan parti DAP dan PKR untuk kekal relevan. – Gambar The Malaysian Insider, 27 September, 2014.

Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Pengkalan Kubur memberi tanda jelas PAS akan kehilangan Kelantan dalam pilihan raya umum akan datang jika parti Islam itu terus berfikir  boleh menang dengan duduk bersendirian tanpa bekerjasama dengan pihak lain, kata Setiausaha PasMa Mohd Taib Ahmad.
Kerjasama yang baik dalam Pakatan Rakyat akan membolehkan PAS mempertahankan Kelantan daripada jatuh ke tangan Barisan Nasional, kata NGO yang menjadi pelobi kuat agar PAS teruskan kerjasama dengan Pakatan itu.
PAS kalah dengan majoriti yang lebih besar dalam PRK Pengkalan Kubor berbanding kekalahan PKR dalam pilihan raya umum lalu.
Calon BN Mat Razi Mat Ail memperoleh undi sebanyak 9,981 manakala calon PAS Wan Rosdi Wan Ibrahim mendapat 7,326 undi.
BN menang dengan majoriti lebih besar iaitu 2,635 undi berbanding kemenangan parti itu pada PRU13, iaitu 1,736 undi.
Bagi PasMa, PAS perlu membuka mata seluas-luasnya ekoran kekalahan lebih besar di Pengkalan Kubor ini kerana ia memalukan parti itu selepas mengambil kerusi yang dimiliki PKR sebelum ini.
Taib juga memberi alasan kelemahan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakub dalam memahami kehendak rakyat Kelantan dan tidak dapat melaksanakan janji-janji yang ditetapkan dalam manifesto dalam pilihan raya lalu antara punca kekalahan ini.
Penyingkiran Datuk Husam Musa, naib presiden yang juga timbalan pesuruhjaya PAS Kelantan dari dalam kerajaan negeri juga menyebabkan berlaku kelemahan dalam kerajaan negeri, dakwa beliau.
"Bukan beliau sahaja tetapi pasukan beliau yang ada dalam GLC dan parti dibersihkan oleh kepimpinan PAS Kelantan," tambahnya.
Bagi beliau, jika perkara ini tidak dibetulkan, ia bakal menjadi penyebab kerajaan negeri Kelantan kecundang dalam pilihan raya umum akan datang.
"Beliau perlu dikembalikan ke dalam kerajaan negeri untuk kembalikan keyakinan rakyat kepada kerajaan negeri Kelantan kerana beliau mempunyai peranan yang besar bersama Tuan Guru Nik Aziz dalam membina Kelantan sehingga pilihan raya umum lalu," katanya merujuk kepada Datuk Nik Aziz Nik Mat, bekas menteri besar Kelantan.
Selain itu, Taib juga menyalahkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk kekalahan Pengkalan Kubor.
"Kenyataan presiden PAS dalam muktamar mengenai PR. Kenyataaan kepada DAP dan PKR sebabkan hubungan dalam PR retak juga puncanya," kata Taib, kerana bagi beliau, keretakan dan krisis dalam PR juga menyebabkan pengundi tidak senang dengan PAS.
Selain itu, beliau menyalahkan kenyataan pemimpin Kelantan lain, termasuk Timbalan Menteri Besar Datuk Mohamad Amar Nik Abdullah dan ahli Parlimen Pasir Mas Nik Mohamad Abduh Nik Aziz sebagai punca kekalahan.
"Timbalan menteri besar dan Nik Abduh banyak membuat kenyataan mempertikai rakan-rakan dalam PR. Sebaliknya mereka memuji Umno dan BN. Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang menjadi bahan serangan. Sebab itu bagi saya, rakyat Kelantan membuat keputusan yang bijak," katanya.
Sebelum ini, penganalisis politik Universiti Kebangsaan Malaysia Profesor Datuk Dr Mohamad Agus Yusof berkata sikap anak muda yang muak dengan apa yang berlaku dalam PAS dan Pakatan antara punca PAS kalah di Pengkalan Kubor.
Menurut Agus yang menulis di dalam laman media sosial Facebook, BN menang di Pengkalan Kubor kerana anak muda sudah muak dengan cara PAS dan PR berpolitik.
"Ini bukannya kerana BN hebat, jentera BN kuat, wang BN banyak, calon BN baik atau media BN kawal, tetapi kerana anak muda sudah bosan dengan politik PAS dan PR.
"Maka ramai anak muda yang tidak akan balik mengundi, dan mereka juga tidak kisah dengan hasil pilihan raya kecil ini," katanya.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin juga mendakwa kekalahan PAS dalam PRK Pengkalan Kubor disebabkan lemahnya hubungan dalam PR.
Timbalan presiden Umno itu berkata faktor itu menjadi pertimbangan pengundi di Pengkalan Kubor selain krisis Selangor yang dibiarkan lama berlarutan.
"Mereka melihat keadaan PR, peristiwa yang berlaku di Selangor, perhubungan yang begitu tidak mantap antara PAS, PKR dan DAP.
"Saya percaya pengundi di kawasan ini juga dapat membuat penilaian, situasi begini tidak baik. Kalau berterusan membawa impak tidak baik kepada Pengkalan Kubor," katanya pada sidang media selepas pengumuman kemenangan calon Barisan Nasional (BN) Mat Razi Mat Ail di Tumpat malam kelmarin. – 27 September, 2014

Tak Habis Lagi Buat Gila Rupanya!

Harap Azmin tidak jadi bingung kerana kerenah ulat taik mereka ni....
Aku yang kat luar ni pun dah naik meluat daaa.....

PAS S'gor nafi bersetuju pengurangan kuota exco
mk - 10:35PM - 26 Sep 2014

Majlis angkat sumpah anggota Exco baru kerajaan negeri Selangor hari ini telah gagal menamatkan pertikaian politik Selangor.

Walaupun Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata pengurangan kuota exco PAS - daripada empat kepada tiga orang - adalah satu "pengorbanan" yang perlu dilakukannya, tetapi PAS Selangor kini berkata parti itu tidak pernah bersetuju.

Ini bercanggah dengan dakwaan Menteri Besar Azmin Ali bahawa Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden Mohamad Sabu dan Mustafa sendiri telah memberikan persetujuan berhubung penyusunan barisan exco baru.

"PAS Selangor menafikan sebarang dakwaan bahawa PAS telah bersetuju agar bilangan Exco PAS dikurangkan dari empat kepada tiga.
"Kami telah juga dimaklumkan oleh PAS pusat bahawa mereka juga tidak pernah bersetuju dengan pengurangan ini," kata setiausaha PAS Selangor, Mohd Khairuddin Othman (kanan) dalam satu kenyataan lewat hari ini.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Iskandar Ab Samad dan ADUN PAS Sijangkang Dr Yunus Hairi dikekalkan dalam barisan exco, dan disertai muka baru, ADUN PAS Taman Templer, Mohd Zaidy Abdul Talib.

Halimah Ali dan Sallehen Mukhyi, yang telah berkhidmat dalam pentadbiran lalu, telah digugurkan.

"Kami juga berpandangan penguguran Dr Halimah Ali dan Ustaz Sallehin Mukhyi yang telah berkhidmat dengan cemerlang sebelum ini adalah tidak berasas.

"Kami merasakan bahawa tindakan ini bukanlah satu permulaan yang baik," tambahnya.

Bagaimanapun, katanya, PAS mahu melihat Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor terus stabil dan dapat melaksanakan agenda-agenda rakyat.

"Sebelum ini Exco-Exco PAS telah kekal  di dalam kerajaan demi memastikan kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor tidak tumbang.

"Oleh yang demikian, PAS akan tetap kekal mempertahankan kerajaan tersebut," tambahnya.

Pengorbanan?: Nak Kata Apa Lagi?

Exco: 'Satu lagi pengorbanan PAS'

PAS menganggap pengurangan jumlah Exco kerajaan Selangor dari PAS - daripada empat kepada tiga orang - sebagai di luar jangkaan, tetapi parti itu menerimanya dengan hati yang terbuka.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, PAS memahami 'kesukaran membuat pilihan' oleh Menteri Besar, Azmin Ali, lapor Harakahdaily.

Sebelum ini, komposisi Exco kerajaan negeri Selangor ialah PAS (4 ), PKR (3) dan DAP (3). Kini PKR mempunyai empat orang Exco dan DAP kekal tiga orang.

Tiga Exco PAS yang dilantik hari ini ialah Iskandar Abdul Samad (ADUN Chempaka), Dr Ahmad Yunus Hairi (ADUN Sijangkang) dan muka baru Zaidy Abdul Talib (Templer).

Exco yang tidak dikekalkan ialah Ustaz Sallehen Mukhyi (Sabak) dan Dr Halimah Ali (Selat Klang).

"Apapun kita yakin beliau (menteri besar) telah berusaha mengimbangi suasana yang ada sebaik-baiknya.

"Apa yang lebih penting bagi kita ialah, ini satu lagi pengorbanan yang PAS perlu lakukan untuk melihat krisis di negeri Selangor selesai, dan Pakatan boleh bergerak ke hadapan," kata Mustafa kepada Harakahdaily.

Mustafa menegaskan, semua pihak perlu menghargai setiap pengorbanan yang dilakukan oleh mana-mana pihak.

Tegasnya, musuh sebenar Pakatan adalah BN dan bukan sesama parti dalam Pakatan Rakyat. - sumber

Menarik: Adakah Ini Juga Fitnah?

Rahsia kenapa nak kekalkan Khalid Ibrahim.... pendedahan exclusif! (VIDEO & Transkrip)

Ikuti pendedahan eksklusif Izham Hashim, ahli Badan Perhubungan PAS Selangor, bahawa ada pemimpin tertentu parti itu tidak mahu Tan Sri Khalid Ibrahim digantikan sebagai menteri besar Selangor kerana berkepentingan peribadi.

 Tanpa menamakan pemimpin kanan PAS itu, katanya, individu berkenaan ada ikatan emosi dengan Khalid.

Ikuti trankrip berikut yang di muat naik melalui v-deo di bawah nanti :
0:01 ~ Sepatutnya kita rakan dalam Pakatan Rakyat, kita bantu dia untuk menyelesaikan masalah, itulah kawan!Semangat setia kawan.

 Adakah Islam ajar kita, untuk jadi parti Islam atau pejuang Islam ni, istilah wala' sahaja...wala' sahaja, feqah...apa lagi ustaz? ...Taat, yang tu saja Islam? Setiakawan bukan Islam ker? 

 0:23 ~ Tak bohong bukan Islam ker? Cakap bahasa elok-elok bukan Islam ker? Islam kalau nak perjuangkan Islam, semua benda kena ikut yang Islam ler...baru boleh klem kita berjuang Islam.

 0:36 ~ Rakan kita sedang ada masalah, ini masa dia ada masalah, kita kena tolong dia...nanti kita suatu hari ada masalah, dia tolong kita pula!Itulah semangat setiakawan! Jadi bila isu timbul dah masalah, patut yang pertamanya ialah, kita jumpa mesyuarat Pakatan Rakyat, ini mesyuarat tak pergi....mesyuarat tak nak pergi....tak nak pergi....tak taulah... Mesyuarat Pakatan Rakyat tak mau pergi lepas tu buat keputusan sendiri.

1:02 ~ Dia; pergilah mesyuarat, itulah gunanya mesyuarat - syura bainahum, syuralah kamu.9Nanti kita bincang-bincang,,tapi tak pergi, bincang macam mana? Bincanglah dalam mesyuarat elok-elok ... bincang apa masalah nak tukar Khalid...OK, kalau kita setuju, siapa calunnya...tak berlaku benda tu!Kalau berlaku benda tu, bulan tiga dah selesai dah!Tak akan timbul isu kemelut nih! Mungkin ada hikmahnya ustaz, benda ni berlaku; nak tunjukkan kita ni ada masalah... PAS ni sebenarnya yang masalah nih!

1:36 ~ Dia kata "Oh, PKR ni buat taik, kita yang masala!" Kalau PKR buat taik kau, engkau tau taik, kau pergi main buat apa? Sekarang terpalit semua orang!9 Betul tak? Tak payahlah main kalau tau tu taik! 

1:49 ~ Tapi saya rasa PKR bukan main taik, dia memang ada masalah betul.Kita tolong selesaikan isu Menteri Besar. kalau dah selesai tak timbul!  Ni pergi sekejap, kita pun Selangor dah bagi pandangan, bagi pandangan dah dua kali jumpa lagi bagi tau kita tak nak.

2:06 ~  Tapi ada dikalangan PAS dalam Selangor ni, yang cara diam-diam pi jumpa pimpinan pi lobbi, kita nak Khalid Ibrahim; saya tahu siapa dia... pergi lobi, kita buang mai, orang pejabat agong mai bagi tau, lobi kita nak juga!melanggari keputusan kita.Dia nak kekal juga Khalid Ibrahim. Kalau saya tak jadi Khalid Ibrahim, Kalau Khalid Ibrahim dah tak jadi lagi Menteri Besar, saya ganti, saya jaga adat-adat Melayu saja nanti...Tak dapat exco lain.Nampak kepentingan diri! 

2:37 ~ Saya cakap terus terang. Ini, saya cakap fakta.Cuma saya tak nak sebut nama ...fakta benda ini berlaku.

2:44 ~ Kau pergi, nak kekalkan Khalid Ibrahim juga pasal apa nak kekalkan Khalid Ibrahim, saya tanya...

 Sebab utama dia ialah kerana PAS mempunyai Kenapa nak kekalkan Khalid Ibrahim? Sebab utama ialah kerana PAS mempunyai kawalan yang kuat kepada GLC Selangor melalui Raja Idris.

3:09 ~ Dikalangan pegawai-pegawai kerajaan dikatakan, Raja Idris ini disebut sebagai Timbalan Menteri Besar sebenarnya di Selangor.Ini cara tidak resmi disebut kerana apa? Dia menjadi orang yang sangat dipercayai oleh Khalid Ibrahim dan Raja Idris ini adalah orang kepercayaan, rapat dengan Tuan Guru Presiden PAS!

3:30 ~ Jadi dia berkeyakinan, melalui Raja Idris ini, banyak agenda-agenda yang ... mungkin agenda yang baik, saya tidak nafikan itu, tapi atas ikatan emosi. Ikatan begini menyebabkan Khalid Ibrahim perlu dikekalkan kerana kalau naik orang lain, Raja idris tidak akan mendapat tempat yang sewajarnya kepada Menteri Besar yang baru, itu saja saya sebutkan.

3:55 ~ Dia bukan sahaja CEO Perangsang, dia juga adalah board of director kepada KDEB dan juga executif konsaltan kepada MBI.


- sumber : al-Husseyn

Friday, September 26, 2014

Masa Berehat 3 Hari Di Lumut

Akan update blog sekiranya rasa rajin........sori aarr...!

Gambar dari atas jambatan pulau banding semalam - 25 Sept. 14
 
 
 
Tak berapa berkualiti, bini aku ambil semasa kereta sedang bergerak

Thursday, September 25, 2014

PAS Mahu 4 Exco: Tapi Siapa?

Anwar kata itu hak dan kuasa MB dengan perkenan Sultan, titik!
Kita tengok kebijaksanaan Azmin menangani 'setia kawan stail PAS' ni pulak

PAS bertegas mahu 4 exco di S'gor
mk - 11:29PM - 24 Sep 2014

PAS Selangor bertegas akan mempertahankan komposisi empat orang exconya dalam pentadbiran Selangor.

Pengerusinya Iskandar Ab Samad berkata adalah tidak patut meminta PAS yang mendapat 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk mengurangkan kuota empat orang exconya.

"Kita pertahan (empat orang Exco). Itu jelas.

"Kita dah buat keputusan keputusan itu kita dah bagi kepada PAS Pusat untuk direstui terlebih dulu," kata beliau ketika ditemui selepas mesyuarat PAS Selangor hari ini.

Timbalan Pengerusi PKR Selangor Zuraida Kamaruddin sebelum ini menyatakan kuota exco Pakatan Rakyat seharusnya dikaji semula kerana PAS sebelum ini tidak menyokong calon menteri besar dari PKR dan DAP.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng turut melabel empat exco PAS - salah satunya Iskandar – sebagai pengkhianat kerana tidak meletakkan jawatan selepas mantan menteri besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memecat enam exco lain dari PKR dan partinya.

Iskandar sebelum ini menyatakan tujuan empat exco PAS tidak meletakkan jawatan adalah untuk mempertahankan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor.

Sementara itu Iskandar berkata PAS Selangor telah memutuskan cadangan nama exco kepada PAS Pusat.

Bagaimanapun beliau enggan mendedahkan nama Exco terbabit sama ada kekal atau ada perubahan.

"Sekarang ini kita perlu beri kepada PAS pusat statementtersebut. Tak boleh keluarkan senarai nama sekarang.

Menteri Besar Azmin Ali menyatakan akan menghadap Sultan Sharafuddin Idris Shah esok untuk mengemukakan nama 10 orang exco negeri.

Iskandar bagaimanapun menyatakan tiada lagi perbincangan antara pihak PAS Selangor dan Azmin berkaitan perkara tersebut.

"Belum ada lagi perbincangan (dengan menteri besar)," kata beliau.

Kerenah Orang Politik Yang Memeningkan Kita!

Akta Hasutan: Sumpah ‘siasatan 24 jam’ Zahid kecualikan dirinya sendiri?
24 September 2014
KUALA LUMPUR, 24 SEPT: Adakah Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ‘berani’ menunaikan sumpahnya untuk menyiasat serta-merta individu yang dilaporkan di bawah Akta Hasutan kepada pemimpin Umno BN, termasuk dirinya sendiri?

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, berdasarkan sumpahan Zahid, laporan tersebut ‘melayakkan’ beliau sendiri untuk disiasat oleh pihak polis di atas tuduhan menghasut.
“Jika Zahid serius dengan sumpahnya itu, beliau perlu menyatakan kepada semua bahawa polis telah berjumpa dan mengambil keterangannya.
“Jika tidak sumpahnya itu hanyalah omong kosong,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tuduhan Zahid jelas bersifat hasutan dan dibuat dengan niat buruk untuk mengapi-apikan sentimen perkauman dalam kempen BN sempena pilihan raya kecil Pengkalan Kubor.
Terdahulu, beberapa laporan polis dibuat termasuk oleh Setiausaha DAP Perak Wong Kah Woh dan Ketua Pemuda DAP Teo Kok Seong terhadap Zahid.
Laporan berhubung ceramah Naib Presiden Umno itu di Tumpat dua hari lalu, menuduh DAP melaga-lagakan masyarakat Melayu dan Cina ketika rampasan kuasa BN di Perak pada tahun 2009.
Zahid dalam ceramah kempen BN di Pengkalan Kubor itu turut menuduh ahli DAP membaling batu ke arah kereta Raja Muda Perak, ketika perhimpunan membantah rampasan kuasa itu.
Dalam pada itu tindakan polis mengambil keterangan Setiausaha DAP Perak Wong Kah Woh berhubung laporannya pagi tadi perlu seiring ikrar Menteri Dalam Negeri untuk menyiasat apa sahaja laporan berhubung hasutan dalam tempoh 24 jam.
“Saya tidak terkejut jika Zahid mengarahkan polis untuk mengambil keterangan Wong, agar beliau dapat mendakwa telah menunaikan sumpahnya. Namun itu tentunya hanya pembohongan.
“(Namun) Polis perlu sekurang-kurangnya mengambil keterangan individu yang dilaporkan, dan dalam kes ini – Zahid sendiri,” katanya lagi. – Roketkini.com

Nak Keluar PR: Ingatkan Sekarang Rupanya.........

Bila tiba masanya, Pas akan keluar PR
SHAH ALAM – Jika sudah tiba masanya, Pas akan keluar daripada PR. Demikian reaksi Naib Ketua Pemuda Pas, Mohd Khairil Nizam Khiruddin ketika diminta mengulas kewajaran parti itu untuk terus berada dalam pakatan itu selepas pemimpinnya seolah-olah tidak lagi dihormati rakan komponennya.

Namun Khairil berpendapat, keputusan itu tidak mustahil tetapi bukan pada waktu sekarang.

“Biasalah bergabung ini ada orang degil dan tidak. Sejauh mana kesabaran kita dan saya yakin dan percaya, telah tiba masanya untuk kami keluar dari PR, kami akan keluar.

“Sejarah membuktikan, biasanya yang keluar dari PR ini bukan Pas, tetapi rakan sekutu. Kami tetap setia dan apa tindakan Pas sekalipun, memang semuanya berlandaskan perjanjian dalam PR atau mana-mana pertubuhan dalam gabungan yang kami laksanakan,” katanya kepada Sinar Harian Online ketika ditemui, baru-baru ini.

Mengambil sikap positif, Khairil berkata, Pas sepatutnya bersabar dengan ‘kedegilan’ rakan-rakan sekutunya dalam PR.

“Biasanya yang buat...yang kita katakan, yang ‘degil’ ini pada pendapat saya adalah daripada rakan-rakan kita. Tapi itulah kesabaran. Pas sebagai parti yang lama sepatutnya sabarlah.

“Ketegasan kami ialah kalau perlu rasanya untuk kami keluar, kami akan keluar. Tapi sekarang ini bukan masanya. Kami tetap setia dengan PR dan Umno berhati-hati, kami berada di Putrajaya, insya-ALLAH,” katanya.

Sebelum ini, Ketua AMK, Nik Nazmi Nik Ahmad menuntut agar Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menarik balik kenyataannya yang mendakwa Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak berkebolehan menjadi Menteri Besar Selangor.

Abdul Hadi turut digesa menghormati keputusan pimpinan Pas Pusat dan Majlis Pimpinan PR.

Abdul Hadi ketika berucap pada majlis dialog di Rusila, Terengganu dilaporkan berkata, keengganan Pas menuruti kehendak PKR dan DAP mencalonkan Wan Azizah kerana Presiden PKR itu tidak layak memikul tugas sebagai menteri besar.

Abdul Hadi turut menegaskan, penolakan Pas terhadap Wan Azizah bukan disebabkan faktor gender tetapi isu kredibiliti yang ada pada beliau.

Manakala, Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua dilaporkan menyelar kenyataan Abdul Hadi ketika ucapan penggulungan yang tetap mempertahankan tindakan parti itu yang mencampuri urusan pelantikan calon menteri besar demi mematuhi titah Sultan yang merupakan penaung kepada agama Islam dan orang Melayu di negeri ini.

Pas menghantar tiga nama calon menteri besar kepada Sultan Selangor seperti yang dititahkan Baginda.

Wednesday, September 24, 2014

Hiiss......Pukul Anak Sindir Menantu Ker Ni?

Seingat aku bukan hanya Mahathir seorang yang pernah di saman kerana mengkritik pemimpin 

Berhenti jadi ahli politik jika tidak tahan kritikan, kata Dr Mahathir
Published: 24 September 2014
Ahli politik yang tidak tahan dikritik patut berhenti berkhidmat, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. – Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 24 September, 2014.

Tun Dr Mahathir Mohamad menyarankan pihak yang tidak tahan dengan kritikan agar berhenti menjadi ahli politik.
Bekas perdana menteri itu berkata, ahli politik yang sebenar tidak akan sesekali melatah apabila dikritik apatah lagi mahu membawa isu tersebut ke mahkamah.
"Sebagai ahli politik saya tidak hanya suka orang memuji saya, namun saya mahu orang mengkritik saya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Kepimpinan Asas Perdana CEO 2014 di Kuala Lumpur hari ini.
Beliau mengulas tindakan Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng yang menyaman beliau kerana tidak berpuas hati dengan kritikannya kepada Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang. – 24 September, 2014.

PRK Pengkalan Kubor: Krisis PR Mudahkan BN?

PRK Pengkalan Kubor: Krisis Pakatan di Selangor mungkin berikan BN kemenangan 
Ian McIntyre - 06:30PM Sept 24 2014

KOMEN: Kemenangan di pilihan raya kerusi DUN Pengkalan Kubor pada Khamis 25 September adalah penting bagi Barisan Nasional (BN), untuk menghantar mesej bahawa ia masih memiliki peluang dalam Kelantan yang dikuasai PAS.
Dan kekalahan bagi Pakatan Rakyat akan membuktikan apa yang pengkritik telah sedari selama ini – kepimpinan baru PAS di Kelantan tidak mempunyai kelebihan selepas persaraan mursyidul am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai Menteri Besar. 
Sewaktu kempen pilihan raya itu sedang memasuki pusingan terakhir, difahamkan bahawa calon BN Umno, Mat Razi Mat Ail nampaknya diterima baik, walaupun beberapa pemimpin Umno dalam cawangan Tumpat tidak berpuas hati terhadap pencalonannya.  
Beliau sering disambut hangat sambil bersalaman sewaktu kempennya di kawasan yang bersempadan dengan Tak Bai, di selatan Thai. Tetapi sambutan hangat ini mungkin disebabkan kerja keras yang dilakukan bekas wakil rakyat sebelum ini, Allahyarham Datuk Noor Zahidi Omar. 
Noor Zahidi yang merupakan seorang bekas guru yang kemudiannya menjadi seorang ahli perniagaan, terkenal kerana perkhidmatan cemerlang beliau kepada pengundi, dan beratus-ratus orang telah menghadiri pengebumian beliau. Noor Zahidi meninggal dunia akibat kanser hati bulan lepas.  
Maka, kemenangan Mat Razi mungkin bermakna bahawa legasi Noor Zahidi terpelihara.   
Tambahan pula, setiausaha agung Umno negeri, Datuk Md Alwi Che Ahmad menganggap bahawa pengundi cenderung untuk menghargai wakil rakyat yang bekerja keras. 
Politik Kelantan dilihat sebagai terpencil pada masa-masa tertentu, kerana isu-isu nasional tidak dirasakan kuat di sini seperti di negeri-negeri lain.  
Pengundi-pengundi di sini, yang kebanyakannya merupakan penduduk kawasan pedalaman, lebih mengambil berat tentang isu-isu keperluan seharian, dan bukannya sama ada Akta Hasutan perlu dimansuhkan.  
Tetapi ia boleh berubah jika pengundi-pengundi muda berdaftar yang bekerja di Lembah Klang pulang beramai-ramai, kerana mereka juga terdedah kepada arena kebangsaan dan berada dalam kedudukan untuk mempengaruhi ibu bapa mereka.  
Calon PAS, Wan Rosdi Wan Ibrahim merupakan seorang anak tempatan dan telah aktif di kawasan itu sejak lima tahun yang lalu. 
Beliau masih berpeluang, terutamanya jika Nik Aziz membantu kempennya, walaupun kesihatan beliau tidak begitu mengizinkan.  
Walau bagaimanapun, tidak banyak yang didengari tentang calon Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary yang berkelahiran Kelantan tetapi berasal dari “jajahan" (daerah) yang berbeza – Ketereh.  
Gambaran yang lebih besar ialah bagaimana PAS Kelantan akan bertindak balas jika mereka tidak mampu untuk merebut kerusi ini. Untuk menjadikannya lebih rumit buat mereka, anak Kelantan yang paling terkenal di kalangan mereka – naib presiden PAS, Datuk Husam Musa – jarang berada di sini.  
Pemerhati politik di sini cenderung untuk mempercayai bahawa pengganti Nik Aziz, Datuk Ahmad Yakcop dan Timbalan Menteri Besar, Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah sedang bergelut untuk memenuhi legasi yang ditinggalkan oleh tokoh PAS itu.  
Kedua-duanya merupakan ulama, dan keupayaan mereka untuk berinteraksi secara berkesan dengan pelbagai kumpulan berkepentingan adalah agak lemah.  
Mereka merupakan sebahagian daripada pentadbiran negeri selama dua penggal sebelum ini, tetapi tidak begitu menonjol kerana mereka memberikan platform kepada Nik Aziz dan anak didik beliau, Husam untuk mewakili perkara Kelantan.  
PAS memandang pilihan raya kecil ini dengan serius kerana ia juga mahu menunjukkan bahawa kepimpinan ulama memiliki tempat di Kelantan.  
Ia telah melantik dua orang pakar strategi – Datuk Takiyuddin Hassan dan ahli veteran parti, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah untuk menerajui kempen, tetapi sebahagian besar aktiviti PAS masih tenang.  
Rapat umumnya adalah lebih kecil berbanding sebelum ini, dan kegiatan berkempen kebanyakannya melibatkan kunjungan peribadi dari pintu ke pintu.  
Di Kelantan, keupayaan untuk menentukan pemenang sering diumumkan di saat akhir kerana kedua-dua pihak sedang memerhatikan kesan pengundi muda "luar" yang pulang mengundi.  
Kali ini walaupun, golongan muda mungkin memilih BN memandangkan rasa tidak puas hati mereka terhadap Pakatan di Selangor.  
Mungkin Pakatan boleh mendapat satu atau dua pengajaran dari bekas wakil rakyat di sini, iaitu perkhidmatan kepada rakyat adalah sesuatu yang paling penting apabila mendapat jawatan.

Gambar Santai: Pengkalan Kubor Pada Waktu Siang

Saya baru balik dari sana jam 5:30 petang tadi
Dari cakap-cakap tepi jalan BN yakin menang
Kesan keprihatinan bekas ADUN dari BN masih terlekat pada pengundi
Dan PAS ada rasa sedikit goyah (bila ditanya, jawapannya 'tokleh nok kato')

Tapi tak tahulah...segalanya di tangan pengundi ketentuannya esok 25 Sept. 2014