Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Monday, July 27, 2015

Apa salahnya PM dijatuhkan?

Posted on Sunday, July 26 @ 13:58:27 MYT by paktam
Oleh Shahbudin Husin

Bukanlah rahsia lagi bahawa pendedahan demi pendedahan mengenai 1MDB adalah supayaPerdana Menteri, Najib Razak sedia berundur, diundurkan atau meletakkan jawatan. Dalam bahasa mudah, matlamat akhirnya adalah untuk memastikan Najib dijatuhkan dan tidak lagi menjadi Perdana Menteri.

Dengan pelbagai isu berkaitan 1MDB, khususnya yang terbaru mengenai pengaliran masuk wang RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadinya sehingga sebuah pasukan petugas khas ditubuhkan, Najib kini bukan saja menjadi beban kepada UMNO dan BN memenangi pilihanraya akan datang, tetapi juga beban kepada negara terus bergerak maju ke hadapan.

Sebab itu, bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad tidak henti-henti mahukan agar Najib segera berundur daripada jawatannya. Sempena ulangtahun kelahiran Najib yang ke 62 ini, Tun Mahathir menyindir dengan kata-kata, "bersaralah dengan aman dan nikmatilah persaraan itu."

Di media sosial, malah di laman Facebook milik Najib sendiri, sentiasa saja ada komen yang mahukannya berundur atau bertanyakannya bila mahu meletak jawatan, tidak kira sama ada yang ditulisnya berkaitan politik mahukan sekadar perkara-perkara santai yang lain.

Apabila seorang bekas Pengarah PetroSaudi International,  Xavier Andre Justo ditahan oleh polis Thailand kerana melakukan ugutan dan kemudian beberapa pihak dari negara ini didapati turut menemuinya bagi mendapatkan maklumat yang ada dalam tangannya, gesaan Najib berundur dan meletakkan jawatan telah bertukar kepada konspirasi menjatuhkan Perdana Menteri dan menggulingkan kerajaan.

Soalnya, apakah salahnya menjatuhkan Najib? Adakah Najib tidak boleh dijatuhkan seperti Raja Arab Saudi atau adakah kerajaan hanya boleh dijatuhkan ketika pilihanraya saja?

Sebenarnya jatuh menjatuh adalah perkara biasa dalam politik. Memang itulah resam dan tujuan akhir berpolitik. Tun Mahathir Mohamad selama 22 tahun berkuasa sentiasa saja ingin dijatuhkan oleh musuh dan pesaing politiknya. Beliau mampu bertahan kerana berjaya menepis segala serangan terhadapnya.

Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj dijatuhkan selepas tragedi 13 Mei 1969 dan Tun Abdullah Badawi pula ditolak jatuh kerana prestasi buruk BN pada pilihanraya 2008 yang disebabkan oleh angkara "budak-budak tingkat 4" yang menguasi pentadbirannya.

Kerajaan Pakatan Rakyat Perak pimpinan Nizar Jamaluddin hanya berkuasa selama 11 bulan setelah dijatuhkan oleh BN dan di Selangor pula, usaha menjatuhkan Azmin Ali sentiasa saja kedengaran. Di Sabah, beberapa tahun sebelum ini, jatuh menjatuh pemimpin dan kerajaan negeri begitu meriah sekali.

Banyak lagi pemimpin yang jatuh dan dijatuhkan dalam sejarah negara kita. Hakikatnya, selagi menjatuhkan itu bukan dengan kekerasan atau menggunakan senjata, ia bukanlah suatu masalah. Walaupun resamnya pemimpin atau kerajaan hanya boleh ditukarkan dalam pemlihan parti atau melalui pilihanraya, tetapi ia boleh juga dilakukan di hari-hari biasa melalui tekanan atau pengalihan sokongan wakil-wakil rakyatnya.

Lebih cepat kejatuhan pemimpin dan pertukaran kerajaan boleh menjadi kenyaaan jika pemimpin yang berkuasa itu lemah, terpalit skandal dan banyak masalah. Kiranya pemimpin tersebut tiada masalah dan bebas skandal, bagaimana hebat sekali pun direkayasa usaha menjatuhkannya, ia sama sekali tidak mungkin berjaya menyentuh hati dan naluri rakyat untuk turut memberikan sokongan.

Dalam konteks Najib dan kerajaan yang sedang dipimpinnya, harus diakui beliau bukan saja lemah, tetapi juga banyak masalah. Maka, wujud usaha mahu menjatuhkannya boleh saja dikira normal.

Tidak harus sesiapa mengatakan usaha menjatuhkan itu sebagai salah atau melanggar undang-undang, tambahan lagi Najib sendiri tidak menjawab secara jelas mengenai wang RM2.6 bilion yang didakwa mengalir masuk ke dalam akaun bank peribadinya.

Dari mana, siapa yang menyumbang dan adakah ianya wang bersih, masih gagal dijelaskan oleh Najib. Lagi-lagi beliau hanya berkata, "saya tidak pernah khianati amanah rakyat" dan "tidak pernah guna wang 1MDB untuk peribadi."

Begitu juga dengan wang RM2 juta yang didepositkan  masuk ke akaun peribadi isterinya, Rosmah Mansor sebagaimana didedahkan oleh Sarawak Report. Sementara akaun bank dan wang itu diakui benar-benar wujud, sebaliknya sehingga sekarang tidak dinyatakan bagaimana wang sebanyak itu mampu diperolehi oleh hanya seorang isteri dan suri rumah sepertinya.

Memperolehi maklumat dengan mana-mana sumber untuk menekan Najib bukanlah perkara luar biasa, apatah lagi jika maklumat itu betul dan tidak dibuktikan sebaliknya. Ia adalah sebahagian strategi dalam berperang.

Rakyat tidak sepatutnya dikelirukan atau ditakutkan bahawa usaha menjatuhkan Najib sebagai suatu kesalahan dan melanggar undang-undang. Ia juga jauh melencong untuk dikaitkan dalam erti sebenar menggulingkan kerajaan.

Tiada kerajaan yang mahu digulingkan, bahkan tiada kekerasan atau senjata yang akan digunakan. Jika Najib dijatuhkan, masih lagi kerajaan yang sama memerintah negara ini. Hanya Perdana Menteri saja yang bertukar.

Walaupun pemilihan parti atau pilihanraya umum merupakan proses biasa menukar pemimpin dan menjatuhkan kerajaan, hakikatnya kedudukan Najib tidaklah suci daripada segala goncangan sepertimana sistem pemerintahan Raja Mutlak atau Maharaja di zaman dahulu kala.

Lebih-lebih lagi kerana Najib terlihat lemah dan banyak masalah, menjatuhkannya tanpa menunggu pemilihan parti atau pilihanraya adalah "perjuangan yang suci, bersih lagi halal."

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa