Syarikat anak bekas pemimpin Umno Johor kendali saman AES
(Oleh Aedi Asri)
KUALA LUMPUR 5 November: KEADILAN membongkar hubungan mencurigakan di antara syarikat pengendali saman Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES), Beta Tegap Sdn Bhd dengan Umno Johor dan Menteri dari MCA.
Dedah Ahli Majlis Pimpinan Pusat, Chang Lih Kang, pemegang saham terbesar syarikat itu, To’Puan Rozana Redzuan adalah anak kepada bekas Ketua Bahagian Umno Parit Sulong, Allahyarham Tan Sri Datuk Redzuan Salim.
“Ibunya, Puan Sri Datin Atkah Abdullah pula adalah bekas Timbalan Ketua Wanita Umno Johor dan Ahli Jawatankuasa Wanita Umno Pusat.
“Selain itu, Rozana juga adalah sepupu kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap, Datuk Abdul Hamid Abdul Rahman,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri Teja itu pada sidang media di Parlimen hari ini.
Menurut Lih Kang, pemegang saham kedua terbesar, Andreas Toh pula mendapat kontrak pada 2005 dari Kementerian Kesihatan melalui syarikat Mediharta Sdn Bhd.
“Kebetulan, kedua-dua kementerian ini di bawah menteri dari MCA. Adakah ada hubungan rahsia antara Andras Toh dengan MCA yang membolehkan beliau mendapat dua kontrak lumayan ini,” soal beliau.
Setiausaha Agung MCA, Datuk Seri Kong Cho Ha adalah Menteri Pengangkutan manakala Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek adalah Menteri Kesihatan pada 2005.
Turut ditunjukkan dalam sidang media itu, salinan maklumat dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Maklumat tersebut menyatakan, Rozana adalah Pengarah Beta Tegap dan memiliki saham bernilai RM5.8 juta manakala Andreas Toh bertindak sebagai pengarah dan pengurus serta memiliki saham bernilai RM4.2 juta.
Dalam sidang media sama, Ahli Parlimen Selayang, William Leong berkata, maklumat ini sekali lagi menunjukkan hubungan syarikat kroni yang mendapat kontrak dari kerajaan.
Beliau mendesak kerajaan menjelaskan kenapa syarikat swasta dan kroni dilantik mengendalikan AES.
“Sampai hari ini, kita tidak mendengar satu sebab pun kenapa sistem ini dikendali pihak swasta. Apa masalahnya dengan polis yang mengendali saman trafik sebelum ini.
“Kami juga sekali lagi meminta kerajaan agar batalkan dan nilai semula sistem pelaksanaan AES ini,” kata Bendahari Agung KEADILAN itu.
Sebelum ini, KEADILAN mendedahkan, kutipan saman jalan raya akan dikongsi antara kerajaan dengan Beta Tegap dan satu lagi syarikat pengendali, Ates Sdn Bhd.
Kedua-dua syarikat itu mensasarkan 10 juta saman dikeluarkan setahun dan bakal mendapat keuntungan sehingga RM700 juta hasil kutipan saman.
No comments:
Post a Comment
Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa