Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Tuesday, July 28, 2009

Kehidupan Di Tahun 30'an

Setelah Ayah mengahwini Emak pada awal tahun 30'an, Ayah beralih kepada membuat kerja-kerja pengangkutan pula. Pada masa itu hanya satu jenis pengangkutan saja menjadi alat mengangkut barang dagangan. Iaitu Kereta Lembu. Lori masih tidak ada begitu juga Jalan Raya. Jalan perhubungan hanyalah merupakan Jalan Tanah Merah dan Batu yang berlopak. Jalan elok yang ada hanya di sekitar Bandar Kota Bharu. Kebanyakan jalan ke perkampungan dan yang menjadi penghubung antara Pekan-Pekan lain pula menjadi sarang Perompak dan Penyamun. Jadi untuk menjalankan aktiviti pengangkutan seseorang itu perlukan keberanian dan kecekalan beralaskan Ilmu yang memang perlu dituntut kerana memang menjadi keperluan semasa.

Mengikut Ayah, hidup memang susah walau pada skala kehidupan semasa itu keluarga Ayah disifatkan agak senang berbanding orang lain. Keperluan semuanya terhad. Gula tidak ada. Manis digantikan dengan Manisan Kelapa atau Kabung. Teh memang tidak ada, yang ada hanya Kopi yang diproses sendiri dari Buah Kawa selain dari Air Halia yang direbus. Selebihnya hanyalah Air Akar Kayu yang berkhasiat untuk menjaga badan. Hidup tanpa Letrik dan Minyak Tanah. Cahaya hanya dari Damar yang disalut dengan Upeh dijadikan Obor.

Jenayah memang berleluasa. Ramai manusia yang ada musuh dan terpaksa tidur beralaskan Belulang kerana bimbang dirodok dengan lembing semasa tidur. Di atas Tilam Kekabu memang tidak selamat kerana mata Lembing berupaya menembusinya. Tapi yang hairannya pula kenapa bila keadaan begitu semua lantai rumah di buat jarang? Tidakkah mereka terfikir untuk merapatkan lantai kerana keperluan keselamatan? Pelik!

Berbalik tentang Kereta Lembu tadi, biasanya mereka akan bergerak secara berkumpulan untuk menjamin keselamatan di perjalanan. Musuh di perjalanan bukan saja Perompak dan Penyamun tetapi juga Harimau yang akan membaham lembu penarik kereta. Boleh dikatakan semua Kereta Lembu dan segala muatannya, selalunya akan berjalan di waktu malam bersumberkan cahaya dari Obor Damar. Kalau ada Pelita Minyak Tanah pun tidak banyak kerana terlalu sukar untuk dapatkan bekalan Minyak Tanah. Ayahlah yang menjadi Ketua Gerombolan Kereta Lembu ini. Tapi bagi Ayah pula, kadang-kadang bila ada barang dagangan, Ayah tetap akan bergerak walau pun seorang diri. Perangai Ayah inilah membuatkan Emak selalu risau dan cemas bila Ayah berpergian.

Perjalanan memang mengambil masa yang lama. Dari Pasir Puteh ke Kota Bharu 40km lebih. 80km dari Kota Bharu ke Kuala Krai dengan hanya menggunakan jalan tanah dan batu kerikil. Kalau seminggu hanya dari Pasir Puteh ke Kota Bharu, Kota Bharu ke Kuala Krai. Memang lambat. Bukan saja kerana keadaan jalan tetapi juga sudah tentu halangan-halangan lain seperti pokok tumbang, jalan runtuh. Lembu-Lembu Penarik Kereta juga perlu diberikan makanan dan air serta rehat.

Keadaan ini berterusan sehinggalah selepas Perang Jepun. Bila Jepun kalah dan Inggeris kembali memerintah barulah sedikit demi sedikit ada kemajuan di dalam sistem Jalanraya dan Infra Struktur lain. Itu pun tidak banyak kerana tumpuan masih lagi kepada Pekan-Pekan dan Bandar seperti Kota Bharu dan Kuala Krai yang merupakan tapak bagi Inggeris untuk berladang dan pentadbiran.

Semasa Perang Jepun ada juga cerita lucu. Dalam pada Tentera Udara Jepun dan Inggeris bertempur di udara (Dogfight) dan melakukan pengeboman, orang ramai pada masa itu bukannya lari menyelamatkan diri tetapi keluar beramai-ramai menyaksikan Kapal Terbang yang sedang bertempur sebab sebelum itu mereka tidak pernah melihat kapal terbang!

20 comments:

  1. salam pakdin,

    tahun 30an, aku pun belum lahir.
    menarik, skrg tau la aku keadaan zaman itu.pakaian camane pakdin?

    ReplyDelete
  2. Salam Uncle,

    Apa kahabar, lama mendiamkan diri?

