Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Monday, January 26, 2015

Isteri PM boleh berikan petua tentang pentingnya berjimat cermat

Sekiranya enggan dengar nasihat Anwar, mungkin Najib boleh dengar petua Rosmah
04:30PM Jan 25 2015
KOMEN: Walaupun dilihat peneraju di dalam institusi rumahtangga, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Razak mungkin boleh mendapatkan petua daripada isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor tentang pentingnya berjimat cermat di dalam pengurusan kewangan Malaysia, sekiranya Najib enggan menerima nasihat Datuk Seri Anwar Ibrahim dan gabungan pembangkang.

Kita sedar, Najib mungkin berasa lebih selesa mendapatkan nasihat pakar-pakar yang dibayar harga tinggi dan mungkin tidak mengendahkan pandangan Anwar yang pernah menjawat jawatan Menteri Kewangan suatu masa dahulu.

Ianya bukan sekadar apa yang betul dan apa yang salah, tetapi lebih kepada kelangsungan politik dan usaha mencapai populariti. Keengganan Najib tentu kita dapat terima dalam kes ini. Apalah sangat tahap keupayaan fiskal negara berbanding terpaksa menerima pakai cadangan baik daripada musuh politik, bukan?

Anwar berkali-kali mengingatkan, kejatuhan harga minyak dan komodit akan membawa kesan buruk kepada nilai ringgat dan aliran fiskal negara. Akibatnya kegawatan ekonomi akan melanda.

Ahli parlimen Permatang Pauh itu memberi amaran rakyat dan kerajaan perlu berjimat cermat di dalam perbelanjaan.

Beliau menggesa kerajaan menubuhkan suruhajaya bebas merangkumi pakar-pakar dan ahli politik di kedua-dua pihak bagi menangani kemelut ekonomi yang bakal tiba akibat kejatuhan harga minyak. Dalam pada itu Anwar menggesa kerana telus dalam menjelaskan keadaan ekonomi negara hari ini.

Najib tentu tahu penubuhan suruhanjaya sebegitu sukar. Sekiranya berjaya, beliau perlu berkongsi kejayaan dengan pihak pembangkang. Namun jika gagal, sudah tentu Najib boleh menyalahkan pihak sebelah satu lagi  itu.

Anwar membuat cadangan tersebut di ceramah anjuran Kelab Anwar Ibrahim di Petaling jaya pada 18 Jan, dan ini dilaporkan The Rakyat Post.

Najib setakat ini tidak mengendahkan saranan Anwar dan mendakwa segalanya okay, menurut kata-kata pakarnya. Kerajaan akan menangani segala masalah ini.

Namun pengkritik berkata, di bawah pentadbiran Najib, Malaysia kekal berbelanja besar samada secara langsung atau menggunakan proksi, atau alatan kerajaan melalui projek mega, pelaburan misteri dan perbelanjaan pentadbiran. Ianya sepatutnya digunakan dengan lebih berhemah atau disimpan bagi pembangunan negara.

Langkah penjimatan pernah diutarakan isteri tercintanya dan mungkin Najib perlu sedar hakikat ini.

Namun, pada masa lalu, Najib tidak mengendahkan amaran yang diajukan adindanya sendiri Datuk Seri Nazir Razak, yang mengingatkan amalan mantan Perdana Menteri Tun Abdul Razak, yang begitu cermat di dalam perbelanjaan negara.

Mungkin isterinya mampu mengubah segala ini dengan menerapkan kesedaran di dalam sanubari Perdana Menteri.

Saya percaya beliau akan tentu berasa lebih selesa berbanding mendengar saranan Anwar.

Pada 12 Jan, Rosmah mengingatkan ibubapa agar tidak bergantung kepada kerajaan di dalam memenuhi keperluan pendidikan anak-anak. Walaupun kerajaan memilik wang bagi pendidikan, ibubapa wajar berusaha sambil menunjukkan kepentingan sikap berjimat cermat.

Kata Rosmah, suaminya selaku menteri kewangan memperuntukkan wang bagi pendidikan, termasuk RM700 juta bagi Program Permata yang juga buah fikirannya.

Katanya lagi, dalam kunjungan ke luar negara bersama-sama suami, beliau mendapati pelajar mengadu tidak mendapat biasiswa mencukupi.

Ini menyebabkan kerajaan dipersalahkan dan Rosmah menasihati ibubapa agar berjimat bagi pendidikan anak-anak.

Memang nasihat yang baik dan Najib sendiri perlu mendengarnya. Terutama di dalam perubahan bajet yang dibentangkan di Parlimen tempoh hari.

Najib dikenali agresif berbelanja ketika keadaan bukan bencana, jadi kini di kala negara telah dilanda bencana banjir, tentunya negara berbelanja dengan begitu besar sekali.

Nasihat ibubapa saya dahulu: “Kalau ada busut pun, kalau selalu dok korek nak kambus lubang baru, lama- lama habis busut tinggal lubang aje.”

Tentu Najib tahu maksud perumpamaan sebegitu. Beliau mungkin tak mahu mendengar nasihat Anwar dan saya, tetapi dengarlah petua isterinya. Simpan wang bagi menjamin masa depan kita bersama.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa