Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Monday, January 19, 2015

Masih berkisar berkenaan 'Rahsia besar'.......

Isu surat FBI: Masih ada rahsia besar
SITI NURSYAHIDAH ABU BAKAR
19 Januari 2015
SHAH ALAM - Semua mata kini tertumpu kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Penjelasan beliau pada minggu lalu mengenai suratnya kepada Biro Siasatan Persekutuan (FBI) berhubung penahanan warganegara Malaysia yang juga tauke judi, Paul Wei Seng Phua masih tidak diterima banyak pihak.

Ini kerana elemen 'rahsia besar' berhubung isu itu menyebabkan penjelasan Ahmad Zahid tidak terperinci dan seolah-olah beliau melindungi individu dikaitkan dengan jenayah besar.

Beliau hanya mampu berkata pertikaian mengenai surat itu telah dijelaskan kepada Kabinet yang menerima baik penjelasan itu.

Namun bagi komuniti keselamatan seperti polis, kenyataan Ahmad Zahid kepada FBI dalam surat bertarikh 18 Disember itu bahawa Paul Phua banyak membantu kerajaan Malaysia dalam hal berkaitan keselamatan negara bukan sesuatu yang mengejutkan.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Mohd Noor berkata, polis mempunyai pelbagai taktik untuk mendapatkan maklumat mengenai kegiatan jenayah termasuk meminta bantuan daripada individu tertentu.

Bagaimanapun katanya, perkara itu tidak boleh didedahkan kepada umum demi menjaga keselamatan individu yang memberi kerjasama tersebut.

“Kita (polis) gunakan cara tersendiri untuk ‘menyusup masuk’ dalam pergerakan kumpulan penjenayah. Namun, apa cara yang digunakan mestilah dirahsiakan.

“Identiti sumber juga perlu dilindungi agar tidak membahayakan nyawa mereka. Dalam kes Paul Phua, jika benar kerajaan ada guna khidmatnya, kita perlu tutup mulut kerana ini rahsia besar,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau juga tidak bersetuju dengan tindakan Ahmad Zahid yang memberitahu mengenai kerjasama kerajaan dengan Paul Phua di dalam suratnya, sama ada ditanya oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) atau tidak.

“Isi kandungan surat itu perlu menumpukan kepada permintaan utama, iaitu memberi penjelasan mengenai kewujudan kumpulan kongsi gelap 14K Triad dan sama ada Paul Phua terlibat dalam kumpulan kongsi gelap itu.

“Namun, jika ditanya mengenai kerjasama Paul Phua dalam soal keselamatan, soalan itu tidak perlu dijawab kerana bukan urusan AS. Apatah lagi jika tidak ditanya, tiada keperluan untuk Ahmad Zahid dedahkannya,” katanya.

Menurut beliau, tindakan mendedahkan kerjasama Paul Phua dengan kerajaan juga boleh menimbulkan salah sangka dan pelbagai tanda tanya dalam kalangan masyarakat.

Dalam pada itu, beliau berkata, Ahmad Zahid juga sebenarnya tidak perlu menulis surat berkenaan memandangkan permohonan hanya dibuat oleh firma guaman, Chesnoff & Schonfeld yang mewakili Paul Phua.

“Adalah lebih baik jika tidak babitkan menteri. Malah surat itu tidak perlu dijawab oleh mana-mana pegawai kerajaan atau pihak polis.

“Surat itu lebih sesuai dijawab oleh peguam yang tidak semestinya mewakili menteri kerana ia merupakan permintaan peguam yang mewakili Paul Phua saja,” katanya.

Sementara itu, bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar menjelaskan, mendapatkan kerjasama penjenayah untuk mengatasi ancaman jenayah yang lebih berat sememangnya wujud dalam prinsip pasukan keselamatan di mana-mana negara.

Bagaimanapun katanya, pihak berkuasa kebiasaannya akan mempertimbangkan pendekatan lain terlebih dahulu.

“Apabila pihak berkuasa berhadapan dilema sama ada patut atau tidak mendapatkan bantuan seorang penjenayah, misalnya raja judi, untuk selesaikan masalah jenayah lain atau masalah keselamatan negara, mereka akan pilih pendekatan yang akan membantu negara.

“Memang terdapat prinsip set a thief to catch a thief (gunakan pencuri untuk tangkap pencuri) dalam kepolisian. Begitu juga dalam bidang keselamatan negara, kita biasa dapatkan kerjasama penjenayah untuk menghancurkan ancaman yang lebih berat,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada keistimewaan diberikan kepada pemberi maklumat pihak berkuasa sesebuah negara jika mereka ditangkap di negara lain, beliau berkata, perkara itu memang berlaku.

“Pihak berkuasa (negara tersebut) akan merujuk kepada Peguam Negara yang mungkin akan bawa perkara itu kepada Menteri Luar dan Kabinet. Jika mereka yakin pihak berkuasa negara lain itu mengharapkan pertimbangan istimewa, mereka akan menimbangkannya dari segi kepentingan negara.

“Mereka boleh melepaskan pemberi maklumat itu daripada tuduhan yang sepatutnya atau meringankan tuduhan. Apa yang penting keselamatan negara menjadi keutamaan,” jelasnya.

Reputasi sebagai ahli politik tercalar?

Adakah kerahsiaan yang menyelubungi isu Paul Phua akan membunuh karier politik pemimpin Umno yang dianggap popular itu?

Bagi penganalisis politik, ia mungkin tidak memberikan kesan buruk kepada Naib Presiden Umno dan Ahli Parlimen Bagan Datoh itu.

Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor Negara, Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata, sebaliknya Ahmad Zahid telah menunjukkan ketegasannya apabila tidak mendedahkan maklumat berkaitan keselamatan negara.

“Ini tiada kaitan dengan kerjaya politiknya kerana bukan beliau yang terlibat. Isu ini juga tidak sepatutnya dijawab oleh Ahmad Zahid kerana ia di bawah bidang kuasa polis.

“Jadi polis sepatutnya lebih mengetahui mengenainya. Namun, atas kapasitinya sebagai menteri bertanggungjawab, Ahmad Zahid telah menunjukkan ketegasannya,” katanya.

Menurut beliau, tindakan Ahmad Zahid itu tidak perlu dipersoalkan memandangkan beliau telah memberi penjelasan kepada Kabinet.

“Kita kena terima dan beliau juga telah beri kenyataan umum melalui media,” katanya.

Mengulas desakan pembangkang agar Ahmad Zahid mendedahkan kerjasama kerajaan dengan Paul Phua, Mohamed Mustafa berkata, pembangkang seharusnya faham hal keselamatan negara tidak boleh dicampur aduk dengan politik.

“Perkara berkaitan keselamatan dan kes yang sedang berjalan di mahkamah walaupun di luar negara tidak wajar dipolitikkan,” katanya.

Katanya, masyarakat perlu memahami isu melibatkan keselamatan negara tidak boleh didedahkan sewenang-wenangnya dan pihak berkuasa juga tidak perlu melayan pihak yang sengaja ingin tahu mengenainya.

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia, Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, kerajaan diyakini mempunyai sebab tertentu untuk tidak mendedahkan bentuk kerjasama tersebut.

“Jika Menteri Dalam Negeri tidak mahu dedahkan, itu hak beliau. Ini kerana kalau didedahkan mungkin akan membahayakan negara, Paul Phua atau pihak tertentu dalam isu itu.

“Lagipun, kita tidak tahu bagaimana kerjasama ini dijalinkan. Mungkin dalam pelbagai bentuk, misalnya seperti perkongsian maklumat mengenai rahsia kongsi gelap dalam negara atau sebagainya,” katanya.

Menurut beliau, adalah satu kebiasaan sekiranya pemimpin tidak mendedahkan isu berkaitan keselamatan negara.

“Pembangkang atau pihak berkepentingan akan terus mendesak tetapi hal keselamatan negara memang dilindungi di bawah Akta Rahsia Rasmi. Jadi kerajaan ada hak untuk tidak dedahkan,” katanya.

5 comments:

  1. pegawai polis bertindak untuk keselamatan negara tapi menteri bertindak untuk populariti dann kuasa

    ReplyDelete
  2. you scratch my back & i'll scratch your back ? ABU !

    ReplyDelete
  3. Macam mana kalau sesebuah negara musuh tangkap Paul Chua n ugut dia tanya rahsia negara kita, agak2 si Paul Chua akan dedahkan ke tidak rahsia negara yg dia tau tu? mintak Zahid Hamidi jawab soalan gua ni.

    ReplyDelete
  4. Macam mana kalau sesebuah negara musuh tangkap Paul Chua n ugut dia tanya rahsia negara kita, agak2 si Paul Chua akan dedahkan ke tidak rahsia negara yg dia tau tu? mintak Zahid Hamidi jawab soalan gua ni.

    ReplyDelete
  5. Seorang tu bekas KPN yg pakar karatedo telah melebamkan mata tahanan yg kalau boleh nak bagi tahanan itu mati dan bekas KPN seorang lagi pula pernah mengatakan tiada ayat dlm Al-Quran yg menyatakan judi itu haram semasa perbicaraan di mahkamah. Cakap mereka inikah yg hendak dipercayai? Dlm pasukan polis juga ada ramai penjenayah yang masih lagi diingat dari Saderi, pembunuh A Kugan serta ramai lagi dan kes pembunuhan Altantuya juga adalah kerja jenayah anggota polis. Kita juga pernah ada menteri yg melakukan pembunuhan di Kg Asahan, Gemenchih Negeri Sembilan pd awal 1980an. Boleh jadi ada kerja jenayah lain yg diswastakan oleh polis kpd penjenayah sebenar untuk melakukannya, siapa tahu? Kebarangkalian itu tetap ada, cuma Allah shj yg maha mengetahui.
    Barang perlu diingat, hanya penjenayah shj melindungi penjenayah dgn apa cara sekalipun. Mereka saling sandar menyandar antara satu sama lain, untuk menutup jejak jenayah yg telah, sedang dan akan mereka lakukan, dulu, kini dan selamanya!

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa