Khidmat Gigolo bagi melenyapkan kesepian Mona Gersang
Ace Emerson - 07:30PM Nov 29 2014
TUMPUAN: “Gigolo” merupakan perkataan yang wujud di Peranchis sekitar 1920an bagi merujuk lelaki yang menjadi teman bagi tari-menari.
Kini, perkataan gigolo bermaksud “teman sosial yang dibiaya wanita dalam perhubungan berterusan, tinggal di kediaman wanita itu bagi melayan segala kehendaknya”. Ini definisi di dalam Wikipedia.
Gigolo juga dianggap teman lelaki ideal. Mereka dikatakan versi suami yang lebih cocok kerana apabila digaji, mereka amat komited dan apabila khidmat mereka tidak lagi diperlukan, gigolo boleh dicampak begitu sahaja.
Kebanyakan mereka ini teman ideal kerana mampu melayan wanita seperti ratu. Pendek kata segala keperluan seorang wanita bakal dituruti tanpa banyak soal dan kerenah.
Satu ketika dahulu, akhbar The Star ada menyiarkan kisah lelaki yang ditinggalkan isterinya kerana dia sebenarnya seorang gigolo.
Iskandar dikatakan meraih pendapatan sebagai seorang kerani. Namun kerana tuntutan hidup, dia menerima pelawaan berkhidmat dengan seorang Datin yang membayarnya RM5,000 bagi mengiringinya.
Semua manusia ada kisah tersendiri, dan kita perlu tahu di mana mahu mencari cerita mereka. Dan itulah yang saya lakukan kerana saya ketemui Alex dengan kisahnya.
Alex hidup selesa. Tubuh badannya mantap kerana dia bersenam sentiasa. Alex juga berketerampilan segak serta memakai pakaian yang hebat dan menawan.
Alex seorang gigolo. Tidak seperti seorang pengiring, Alex kerap komited dengan seorang wanita sahaja. Dia hebat serba serbi.
Alex boleh membetulkan paip, pandai menari, seorang tukang urut yang hebat malah dia juga pemandu pelancong yang cekap.
Gigolo ini mampu menyiapkan makan malam dan berbicara tajuk yang mengujakan para wanita. Pelanggannya tentu terpesona dengan kehebatannya.
Alex tidak merancang menjadi seorang gigolo. Selepas menamatkan persekolahan, dia bertandang ke rumah seorang rakan.
“Ibu teman aku yang membuka pintu dan memberitahu, rakanku telah keluar,” katanya. “Aku dipelawanya masuk dan diberi segelas air sambil menunggunya pulang.”
Selepas itu, ibu temannya mula merabanya dan memberitahu bahawa dia kagum dengan tubuh tegapnya.
“Kami melakukannya… ,” Alex berterus terang.
Dia diberi RM500 dan diminta datang lagi. Selepas itu Alex berasa dirinya mampu berdikari.
Beberapa minggu kemudian, wanita tersebut mahu memperkenalkannya kepada seorang teman yang kesunyian. Alex menjana pendapatan sekitar RM5,000.
Dia pernah mengiringi seorang wanita ke London selama beberapa hari dan dibayar upah RM6,000.
Kini Alex, 21 tahun, mampu menjana pendapatan RM10,000 sebulan. Apa lagi yang diimpikannya?
Alex berkata wanita kaya memerlukan khidmatnya kerana mereka punyai wang berjuta. Namun mereka ini sering ditinggal suami.
“Seks bukan segalanya. Mereka mahu diteman. Mereka dambakan perhatian,” jelasnya.
Tiada peraturan yang dituruti seseorang gigolo. Namun pada dasarnya, mereka tidak akan memberitahu siapa pelanggan mereka.
Alex berkata ramai pelajar kolej dan institut pengajian tinggi yang mencari pendapatan sampingan sebagai seorang gigolo.
“Kami mencari makan, tetapi di samping itu, terpaksa juga membayar balik pinjaman pendidikan.”
“Pada masa yang sama, saya seronok memberi keriangan kepada wanita-wanita seperti itu sekali-sekala,” katanya lagi.