Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Monday, July 27, 2015

Teka-teki: Muhyiddin akan digugurkan?

Sediakah PM gugurkan timbalannya?
mk - 2:15PM - 27 Jul 2015

Mengkritik dan dikritik adalah perkara biasa dalam dunia politik hari ini.

Namun untuk bertindak  menggugurkan seseorang pemimpin yang bersuara lantang bukanlah perkara yang mudah, lebih-lebih lagi tanpa mengundang tindak balas negatif.

Menurut penganalisis politik, Prof James Chin adalah mustahil untuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menggugurkan timbalannya sendiri Tan Sri Muhyiddin Yassin melalui rombakan kabinetk.
Malah menurut Pengarah Institut Asia di Universiti Tasmania itu, bukanlah tugas mudah untuk menggantikan timbalan presiden Umno itu yang sudah menjadi menteri kabinet selama dua dekad.

Sebaliknya James meminta perdana menteri berhati-berhati-hati dalam membuat sebarang tindakan berhubung langkah tersebut, dengan membangkitkan kes Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini.

"Apabila Mahathir mahu menggugurkan (timbalan perdana menteri ketika itu Tun) Musa Hitam dan (Tun) Ghafar Baba, mereka sedia pergi.

"Bagaimanapun, apabila dia memecat (Datuk Seri) Anwar Ibrahim, Mahathir hampir hilang kawalan parti. Oleh itu, ia tidak mudah, jika Najib mahu menggantikan Muhyiddin, "katanya kepada Malaysiakini.

Ujar James lagi, Najib mesti mendapatkan calon pengganti yang lebih berwibawa sekali gus dapat mengawal penyokong Muhyiddin.

Siapa pula nombor 2?

Namun, menurut James, Naib Presiden Umno, Datuk seri Ahmad Zahid Hamidi dilihat mampu menjadi calon pengganti timbalan perdana menteri.

James berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Presiden Umno, Tan sri Muhyiddin Yassin pada mesyuarat Cheras Umno semalam, bahawa isu 1MDB akan merosakkan parti pemerintah.
Bercakap di Mesyuarat Agung Umno bahagian Cheras semalam, Muhyiddin berkata jika pilihan raya umum diadakan dalam masa terdekat ini parti itu akan mengalami kekalahan teruk.

Bagaimanapun, Muhyiddin menjelaskan kenyataannya ini bukanlah satu bentuk kritikan terhadap Najib sebagai presiden parti.

Malah, James berkata terlalu awal untuk mentafsirkan bahawa Muhyiddin menginginkan Najib untuk meletak jawatan.

"Masih terlalu awal untuk mentafsirkan bahawa Muhyiddin mahukan Najib berundur meskipun beliau mahu perdana menteri berterus-terang dalam isu 1MDB.

"Jika Najib pergi, Muhyiddin akan menjadi orang yang menggantikan Najib. Masalahnya ialah siapa yang akan menggantikan Muhyiddin untuk tempat nombor dua, "katanya.

Pandang serius

Bagaimanapun dalam respon Ketua Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), Wan Saiful Wan Jan berhubung ucapan Muhyiddin itu harus dipandang berat oleh Najib.

“Walau apa pun, Najib perlu memandang serius komen Muhyiddin.

"Beliau (Najib) perlu memberi jawapan kepada tuduhan-tuduhan," katanya.


Biar betul!: 'Konspirasi' tekan Najib?

Tapi yang ini susahlah sikit selagi Najib masih bergayut pada kerusi PM: - “Sama ada apakah Najib akan tunduk pada tekanan ini atau tidak, ia bergantung kepada sejauh mana pula pasukan khas siasatan kes 1MDB mampu membebaskan diri mereka daripada sebarang pengaruh Najib,”

Gantung The Edge 'konspirasi' tekan Najib?
mk - 11:59AM - 27 Jul 2015

Ketika banyak pihak menyalahkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak atas penggantungan penerbitan The Edge, anggota parlimen PAS Datuk Mahfuz Omar ada teori berbeza.

Beliau percaya tindakan itu sebahagian konspirasi dalaman Umno untuk menimbulkan kemarahan orang ramai terhadap Najib demi menekannya supaya berundur.
“Sama ada apakah Najib akan tunduk pada tekanan ini atau tidak, ia bergantung kepada sejauh mana pula pasukan khas siasatan kes 1MDB mampu membebaskan diri mereka daripada sebarang pengaruh Najib,” katanya.

The Edge Media Group pada 24 Julai mengumumkan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) menggantung permit penerbitan dua akhbar terbitannya, The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily.

Penggantungan itu berkuat kuasa selama tiga bulan bermula 27 Julai dan disampaikan melalui sepucuk surat kementerian itu.

The Edge merancang mendapatkan perintah mahkamah bagi membatalkan penggantungan itu dan menganggapnya sebagai usaha menutup mulut mereka susulan laporan berkaitan 1MDB.

KDN antaranya mendakwa tajuk dan cara pelaporan serta pemberitaan kedua-dua penerbitannya menimbulkan persoalan dan persepsi negatif kepada masyarakat terhadap 1MDB yang berkait dengan kerajaan dan kepimpinan negara.

Penggantungan itu ditentang meluas wartawan dan aktivis media bebas di negara ini.

Dalam kenyataannya hari ini, Mahfuz mendakwa konspirasi itu dibuat kerana kepimpinan Umno sendiri tidak mampu lagi mempertahankan dan melindungi Najib.

“KDN digunakan untuk tujuan tersebut kerana di kalangan pimpinan umno dan BN sudah tidak mampu mempertahan dan melindungi Najib apabila majoriti rakyat Malaysia mempercayai Najib sesungguhnya terlibat,” dakwanya.


Muhyiddin sudah bunyikan semboyan?

BacaPM perlu jawab tuduhan duit masuk akaun peribadinya, kata Muhyiddin 
JugaNajib tak dengar nasihat saya letak jawatan dalam 1MDB, kata Muhyiddin 

Muhyiddin sudah tiup peluit serang Najib

ULASAN                                                                                          

Muhyiddin Yassin, pening.
Ucapan Muhyiddin Yassin semasa merasmi mesyuarat agung Umno bahagian Cheras malam tadi yang menyentuh berbagai aspek dan pandangannya dalam isu 1MDB dan isu-isu ekonomi dan kewangan adalah sangat penting dan merupakan satu mesej jelas yang perlu dilayani.

Apa yang dituturkan Muhyuddin itu, khasnya mengenai isu 1MDB  adalah perulangan kepada apa yang pernah disebut sebelum ini termasuk dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno dan juga dalam Perhimpunan Agungnya.

Pernyataan malam tadi mengenai isu itu adalah penegasan daripadanya dan ia merupakan petanda bahawa timbalan presiden Umno itu tidak boleh berkompromi lagi dengan isu 1MDB yang kian membarahi kredbiliti Umno dan kerajaan pimpinan beliau bersama Najib Razak.

Ada empat perkara yang disebut Timbalan Perdana Menteri itu mengenai isu 1MDB yang membelenggu Najib Razak kini. Pertama katanya, dia sudah pun menasihati Najib agar melepaskan jawatan sebagai pengerusi penasihat lembaga pengarah 1MDB bagi mengelakkan PM itu terjebak dengan isu atau skandal mengaitkan syarikat itu dan kedudukan beliau sebagai PM.

Kedua, isu 1MDB itu kini sudah menjadi liabiliti kepada Umno sehinggakan kalau ia tidak diselesaikan dan sekiranya pilihan raya diadakan dalam masa terdekat Umno dan BN akan kalah. Dalam konteks negara pula kata Muhyuddin isu 1MDB telah menjejaskan keyakinan luar kepada Malaysia.

Ketiga, dalam bahasa lebih diplomasi Muhyiddin mendesak Najib agar menjelaskan secara berterus terang terhadap beberapa perkara yang mengabui mata umum di sebalik isu berkenaan. Apa yang dapat difahami Muhyiddin tidak yakin dengan tindakan diambil untuk menghuraikan isu itu seperti penubuhan Jawtaankuasa Khas, (pemeriksa intrim oleh Audit Negara) dan penangkapan beberapa individu terbabit dengan 1MDB boleh menyelesaikan masalah berkenaan.

Lebih jauh dari itu beliau juga mahu hasil laporan intrim itu didedahkan kepada umum dan laporan itu dijadikan dokumen umum supaya dapat dinilai secara terbuka.

Keempat, Muhyuddin sendiri menzahirkan rasa tertekan dengan isu 1MDB dimana beliau berasakan tanggungjawabnya sebagai TPM sangat diperlukan oleh rakyat untuk menyelesaikan atau menjawab isu itu. Beliau mulai menyuarakan yang rakyat mahukan beliau mengatasinya. Pernyataan Muhyiddin ini merupakan satu mesej yang sangat penting dan signifiken dengan apa yang dibangkitkan itu.

Itulah empat mauduk penting yang menjadi bahan percakapan Muhyiddin di perasmian mesyuarat itu. Ia menggambarkan keresahan Muhyuddin, rasa tidak puas hatinya kepada cara Najib, dan beliau menarik perhatian ahli Umno dalam masa sama supaya bingkas mengatasi masalah mencemaskan Umno itu.

Apabila Muhyiddin menyebutkan perkara itu dalam sebuah mesyuarat Umno secara terbuka bererti beliau sudah tidak ada upaya lagi, atau pun mengambil pendekatan mengatasi perkara itu secara diam. Beliau juga sama sekali tidak akan membantu Najib (bersubahat) melindungi daripada isu tersebut walaupun dia adalah timbalan Najib yang sepatutnya membantu Najib.

Dan apabila beliau turut mengungkitkan pesanan ayahnya sebagai seorang Tuan Guru agar bercakap benar, memberi pengertian kepada umum sikap Muhyiddin dalam isu atau skandal itu beliau tidak akan bersekongkol sama sekali.

Seperkara yang menarik seperti apa disebut Muhyiddin untuk mengatasi masalah ini, beliau sudah pun memberi tahu sesuatu kepada Najib, tentunya untuk mengatasi isu itu supaya tidak bertele-tela dan bagi menyelamatkan Umno dan kerajaan yang kian terhakis kepercayaan disebabkan isu itu. Tetapi Muhyiddin tidak bersedia untuk memberi tahu diluar apakah perkara yang disebutkan kepada Najib itu.

"Saya sudah sebut kepada Najib, tetapi saya tidak akan bawa ke luar," begitulah kira-kira kata Muhyiddin dipetik.

Apa boleh difahami bahawa timbalan perdana menteri itu sudah habis ikhtiar untuk membantu Najib serta menyelamatkan Umno dan kerajaan BN, tetapi nampaknya masih dipandang acuh tidak acuh oleh Najib, apabila menurutnya Najib mengucapkan, "terima kasih" yang mungkin nadanya skeptikal kepada saranan Muhyiddin tanpa menuruti apa yang disarankan itu.

Apakah perkara (rahsia) yang disebut atau diberi tahu Muhyiddin itu? Kenapa ia sampai begitu sulit sekali? Tetapi anehnya kenapa Muhyuddin menyatakan perkara itu? Saya berpendapat apa disebut Muhyuddin itu ialah meminta agar Najib Razak mengundurkan diri sebagai PM secara terhormat. Mungkin bagi perkiraan Muhyiddin dan para pemerhati dan pakar strategi politik Umno berundur itu adalah jalan terbaik.

Di sini saya tidak mahu meletakkan pandangan Muhyiddin kepada Najib itu dengan mengambil kira pandangan Dr Mahathir Mohamad. Sebelum ini Dr Mahathir beberapa kali minta Najib berundur. Tetapi biarlah ianya ikhlas daripada Muhyiddin sendiri. Lagipun saya kira Muhyuddin lebih mementingkan maruah Umno dan kerajaan BN daripada mencapai cita-citanya untuk menjadi Perdana Menteri. Bagi Muhyiddin kalau dia tidak dapat jadi PM pun tidak mengapa asalkan Umno terus kekal berkuasa.

