(Oleh Nadia Hanafi)
PETALING JAYA 14 JAN: Ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Chen menyifatkan usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk mengesahkan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) adalah berasaskan faktor geo-politik bukan faktor ekonomi.
Beliau mempersoal mengapa Malaysia perlu mengambil bahagian dalam agenda dasar Amerika.
Katanya, kumpulan berpengaruh di Amerika, Brookings Institution, mengesahkan peranan TPPA sebagai strategi utama dasar ‘Condong ke Asia’ Barack Obama dalam rencana bertajuk ‘Why the TPP is the Linchpin Asia Rebalance’ pada 28 Julai tahun lalu.
Malah katanya, Amerika juga memperlihatkan strategi geo-politik mereka dengan menahan kebangkitan China di rantau ini melalui isu TPPA sedangkan Malaysia mempunyai hubungan perdagangan yang baik dengan China.
“Mengapakah Malaysia condong ke Amerika demi kelebihan ekonomi yang tidak penting?
“Pertama, China merupakan rakan perdagangan Malaysia paling utama, memandangkan hasil perdagangan dua hala antara China dan Malaysia pada 2014 adalah USD 102 bilion.
“Mengapakah kita menyokong agenda Amerika dan sanggup rugi hasil perdagangan sebanyak USD 100 bilion?” soalnya pada sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN pagi ini.
Wong Chen turut mempersoal bagaimana Najib boleh menyokong AS menentang China setelah menerima wang jaminan sebanyak RM24 bilion dari China dengan merujuk isu (1Malaysia Development Berhad (1MDB) melalui urus janji Edra Energy (berjumlah RM17 bilion) dan penjualan tanah 1MDB (RM7 bilion).
Selain itu katanya, dalam pertengkaran kuasa-kuasa besar dunia, Malaysia akan mengamalkan dasar luar negeri yang berkecuali.
“Ini merupakan prinsip utama dasar luar negeri kita semasa perang dingin antara AS dan Rusia. Mengapakah kita tidak mengikut tradisi ini sekarang?” soal Wong Chen lagi.
Justeru, beliau meminta Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Anifah Aman menjelaskan geo-politik khusus dan teliti kepada semua Ahli Parlimen mengenai sebab Najib mengesahkan TPPA.
“Memandangkan hanya terdapat dua minggu sehingga perbahasan TPPA di Parlimen pada 26 dan 27 Januari ini, Anifah mesti memberi penjelasan sekarang,” katanya.
satu bacaan yang baik dan adil--bukan keluar dari umno atau pas--
ReplyDelete