SELAMA - Gerakan mencari dan menyelamat seorang anggota tentera berpangkat koperal yang dipercayai hilang ketika menjalani latihan penerjunan di Redang Panjang, Kubu Gajah di sini masih diteruskan.

Sehingga jam 11.45 pagi tadi, mangsa, Supain Gane, 27, dari Kem Sungai Udang, Melaka masih gagal dikesan.

Gerakan mencari mangsa yang dihentikan kira-kira jam 7.30 petang semalam akibat cuaca, disambung semula 7.30 pagi tadi membabitkan 117 anggota penyelamat pelbagai agensi dan jabatan.

Ketika kejadian, Supain yang bertugas di cawangan Komando Pusat Latihan Peperangan Khusus Tentera Darat menjalani latihan penerjunan 2,333 meter (7,000 kaki) di kawasan berkenaan.