    Persoalan pertama pada saya berkenaan lantai rumah orang dulu-dulu, kenapa di buat jarang2. Dan kenapa rumah di buat tinggi2 (rumah bertiang).

    Keduanya, berkaitan kisah orang ramai berkumpul tengok kapal terbang bertempur. Teringat pada kisah yang di ceritakan oleh Dr. Abd Wahab Arbain sewaktu kami berkereta ke Perak minggu lepas.

    Berkaitan orang kampungnya masa dulu, berkumpul untuk melihat "Jentolak" masuk ke kampung. Dan siap panggil sanak saudara yang jauh untuk datang melihatnya.

    ReplyDelete
  3. W'salam aku.

    Apa yang Pak Din cerita ini adalah bersumberkan lisan sebab itu tidak ada tarikh yang betul-betul tepat. Malumlah orang tua bukanya pentingkan tarikh tetapi ceritanya. Cuma Pak Din agak tarikh itu berdasarkan peristiwa sejarah yang berlaku pada masa yang sama dan mempunyai tarikh.

    Cerita Pak Din ini berlatar belakangkan Negeri Kelantan luar bandar. Pakaian masa itu mereka gelar Kain Sepotong untuk di pakai baju seakan teluk belanga dan kain semutar (ikat kepala) yang juga boleh dijadikan perisai mempertahankan diri. Khabarnya kain tenunan sendiri atau dari India.

    Waktu itu pak Din pun tidak ada lagi bahkan abang sulung Pak Din pun belum lagi lahir. Sekarang abang sulung Pak Din pun dah 71 tahun. Dah 16 tahun pencen Cikgu.

    ReplyDelete
  4. W'salam anakanda ISA

    Uncle sering juga ke blog Isa cuma jarang tinggalkan jejak saja.

    Tentang lantai jarang kemungkinan pada masa itu tidak ada gergaji dan kayu lantai hanya di buat dengan kapak atau "Cetar" yang biasa digunakan oleh Orang Asli. Jadi dengan peralatan yang ada sudah untuk menyamakan bahagian tepi (edge) papan untuk lantai. Yang kedua pula senang bagi mereka menyapu sampah dan membuang melalui lubang lantai. Yang ketiga kebiasaan bagi orang dulu membuat unggun api di bawah rumah untuk membakar sampah pada malam hari kerana asap unggun senang menerobos ke dalam rumah untuk menghalau nyamuk.

    Rumah tinggi pula kebiasaan bagi mereka menyimpan lembu atau kambing di bawah rumah dan ada juga yang menjadikan bawah rumah sebagai tempat menyimpan padi. Kalau di kawasan hulu pula untuk mengelak dari harimau atau binatang buas lain. Orang Asli pun sama.

    ReplyDelete
  5. Salam MountDweller,
    Apa kata kalau cerita-cerita lisan begini dijadikan tulisan. Memang best laa.

    ReplyDelete
  6. salam pakdin,

    maaf la, aku lagi.. hehehe

    kenapa perjalanan pada waktu malam pakdin.kan risiko tinggi.
    stat klua umah sampai balik pulak mau sebulan tu.

    ReplyDelete
  7. W'salam Dr.

    Memang saya ada terniat tetapi perlukan masa untuk menyusun dan selaraskan tarikh dengan tarikh yang betul bersandarkan sejarah. Contohnya perkara itu berlaku berapa tahun selepas perang Tok Janggut. Tarikh Perang Tok Janggut kita tahu sebab fakta sejarah, jadi kita boleh anggarkan pada tahun berapa peristiwa yang diceritakan secara lisan itu berlaku.

    Oleh kerana perkara begini kena semak dengan teliti supaya menjadi cerita yang real, ianya memerlukan masa. Mungkin selepas bersara nanti bolehlah kot?

    ReplyDelete
  8. W'salam aku.

    Maaf di terima... Mengikut mereka supaya lembu tidak kepanasan dan bertenaga. Di waktu siang akan banyak masa merehatkan lembu dan berikan makanan.

    Mengikut ceritanya, Tuan kereta lembu tu boleh saja tidur sewaktu perjalanan dengan tenang sebab lembu-lembu itu sudah terlatih dan tahu ke mana arah yang dituju.

    ReplyDelete
  9. salam ayahanda.. rasanya kan ayahanda, kalau la orang2 british tak jumpa tanah melayu ni dulu, mungkin kita masih lagi naik kereta lembu, kann.. suasana pun hijau jer lagi.. hehe..

    ReplyDelete
  10. salam Abe Din,
    Ttg lantai rumah yang dibuat jarang-jarang, bg saya ianya memudahkan untuk membersihkan rumah..segala habuk2,debu, pasir-pasir bila dah ada atas rumah..kan susah nak buang..dulu mana ada skop plastik yg kita ada skrng nie..jadi bila lantai jarang..senanglah nak buang semua kotoran tu..
    Tiang rumah tinggi..dulukan kaw. rumah dikelilingi hutan,semak,malah hutan pun ada gak..kat dalam tmpt-tmpt nie ada bnyk binatang liar..untuk mengelakkan binatang nie memasuki rumah,maka dibuat tiang yg tinggi..itu pendapat saya Abe Din,

    ReplyDelete
  11. Salam Uncle..
    Saya belum lahir lagi tahun tu..tp baca cerita uncle ni penuh penghayatan.

    saya pernah tanya dgn nenek, kenapa rumah nenek berlantai jarang. nenek kata sebab senang nak buang sampah dan masuk angin.

    :)

    * semoga uncle sihat selalu...

    ReplyDelete
  12. assalammualaikum

    seronok membaca cerita2 orang2 lama...

    setuju ngan pengasas

    ReplyDelete
  13. W'salam anakanda nurdaniella.

    Uncle rasa tidak sampai begitu sekali. Thailand, walau pun tidak pernah dijajah tetapi tahap pembangunan dan kemajuan ada yang telah mengatasi kita. Contohnya dalam bidang teknologi pertanian, mereka memanh lebih terkehadapan dari kita.

    Tentang hijau ni pun sama. kita yang gondolkan segala bukit bukau kerana balak dan ladang selepas kita merdeka. Inggeris tebang hutan tetapi mereka ganti dengan tanaman getah yang juga dari jenis kayu. Kerusakan ekosistem memang berlaku tetapi tidaklah sehuduh dan serakus sekarang

    ReplyDelete
  14. W'salam IndukYati.

    Betul, alasan orang tua juga begitu. Tetapi keselamatan dari ancaman manusia juga adalah lebih penting rasanya.

    ReplyDelete
  15. W'salam ann.

    Bagi orang perempuan memang itulah tumpuannya. Senang menyapu dan buang sampah dan senang air mengalir jatuh bila lantai dibasuh.

    Sebenarnya masa itu uncle pun belum lahir lagi. Apa yang uncle ceritakan ini adalah berdasarkan juga cerita mulut dari Nenek dan Ayah. Mereka sekarang semuanya sudah arwah.

    ReplyDelete
  16. Wa'alaikumussalam a kl citizen.

    Terima kasih di atas kunjungan.

    Memang betul saranan Dr. Abd. Wahab itu. Mungkin saya akan usahakan selepas bersara nanti. Tentu banyak kerja rojokan yang mesti dibuat.

    Terima kasih sekali lagi di atas sokongan saudari.

    ReplyDelete
  17. Assalamualaikum..
    Begitu ceritanya ye uncle.. rasa bertuah hidup di zaman sekarang.. alhamdulillah.. namun semua pengalaman yg pahit mendewasakan kita.. kan uncle??
    smpikn slm buat auntie..
    terima kasih sudi mengunjungi t...
    jaga diri.. jaga kesihatan..
    salam..

    ReplyDelete
  18. Susah memang susah, tp Bestkan klau kita dapat lihat atau hidup pada zaman tu. Zaman skrang semua dah pupus. Tgk kete lembu, last saya naik kat Melaka 6 7 tahun lepas. Baru2 ni, pi sana ada replika je. dataran depan tu pun dah diganti dengan shopping komplek. Permainan orang2 dulu pun byk dah pupus. Klau zaman dulu, budak2 kampung main wau, gasing (buatan sendiri) dan juga sepakraga. Skrang ni gasing diganti dengan Yo-yo, sepak raga diganti dengan futsal. Haish... p/s rindu zaman budak2 di kg dulu. :D

    ReplyDelete
  19. Wa'alaikumussalam T.

    Doakan T juga selamat dan sentiasa bembira di sisi keluarga.

    Bagi kita, memang kita rasa bertuah hidup di zaman ini. Tetapi hakikatnya uncle rasa sama saja. Keperitan mengejar kejayaan hidup juga menggunakan akal dan fizikal. Yang membezakan kita hanyalah keadaan. Dari segi kualiti hidup memanglah kita jauh lebih baik.

    ReplyDelete
  20. alang.

    Memang saya pun bernostalgia. Masih ingat di zaman kanak-kanak (rasanya 5 tahun) memancing hanya di petak sawah dan parit di hadapan rumah saja sudah jenuh mendapat ikan. Di kepala jalan ke rumah juga ada kolam ikan yang ayah buat untuk perangkap ikan ketika kemarau. Berlambak dengan keli, haruan dan puyu.

    Tapi malangnya di masa saya kecil pun Kereta Lembu ayah sudah tidak ada. Motor Norton dan triumph pula gantiannya. Seingat saya masa itu hanya ada 2 buah kereta lembu saja yang ada di kampung itu kepunyaan jiran se kampung.

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa