RCI SABAH Datuk Abdul Aziz Shamsudin, bekas setiausaha politik kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, menafikan bahawa beliau adalah pemilik rumah yang digunakan untuk memproses kad pengenalan biru untuk pendatang tanpa izin.

NONEKetika memberi keterangan di hadapan suruhanjaya diraja siasatan (RCI) mengenai pendatang di Sabah petang ini, Abdul Aziz (kanan) berkata dakwaan itu adalah satu rekaan.

"Saya bersumpah dengan nama Allah bahawa saya tidak pernah memiliki sebuah rumah dengan alamat No 18, Jalan Kampung Pandan dan saya kesal dengan tuduhan tidak berasas ini," katanya ketika memberi keterangan di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu.

Abdul Aziz, yang merupakan saksi ke-202, diminta menjawab dakwaan bekas Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sabah, Abdul Rauf Sani dan bekas ketua JPN Tamparuli, Yakup Damsa - masing-masing merupakan saksi ke-14 dan ke-15 RCI.

Mereka mendakwa Abdul Aziz telah membenarkan rumahnya digunakan oleh mereka bagi menandatangani kad pengenalan biru untuk pendatang tanpa izin di bawah 'Projek IC'.

Mereka juga mendakwa ini telah dilakukan di hadapan seorang yang bernama Kolonel Mohd Noor.

Apabila ditanya oleh pegawai pengendali, Azmi Arifin sama ada beliau mempunyai apa-apa pengetahuan mengenai rumah tersebut, Abdul Aziz berkata ia milik Kelab Diraja Selangor.

Katanya, beliau pernah pergi pergi ke rumah tersebut yang menjadi tempat di mana bekas pelajar ITM (Institut Teknologi Mara) yang berjaya dalam bidang perniagaan berkumpul untuk membincangkan masa depan bangsa mereka.

"Ia tidak ada kena mengena dengan membuat kad pengenalan biru, semua itu tidak berlaku," katanya.

Menurutnya, beliau juga mempunyai sebuah rumah di nombor 10 di jalan tersebut dan tinggal di situ.

Ditanya sama ada beliau kenal kolonel yang didakwa bersama pegawai JPN di rumah tersebut, Abdul Aziz berkata, dia pegawai tentera di bahagian perisikan di Kementerian Pertahanan tetapi telah meninggal dunia.

Katanya, beliau mengenali pegawai tersebut kerana beliau (Abdul Aziz) seorang setiausaha politik dan rapat dengan sumber perisikan, termasuk Cawangan Khas dan perisikan tentera.

Bagaimanapun, Abdul Aziz menegaskan bahawa beliau tidak mengetahui apa-apa mengenai Projek IC.

Beliau juga menafikan mengenali Yakup tetapi mengakui kenal Abdul Rauf dan beliau (Abdul Aziz) pernah mengatur satu pertemuan Abdul Rauf dengan Mahathir.

Abdul Aziz berkata, apabila kedua-dua mereka bertemu, beliau meninggalkan bilik dan tidak tahu apa yang dibincangkan.