Namun apabila Muhyiddin membuat atau menyebut perkara itu, - minta Najib berundur, sudah tentu Muhyiddin sendiri sudah dapat mengjangkakan isu 1MDB yang mengalami kerugian atau kehilangan sebanyak RM42 billion itu tidak akan dapat menyelamatkan Najib daripada kedudukannya kini. Seperti mana katanya, rakyat kini sedang tertanta-tanya dan menanti apakah jawaban berhubung isu berkenaan.

Isu 1MDB ditebali lagi dengan isu-isu ekonomi dan kewangan lain, kejatuhan nilai ringgit dan juga pelaksanaan GST yang membebankan rakyat.  Ketiga-tiga isu itu bolehlah diibaratkan penyakit tiga serangkai yang menghimpit kehidupan manusia dan menjadi satu fenomena kini; jantung, darah tinggi dan kencing manis.

Tindakan yang diambil Najib yang banyak mendiamkan diri, atau cuba menyembunyikan hakikat sebenar apa yang berlaku di sebalik 1MDB menjadi rakyat "iseng" dengan isu berkenaan, dan natijahnya memberi keburukan kepada Umno. Sikap diambil Najib itu juga menggambarkan dia bukan seorang getlemen dan telus.

Menyimpulkan keikhlasan Muhyiddin menjelaskan apa yang disebut kepada Najib itu; - berundur, serta kebimbangan beliau terhadap isu 1MDB menunjukkan Muhyiddin sendiri sudah bersedia melakukan apa-apa sahaja tindakan termasuk mengambil alih jawatan PM daripada Najib.

Muhyiddin tidak mungkin akan mengulangi pendirian dan sikapnya dan rakyat (Umno) tentang itu kalau beliau tidak sudah bersiap sedia.

Sebelum Muhyiddin berhajat turun ke laut sudah pasti dia sudah siap dengan perahu dan pendayung serta pukat dan jala.

Saya dapat memahami mesej ucapan dan penegasan Muhyiddin mengenai isu 1MDB di Cheras itu sebagai signal akhir Muhyiddin bahawa beliau akan meniup peliut (sirem) untuk merempuh Najib dalam masa terdekat. Mesyuarat bahagian Umno yang sedang berjalan kini akan digunakan untuk mengemakan bunyi peliut tentangan terbukanya kepada Najib itu. [wm.kl.9:14 am 27/07/15]

Kalau macam ni mampukah Najib bertahan?

Whatsapp Pemuda UMNO Mahu ‘Gulingkan’ Najib Tersebar!!
Monday, July 27, 2015
Para pengguna media sosial Facebook semalam, mendedahkan beberapa imej perbualan menerusi aplikasi WhatsApp dalam komplot yang dikatakan mahu menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

Melalui imej perbualan yang didedahkan oleh individu yang mempunyai akses di dalam kumpulan (group) ‘NKPUM SOC MEDIA’ (Kumpulan Media Sosial Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia) itu, menunjukkan sikap kurang senang beberapa Exco Pemuda UMNO Malaysia terhadap pentadbiran Najib yang dikatakan sebagai bermuka-muka.

Kumpulan yang dikatakan diketuai oleh Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Khairul Azwan Harun itu turut dianggotai oleh Penolong Setiausaha, Ybhg Dato’ Hj Mohamad Saffri Ab Aziz; Exco Pemuda, Tengku Zuhri Tengku Aziz; Exco Pemuda; Ibdillah Ishak; Exco Pemuda, Shahril Hamdan, Pegawai Khas kepada Ketua Pemuda UMNO, Dax Muhammad.

Menerusi perbualan tersebut Dax dilihat antara yang paling mengkritik Najib yang juga Presiden UMNO.

“Ko tgk mcm mana PM sendiri bermuka-muka 9am lain, 10am lain, 11am lain 1am lain.

“So what, kita enjut je… PM beg chief (merayu pada Khairy Jamaluddin) untuk dapatkan sokongan” ujarnya memetik imej perbualan yang didedahkan itu.

Sementara itu Ibdillah turut dilihat menyokong kenyataan tersebut.

“Dah bro, tapi aku belum mengunakan keseluruhan jentera (siber) untuk menyerang mereka.

“Tak nak dedahkan mereka pada TF dan kumpulan Farid” ujarnya pula.

Selain itu kumpulan tersebut turut mendakwa Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Muhd Khairun Aseh Che Mat telah mengumpulkan sejumlah 40 orang Ketua Pemuda UMNO Bahagian untuk menyokong Perdana Menteri.

Ekoran penyebaran imej tersebut, beberapa individu yang dikatakan kumpulan penyokong Najib mendesak Ibdillah untuk tampil memberikan penjelasan berhubung isu tersebut.

Namun Ibdillah dilihat mengambil pendekatan diam tanpa memberikan sebarang jawapan, malah semua status yang dimuatnaik oleh kumpulan penyokong Najib di laman Facebook beliau sejak malam tadi turut dilihat telah dipadamkan.

SuaraTV cuba menghubungi Khairul Azwan, Ibdillah dan Dax bagi mendapatkan pengesahan mereka mengenai imej perbualan tersebut.

Namun semua panggilan yang dibuat tidak berjawab walaupun telah dicuba berkali-kali.

April lalu Khairul Azwan bersama beberapa Exco Pemuda pernah dilaporkan mengadakan satu perjumpaan sulit bersama ketua-ketua Pemuda Umno Bahagian di Johor bagi menjatuhkan Najib ~ SuaraTV  via ASD

1MDB memberikan Malaysia nama buruk

Tumpuan antarabangsa terhadap 1MDB memberi Malaysia nama buruk 
06:30PM Jul 26 2015
oleh Christopher Fernandez

