Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Sunday, July 26, 2015

Aku pernah dilindungi di bawah Akta ini........

9 perkara anda perlu tahu mengenai Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010
Mariah AhmadAstro Awani | Diterbitkan pada: Julai 26, 2015 20:33 MYT
    
9 perkara anda perlu tahu mengenai Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010
Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) memperuntukkan perlindungan terhadap pemberi maklumat yang telah mendedahkan sesuatu kelakuan tidak wajar. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar pada Sabtu menegaskan 'Whistleblower' atau pemberi maklumat hanya dilindungi undang-undang apabila mereka menggunakan saluran yang betul untuk mendedahkan salah laku.

'Saluran yang betul' yang dimaksudkan Khalid di sini adalah berkaitan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) di mana akta ini menggalakkan dan memudahkan orang awam untuk mendedahkan sebarang perbuatan rasuah dan salah laku lain yang termasuk di bawah kelakuan tidak wajar di bawah akta ini.

Berdasarkan informasi di laman web Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri, berikut adalah 9 perkara utama yang anda yang perlu tahu mengenai Akta 711 ini:

1. Siapa yang dimaksudkan 'Whistleblower' atau pemberi maklumat?

Orang yang membuat pendedahan kelakuan tidak wajar kepada agensi penguatkuasaan sama ada secara lisan atau bertulis.

2. Apakah yang dimaksudkan 'kelakuan tidak wajar'?

Apa-apa kelakuan yang jika terbukti, menjadi suatu kesalahan tatatertib atau kesalahan jenayah.

3. Siapakah Agensi Penguatkuasaan yang disebut di dalam akta ini?

Mana-mana kementerian, jabatan atau agensi di peringkat persekutuan dan negeri yang mempunyai kuasa penyiasatan dan penguatkuasaan di bawah mana-mana undang-undang sedia ada. Sebagai contoh Polis Diraja Malaysa (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Imigresen Malaysia, Kastam Di Raja Malaysia, Pihak Berkuasa Tempatan dan lain-lain. 

4. Selain menggalakkan orang awam mendedahkan sebarang perbuatan rasuah dan salah laku, apakah lagi fungsi Akta 711?

Akta ini juga memperuntukkan perlindungan terhadap pemberi maklumat yang telah mendedahkan sesuatu kelakuan tidak wajar. Sebagai contoh,sekiranya pemberi maklumat itu mendedahkan kesalahan rasuah majikan atau rakan mereka sendiri di tempat kerjanya, maka beliau berhak untuk mendapatkan perlindungan di bawah akta ini.

5. Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai kelakuan tidak wajar mengenai majikan anda, kepada siapa atau bagaimana anda perlu melaporkan maklumat tersebut? Bolehkah anda mendedahkan melalui e-mel, telefon atau surat?

Pemberi maklumat boleh mendedahkan maklumat tersebut kepada mana-mana agensi penguatkuasaan seperti PDRM, SPRM, JPJ, Jabatan Imigresen Malaysia dan sebagainya. Agensi penguatkuasaan tidak akan menolak pendedahan tersebut atas dasar “no wrong door policy”.

Untuk melindungi pemberi maklumat tersebut, pegawai yang diberi kuasa akan menghubungi pemberi maklumat untuk menghadiri temujanji supaya perlindungan di bawah akta ini dapat dilaksanakan. 

6.  Apakah bentuk perlindungan yang diberikan kepada pemberi maklumat?


  • Perlindungan maklumat sulit seperti maklumat mengenai identiti, pekerjaan, alamat kediaman, tempat pekerjaan dan lain-lain.
  • Kekebalan daripada tindakan sivil atau jenayah yang cuba dikenakan terhadap pemberi maklumat.Sebagai contoh, seseorang pemberi maklumat, tidak boleh disaman atau didakwa oleh pihak yang telah didedahkan kelakuan tidak wajarnya; 
  • Perlindungan terhadap tindakan yang memudaratkan. Sebagai contoh, seorang pemberi maklumat telah memberi maklumat mengenai perbuatan rasuah majikannya. Jika majikannya ingin mengambil tindakan balas seperti membuang kerja si pemberi maklumat itu, maka pemberi maklumat itu adalah dilindungi di bawah akta ini.

7. Bilakah pemberi maklumat akan dilindungi di bawah Akta ini?

Pada saat pemberi maklumat mendedahkan kelakuan tidak wajar (aduan), dia sudah menikmati perlindungan di bawah Akta ini.

8. Adakah pembatalan perlindungan yang diberikan boleh terjadi?

Perlindungan ini akan kekal selama-lamanya kecuali dibatalkan di bawah seksyen 11 Akta ini. Antara sebab-sebab pembatalan perlindungan adalah:


  • Pemberi maklumat sendiri telah menyertai kelakuan tidak wajar itu
  • Pemberi maklumat sengaja membuat pernyataan palsu
  • Pendedahan adalah remeh atau menyusahkan
  • Pendedahan mempersoalkan merit dasar Kerajaan
  • Pendedahan dibuat semata-mata untuk mengelak daripada dibuang kerja/tindakan tatatertib yang lain
  • Pemberi maklumat telah melakukan kesalahan di bawah Akta ini.

9.  Anda merupakan pekerja swasta, adakah anda termaktub di bawah Akta 711 ini?

Akta ini terpakai dalam kepada mereka yang berada dalam sektor awam dan swasta. Semua badan, agensi dan jabatan di bawah Kerajaan Persekutuan, Kerajaan-Kerajaan Negeri, pihak berkuasa tempatan, badan berkanun dan badan swasta seperti syarikat adalah tertakluk kepada pemakaian Akta ini.

Bagi maklumat lanjut orang ramai boleh memuat turut akta ini yang terdapat dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris di laman BHEUU Jabatan Perdana Menteri.

# Itu dalam tahun 80'an.........

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa