Maina Ma’aji Lawan yang me­rupakan seorang anggota Senat Nigeria di daerah utara Borno berkata, kumpulan militan itu kini menguasai Damasak yang terletak di sempadan negara jiran Nigeria.

Tambahnya, beberapa anggota tentera Nigeria dan beratus-ratus penduduk tempatan melarikan diri ke sempadan bagi mencari tempat perlindungan setelah kumpulan militan yang lengkap bersenjata berat itu melancarkan serangan ke atas peniaga pasar di Damasak pada pagi Isnin.

“Tidak ada seorang lelaki pun di Damasak. Boko Haram menahan semua lelaki dan anggota tentera telah melarikan diri. Tiada sesiapa menyangka wanita akan melawan mereka,” kata Lawan kepada AFP.

Seorang pegawai kerajaan tempatan di Damasak berkata, kumpulan itu menyembunyikan senjata mereka di dalam kotak yang mereka ke pasar berkenaan.

Seorang pegawai kanan keselamatan, Mohammed Damasak berkata, mereka menyamar sebagai peniaga sebelum melepaskan tembakan di sekitar kawasan pasar tersebut.

“Mereka (Boko Haram) telah menawan bandar berkenaan,” katanya di Maiduguri.

Seorang pegawai kanan kerajaan tempatan, Usman Kalil pula berkata, Boko Haram yang telah menawan lebih daripada 24 buah bandar di Borno dan Yobe serta Adamawa turut menaikan ben­dera mereka di Damasak.

“Mereka telah membunuh ramai penduduk. Mereka turut memusnahkan banyak bangunan, termasuk pasar, hospital dan pejabat pentadbiran. Ramai orang, terutama wanita dan kanak-kanak ditahan oleh pengganas tersebut,” katanya. – AFP