SEKILAS PANDANG: Pemerhatian yang teliti bukan sahaja oleh rakyat Malaysia, tetapi juga masyarakat dunia, tertumpu kepada negara ini kerana kemelut 1MDB yang mana RM42 bilion didakwa telah lesap daripada dana berdaulat itu.
Tidak pernah terjadi dalam sejarah politik Malaysia terdapat begitu banyak perubahan plot berlaku dalam satu kemelut panjang yang bukan sahaja kontroversi tetapi tidak pernah terfikir akan berlaku bermain dalam fikiran rakyat Malaysia dan masyarakat antarabangsa.
Ketika kemelut 1MDB ini pertama kali didedahkan ianya hanya terhad dalam lanskap domestik dan portal berita Sarawak Report yang berpengkalan di London dan diterajui oleh editor British. Tetapi kemudian kontroversi itu mulai tersebar seperti api yang sedang marak.
Penerbitan Amerika seperti The New York TimesThe Wall Street Journal dan Bloomberg News mulai mengeluarkan berita mengenai bagaimana jejak dokumen yang didakwa mempunyai kaitan dengan perdana menteri Malaysia dan Najib Razak dan beberapa orang lain dalam kemelut 1MDB.
Surat khabar Australia seperti The Age dan The Sydney Morning Herald turut menerbitkan cerita kontroversi mengaitkan perdana menteri Malaysia dengan pengisuan nota polimer bank yang dicetak di Australia yang mana Najib didakwa bersalah melakukan salahlaku.
Kemelut 1MDB berterusan terungkap dengan penerbitan serantau seperti The Bangkok Post dan The Straits Times dari Singapura turut mengelurkan cerita berdasarkan penyiasatan mereka sendiri terhadap kemelut itu dan ini telah mencetuskan perubahan plot cerita ini untuk membawa ke satu hala tuju yang baru.
Rakyat Malaysia dibanjiri dengan berita dan pandangan mengenai 1MDB dan ianya bukanlah sesuatu yang mengejutkan bahawa pemberi maklumat asalnya, Sarawak Report, telah disekat dan portal berita itu mendakwa bahawa ianya adalah satu tindakan dengki kepada mereka kerana memdedahkan kemelut 1MDB kepada dunia.
Kemelut 1MDB semakin kuat didedahkan kepada umum, dengan pantasnya, dan jarang sekali dalam sehari tiada sebarang perkembangan terbaru dan ini telah memberi kesan teruk kepada kerajaan Malaysia kerana masyarakat antarabangsa mulai melihat Malaysia sebagai sebuah negara penyangak akibat daripada pendedahan negatif.
Semakin ramai orang dari seluruh dunia mengikuti drama 1MDB dan keyakinan pelabur di Malaysia sekarang ini rendah, justeru menyebabkan nilai ringgit jatuh menjunam dan kehilangan nilainya walaupun kemasukan pelancong semakin meningkat kerana ringgit yang lemah.
Kebanyakan orang yang mengikuti perkembangan terbaru kemelut 1MDB ini kelihatan kagum kepada perdana menteri Malaysia yang boleh meneruskan tugasan beliau seperti biasa walaupun serangan dan tuduhan yang kuat oleh portal berita dan penerbitan yang dalam dan luar negara.
Ianya kelihatan seperti skandal 1MDB telah meletakkan Malaysia di bawah pemerhatian seluruh dunia kerana sebab yang salah dan maka dengan itu ianya tidak mengejutkan bahawa sekarang ini terdapat kekecohan dan kekeliruan oleh pemimpin politik mengenai bagaimana untuk menyelesaikan kontroversi 1MDB.
Tetapi apa saja hasilnya, ianya mestilah dinyatakan dengan tegasnya yang soal masa sebelum pemimpin negara ini yang tak berguna, korup dan tidak cekap ditunjukkan jalan keluar kerana kebanyakan rakyat Malaysia telah hilang sabar dengan prestasi lemah pemimpin-pemimpin negara ini.

Apa Khabar Muhyiddin, Masihkah Takut Dengan Tuhan?

Sunday, 26 July 2015
Jika berdasarkan ucapan Muhyiddin Yassin kepada pemimpin akar umbi UMNO di Janda Baik sebagaimana videonya tersebar luas sebelum ini, beliau semacam boleh disandarkan harapan  untuk bertindak berani menegakkan kebenaran berkaitan isu 1MDB yang kini semakin merimaskan rakyat.

Dalam rakaman curi itu, Muhyiddin bukan saja melontarkan beberapa cadangan yang rasional dan objektif dalam menangani kemelut 1MDB, malah yang lebih mencairkan kita ialah ungkapannya, "saya tidak takut sesiapa kecuali Tuhan."

Sebagai pemimpin nombor dua negara dan lahir pula daripada keturunan ulama yang agak terkenal di Muar Johor, tersebarnya video itu bukan saja mencambahkan harapan tentang titik-titik perubahan yang menjadi dambaan semua dan semoga kebenaran tidak terus disembunyikan, malah seperti "sinar semakin menghampiri hujung terowong".

Namun dengan perjalanan masa, ramai yang mulai ragu-ragu dengan keberanian sebenar Timbalan Perdana Menteri itu kerana beliau akhirnya didapati lebih banyak berdiam diri dan tenggelam begitu saja, meskipun jelas kemelut dalam negara berkaitan 1MDB kian hari kian kronik jadinya.

Lebih dari itu, beberapa saranannya  untuk menyelesaikan isu tersebut dan bagi mengembalikan keyakinan rakyat, tidak pun dipedulikan oleh Perdana Menteri, Najib Razak.

Saranan Muhyiddin agar Ahli Lembaga Lembaga Pengarah 1MDB dipecat, CEOnya disiasat dan dan polis dibenarkan masuk menyiasat syarikat pelaburan itu, hanya "masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri saja"  buat Najib.

Penubuhan pasukan petugas khas yang dianggotai oleh Peguam Negara, SPRM, Bank Negara dan PDRM kemudiannya pula tiada kena mengena dengan permintaan Muhyiddin itu, sebaliknya ia berikutan pendedahan The Wall Street Journal (WSJ) mengenai pengaliran masuk wang 1MDB berjumlah RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri.

Berkaitan pendedahan WSJ itu, Muhyiddin hanya ada mengeluarkan kenyataan media yang antaranya mahukan Najib memberi penjelasan lebih meyakinkan atau membuat penafian kerana ianya merupakan tuduhan yang bersifat peribadi kepadanya.

Muhyiddin juga mahukan Najib mengambil tindakan undang-undang terhadap WSJ jika terbukti dakwaan itu suatu fitnah bagi membersihkan namanya dan mengembalikan semula kredibiliti ketajaan.

Sekali lagi, permintaan Muhyiddin diabaikan oleh Najib, sebaliknya penafian dan penjelasan Perdana Menteri mengenai wang RM2.6 bilion itu hanyalah dengan kata-kata "saya tidak pernah ambil wang 1MDB untuk kegunaan peribadi" dan "saya tak akan khianati amanah rakyat."

Betul atau tidak wang RM2.6 bilion pernah mengalir masuk ke dalam akaun perubadinya, langsung tidak berani diakui oleh Pahlawan Bugis itu.

Tindakan saman terhadap WSJ pula belum diketahui entah jadi atau tidak, meskipun surat tuntutan penjelasan yang dihantar oleh peguam Najib sudah dijawab oleh penerbit akhbar perniagaan itu yang memaklumkan mereka tidak berganjak walau sedikit pun daripada laporan yang sudah disiarkan yang tentunya memberi gambaran mereka cukup bersedia bertarung di mahkamah.

Muhyiddin pula, selepas mengeluarkan kenyataan media itu, terus senyap sepi tanpa berita dan seolah-olah sudah putus idea untuk bercakap lagi atas nama kebenaran berkenaan 1MDB.

Berbanding hutang RM42 bilion yang ditanggung oleh 1MDB yang menyebabkan Muhyiddin mahukan Ahli Lembaga Pengarahnya dipecat, CEO disiasat dan polis dibenarkan menyiasat sambil berkata, "saya tidak takut sesiapa kecuali Tuhan", isu wang RM2.6 bilion yang sehingga ini tidak dinafikan secara konkrit oleh Najib, adalah bala yang jauh lebih besar untuk ditangani.

Jika benar, ia bukan saja berkaitan rasuah, penyonglapan wang dan perbuatan berunsur jenayah, tetapi juga tentang amanah seorang pemimpin.

Tetapi selepas mengeluarkan kenyataan medianya pada 4 Julai lalu, kita tidak mendengar apa-apa bunyi lagi daripada Muhyiddin.

Jika berkaitan hutang RM42 bilion, beliau dengan gah meminta Ahli Lembaga Pengarah dipecat dan CEO 1MDB dipecat, kenapa dalam hal wang RM2.6 bilion yang didakwa masuk ke dalam akaun Najib, tidak diminta Perdana Menteri bercuti atau berehat sementara misalnya, kalau pun tidak cukup berani untuk memintanya berundur dan berhenti?

Lalu, apa agaknya khabar Muhyiddin sekarang ini? Masihkah takut lagi dengan Tuhan?

Atau sebenarnya lebih takut kehilangan jawatan? (SH 26/07/2015)

Apa salahnya PM dijatuhkan?

Posted on Sunday, July 26 @ 13:58:27 MYT by paktam
Oleh Shahbudin Husin

Bukanlah rahsia lagi bahawa pendedahan demi pendedahan mengenai 1MDB adalah supayaPerdana Menteri, Najib Razak sedia berundur, diundurkan atau meletakkan jawatan. Dalam bahasa mudah, matlamat akhirnya adalah untuk memastikan Najib dijatuhkan dan tidak lagi menjadi Perdana Menteri.

Dengan pelbagai isu berkaitan 1MDB, khususnya yang terbaru mengenai pengaliran masuk wang RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadinya sehingga sebuah pasukan petugas khas ditubuhkan, Najib kini bukan saja menjadi beban kepada UMNO dan BN memenangi pilihanraya akan datang, tetapi juga beban kepada negara terus bergerak maju ke hadapan.

Sebab itu, bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad tidak henti-henti mahukan agar Najib segera berundur daripada jawatannya. Sempena ulangtahun kelahiran Najib yang ke 62 ini, Tun Mahathir menyindir dengan kata-kata, "bersaralah dengan aman dan nikmatilah persaraan itu."

Di media sosial, malah di laman Facebook milik Najib sendiri, sentiasa saja ada komen yang mahukannya berundur atau bertanyakannya bila mahu meletak jawatan, tidak kira sama ada yang ditulisnya berkaitan politik mahukan sekadar perkara-perkara santai yang lain.

Apabila seorang bekas Pengarah PetroSaudi International,  Xavier Andre Justo ditahan oleh polis Thailand kerana melakukan ugutan dan kemudian beberapa pihak dari negara ini didapati turut menemuinya bagi mendapatkan maklumat yang ada dalam tangannya, gesaan Najib berundur dan meletakkan jawatan telah bertukar kepada konspirasi menjatuhkan Perdana Menteri dan menggulingkan kerajaan.

Soalnya, apakah salahnya menjatuhkan Najib? Adakah Najib tidak boleh dijatuhkan seperti Raja Arab Saudi atau adakah kerajaan hanya boleh dijatuhkan ketika pilihanraya saja?

Sebenarnya jatuh menjatuh adalah perkara biasa dalam politik. Memang itulah resam dan tujuan akhir berpolitik. Tun Mahathir Mohamad selama 22 tahun berkuasa sentiasa saja ingin dijatuhkan oleh musuh dan pesaing politiknya. Beliau mampu bertahan kerana berjaya menepis segala serangan terhadapnya.

Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj dijatuhkan selepas tragedi 13 Mei 1969 dan Tun Abdullah Badawi pula ditolak jatuh kerana prestasi buruk BN pada pilihanraya 2008 yang disebabkan oleh angkara "budak-budak tingkat 4" yang menguasi pentadbirannya.

Kerajaan Pakatan Rakyat Perak pimpinan Nizar Jamaluddin hanya berkuasa selama 11 bulan setelah dijatuhkan oleh BN dan di Selangor pula, usaha menjatuhkan Azmin Ali sentiasa saja kedengaran. Di Sabah, beberapa tahun sebelum ini, jatuh menjatuh pemimpin dan kerajaan negeri begitu meriah sekali.

Banyak lagi pemimpin yang jatuh dan dijatuhkan dalam sejarah negara kita. Hakikatnya, selagi menjatuhkan itu bukan dengan kekerasan atau menggunakan senjata, ia bukanlah suatu masalah. Walaupun resamnya pemimpin atau kerajaan hanya boleh ditukarkan dalam pemlihan parti atau melalui pilihanraya, tetapi ia boleh juga dilakukan di hari-hari biasa melalui tekanan atau pengalihan sokongan wakil-wakil rakyatnya.

Lebih cepat kejatuhan pemimpin dan pertukaran kerajaan boleh menjadi kenyaaan jika pemimpin yang berkuasa itu lemah, terpalit skandal dan banyak masalah. Kiranya pemimpin tersebut tiada masalah dan bebas skandal, bagaimana hebat sekali pun direkayasa usaha menjatuhkannya, ia sama sekali tidak mungkin berjaya menyentuh hati dan naluri rakyat untuk turut memberikan sokongan.

Dalam konteks Najib dan kerajaan yang sedang dipimpinnya, harus diakui beliau bukan saja lemah, tetapi juga banyak masalah. Maka, wujud usaha mahu menjatuhkannya boleh saja dikira normal.

Tidak harus sesiapa mengatakan usaha menjatuhkan itu sebagai salah atau melanggar undang-undang, tambahan lagi Najib sendiri tidak menjawab secara jelas mengenai wang RM2.6 bilion yang didakwa mengalir masuk ke dalam akaun bank peribadinya.

Dari mana, siapa yang menyumbang dan adakah ianya wang bersih, masih gagal dijelaskan oleh Najib. Lagi-lagi beliau hanya berkata, "saya tidak pernah khianati amanah rakyat" dan "tidak pernah guna wang 1MDB untuk peribadi."

Begitu juga dengan wang RM2 juta yang didepositkan  masuk ke akaun peribadi isterinya, Rosmah Mansor sebagaimana didedahkan oleh Sarawak Report. Sementara akaun bank dan wang itu diakui benar-benar wujud, sebaliknya sehingga sekarang tidak dinyatakan bagaimana wang sebanyak itu mampu diperolehi oleh hanya seorang isteri dan suri rumah sepertinya.

Memperolehi maklumat dengan mana-mana sumber untuk menekan Najib bukanlah perkara luar biasa, apatah lagi jika maklumat itu betul dan tidak dibuktikan sebaliknya. Ia adalah sebahagian strategi dalam berperang.

Rakyat tidak sepatutnya dikelirukan atau ditakutkan bahawa usaha menjatuhkan Najib sebagai suatu kesalahan dan melanggar undang-undang. Ia juga jauh melencong untuk dikaitkan dalam erti sebenar menggulingkan kerajaan.

Tiada kerajaan yang mahu digulingkan, bahkan tiada kekerasan atau senjata yang akan digunakan. Jika Najib dijatuhkan, masih lagi kerajaan yang sama memerintah negara ini. Hanya Perdana Menteri saja yang bertukar.

Walaupun pemilihan parti atau pilihanraya umum merupakan proses biasa menukar pemimpin dan menjatuhkan kerajaan, hakikatnya kedudukan Najib tidaklah suci daripada segala goncangan sepertimana sistem pemerintahan Raja Mutlak atau Maharaja di zaman dahulu kala.

Lebih-lebih lagi kerana Najib terlihat lemah dan banyak masalah, menjatuhkannya tanpa menunggu pemilihan parti atau pilihanraya adalah "perjuangan yang suci, bersih lagi halal."

Sunday, July 26, 2015

Aku pernah dilindungi di bawah Akta ini........

9 perkara anda perlu tahu mengenai Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010
Mariah AhmadAstro Awani | Diterbitkan pada: Julai 26, 2015 20:33 MYT
    
9 perkara anda perlu tahu mengenai Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010
Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) memperuntukkan perlindungan terhadap pemberi maklumat yang telah mendedahkan sesuatu kelakuan tidak wajar. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar pada Sabtu menegaskan 'Whistleblower' atau pemberi maklumat hanya dilindungi undang-undang apabila mereka menggunakan saluran yang betul untuk mendedahkan salah laku.

'Saluran yang betul' yang dimaksudkan Khalid di sini adalah berkaitan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) di mana akta ini menggalakkan dan memudahkan orang awam untuk mendedahkan sebarang perbuatan rasuah dan salah laku lain yang termasuk di bawah kelakuan tidak wajar di bawah akta ini.

Berdasarkan informasi di laman web Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri, berikut adalah 9 perkara utama yang anda yang perlu tahu mengenai Akta 711 ini:

1. Siapa yang dimaksudkan 'Whistleblower' atau pemberi maklumat?

Orang yang membuat pendedahan kelakuan tidak wajar kepada agensi penguatkuasaan sama ada secara lisan atau bertulis.

2. Apakah yang dimaksudkan 'kelakuan tidak wajar'?

Apa-apa kelakuan yang jika terbukti, menjadi suatu kesalahan tatatertib atau kesalahan jenayah.

3. Siapakah Agensi Penguatkuasaan yang disebut di dalam akta ini?

Mana-mana kementerian, jabatan atau agensi di peringkat persekutuan dan negeri yang mempunyai kuasa penyiasatan dan penguatkuasaan di bawah mana-mana undang-undang sedia ada. Sebagai contoh Polis Diraja Malaysa (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Imigresen Malaysia, Kastam Di Raja Malaysia, Pihak Berkuasa Tempatan dan lain-lain. 

4. Selain menggalakkan orang awam mendedahkan sebarang perbuatan rasuah dan salah laku, apakah lagi fungsi Akta 711?

Akta ini juga memperuntukkan perlindungan terhadap pemberi maklumat yang telah mendedahkan sesuatu kelakuan tidak wajar. Sebagai contoh,sekiranya pemberi maklumat itu mendedahkan kesalahan rasuah majikan atau rakan mereka sendiri di tempat kerjanya, maka beliau berhak untuk mendapatkan perlindungan di bawah akta ini.

5. Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai kelakuan tidak wajar mengenai majikan anda, kepada siapa atau bagaimana anda perlu melaporkan maklumat tersebut? Bolehkah anda mendedahkan melalui e-mel, telefon atau surat?

Pemberi maklumat boleh mendedahkan maklumat tersebut kepada mana-mana agensi penguatkuasaan seperti PDRM, SPRM, JPJ, Jabatan Imigresen Malaysia dan sebagainya. Agensi penguatkuasaan tidak akan menolak pendedahan tersebut atas dasar “no wrong door policy”.

Untuk melindungi pemberi maklumat tersebut, pegawai yang diberi kuasa akan menghubungi pemberi maklumat untuk menghadiri temujanji supaya perlindungan di bawah akta ini dapat dilaksanakan. 

6.  Apakah bentuk perlindungan yang diberikan kepada pemberi maklumat?


  • Perlindungan maklumat sulit seperti maklumat mengenai identiti, pekerjaan, alamat kediaman, tempat pekerjaan dan lain-lain.
  • Kekebalan daripada tindakan sivil atau jenayah yang cuba dikenakan terhadap pemberi maklumat.Sebagai contoh, seseorang pemberi maklumat, tidak boleh disaman atau didakwa oleh pihak yang telah didedahkan kelakuan tidak wajarnya; 
  • Perlindungan terhadap tindakan yang memudaratkan. Sebagai contoh, seorang pemberi maklumat telah memberi maklumat mengenai perbuatan rasuah majikannya. Jika majikannya ingin mengambil tindakan balas seperti membuang kerja si pemberi maklumat itu, maka pemberi maklumat itu adalah dilindungi di bawah akta ini.

7. Bilakah pemberi maklumat akan dilindungi di bawah Akta ini?

Pada saat pemberi maklumat mendedahkan kelakuan tidak wajar (aduan), dia sudah menikmati perlindungan di bawah Akta ini.

8. Adakah pembatalan perlindungan yang diberikan boleh terjadi?

Perlindungan ini akan kekal selama-lamanya kecuali dibatalkan di bawah seksyen 11 Akta ini. Antara sebab-sebab pembatalan perlindungan adalah:


  • Pemberi maklumat sendiri telah menyertai kelakuan tidak wajar itu
  • Pemberi maklumat sengaja membuat pernyataan palsu
  • Pendedahan adalah remeh atau menyusahkan
  • Pendedahan mempersoalkan merit dasar Kerajaan
  • Pendedahan dibuat semata-mata untuk mengelak daripada dibuang kerja/tindakan tatatertib yang lain
  • Pemberi maklumat telah melakukan kesalahan di bawah Akta ini.

9.  Anda merupakan pekerja swasta, adakah anda termaktub di bawah Akta 711 ini?

Akta ini terpakai dalam kepada mereka yang berada dalam sektor awam dan swasta. Semua badan, agensi dan jabatan di bawah Kerajaan Persekutuan, Kerajaan-Kerajaan Negeri, pihak berkuasa tempatan, badan berkanun dan badan swasta seperti syarikat adalah tertakluk kepada pemakaian Akta ini.

Bagi maklumat lanjut orang ramai boleh memuat turut akta ini yang terdapat dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris di laman BHEUU Jabatan Perdana Menteri.

# Itu dalam tahun 80'an.........

Cakap besar lagi: Boleh pakai ker kata-kata ikut sedap mulut dia ni?

Sunday, July 26, 2015
PAS masuk BN.....? 
‘Kita tidak akan masuk BN, very clear’ 
Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata PAS sudah serik ketika bersama BN dahulu dan tidak akan sesekali kembali menyertai BN. - Foto TRP/Syahirah Roslan

KOTA BHARU, 26 Julai: PAS tidak akan menyertai Barisan Nasional (BN) sekiranya terpisah daripada Pakatan Rakyat (PR) dan rela berjuang secara sendirian. 


Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata PAS sudah serik ketika bersama BN dahulu dan tidak akan sesekali kembali menyertai BN. 


Bagaimanapun, katanya sekiranya terbentuk pakatan baru di antara parti lain di masa hadapan perkara itu akan diserahkan kepada Majlis Syura untuk dibincangkan kemudian.


“Tak ada isu PAS sertai BN. Cukuplah sekali kita terkena…saya berani kata PAS takkan sertai BN dan perkara itu tidak akan berulang.


“Pendirian kita jelas iaitu tidak akan masuk BN…very clear. Di segi pakatan… apa jenis pakatan kita tidak tahu. Sekiranya ada kita akan serahkan kepada Majlis Syura untuk membincangkannya namun buat masa ini pendirian kita ialah tidak akan sertai BN,” katanya ditemui selepas majlis Aidilfitri Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) di Nilam Puri, di sini, hari ini. 


Mengenai isu di dalam Pakatan Rakyat (PR), Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan menjelaskan sekiranya PAS mahu disingkirkan, PAS boleh keluar dan tidak akan terhegeh-hegeh meminta simpati. 


“Kalau terpaksa kita boleh `hidup sendirian’ dan bergerak sendirian lagipun kita (PAS) bermula dengan bersendirian sejak dahulu lagi,” ujarnya. 


Difahamkan, isu ini berbangkit selepas ada di kalangan ahli PAS yang mendakwa PAS sudah tidak tidak relevan di dalam PR dan mungkin akan digantikan dengan Gerakan Harapan Baru (GHB) yang diterajui ahli progresif di dalam PAS. 


Sebelum ini, bekas pemimpin kanan PAS Khalid Abdul Samad dilaporkan berkata GHB diuar-uar akan menggantikan PAS dalam pakatan pembangkang dan akan ditubuhkan pada 14 September depan. via - Wak Labu

Bai'ah PAS: Ulasan Zaid dari segi perundangan

Walau pun apa kata Zaid tentang undang-undang negara, yang utama bagi orang Islam tetap terikat dengan undang-undang Allah.

Bai’ah tidak sah bawah undang-undang negara - Zaid
OLEH MANZAIDI MOHD AMIN DI KUALA LUMPUR - 26 JUL 2015

Akujanji atau sumpah setia (bai’ah) yang ditetapkan oleh kebanyakan parti adalah lebih kepada perjanjian untuk mencari keselamatan politik daripada wakil rakyat masing-masing.
Isu bai’ah jatuh talak tiga ke atas isteri pemimpin Pas yang hendak menubuhkan parti baru contohnya, dianggap tidak sah mengikut undang-undang negara.
Menurut bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim, perlembagaan negara jelas menyatakan tidak boleh ada apa-apa perjanjian yang mengehadkan kebebasan seseorang untuk bersekutu dengan mana-mana pihak.
"Walaupun bai’ah ini tidak sah di bawah undang-undang negara, ini tidak menyekat mana-mana parti untuk mencari keselamatan politik daripada wakil rakyat mereka.
"Kebanyakan parti politik di negara ini mempunyai perjanjian atau persefahaman dengan calon wakil rakyat mereka. Secara amnya, jika mereka hendak mengosongkan kerusi yang dimenangi perlu membayar balik perbelanjaan kempen sekiranya melompat ke parti atau kumpulan lain.
"Amalan ini boleh difahami kerana sesetengah ahli politik pembangkang di Malaysia cenderung untuk menyertai parti yang berkuasa sekiranya mereka ditawarkan insentif yang sesuai," katanya.
Zaid berkata, perjanjian paling mengarut ialah bai’ah yang disediakan oleh Pas kepada wakil rakyat mereka.
Di bawah perjanjian itu untuk Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), katanya, wakil rakyat Pas berjanji sekiranya mereka melompat keluar daripada parti, maka perbuatan itu bersamaan dengan menceraikan isteri atau suami.
Di sinilah beberapa wakil rakyat daripada Pas, yang sedang mempertimbangkan sama ada untuk menyertai Gerakan Harapan Baru (GHB) tidur tidak lena.
Mereka mempercayai bai’ah itu adalah satu batasan yang tidak dapat diatasi.
"Saya beritahu rakan-rakan dalam Pas supaya usah risau. Bai’ah itu tidak boleh dikuatkuasakan dalam perundangan kita, maka campaklah perjanjian itu jauh-jauh," katanya.
Mengenai kenyataan Ketua Hakim Mahkamah Syariah Kelantan, Datuk Daud Muhammad yang menasihatkan mana-mana individu melafazkan sumpah dan melanggar sumpah dengan menyertai parti lain perlu membuat pengesahan di Mahkamah Syariah kerana talak yang diikrarkan itu adalah sah, Zaid berkata, itu salah sama sekali.
"Saya tidaklah terkejut dengan kenyataan Ketua Hakim itu, tetapi apa yang dikatakannya adalah salah sama sekali.
"Pertama, sebagai hakim beliau sepatutnya mendengar hujah daripada kedua-dua belah pihak dalam setiap kes yang dibawa kepadanya sebelum mengambil keputusan sama ada menjatuhkan hukuman atau tidak.
"Adalah salah untuk seorang hakim membuahkan pendapat terhadap sesuatu kes sebelum ianya dibawa ke mahkamah. Jika pun beliau di bawah tekanan politik untuk memberikan pendapat, beliau perlu menentang daripada memberi pendapat peribadinya pada satu perkara yang sedang dibincangkan di ruang awam, bukannya dalam mahkamahnya," tegas beliau.
Menurut bekas Presiden Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) itu, sebagai Ketua Hakim Syariah, tentunya beliau sedar dalam Islam seseorang itu perlu memilih kejahatan yang kecil, sekiranya ia boleh mengelakkan kejahatan yang lebih besar.
Ujarnya, kegagalan untuk mematuhi bai’ah tentunya kejahatan yang lebih kecil berbanding kejahatan yang jauh lebih besar seperti menceraikan isteri yang tidak bersalah.
"Pastinya, seorang Islam yang telah berkahwin masih ingat kepada janji yang telah dibuatnya di saat pernikahannya bahawa ianya adalah satu kewajipan baginya untuk menjaga dan menyayangi pasangannya.
"Apa yang telah terjadi kepada perjanjian itu pula, wahai Ketua Hakim? Adakah ianya kurang penting dibandingkan dengan satu sumpah yang jelasnya hanya satu gimik politik yang bertentangan dengan undang-undang negara?," soal beliau. - MalaysiaGazette

Ketua polis negara yang memalukan!

Lucut dan turunkan pangkat ketua polis negara
Posted on Sunday, July 26 @ 11:18:30 MYT by paktam
Oleh Datuk Mahfuz Omar

Saya terkejut dengan tindak tanduk Tan Sri Khalid Abu Bakar yang tidak memperlihatkan profesionalisme sebagai seorang ketua polis negara.

Tindakan beliau yang membawa bersamanya 4 pegawai penyiasat dari Bukit Aman ke Thailand untuk menemui Xavier Andre Justo bagi menyoal siasat kes yang dikatakan pemalsuan dokumen berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sesungguhnya suatu yang sangat memalukan.

Apalah malang nasib Malaysia mempunyai ketua polis negara seperti beliau yang hanya selayaknya menjadi ketua Balai Polis Keroh Perak sahaja.

Persoalannya, Khalid  menghabiskan wang negara sedangkan hakikatnya mereka tidak pun berjaya berjumpa Justo.

Sepatutnya Khalid  boleh berhubung melalui telefon terlebih dahulu dengan pihak polis Thailand untuk mendapatkan kepastian apakah mereka bersedia memberi laluan kepada polis Malaysia berjumpa dan menyoal siasat Justo.

Amat malang ketua polis negara melakukan kebodohan dan membawa kerugian pada negara setelah negara mengalami masalah kewangan yang kronik akibat skandal 1MDB.

Kini, Khalid pula bertindak membazir dan menghabiskan kantung negara yang sudah sememangnya kempis.

Saya meminta pihak bertanggungjawab dalam pelantikan beliau sebagai ketua polis negara agar segera melucutkan jawatan beliau dan diturunkan pangkat ke jawatan ketua balai sahaja.

Malaysia memerlukan ketua polis negara yang lebih cekap, berwibawa dan berkemampuan serta telus dalam melaksanakan tugas.

Selamatkan Malaysia!

* Datuk Mahfuz Omar adalah ahli Parlimen Pokok Sena.